Tuesday, March 29, 2011

Cuti Sabtu, Ahad sudah ditetapkan kementerian

2010/08/17

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada aduan ‘Norhisyam Mohamad, Kuala Kedah, dalam ruangan ini bertarikh 22 Julai lalu bertajuk ‘Tetapkan cuti Sabtu, Ahad’.

Kementerian sudah memaklumkan kepada semua agensi di bawahnya iaitu Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah berkaitan cuti Sabtu.

Makluman itu disiarkan melalui surat siaran bertarikh 5 Disember 2005 Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8 tahun 2005. Surat siaran ini dikeluarkan ekoran daripada Surat Pekeliling Pentadbiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia melalui Surat Pekeliling Pentadbiran 2005 dan isi kandungan surat berkenaan menyatakan bahawa:

Sabtu Minggu Pertama dan Ketiga adalah hari cuti bagi semua pekerja di agensi kerajaan mahupun agensi swasta. Sabtu minggu kedua dan keempat dibenarkan pihak agensi melaksanakan tugas mengikut keperluan.

Jelas sekali surat siaran itu tidak membenarkan kakitangan kerajaan mengadakan aktiviti atau program pada Sabtu minggu pertama dan ketiga. Pihak kementerian juga sudah mengeluarkan surat arahan kepada sekolah yang masih ingkar agar mematuhi Arahan Pekeliling Pentadbiran berkaitan cuti Sabtu yang diwartakan.

Kementerian boleh mengambil tindakan kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mengingkari arahan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 17 Ogos 201

Saturday, March 26, 2011

Untukmu Wanita


Tajuk : Untukmu Wanita
Penulis : Zaharuddin Abd Rahman
Tebal : 214
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Harga : RM 21.00
Tahun : Cetakan Pertama , 2009

Buku Untukmu Wanita merupakan karya Ust. Zaharuddin Abd. Rahman yang dipersembahkan dalam bentuk soal-jawab. Buku ini merangkumi tiga bahagian iaitu Wanita, Aurat dan Maruah; Wanita dan Munakahat; Wanita dan Rumah Tangga. Buku ini sangat menarik, santai dan isu-isu yang diketengahkan berkaitan dengan permasalahan kaum wanita zaman moden ini. Selamat membaca, semoga ada manfaatnya.

Untukmu Wanita

Wanita mempunyai peranan penting dalam kehidupan manusiawi. Sebagai ibu, isteri, dan rakan seperjuangan kaum lelaki dalam menegakkan perintah dan larangan Islam di atas muka bumi. Rosaknya kaum wanita membawa seribu satu macam bencana buat dunia. Rosaknya wanita pasti akan meruntuh institusi keluarga dan membawa kehancuran sebuah Negara. Wanita boleh menjadi punca dan sumber iman bagi kaum lelaki, boleh juga menjadi sumber dosa dan kebinasaan….

Wanita, Aurat dan Maruah

Jika anda berada di hadapan Baginda SAW, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?

Wanita dan Munakahat

Tiada salahnya,perigi mencari timba’. Ada wanita yang berkenan kepada lelaki yang baik namun menghadapi masalah untuk memulakan langkah.

Wanita dan Rumah Tangga

Cemburu itu satu tuntutan. Fahami dan sedarilah bahawa anda sebenarnya memiliki seorang suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

SUMBER: Untukmu Wanita, Zaharuddin Abd Rahman

Kerjaya Sebagai Guru



Tajuk : Kerjaya Sebagai Guru
Penulis : Tuan Mohd Fadlan Tuan Jaafar
Tebal : 148
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Harga : RM 15.00
Tahun : Cetakan Kedua , 2009




Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,
JIka hari ini seorang raja menaiki takhta,
JIka hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa sahaja yang menjadi dewasa,
Sejarah dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Nukilan: Usman Awang, 1979

Teringat dulu masa sekolah rendah, cikgu tanya “Cita-cita nak jadi apa?” Jawapan aku nak jadi cikgu. Masa itu kerjaya yang pelajar tahu adalah terhad seperti guru, polis, doktor, askar dan jururawat. Tetapi zaman sekarang ini, pelajar lebih terdedah dengan pelbagai kerjaya yang menarik melalui buku, internet dan media massa.

