Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Friday, April 20, 2012

Piramid Bacaan

Kita biasa mendengar piramid makanan dan piramid di Mesir. Tetapi pernahkan anda mendengar mengenai piramid bacaan?

Betul ke rakyat Malaysia tidak suka membaca? Banyak khazanah ilmu boleh diperolehi dengan membaca
. Tetapi apakah bacaan yang paling terbaik?

Jawapanya ialah banyaklah membaca @ mengaji al-Quran. Kalau boleh setiap hari amalkan membaca al-Quran, sehelai atau dua helai muka surat dan membaca tafsirnya sekali.

Semoga kita memperolehi syafaatNya di akhirat kelak... Semoga ada manfaatnya..

Adab-adab Menuntut Ilmu..

Buat anak-anak muridku, amalkan adab-adab menuntut ilmu, agar kalian semua menjadi manusia cemerlang di dunia & di akhirat...

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru 2011

Esok 16 Mei 2011. Apa yang istimewa dengan 16 Mei ini?

Jawapannya: Hari Guru....

Tetapi apa itu Guru?

Perkataan "Guru" berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud seseorang yang dianggap mempunyai pengetahuan yang luas, bijak dan pakar dalam sesuatu bidang dan menggunakannya untuk membimbing orang lain. Di Malaysia, kata "guru" diertikan sebagai "pengajar,pendidik dan pembimbing" kepada pelajar terutama di sekolah.

Perkataan ‘guru’ berakar dari kata “gri” yang dalam bahasa sanskerta bermaksud ‘untuk bangkitkan (menyedarkan)’ atau ‘untuk memuji (tuhan)’. Ia juga berkait rapat dengan kata “gur” yang bermaksud ‘untuk bangun (sedar)’ atau ‘untuk menghasilkan usaha’.

Secara sukukata pula ‘gu’ bermaksud ‘kegelapan’ dan sukukata ‘ru’ bermaksud ‘cahaya’ atau ‘diterangi’. Maka ‘gu’ & ‘ru’ bolehlah diertikan sebagai ‘insan yang membimbing seseorang keluar dari kegelapan (tak berilmu) untuk diterangi cahaya ilmu’. Pendapat lain mengatakan ‘gu’ & ‘ru’ ini adalah ‘seseorang yang melenyapkan kejahilan kerohanian seseorang dengan membawa sinar pertunjuk (cahaya ilmu) kerohanian kealam spiritualnya’.*(*www.aurakaya.blogspot.com)

GURU ke CIKGU?

Menurut Kamus Dewan, kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama cuma berbeza dari segi penggunaan bahasanya. Biasanya GURU lebih digunakan secara umum seperti Guru Bahasa, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran. Contoh lain, tema hari guru bukannya hari cikgu:

TEMA HARI GURU 2011: GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA.
TEMA HARI GURU 2009 & 2010: GURU PEMBINA NEGARA BANGSA.

Cikgu pula lebih digunakan kepada panggilan nama seorang guru. Contohnya Cikgu Hajjar, Cikgu Aini, Cikgu Ooi dan Cikgu Latifah. Kalau seseorang pelajar memanggil Guru Sofia...Erm rasanya janggal bunyinya kan...

Tetapi kenapa Hari Guru disambut 16 Mei?

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Siapa guru kita?

1. Rasulullah adalah guru yang paling baik dan boleh dijadikan contoh tauladan.

2. Ibu dan bapa. Sejak dalam kandungan lagi kita dididik. Kita diperdengarkan dengan azan dan iqamat sebaik sahaja keluar dari alam rahim. Kita belajar bercakap, bergerak, berjalan berlari dan sebagainya.

3. Guru di sekolah rendah & menengah.

4. Guru di kolej.

5. Guru/ Pensyarah/ Doktor/ Puan/Tuan di Universiti.

6. Kawan-kawan.

7. Abang2 & kakak2....Adik2

sumber:
http://absarlegal.wordpress.com/2011/02/05/guru-ke-cikgu-ke-jurulatih/
http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Guru_di_Malaysia
http://www.jaulahsufi.blogspot.com/

P/S: Sempena Hari Guru, aku ingin mengucapkan selamat hari guru buat guru yang tercinta di SK(LKTP)LH 01, SMKLH, KMPh, UPM & UPSI serta rakan-rakan seperjuangan di SMKLH, SMK SRI DAMAI, SMRA CHUAH dan SMK*B. Semoga Allah memberkati usaha kita mendidik anak bangsa demi agama, bangsa & negara. Buat guru-guruku, pengorbananmu mendidik kami sentiasa diiringi doa tulus ikhlas agar dikau dirahmati Allah selalu...

Tuesday, May 10, 2011

Guru perlu terap nilai sabar, penyayang terhadap anak didik

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

2011/05/10
TUGAS pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, tetapi merangkumi pendidikan akhlak kepada anak murid. Mengajar dalam apa bidang sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu.

Dalam zaman serba moden serta mencabar, kerjaya guru juga semakin mencabar. Banyak kali dilaporkan mengenai adanya segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika sebagai seorang pendidik

Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa.

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, tetap relevan sepanjang zaman dan kalis masa.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.

Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.
Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.

Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru.

Dalam satu lagi, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang pelajar.

Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10/5/2011

P/S: Aku memang setuju dengan artikel ini, sememangnya menjadi seorang guru perlu banyak bersabar dan bersikap penyayang dengan pelajar. Aku teringat kata-kata anak murid aku petang tadi..."Cikgu ini sabarlah"...Aku menjawab, "Cikgu memang perlu banyak sabar, kalau cikgu tidak sabar nanti boleh kena darah tinggi"...Erm fikirlah sendiri...Semoga ada manfaatnya

Guru sandaran tidak terlatih masih digantung tak bertali

Oleh Azhar Abu Samah
azhar@bharian.com.my
2011/05/10
Tiada tindakan proaktif berkaitan isu penempatan

TIGA bulan berlalu selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan 'berita baik' mengenai khidmat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sudah berkhidmat tiga tahun berturut-turut disambung, namun penyelesaian isu ini belum 'nampak cahaya di hujung terowong'.

