Semalam 26 Ramadan, sekolah aku telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa serta Solat Hajat Perdana untuk pelajar SPM dan PMR. Tidak ramai pelajar dan ibu bapa yang hadir. Namun, majlis tetap meriah dengan penyampaian bantuan kepada pelajar miskin serta Majlis Khatam al-Quran untuk pelajar sesi pagi. Menu istimewa berbuka puasa iaitu nasi ambeng (makan dalam dulang) dan bubur lambuk.
Petang tadi, sekolah aku mengadakan Majlis Khatam Al-Quran untuk pelajar petang. Beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan sesi petang terlibat dengan program ini. Selepas itu, kami semua bersalaman dengan pelajar dan guru.. Aku dapat lihat ada guru-guru yang menitis air mata. Sungguh syahdu masa itu. Pelajar pula ada yang meminta maaf tetapi ramainya mengucap “Selamat Hari Raya Aidilfitri” dan meminta duit raya.
Memetik kata-kata yang terdapat dalam kad raya, Shamiera:
Yang dekat itu mati,
Yang benar itu nafsu,
Yang berat itu amarah,
Yang mudah itu berbuat dosa,
Yang panjang itu beramal soleh dan
Yang indah itu saling memaafkan…..
Iman Al-Ghazali
Benarlah bagai yang dikata yang indah itu memaafkan. Sempena bulan yang mulia ini, aku mengambil kesempatan memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua yang mengenali diri ini serta mereka yang membaca blog ini. Sesungguhnya, sedih apabilamengenang bulan Ramadan bakal meninggalkan kita. Adakah kita berkesempatan untuk Ramadan akan datang? Semoga Allah menerima ibadah kita semua di dalam bulan Ramadan ini.
Akhir kalam….Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432 H, Maaf Zahir dan Batin…..
No comments:
Post a Comment