PTS Professional hadir dengan siri koleksi Siri Pendidikan Kerjaya dan salah satunya adalah “Kerjaya Sebagai Guru”. Buku ini merupakan panduan berguna bagi pelajar , guru, ibu bapa dan siapa sahaja yang berminat untuk menjadi guru. Antara kandungan buku ini ialah kelebihan memilih kerjaya guru, ciri-ciri kerjaya guru, sejarah pendidikan kebangsaan dan negara, kelayakan dan syarat menjadi guru, institusi perguruan, bidang tugas dan tanggungjawab guru, sejarah hari guru dan tokoh-tokoh Kerjaya Guru dan motivasi kepada bakal guru.

Antara tips untuk menjadi guru yang berjaya ialah:

1) Melaksanakan tanggunggjawab dengan seronok
2) Tenang
3) Bersemangat waja
4) Niat hendak membaiki diri setiap masa

Ciri-ciri Guru yang bermotivasi:

1) Sentiasa solat dan berdoa
2) Sentiasa sabar dan bersyukur
3) Cekal dan tabah
4) Sentiasa tekun dan rajin
5) Sentiasa positif dan optimis
6) Sentiasa bersemangat
7) Sentiasa menghasilkan kerja yang cemerlang
8) Sentiasa memperbaiki diri dan keadaan
9) Sentiasa awal dan mendahului

Wednesday, March 23, 2011

Cuti Sekolah

Cuti sekolah, saat yang sangat dinantikan bukan sahaja kepada pelajar bahkan kepada guru-guru. Seronoknya cuti sekolah, setelah berhempas pulas melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Inilah waktu rehat panjang bagi seorong pendidik seperti aku. Bayangkanlah, hampir setiap Sabtu (selepas raya Cina) aku terpaksa menghadirkan diri ke sekolah. Sampai ada rakan-rakan guru berkata mereka tiada kehidupan sosial. Al-maklumlah, pada hujung minggu biasanya ada kenduri kahwin serta masa bersama keluarga.

Cuti sekolah bermula pada 12/3/2011. Namun, aku terpaksa menangguhkan kepulanganku ke kampung untuk memberi laluan kepada "Kem Endurance" iaitu kelas tambahan kepada pelajar tingkatan 3. Inilah pengorbanan seorang guru. "Bukan ganjaran yang dinanti, cuma amal bakti yang dicurahi." Aku mengharapkan pelajar-pelajar hargailah jasa seorang guru, yang rela berkorban ibarat "lilin membakar diri". Wahai pelajar yang ku sayangi sekalian, berusahalah belajar rajin-rajin kerana Allah melihat sejauh mana usaha kita untuk menuntut ilmu. Jangan kecewa sekiranya kita tidak mendapat keputusan cemerlang seandainya kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tetapi malulah dengan diri sendiri seandainya kita tidak berusaha tetapi mengharapkan keputusan cemerlang seperti ibarat menanti buah yang tidak pernah gugur.

Aku teringat kata-kata seorang kerani sekolah aku semasa taklimat orientasi bersamanya. Katanya, guru bekerja separuh hari di sekolah tetapi terpaksa juga bekerja di luar waktu persekolahan (membawa kerja pulang ke rumah) untuk menyiapkan tugas perkeranian seperti memasukkan data sistem maklumat murid (SMM), menyiapakn RPH, menanda buku latihan dan nota serta membuat ABM untuk P&P keesokan harinya. Jadi wajarlah cuti sekolah itu sebagai penebus masa guru yang dihabiskan selepas waktu persekolahan.

Tetapi sebenarnya, cuti sekolah bukanlah cuti mutlak untuk seorang guru untuk bersenang lenang tanpa meminggirkan kerja sekolah. Ada juga guru yang terpaksa bertugas semasa cuti sekolah seperti pihak pentadbir sekolah. Macam aku pula menghabiskan cuti sekolah dengan menanda kertas ujian pelajar dan membuat analisis item.

Bagi pelajar pula, cuti sekolah bukanlah cuti mutlak daripada belajar. Mereka juga dibekalkan dengan latihan semasa cuti persekolahan. Sepatutnya, mereka menghabiskan cuti persekolahan dengan membuat latihan diberi oleh guru serta mengulang kaji pelajaran.

Manfaatkan cuti sekolah dengan sebaik-baiknya...