Pengumuman Muhyiddin pada 3 Mac lalu pada sidang media selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod di Sabah, nampaknya ibarat ‘angin lalu’ sekadar singgah sipi-sipi di telinga pegawai yang dipertanggungjawabkan, khususnya di Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Saban hari e-mel bhsurat@bharian.com.my akan menerima keluhan guru, antaranya berhubung bebanan kerja perkeranian, kenaikan pangkat dan kelemahan pentadbiran sekolah. Bagaimanapun, surat ‘kemarahan’ GSTT berhubung sikap pegawai JPN ketika ditanya mengenai kedudukan mereka, termasuk jawapan ‘belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT daripada Kementerian Pelajaran’ mengatasi e-mel yang diterima sejak sebulan dua ini.

Muhyiddin sebelum ini menjelaskan kerajaan sudah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Jika arahan beliau sudah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, kita tidak nampak kenapa alasan standard belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT yang digunakan kakitangan JPN di seluruh negara bagi menjawab pertanyaan GSTT terus digunakan.

Dua surat pembaca yang diterima melalui e-mel – masing-masing satu dari Ipoh, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyebut JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memberi alasan ‘belum menerima waran lantikan’, manakala ‘JPN Wilayah tidak mendapat hitam-putih mengenainya’.
Pada masa sama, tiada kenyataan lanjut mengenai nasib GSTT yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran, selepas pengumuman dibuat Muhyiddin, sekali gus memberi tekanan kepada GSTT yang sudah berkeluarga mengenai masa depan mereka, apatah lagi kalau suami dan isteri, kedua-duanya GSTT.

Malah, kebanyakan GSTT yang sudah berkeluarga menyatakan kesediaan untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka di seluruh negara, hanya menunggu surat daripada JPN mengenai kawasan penempatan mereka.

Tekanan ini turut dirasai GSTT bujang, khususnya yang sudah membeli kenderaan untuk kemudahan pengangkutan ketika berkhidmat dulu, selain membawa pelajar untuk menyertai pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan peringkat sekolah, zon dan daerah.

Akibat ‘digantung tidak bertali’ oleh kementerian, sudah ada kes guru berkenaan terpaksa menjual semula kereta kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan kepada institusi kewangan.

Hakikatnya, kekurangan guru di Wilayah Persekutuan sebenarnya meruncing, khususnya guru Bahasa Melayu dan Sejarah. Disebabkan penumpuan berlebihan kepada penyediaan guru Sains dan Matematik di sekolah, akhirnya berlaku lambakan guru yang mengajar kedua-dua subjek ini di Kuala Lumpur.

Tidak dinafikan ada GSTT yang ditawarkan tempat di sekolah sejak April lalu, namun kebanyakan GSTT yang diambil bukan daripada mereka yang mengajar di sekolah asal, sebaliknya dari sekolah lain. Bukankah pengetua sekolah asal ada mencadangkan GSTT yang berkhidmat sebelumnya disambung perkhidmatan di sekolah berkenaan? Inilah antara persoalan yang perlu dijawab JPN berhubung soal ketelusan dalam pengambilan semula GSTT.

Isu GSTT sebenarnya bukanlah rumit untuk diselesaikan. Timbalan Perdana Menteri sudah membuka jalan penyelesaian ke atas isu penempatan guru tidak terlatih ini. Bagaimanapun, pengumuman Muhyiddin tidak disambut dengan tindakan proaktif baik pada peringkat kementerian mahupun jabatan.

Jika persoalan 13,000 GSTT pun tidak dapat ditangani dengan berkesan, apatah lagi pelbagai masalah membabitkan lebih 350,000 guru di seluruh negara. Tidak hairanlah banyak persoalan tertunggak, antaranya beban tugas berlebihan guru masih tidak dapat diselesaikan kementerian berkenaan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10/5/2011

P/S: Aku sangat simpati dengan nasib GSTT ini..Dulu pun aku GSTT sebelum dapat menyambung Diploma Pendidikan dan sekarang aku guru GSST. Lagipun, aku tengok GSTT ini memang berkelayakan untuk mengajar cuma belum ada rezeki untuk menjadi guru tetap. Bila agaknya kemelut ini akan berakhir??? Janganlah digantung mereka ini tidak bertali ibarat madu diambil, sepah dibuang. Semoga Allah memberi 'jalan sinar' buat GSTT yang ikhlas berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara

Wednesday, April 27, 2011

TUGAS GURU - Bukan sekadar 7.30pg sehingga 1.30ptg sahaja...

SEORANG GURU BIASA

1. Menulis rancangan mengajar

2. Menanda kedatangan murid/pelajar

3. Menanda buku kerja murid. 1 murid = 3 buah buku 1 kelas = 45 orang murid Jumlah Buku bagi 1 kelas = 135 Buah buku Seorang guru akan mengajar sekurang-kurangnya 5 kelas > 5 X 135 = 675 Buah buku. (Ini biasanya guru Bahasa Melayu @ Bahasa Inggeris
Kalau aku guru geografi, mengajar 8 kelas....erm lebih kurang 560 buah juga aku kena tanda)

4. Menghadiri/ mengendalikan pelbagai jenis mesyuarat - Mesyuarat JKK sekolah - Mesyuarat Guru - Mesyuarat Sukan - Mesyuarat Panitia seorang guru mungkin ada 2 panitia - Mesyuarat PIBG - Mesyuarat Kelab Guru - Mesyuarat Kokurikulum - Mesyuarat Program lebih dari 6 program anjuran sekolah seperti Hari Guru, Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Kemerdekaan, Bulan Bahasa, Hari Anugerah, Sukan Tahunan, Merentas Desa

