Tuesday, June 28, 2011

Eksplorasi Gua Gunung Senyum - Siri 1



Eksplorasi Gua Gunung Senyum (31/5/2011)

Hujan renyai-renyai turun membasihi bumi. Aku agak risau sekiranya aktiviti eksplorasi ke Gua Gunung Senyum dibatalkan. Syukur, alhamdulillah eksplorasi masih diteruskan pada pukul 3.30 petang walaupun cuaca agak tidak mengizinkan. Gunung Senyum terletak di Hutan Lipur Gunung Senyum meliputi kawasan seluas 794 hektar dan berhampiran dengan Jengka 23. Ketinggian Gunung Senyum ialah 486 km (1594 kaki) dari aras laut dan merupakan pusat koordinat di negeri Pahang. Gunung ini berusia lebih 350 juta tahun dahulu.

Antara aktiviti menarik yang diadakan di gunung ini ialah mendaki gunung dan menjelajahi gua-gua yang penuh mitos dan misteri.
Terdapat lebih daripada 120 buah gua dan hanya 16 buah gua yang biasa di jelajahi iaitu Gua Nisan, Gua Kelawar, Gua Tali Air, Gua Makam Tok Long, Gua Silat, Danau Impian, Gua Gajah, Gua Taman Dua, Gua Taman Satu, Gua Angin, Gua Terang Bulan, Gua Kolam Tujuh, Gua Hidang, Gua Sara, Gua Piala & Gudang Kelawar, Gua Merlap, Gua Tapa dan Gua Kambing.


Kembara bermula selepas kami mendengar taklimat daripada En. Sallehudin dan melakukan aktiviti memanaskan badan. Kami semua memulakan perjalanan di kaki Gunung Senyum menuju ke Gua Kolam Tujuh. Selepas penerangan dari En. Sallehudin di kaki gua Kolam Tujuh kami dikehendaki memanjat tangga yang mencacak dan menuju ke perut gua Kolam Tujuh.

Menurut En. Sallehudin, bilangan kolam dalam gua ini mungkin berbeza antara pengunjung. Ada pengunjung yang mengira bilangan kolam ini adalah tiga. Menariknya di Gua Kolam Tujuh ini, air kolam biasanya dipenuhi pada musim kering. Mujurlah semasa kedatangan kami, kolam hanya diliputi sedikit lopak air dan ini membolehkan kami untuk memanjat setiap kolam dan menuju ke atas puncak kolam.


Selepas melawati Kolam Tujuh, eksplorasi kami diteruskan ke Gua Angin. Sayangnya, semasa kedatangan kami, hujan masih renyai jadi kami tidak dapat merasa kedinginan angin yang bertiup dalam Gua Angin. Terdapat 3 lubung gua yang akan membawa angin masuk kedalam perut Gua Angin.


Eskplorasi diteruskan ke Gua Terang Bulan. Semasa perjalanan ke gua ini, kami berhenti untuk melihat ketam putih. Kami mengira bilangan ketam putih yang berada dalam lopak air iaitu sebanyak tiga ekor manakala kumpulan sebelum kami mengira sebanyak empat ekor ketam.


Perjalanan diteruskan lagi dengan suluhan lampu ke Gua Terang Bulan. Gua ini berkeluasan 20 meter x 20 meter iaitu bersamaan sebuah stadium. Gua ini mendapat nama daripada cahaya suramnya seperti di waktu malam di bawah pancaran bulan purnama. Di mana datangnya cahaya ini?


Di dalam Gua Terang Bulan terdapat sebuah lubang yang membenarkan cahaya matahari memasukinya.Kalau kena waktu kedatangan, Gua Terang Bulan ini menyajikan keindahan yang luar biasa iaitu muncul pelangi dalam gua serta cahaya ‘sport light’ macam cerita pembukaan Mr. Bean. Selepas puas bergambar di atas bukit dalam gua ini dan menikmati keindahan malam purnama, kami menuju keluar ke Gua Angin.


Kemudian kudrat kami digunakan untuk mendaki bukit yang mencacak menuju ke Gua Taman Dua. Di sini, terdapat sebuah taman yang sangat cantik dan bersih seolah-olah taman ini dijaga rapi. Menurut, En. Sallehudin, pada suatu ketika duhulu pohon-pohon di sini dicantas dan kalau ada pokok yang bengkok, pasti ada yang akan menegakkannya. Menariknya, pokok-pokok yang terdapat di Gua Taman Dua ini tidak mempunyai nama dan hanya tumbuh di dalam gua ini sahaja. Ada usaha untuk memindahkan tumbuhan ini keluar dari gua tetapi usaha ini gagal kerana pokok ini hanya tumbuh di kawasan yang mempunyai tanah liat dan tanah kapur.

Indah sungguh ciptaan Tuhan.