Bumi berubah


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru

BELUM pun igauan ngeri tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 terhapus sepenuhnya, kita dikejutkan sekali lagi kehadiran bencana yang melumpuhkan Jepun dalam sekelip mata, minggu lalu.

Bermula dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter jam 2.46 petang waktu tempatan, tsunami pula menyerang dengan kelajuan kira-kira 800 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 10 meter. Malah ketika rencana ini ditulis, selain berdepan ancaman gempa susulan, Jepun turut dihimpit krisis mengawal kebocoran radiasinya apabila tahapnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, berikutan impak gempa bumi kategori mega itu. Lebih menyayat hati, harapan menemui mangsa yang terselamat terus pudar dengan angka korban dan mereka yang hilang, lebih 12,000 orang.

Namun, hakikatnya, gempa bumi terbesar di Jepun dan kelima terbesar dalam sejarah dunia itu bukan hanya menambah fakta mengenai bencana tetapi turut mengubah landskap dan perjalanan bumi ini.

Di Jepun saja, gempa itu menyebabkan Kepulauan Honshu, yang juga bahagian paling besar di negara itu, berganjak sehingga 2.4 meter.

Tidak cukup itu, paksi bumi pula menyendeng 25 sentimeter dan mempercepatkan kadar putaran bumi lebih sejuta mikro saat.

Perubahan lain termasuk sejumlah kerak bumi jatuh menjunam ke dalam retakan atau rekahan sepanjang 402 kilometer yang membuka jurang seluas 9.6 kilometer di bawah Lautan Pasifik. Impak ini seperti diakui saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi yang melanda Sumatera, sebelum ini.
Pakar fizik di City College of New York di Amerika Syarikat, Michio Kaku, pula melontarkan andaian kemungkinan gempa kuat yang mengubah paksi bumi boleh menjadi punca berlakunya Zaman Ais.

“Impak gempa bumi 9.0 dalam kategori mega itu turut menyebabkan pengagihan semula sejumlah besar kerak bumi, memendekkan hari, selain mengubah paksi bumi dan mempercepatkan pusingan.

“Namun, ketika kepantasan putaran bumi dijangka tidak memberi kesan jangka sederhana atau panjang, perubahan paksi mungkin ada impaknya, termasuk menjadi punca pembentukan Zaman Ais.

“Masih ada perdebatan saintifik mengenai apa yang menyebabkan zaman itu tetapi teori utama ialah gangguan kecil pada paksi bumi ketika ia mengelilingi matahari. Perubahan kecil ini yang menggoyangkan paksi dan mungkin menyebabkan Zaman Ais,” kata Kaku yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.

Zaman Ais atau tempoh glasier ini berlaku secara tidak tetap sejak lebih dua bilion tahun. Pada zaman Ais, lapisan ais terbentuk di sebahagian besar benua atau muka bumi ini dan biarpun punca sebenar perubahan dunia itu tidak diketahui, ada saintis yang mengaitkannya dengan perubahan putaran bumi.

Selain itu, pakar geofizik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Richard Goss, pula berkata, perubahan yang menyebabkan putaran bumi pada kadar 1.8 juta setiap saat atau 1.8 mikrosaat, adalah satu isu kekal yang perlu dihadapi manusia sejagat.

Saintis Britain, Bethan Harris, sebaliknya menyifatkan impak itu sememangnya ada tetapi amat minimum.

“Ia kedengaran banyak tetapi kecil berbanding saiz bumi. Perubahan satu darjah paksi bumi bermakna ia bergerak kira-kira 110 kilometer.

“Bagaimanapun, ia tidak berhenti di situ. Bentuk muka bumi Jepun bergerak sebanyak empat meter. Selepas gempa bumi itu, berkemungkinan hari yang kita lalui 1.8 juta sesaat lebih pendek disebabkan perubahan itu.

“Kita dapat melihat perubahan itu dalam purata panjang hari disebabkan perubahan lain di bumi dan atmosfera,” katanya.