5. Aktiviti kokurikulum, kadang-kadang seorang guru bertanggungjawab terhadap 2 unit - Perjumpaan unit uniform kekadang hadir Sabtu - Perjumpaan permainan tambah untuk pertandingan pula - Perjumpaan persatuan / kelab - Latihan rumah sukan setiap minggu

6. Menghadiri pelbagai jenis kursus dalaman / luaran

7. Mengisi pelbagai jenis borang. Borang keluar masuk & buku keluar masuk Borang emis / hrmis/ label Buku Hadir Kursus / balik dari kursus Borang Fleksi PMR / SPM Borang kehadiran murid ke kelas fleksi, Buku Pemantauan / salah laku murid, Buku catatan relief guru, Buku tugasan mingguan, Laporan mingguan, Laporan keceriaan, Borang menghantar dan mengambil kertas peperiksaan selepas mengawas peperiksaan, Buku Kokurikulum murid, Borang permarkahan kokurikulum

7. Menghantar murid ke Klinik

8. Mengisi maklumat murid di dalam file peribadi

9. Menceriakan bilik darjah selalunya duit poket sendiri

10. Mengisi markah ujian/ peperiksaan

11. Mengisi data murid SMM

12. Menangani masalah disiplin murid / pelajar

13. Memasukkan data disiplin di dalam e-disiplin

14. Melayani karenah Ibu Bapa / penjaga

15. Mengecat sekolah

16. Membersihkan bilik / stor / bilik khas

17. Menganjurkan program-program wajib (Hari terbuka dsb)

18. Menyiapkan program Head Counting

19. Melaksanakan pelan tindakan PPD, JPN (seperti KIA2M, etc)

20 Menyiapkan file gerko, persatuan, kelab dan sebagainya

21. Menghantar murid ke pertandingan atau kejohanan

22. Mengendali masalah / kebajikan murid

23. Menunggu semua murid pulang sebelum guru pulang.

24. Mengadakan kelas tambahan, kelas intensif dan sebagainya

25. Menyediakan Bahan Bantu Mengajar (BBM)

26. Berniaga (jualan hari kantin, etc)

27. Menjaga kebajikan murid / ke rumah murid bermasalah

28. Bekerja lebih masa (menyiapkan pentas, backdrop, banner dsb)

29. Menyediakan kertas peperiksaan / ujian

30. Menanda kertas peperiksaan / ujian. 1 subjek 2 paper – 2 2 x 45 = 90 90 x 5 = 450 kertas

31. Perkembangan staf

32. Mengendalikan perhimpunan murid

33. Gotong-royong kadang2 guru perlu bawa semua alatan

* Terdapat lagi tugasan sebagai seorang guru terutama yang ada tugas khas….. tetapi cukuplah sekadar ini untuk nilaian kita bahawasanya tugas seorang guru amatlah berat. Walaupun kita sering menganggap cikgu cuti banyak dan sebagainya. Tetapi hakikatnya tugas seoran guru amatlah berat. Jarang sekali bagi pekerjaan lain membawa balik kerja-kerja pejabat ke rumah, berbanding guru yang terpaksa menanda buku dan menulis rancangan mengajar sehingga lewat malam. Sungguh besar pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa kita.

SELAMAT BERJUANG SEMUA GURU-GURU HANYA ALLAH SAHAJA YANG DAPAT MEMBALASNYA…..

Sumber: Jimmy Rose

Tuesday, March 29, 2011

Cuti Sabtu, Ahad sudah ditetapkan kementerian

2010/08/17

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada aduan ‘Norhisyam Mohamad, Kuala Kedah, dalam ruangan ini bertarikh 22 Julai lalu bertajuk ‘Tetapkan cuti Sabtu, Ahad’.

Kementerian sudah memaklumkan kepada semua agensi di bawahnya iaitu Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah berkaitan cuti Sabtu.

Makluman itu disiarkan melalui surat siaran bertarikh 5 Disember 2005 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8 tahun 2005. Surat siaran ini dikeluarkan ekoran daripada Surat Pekeliling Pentadbiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia melalui Surat Pekeliling Pentadbiran 2005 dan isi kandungan surat berkenaan menyatakan bahawa:

Sabtu Minggu Pertama dan Ketiga adalah hari cuti bagi semua pekerja di agensi kerajaan mahupun agensi swasta. Sabtu minggu kedua dan keempat dibenarkan pihak agensi melaksanakan tugas mengikut keperluan.

Jelas sekali surat siaran itu tidak membenarkan kakitangan kerajaan mengadakan aktiviti atau program pada Sabtu minggu pertama dan ketiga. Pihak kementerian juga sudah mengeluarkan surat arahan kepada sekolah yang masih ingkar agar mematuhi Arahan Pekeliling Pentadbiran berkaitan cuti Sabtu yang diwartakan.

Kementerian boleh mengambil tindakan kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mengingkari arahan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 17 Ogos 201

Tuesday, March 1, 2011

Matlamat kerajaan laksana sistem persekolahan satu sesi

TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah menjadi matlamat kerajaan untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun beberapa perkara berkaitan kemudahan infrastruktur dan penambahan tenaga pengajar perlu diselesaikan pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum sistem itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.
"Walaupun baik, tapi untuk mencapai sasaran itu ianya membabitkan pelbagai perkara, infrastruktur, tenaga pengajar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau di sini, petang tadi.

Beliau berkata, objektif kerajaan ialah untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi supaya aktiviti kokurikulum dapat diadakan pada waktu petang.