Seorang lagi pakar geofizik Barat, Richard Gross, pula berkata paksi Bumi tidak sama dengan paksi utara-selatan di ruang angkasa yang berputar sekali sehari pada kelajuan kira-kira 1,604 kilometer sejam.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama gempa bumi besar mengubah tempoh sehari bumi iaitu 24 jam. Malah ia semakin pendek disebabkan gegaran kuat sebelum ini. Buktinya, gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter di Chile tahun lalu turut meningkatkan putaran bumi dan memendekkan hari kepada 1.26 mikrosaat manakala gempa bumi 9.1 pada skala Richter di Sumatera pada tahun 2004 memendekkan hari kepada 6.8 mikrosaat.

Apa yang membimbangkan, ada kalangan saintis ini turut mendakwa impak gempa bumi di Jepun itu mungkin belum lengkap sepenuhnya kerana gegaran susulan yang lemah turut berupaya mengubah panjang hari. Sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan berukuran antara 6.0 pada skala Richter atau lebih dilaporkan berlaku.

Pakar gempa bumi Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat, Dr Daniel McNamara, juga memberi amaran gegaran itu menenggelamkan paras bentuk muka bumi Jepun dan menjadikan sebahagian negara itu kekal di bawah paras laut.

Lima bandar zon gempa

Gempa bumi Jepun minggu lalu turut mendedahkan risiko yang boleh dialami bandar berpenduduk padat terutama di kawasan berisiko tinggi seperti di sepanjang garisan gelinciran.

Berikut lima bandar raya paling berisiko dilanda musibah dahsyat disebabkan kedudukannya yang mana tiga daripadanya di Amerika Syarikat.

a) Tokyo, Jepun
Wujud betul-betul di persimpangan tiga plat tektonik iatu Plat Amerika Utara, Plat Filipina dan Plat Pasifik. Sejarah panjang ibu negara Jepun itu dan biasa dilanda gempa bumi mendorong bandar raya berkenaan membina perlindungan tektonik ke paras maksimum. Ia juga dikatakan bandar raya paling bersedia di dunia untuk berdepan musibah gempa bumi.

b) Istanbul, Turki
Gelinciran Anatolian Utara adalah terpanjang di dunia tetapi bandar raya yang menempatkan prasarana lama dan moden itu mendedahkan 13 juta penduduknya dalam risiko tinggi.

Gegaran berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda Izmit, 101 kilometer dari Istanbul pada 1999 menjadikan bangunan abad ke-20 yang selalunya dibina dengan konkrit bercampur air masin selain tidak menghiraukan kod bangunan, rebah menyembah bumi yang meragut kira-kira 18,000 nyawa.

c) Seattle, Amerika Syarikat
Berdepan ancaman gempa bumi besar dan letusan gunung berapi Rainier. Ia terletak di atas sempadan tektonik aktif di sepanjang Plat Amerika Utara, Plat Pasifik dan Plat Juan de Fuca. Pemandangan menakjubkan Gunung Rainier sekadar memberi peringatan yang ia adalah gunung berapi ‘tidur’ atau senyap yang boleh mengatasi Gunung St Helen pada bila-bila masa.

d) Los Angeles, Amerika Syarikat
Sejak lebih 700 tahun lalu, gempa bumi kuat melanda wilayah berkenaan setiap 45 hingga 144 tahun. Gempa bumi besar terakhir berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku 153 tahun lalu. Dalam erti kata lain, Los Angeles cuma menanti masa untuk digegarkan dengan satu lagi gempa besar. Gempa bumi seterusnya akan memberi impak buruk, termasuk memberi kesan kepada keseluruhan California Selatan yang didiami penduduk sekitar 37 juta. Bencana alam besar boleh membunuh antara 2,000 dan 50,000 penduduk dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion dolar.

e) San Francisco, Amerika
Mempunyai cuma 800,000 penduduk, San Francisco ialah satu lagi bandar raya besar di sepanjang pantai barat Amerika Syarikat yang boleh musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar. Ia terletak berhampiran bahagian utara Gelinciran San Andreas. Ada beberapa gelinciran kecil yang terletak di seluruh bandar raya itu, meningkatkan kemungkinan gempa bumi dahsyat akan berlaku.

INFO: Definisi

1) Gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

2) Tsunami: Perkataan Jepun bermaksud ‘ombak pelabuhan.’ Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20/3/2011

Tuesday, March 15, 2011

ABM Geo Kreatif 1

Sudah setahun berlalu pengajian aku di universiti pendidikan di Tanjung Malim, Perak. Di sana, aku memperolehi segulung diploma pendidikan yang melayakkan aku untuk menjadi seorang pendidik. Ini adalah sebahagian hasil kerja ABM kreatifku bersama kawan-kawan.