"Ketika ini sesi persekolahan pagi perlu ditamatkan pada jam 1 (tengah hari) atau 2 (petang), dan sesi petang sampai larut petang, kalau kita nak buat aktiviti kokurikulum, tak boleh kecuali (pada) hari-hari lain."

Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat menjangkakan bila sistem persekolahan satu sesi dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia memerlukan pertambahan jumlah sekolah dan juga guru.

"Memang banyak faedah apabila kita laksanakan satu sesi persekolahan, tapi untuk melaksanakannya kita perlu lebih banyak sekolah dan guru untuk menampung keperluan....kalau tak mampu kita (terus) gunakan dua sesi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa memperuntukkan jumlah yang besar untuk pendidikan negara.

"Kita membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk sistem pendidikan negara, tahun ini sahaja sebanyak RM26 bilion untuk pengurusan dan sebanyak RM6.4 bilion lagi untuk pembangunan," katanya. - BERNAMA

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/03/01

Monday, February 28, 2011

Satu sesi perkasa sekolah rendah

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Pengisian seperti di SBP beri peluang murid dapat pendidikan berkualiti

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sekolah satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan pengisian jadual waktu yang berkualiti secara optimum mampu memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) menjadi model sekolah berasrama penuh (SBP) ala harian.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata tidak mustahil SK menjadi pilihan atau rebutan untuk kemasukan kerana murid bukan saja berpeluang menikmati pengisian pendidikan seperti SBP, malah pada masa sama dapat memelihara ikatan kekeluargaan kerana tidak perlu berenggang.
Sambil menjelaskan waktu persekolahan sedemikian sudah dilaksanakan pada peringkat pendidikan menengah di negara maju seperti England, beliau berkata, Kementerian Pelajaran perlu mula membuat perancangan dan persediaan ke arah itu.

Katanya, pelaksanaan itu membabitkan peningkatan kos tetapi kerajaan perlu melabur untuk menjana generasi pelapis menjadi sumber manusia yang berkualiti dalam jangka panjang.

“Pengisian berkualiti memberi ruang saksama terutama kepada murid yang tidak mampu mengikuti tuisyen, untuk mendapat bimbingan tambahan melalui jadual waktu petang.

“Keselamatan murid juga terjamin berbanding mereka berkeliaran selepas waktu persekolahan tamat awal sehingga mudah terjebak dengan gejala sosial.
“Ibu bapa tidak perlu bimbang walaupun bekerja kerana anak lebih terkawal dan terbimbing di sekolah.
“Banyak kegiatan baik boleh disusun pada sebelah petang termasuk riadah, sukan, kokurikulum, program kerohanian seperti sembahyang berjemaah serta aktiviti kemahiran seperti komputer, ucapan umum dan debat,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, menyaran kerajaan melaksanakan persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tiada beban kerja berlebihan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ketika dihubungi berkata cadangan itu memerlukan kajian mendalam kerana membabitkan pelbagai aspek.

“Begitu juga untuk melaksanakan sepenuhnya sekolah satu sesi di seluruh negara, banyak perkara perlu diteliti, terutama dari segi peruntukan dan tapak tanah bagi membina lebih banyak sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Penilaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Subahan Mohd Meerah, berkata kajian terperinci harus dilakukan tetapi pelaksanaan secara rintis di sekolah tertentu wajar untuk mengenal pasti implikasinya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/03/01

Ganjaran guru besar bulan depan

Oleh Amirullah Andi Nur

Pendidik cemerlang diiktiraf

MERLIMAU: Seperti dijanjikan, 586 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah terpilih menerima ganjaran yang diperkenalkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil kecemerlangan meningkatkan pencapaian sekolah untuk melepasi sasaran yang ditetapkan.

Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima RM7,500, manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900.
Guru besar terbabit antara 925 atau 12.10 peratus bilangan sekolah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) di seluruh negara pada tahun lalu.

Ia diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis penyampaian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar, semalam.

Beliau mengumumkan ganjaran diberi kepada pengetua dan guru sekolah menengah selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan bulan depan.

“Pencapaian sebenar di luar jangkaan kerana sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran bagi penilaian 2010 adalah dua peratus. Peningkatan antara lain disebabkan peningkatan kualiti kepemimpinan dan tahap pengajaran serta pembelajaran guru

“Berdasarkan verifikasi, guru sekolah yang memenuhi semua kriteria untuk menerima ganjaran adalah 7.7 peratus, bertambah lebih 300 peratus berbanding sasaran awal,” katanya yang turut merasmikan sekolah bernilai RM28 juta itu.
Anugerah Tawaran Baru adalah satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan pada awal tahun ini di bawah NKRA Pendidikan bagi memberi ganjaran dan pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Daripada 586 sekolah terpilih, 437 atau 74.32 peratus adalah sekolah luar bandar, selain Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli, SK Khas dan Sekolah Rendah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Muhyiddin berkata, sekolah dalam kelompok pertengahan atau gagal menepati sasaran skor komposit 84 peratus atau mengalami lonjakan dari aspek kedudukan tidak akan diabaikan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/03/01

Pelajar sekolah, IPT tak faham makna al-Fatihah

KUALA LUMPUR: Kajian mendapati ramai pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) masih tidak memahami erti bacaan al-Fatihah dalam solat mereka, kata Prof Emeritus, Datuk Dr Isahak Haron.

Tokoh akademik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, kajian menunjukkan lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Dua dari beberapa sekolah menengah serta penuntut sebuah universiti, gagal menjelaskan makna dalam bacaan al-Fatihah.
Beliau berkata, perkembangan itu jelas membimbangkan kerana pemahaman dan penghayatan makna bacaan al-Fatihah amat penting untuk memperoleh kekhusyukan dalam solat, sekali gus memberi lebih kesan ke arah pembentukan Muslim yang dituntut agama.

“Justeru, sistem pendidikan Islam di sekolah mesti menitikberatkan aspek pemahaman serta penghayatan dalam mengerjakan sembahyang, dan bukan hanya tertumpu kepada didikan pergerakan fizikal atau bacaan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini, semalam.

Seterusnya, Isahak berkata, pelajar Melayu dari Tahun Dua hingga Tingkatan Lima yang masih tertakluk kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dikhuatiri terus lemah dalam dua subjek kritikal itu.

“Mereka akan terus menjadi lost generation seperti kumpulan pelajar yang lalu. Bagi kira-kira 30 peratus pelajar yang gagal teruk dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah secara kumulatif, pendidikan di sekolah sudah tidak bermakna. Sekolah tempat mereka ‘gagal’,” katanya.

SUMBER:BERITA HARIAN, 2011/02/28

Jadual kerja anjal guru elak beban tugas lebih

Oleh Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan waktu persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tidak menanggung beban kerja berlebihan.

Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata jadual persekolahan selama lapan jam itu dapat memenuhi waktu harian pelajar secara berkualiti, selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.
Melalui pelaksanaan itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pentadbiran sekolah boleh menyusun pelbagai aktiviti berfaedah untuk mengisi jadual waktu petang setiap hari tanpa membebankan pelajar dengan pembelajaran akademik semata-mata.
“Antaranya, pelajar boleh menjalani aktiviti sukan dan kokurikulum, menyiapkan kerja rumah di bawah bimbingan dan pemantauan guru, mengikuti kelas tambahan bagi melonjakkan prestasi pencapaian mereka atau memasuki kelas pemulihan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

“Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran menarik pada sebelah petang seperti kelas seni untuk pelajar dalam aliran sains bagi menggalakkan lagi daya kreativiti.

“Dari segi jadual kerja anjal untuk guru, disarankan sebahagian daripada mereka bertugas mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bakinya dari jam 11 pagi hingga 4 petang ,” katanya selepas menghadiri Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, 70 peratus sekolah di negara ini sudah menjalankan sekolah satu sesi tetapi waktu persekolahan hanya dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menyebabkan ada pelajar mengambil kesempatan ruang masa selepas itu terjebak dengan gejala sosial kerana ibu bapa bekerja.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru permulaan diberi tempoh percubaan selama enam bulan di sekolah bagi memastikan kesesuaian sebenar mereka untuk menjadi pendidik dan jika tidak, wajar dicadangkan mereka mencari kerja lain.

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/02/28

Sunday, February 27, 2011

MBMBI mampu melahirkan generasi fasih Melayu, Inggeris



SUMBER: BERITA HARIAN, 6/1/2011

Pelajar wajib ambil satu bidang sukan


MARAN 21 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, satu jawatankuasa sementara ditubuhkan untuk mengkaji perkara tersebut yang membabitkan kurikulum dan aspek pemarkahan.

''Sekurang-kurangnya satu sukan wajib diambil oleh pelajar. Dasar ini telah lama ada tetapi ia kurang ditekan.

''Kita sedang mengkaji kurikulumnya dan sekurang-kurangnya tahun depan kita boleh mula tetapi mana-mana sekolah yang telah bersedia boleh bermula tahun ini. Kita perlu memperincikan jadual dan kurikulum bagi mengelakkan pertembungan antara akademik dan sukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara cawangan Jengka di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan merombak Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dengan menjadikan sukan sebagai bidang berasingan.

''Pada masa ini, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum kementerian melibatkan persatuan beruniform diletakkan dalam satu bahagian. Kita hendak buat rombakan iaitu kokurikulum dalam satu bahagian manakala sukan dalam pengkhususan lain," jelasnya.

Sehubungan itu kata beliau, jawatankuasa sementara itu akan mengkaji pelbagai perkara termasuk kurikulum yang lebih lengkap, tenaga pengajar, jurulatih yang berkemahiran dan aspek promosi.

Menurut beliau, aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak hanya diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

''Kita hendak lahirkan lebih banyak guru sukan dan mengubah semula kalendar sukan tahunan.

Ketika ini, kalendar sukan tahunan dibuat dua tiga bulan selepas sekolah dibuka dan pada bulan Jun telah selesai dan selepas itu tidak ada diberi perhatian oleh pihak sekolah," ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah peruntukan kepada sekolah-sekolah supaya hasrat itu menjadi kenyataan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22/2/2010

Teliti dulu subjek Sejarah syarat wajib lulus SPM

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my

NGO mahu kerajaan fokus kaedah pengajaran, pembelajaran

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) mahu pengisian subjek Sejarah diteliti terlebih dulu sebelum ia dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.
Ini bagi memastikan matlamat pembinaan negara bangsa melalui subjek itu dicapai dan pelajar bukan hanya menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan tetapi tidak memahami dan menghayati apa yang mereka pelajari di bilik darjah. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata langkah mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat mendapat SPM akan menjadikan pelajar lebih serius dan mengambil perhatian terhadap subjek itu.

“Saya berharap perancangannya perlu berhati-hati, telus dan berhemah, serta tidak akan undur ke belakang.

“Ia kerana sejarah adalah roh bagi pendidikan warga negara, tanpa mengetahui sejarah maka warga negara itu akan buta sejarah, dan jika buta sejarah takkan tahu asal usul, menyebabkan individu itu tak tentu arah serta kabur masa depan negara,” katanya semalam.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin bahawa mata pelajaran itu akan dijadikan subjek wajib lulus dan subjek teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ketika ini elemen sejarah diajar dalam subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah sebelum diterapkan sebagai subjek teras di bawah KSSR bermula 2014.