Semoga Bermanfaat...

ABM Geo Kreatif 2

Sambungan ABM kreatif...Semoga bermanfaat





Wednesday, March 9, 2011

Dalam Kenangan SMRA Chuah 6

Bulan Mac, amat istimewa bagi ku. Minggu lepas, aku telah menyambut hari kelahiranku yang ke 25 tahun. Ooh...cepat sungguh masa berlalu, tidak terasa pantasnya bumi berputar. Terima kasih kepada yang mengingati hari kelahiranku. Semoga kalian semua mendapat rahmat daripada Ilahi.

Tahun ini, sambutan hari kelahiranku amat berbeza dengan tahun sebelumnya. Mana tidaknya, pada pagi itu aku telah menghadiri temuduga SPP bersama dengan rakan sejawatanku. Berdebar aku menanti saat ditemuduga secara berkumpulan. Syukur, alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun apa yang aku baca tidak disoal kecuali Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Penemuduga aku, seorang yang baik dan banyak membantu kami dalam temuduga tersebut. Rupanya seronok juga temuduga berkumpulan kerana kami semua dapat bertukar-tukar maklumat dan pendapat.

Teringat aku, pada bulan Mac tahun lepas (2010), aku menyambut hari kelahiranku di SMRA Chuah selepas dua hari aku melapor diri sebagai guru pelatih. Maknanya, sudah setahun berlalu kenangan aku bersama warga SMRA Chuah. Sampai hari ini, anak murid aku masih berhubung dengan aku seperti Syifa, Zureen, Aqilah, Aida, Izzuddin dan ramai lagi. Syukur alhamdulillah, mereka semua masih mengingati aku dan merindui aku. Kalau boleh diputar waktu, aku ingin terus bersama mereka. Bagi aku, mereka adalah pelajar yang terbaik dan berpontensi menjadi pelajar cemerlang. Teruskan usaha, semoga kalian berjaya di dunia dan di akhirat.

Terima kasih kepada semua warga SMRA Chuah terutama sekali pelajar ting 1 (2010) dan guru-guru SMRA Chuah kerana membantu aku sepanjang tiga bulan menjalani praktikal di sana. Kenangan bersama warga SMRA Chuah tidak akan aku lupakan dan akan terpahat dalam memori kenanganku.

Ini adalah sebahagian kenanganku bersama mereka......




Pelajar SMRA Chuah memang kreatif...Kad daripada pelajarku, Aida dan Syahrul Nizam


Kad yang cantik ini hasil nukilan Zureen Nabila

Tuesday, March 1, 2011

Matlamat kerajaan laksana sistem persekolahan satu sesi

TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah menjadi matlamat kerajaan untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun beberapa perkara berkaitan kemudahan infrastruktur dan penambahan tenaga pengajar perlu diselesaikan pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum sistem itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.
"Walaupun baik, tapi untuk mencapai sasaran itu ianya membabitkan pelbagai perkara, infrastruktur, tenaga pengajar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau di sini, petang tadi.

Beliau berkata, objektif kerajaan ialah untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi supaya aktiviti kokurikulum dapat diadakan pada waktu petang.

"Ketika ini sesi persekolahan pagi perlu ditamatkan pada jam 1 (tengah hari) atau 2 (petang), dan sesi petang sampai larut petang, kalau kita nak buat aktiviti kokurikulum, tak boleh kecuali (pada) hari-hari lain."

Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat menjangkakan bila sistem persekolahan satu sesi dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia memerlukan pertambahan jumlah sekolah dan juga guru.

"Memang banyak faedah apabila kita laksanakan satu sesi persekolahan, tapi untuk melaksanakannya kita perlu lebih banyak sekolah dan guru untuk menampung keperluan....kalau tak mampu kita (terus) gunakan dua sesi," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa memperuntukkan jumlah yang besar untuk pendidikan negara.

"Kita membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk sistem pendidikan negara, tahun ini sahaja sebanyak RM26 bilion untuk pengurusan dan sebanyak RM6.4 bilion lagi untuk pembangunan," katanya. - BERNAMA

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/03/01