Kenyataan Mohamad Ali disokong aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang mahu kerajaan memberi fokus kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah.

“Kaedah pembelajaran dunia bersifat ‘dari atas ke bawah’ kini dikritik dan ia seharusnya bersifat komunikasi dua hala melalui per-bincangan terbuka bilik darjah. Kaedah pembelajaran penting bagi memastikan pelajar memahami serta menerima apa yang diajar.

“Pada hemat saya, pengisian subjek itu perlulah lebih daripada sekadar menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan dan lebih penting mereka memahami falsafah di sebalik subjek Sejarah yang bertujuan meningkatkan kefahaman di antara kaum di negara ini,” katanya.

Profesor Sosio-linguistik Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata penekanan dalam subjek Sejarah tepat pada masanya kerana sebilangan generasi muda kini semakin ‘buta sejarah’ dan ini dibuktikan melalui perdebatan beberapa isu seperti kontrak sosial tersirat dalam perlembagaan negara.

“Sebab itu kita nampak kontrak sosial dicabar terutama dalam media baru, nampak sangat mereka jahil mengenai sejarah,” katanya menegaskan sejarah Malaysia bukan bermula dengan kemerdekaan 1957, tetapi dengan Kesultanan Melaka sebelum itu yang gagal difahami, malah diputar-belit segelintir pihak.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, berkata penekanan sejarah penting dalam membentuk jati diri rakyat berbilang kaum dengan menghayati latar belakang dan perkembangan Malaysia yang bermula dengan sebuah kesultanan di Nusantara Melayu.

“Sejarah akan merungkaikan kenapa perlembagaan negara digubal begitu, adanya kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dan pada masa sama hak kaum-kaum lain juga terbela,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25/10/2010

Saturday, February 26, 2011

Sejarah subjek diwajibkan lulus pada tahun 2013

Apabila sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, maka statusnya sama dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu selain Bahasa Melayu, kelulusan sejarah bukan sahaja diperlukan untuk mendapatkan sijil SPM tetapi menjadi syarat asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi, institusi kemahiran, pemberian biasiswa dan tawaran pekerjaan dalam sektor kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta.

Kesannya sejarah akan menjadi mata pelajaran penting yang mendorong pelajar memberikan perhatian dan belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai kemahiran dalam huraian sukatan pelajarannya. Dengan meningkatnya penguasaan dan penghayatan tentang kenegaraan Malaysia, maka semangat patriotik dan perpaduan akan dapat diperkasakan. Selama ini sejarah yang merupakan mata pelajaran teras tetapi tidak wajib lulus, kurang diberikan perhatian kerana dianggap kurang nilai pasaran.

Namun sistem penilaian yang menyeluruh dan bersepadu amat penting dirancang agar pengukuran lebih tepat terhadap pencapaian pelajar dapat dilakukan. Sehubungan itu dicadangkan hanya 60 peratus markah sejarah berdasarkan peperiksaan bertulis dalam SPM, manakala baki 40 peratus markah berdasarkan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). PBS dinilai berdasarkan gerak kerja amali yang meliputi kerja kursus, sahsiah semasa proses pengajaran dan pembelajaran, semangat patriotik dan perpaduan. Misalnya pelajar dinilai tahap kerjasama dan penghayatan semasa mengikuti pelajaran sejarah dalam bilik darjah, ketika sambutan program kemerdekaan dan penghormatan terhadap bendera serta lagu kebangsaan semasa perhimpunan sekolah. Dengan cara ini pendidian sejarah secara holistik dapat dipraktikkan.

Kaedah pengajaran yang berkesan amat perlu diberi penekanan agar sejarah menjadi mata pelajaran yang menarik dan diminati. Matlamat utama untuk mendidik dan membentuk pemikiran pelajar supaya menjiwai semangat kenegaraan dan keperbadian bangsa. Tujuan sejarah wajib lulus untuk merangsang pelajar dan bukanlah guru mengajar berorientasikan peperiksaan semata-mata. Perlu ingat pengajaran guru yang kreatif akan menghidupkan suasana bilik darjah yang akan dinilai berdasarkan PBS yang dicadangkan tadi dan ini akan membantu meningkatkan prestasi pelajar.

Pakar dan penyelidik sejarah tempatan akan dilantik untuk melihat semula kandungan dan kurikulum mata pelajaran sejarah. Oleh itu pihak-pihak lain terutama yang berkepentingan politik tidak perlu campur tangan kerana mereka bukan ahli sejarah. Biar orang akademik melakukannya kerana hanya 'jauhari yang mengenal manikam'. Ahli sejarah merupakan golongan ilmuan yang mempunyai kepakaran mengkaji sejarah negara secara profesional tanpa dipengaruhi dengan sentimen politik dan perkauman. Lebih malang ada pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan mewajibkan mata pelajaran sejarah lulus dalam SPM. Sedangkan kita sedar sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar dan dikuasai sebagai asas pembinaan negara bangsa.

Adakah dengan dasar sejarah wajib lulus ini akan melahirkan warga yang tidak lagi buta sejarah? Adakah mata pelajaran teras sejarah yang dipelajari selama ini di peringkat sekolah menengah gagal melahirkan warga yang celek sejarah? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mengatakan seseorang itu buta sejarah? Kita tidak mahu buta sejarah dijadikan alasan untuk membenarkan seseorang mempersoalkan perlembagaan negara dan kontrak sosial. Sedangkan bidang Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan negara yang berkaitan dengan kontrak sosial ada dipelajari dalam mata pelajaran sejarah. Sebenarnya mereka bukanlah buta sejarah, tetapi buat-buat buta.

Oleh itu tindakan tegas amat perlu jika ada pihak yang menimbulkan provokasi dengan menyentuh kedua-dua perkara tersebut. Di sekolah guru bersusah payah mengasuh murid dengan nilai-nilai positif untuk menjadi warganegara yang setia tetapi di luar sekolah mereka mudah terpengaruh dengan nilai-nilai yang sebaliknya. Untuk mempengaruhi seseorang dengan nilai yang baik tentulah lebih mencabar berbanding mempengaruhinya dengan nilai-nilai yang negatif. Memang benar jika murid telah diberikan pendidikan yang mantap mereka tidak mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif di luar sekolah. Namun jika langkah bersepadu dilakukan; iaitu menerusi pendekatan pendidikan dan tindakan undang-undang yang tegas, matlamat untuk melahirkan wagra celek sejarah dengan semangat kenegaraan yang tinggi akan dapat dicapai dengan lebih berkesan.

ZIN MARKAM
Pontian, Johor.

SUMBER:http://www.moe.gov.my/index.php?id=265&aid=1506

Pelajar bebas guna telefon bimbit.


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Laporan Akhbar dalam ruangan Berita akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Februari 2011 – Pelajar bebas guna telefon bimbit.

Keputusan KPM menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009 bertarikh 25 Mac 2009 berkaitan Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah adalahbertujuan untuk mendidik murid agar dapat menggunakan telefon bimbit mereka dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah. Ini disebabkan penggunaan telefon bimbit di sekolah didapati telah mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Selain itu, ia juga telah mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan-bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan yang negatif dalam kalangan murid sekolah.

Prinsip terhadap larangan ini sebenarnya adalah untuk mendidik. KPM berpandangan bahawa penggunaan sesuatu ciptaan peralatan komunikasi yang canggih untuk manfaat anak-anak murid harus digalakkan, tetapi mesti dilakukan dalam konteks kawalan, bimbingan, pemantauan serta didikan yang betul. Dalam masa yang sama, KPM juga tidak boleh berkompromi terhadap sesuatu yang boleh mengganggu kelancaran proses pembelajaran murid-murid di sekolah serta kesan terhadap perlakuan negatif seperti yang disebutkan. Namun, KPM juga tidaklah pula boleh melarang ibu bapa daripada membelikan anak-anak mereka telefon bimbit, dan dalam hal ini, kerjasama ibu bapa sangat diperlukan untuk membimbing serta memantau penggunaannya dengan betul.

Isu penguatkuasaan larangan ini sebenarnya banyak berkaitan dengan sikap kedegilan murid, rungutan sesetengah ibu bapa serta penguatkuasaan yang banyak menimbulkan isu dan masalah kepada pengurusan sekolah. Sungguh pun KPM bertegas dalam hal penguatkuasaan ini, namun langkah-langkah seperti yang ditetapkan menerusi pekeliling tersebut perlu dipatuhi oleh pihak sekolah iaitu;

1.Peraturan larangan penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah hendaklah dimaklumkan kepada semua ibu bapa murid.

2.Pihak sekolah hendaklah memaklumkan dan memberi kefahaman kepada ibu bapa perkara berkaitan larangan ini menerusi mesyuarat PIBG dan mesyuarat permuafakatan peringkat sekolah.

3.Jika sekiranya ada murid yang melanggar peraturan ini, maka pihak sekolah boleh mengambil dan menyimpan telefon bimbit murid berkenaan.

4.Semua telefon bimbit yang diambil oleh pihak sekolah akan direkodkan dan disimpan di tempat yang selamat oleh pihak sekolah.

5.Ibu bapa murid yang terlibat akan dimaklumkan dengan segera, sebaik-baiknya pada hari yang sama, akan tindakan yang telah diambil terhadap anak mereka.

6.Ibu bapa juga hendaklah dimaklumkan bahawa mereka boleh menuntut semula telefon bimbit anak mereka daripada simpanan pihak sekolah.

7.Dalam kes-kes kecemasan, murid-murid hendaklah mengguna kemudahan-kemudahan telefon yang disediakan oleh sekolah.

Membawa dan menggunakan telefon bimbit di sekolah dan asrama sekolah oleh murid-murid adalah merupakan satu kesalahan disiplin. Mereka yang melanggar peraturan ini boleh diambil tindakan disiplin dengan mengenakan hukuman;

Kesalahan Kali Pertama
:Diberi Amaran (murid dan ibu bapa perlu menandatangani Surat Aku Janji tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut).

Kesalahan Kali Kedua
:Dilarang menggunakan kemudahan di sekolah atau asrama atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk suatu tempoh tertentu.

Seperti mana yang disebutkan tadi, apa yang penting dalam hal ini adalah mendidik anak-anak kita agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan telefon bimbit mereka. Melarang mereka sama sekali daripada menggunakannya tidaklah dapat menyelesaikan permasalahan ini dalam jangka masa panjang. Masih ada ibu bapa yang merasakan ada keperluan untuk anak-anak mereka menggunakan telefon bimbit untuk tujuan perhubungan. Dengan yang demikian, semua pihak sama ada guru, ibu bapa, media atau pihak-pihak lain berkepentingan perlu sama memainkan peranan bagi mendidik anak-anak kita agar boleh bertanggungjawab serta tahu kesan sekiranya menyalahi peraturan penggunaanya. Selain itu, mereka juga perlu dibimbing agar memahami bahawa peraturan terhadap larangan ini di sekolah adalah untuk kebaikan diri mereka di masa depan.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Thursday, February 10, 2011

Bantuan persekolahan RM2.5 bilion diagih


PUTRAJAYA 10 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan peruntukan bantuan persekolahan 2011 berjumlah RM2.5 bilion kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri dan tujuh bahagian pengurusan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Majlis berlangsung selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Menurut kenyataan kementerian itu, peruntukan tersebut bagi merapatkan jurang pendidikan di antara murid di bandar dan luar bandar serta amat bermanfaat bagi murid daripada golongan miskin dan berada, murid biasa dan murid berkeperluan khas serta kemudahan bagi murid yang ditimpa bencana.

Ia juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka terus dapat bersekolah selaras dengan Dasar Pendidikan Wajib 2003.

''Agihan peruntukan bantuan persekolahan itu dibuat melalui 22 jenis bantuan persekolahan yang disalurkan oleh Kementerian Pelajaran kepada murid-murid berkelayakan setiap tahun,'' kata kenyataan itu.

Bantuan itu merangkumi Rancangan Makanan Tambahan; bantuan Pakaian Seragam Sekolah; Biasiswa Kecil Persekutuan; Biasiswa Kelas Persediaan Universiti; Biasiswa Sukan; Elaun Prauniversiti; Elaun Murid Berkeperluan Khas; bantuan Geran Perkapita Prasekolah; bantuan Makanan Prasekolah; bantuan Geran Perkapita dan Yuran Khas Sekolah.

Bantuan Kokurikulum Sekolah; bantuan Makanan Asrama; Perjalanan Asrama; Perjalanan dan Pengangkutan Murid; Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh; bantuan Jaket Keselamatan; Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan; Program Susu 1Malaysia; bantuan Sukan Sekolah; bantuan Kurikulum Prasekolah; bantuan Kurikulum Asrama dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Tujuh bahagian yang menerima bantuan tersebut adalah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang; Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional; Bahagian Pendidikan Khas; Bahagian Pendidikan Islam; Bahagian Sukan; Bahagian Kokurikulum dan Kesenian serta Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Pada tahun ini, Jabatan Pelajaran negeri Sarawak menerima peruntukan Bantuan Persekolahan tertinggi iaitu RM393 juta manakala di peringkat kementerian pula, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang sebanyak RM117 juta.

Kerajaan berharap pemberian bantuan persekolahan itu dapat memberi motivasi kepada murid untuk terus menimba ilmu sehingga ke peringkat lebih tinggi supaya menjadi insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11/2/2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Sunday, January 23, 2011

Pelajar diingat usah abai aktiviti sukan


2010/08/16
KEPALA BATAS: Pelajar diingatkan supaya tidak hanya menumpukan perhatian terhadap bidang akademik, hingga mengabaikan aktiviti sukan yang berupaya menjadikan seseorang sihat, selain dapat mengeratkan hubungan antara kaum.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata memang tidak dinafikan tanpa pelajaran tinggi, sukar bagi seseorang mencari pekerjaan atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun semuanya tidak bermakna apabila badan sakit dan tidak berdaya

"Saya berharap semua pelajar aktif dalam aktiviti sukan kerana badan perlu sihat...jangan lembik dan tubuh perlu kuat supaya mendapat kesihatan yang baik serta cergas.

"Aktiviti sukan dapat mengelak seseorang jatuh sakit, dijangkiti penyakit dan banyak kebaikan yang diperoleh, termasuk mengeratkan persahabatan dengan rakan sekolah yang sama atau berlainan bangsa,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian sijil Klinik UPSR 2010 - Superkids Didik 5A tajaan Sekretariat Malaysia di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP), Pongsu Seribu di sini, kelmarin.

Turut hadir, isteri Abdullah yang juga Pengerusi Eksekutif Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP), Tun Jeanne Abdullah; Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pegawai Eksekutif SMP, Othman Omar; Pengarah KMPP, Khairi Jalun dan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said.

Klinik dua hari itu disertai 500 pelajar dari 37 sekolah rendah termasuk sekolah jenis kebangsaan Tamil serta Cina di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.
Kesemua pelajar terbabit menerima sijil penyertaan yang disampaikan Jeanne.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, aktiviti sukan turut mampu mengeratkan persahabatan antara bangsa dan agama lain, jika dijadikan rutin serta tidak meminggirkan akademik.

Beliau berkata, apabila sukan dan persahabatan digabungkan, ia akan menjauhkan rasa perbezaan manakala pergaulan menjadi lebih erat.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelajardiingatusahabaiaktivitisukan/Article/index_html

BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA): PENDIDIKAN

1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?

Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

• Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:

I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)

BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) PENDIDIKAN


Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan akan member tumpuan kepada 4 sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

1. Sub-NKRA Prasekolah

7 teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan:
1. Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasokolah Kebangsaan dan Bahagian Prasekolah dan PERMATA Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
2. Perlaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
3. Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan
4. Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru
5. Menambah bilangan kelas prasekolah di kawasan miskin Bandar, luar Bandar dan pedalaman
6. Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan Prasekolah.
7. Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan

2. Sub-NKRA Literasi dan Numerasi

NKRA – Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan
Setiap kanak-kanak* menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mengikuti pendidikan rendah pada akhir tahun 2012
*Kanak-kanak berkeperluan khas – didefinisikan sebagai murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, terencat akal, mempunyai pelbagai kecacatan, dan kurang upaya secara fizikal. Kurikulum khas literasi dan numerasi dibentuk untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

3. Sub-NKRA Sekolah Berprestasi Tinggi

3.1 Mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik
Meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing (pemusatan dalam aspek kurikulum dan anggota perkhidmatan)
3.2 Menghasilkan pelajar yang cemerlang
Sebagai tempat untuk melatihkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa dan yang menjadi personaliti unggul dalam semua bidang
3.3 Merapatkan jurang antara sekolah-sekolah di dalam sistem
Sebagai inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dan jaringan antara sekolah sekolah tersebut.

4. Sub-NKRA Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah
Meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah di Malaysia:


SUMBER: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=4808:pointers-6-bidang-keberhasilan-utama-negara-nkra&catid=79:mengenai-kerajaan
SUMBER: http://www.moe.gov.my/?id=244&lang=my