Kami mendaki lagi menuju ke kawasan yang dipenuhi karangan laut. Sungguh indah kawasan ini seolah-olah kita berada di dasar laut. Menurut En. Sallehudin, di gua ini terdapat batuan yang berbentuk pelamin yang sangat cantik. Namun, disebabkan kerakusan manusia, bantuan ini telah dirosakkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Aku tertarik dengan satu batuan karang yang sangat besar. Kajian dijalankan dalam batuan ini mendapati di dalamnya terdapat kayu yang kemudian diliputi karang di dasar laut. Terdapat juga fosil kerang yang di dapati di dasar gua ini. Kajian dan penemuan ini, membuktikan bahawa Gunung Senyum ini adalah asal dari dasar laut yang terangkat ke permukaan kerak bumi. Kalau anda belajar geografi fizikal, pastinya kawasan gua terdapat di kawasan pinggir laut. Hanya hakisan ombak yang mampu memecahkan batuan ini membentuk gua batu kapur.



Selepas puas bergambar di Gua Taman Dua, pendakian kami diteruskan ke Gua Taman Satu. Kami semua perlu berhati-hati ketika meneruni tangga yang curam. Erm...awas, kalau silap langkah, kecelakaan yang menanti di bawah cerunan. Semasa aku meneruni tangga, aku ternampak fosil cenkerang yang menarik. Ingin aku mengambilnya untuk melihatnya, tetapi apabila teringat kata jurupandu kami bahawa kami semua boleh mengambil semua yang ada tetapi hanya gambar sahaja, membuatkan aku lupa sahaja niat itu. Lagipun keberadaan aku di situ jangka masa lama boleh membantutkan langkah rakan-rakan lain untuk menuruni tangga.

Sungguh unik tumbuh-tumbuhan ciptaan Ilahi...

Selepas meneruni tangga yang curam, eksplorasi kami diteruskan ke Gua Makam Tok Long. Apa yang menarik di Gua Makam Tok Long ini? Siapa Tok Long? Ikuti sambungan catatan perjalanan ini, di Siri ke 2.

Semoga ada manfaatnya...

Thursday, June 23, 2011

Nikmat KurnianNya

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang

Lirik Lagu : Antara Dua Cinta...

Aku amat menyukai lirik lagu ini. Lirik lagu ini selalu mengingatkan aku betapa nikmat yang kita perolehi jarang kita syukuri dan apabila sesuatu nikmat itu ditarik sementara barulah kita terasa betapa indah nikmatNya.

Pernah dengar lirik lagu Lagu Raihan, Demi Massa? Antara bait-bait liriknya ialah ingat lima perkara sebelum lima perkara, ingat sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, muda sebelum tua, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati.

Antara nikmat yang kita perolehi sihat, kaya, muda, masa lapang dan paling penting nikmat kehidupan....Syukurlah, kita diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan. Masih diberi kesempatan untuk mecari bekalan untuk menuju ke tempat yang abadi, di akhirat sana.

Batuk....Demam.....Selesema....

Minggu ini, aku terkena virus-virus selesema, batuk dan demam... Uhh, terasa kurang bermaya untuk melaksanakan aktiviti harian. Tetapi aku teruskan jua hadir ke sekolah kerana bagi aku, selagi aku mampu berdiri dan kepala ini tidak pening, tanggungjawab harus dilaksanakan. Lagipun, aku kesian dengan pelajarku, kalau andai aku cuti, pasti mereka tidak belajar. Kerana aku seorang, 35 orang pelajar terjejas pelajaran mereka pada hari itu. Kerana ketidakhadiran aku di sekolah, cikgu-cikgu lain turut susah kerana terpaksa mengantikan aku..... Selagi upaya akan aku teruskan jua....

Di kelas, 1 K

"Cikgu...cikgu...(sambil meletak tangan dileher) ni ke? Soal pelajar lelaki India kepadaku. Aku tidak mengerti apa yang dilakukan oleh pelajar itu.

"Cikgu, sakit ke?" Ooh...rupanya perlakuan tadi menunjukkan rasa sakit....

"Aah, cikgu demam?" jawabku

"Kenapa cikgu tidak berehat dekat rumah?" soalnya lagi

"Kalau cikgu cuti, sape nak mengajar kamu" jawabku

Di kelas 1 D

Aku memalingkan wajahku membelakangkan pelajar untuk mencari tisu kerana tidak tahan batuk dan bersin....

"Cikgu, kenapa mata cikgu berair?" soal pelajarku

"Cikgu tidak berapa sihat?" Jawabku

Itulah antara dialog yang masih terakam dalam mindaku..... Ingatlah nikmat kesihatan yang diberi. Jangan mengeluh.... Sakit itu tanda Allah sayang kepada kita. Allah hendak menghapuskan dosa-dosa kecil kita.....


"Esok ada meeting ke?"

"Pukul berapa?"

"11.30 pagi"

Hari Selasa, ada meeting. Hari Khamis ada post-mortem. Petang Khamis dan Jumaat ada Sukantara.....Ooh sibuknya aktiviti di sekolah selain tugas hakiki mengajar di dalam kelas. Minggu hadapan, aktiviti Sukan Tahunan.

Kerja analisis item, tidak siap lagi. Laporan aktiviti perkhemahan di Gunung Senyum, belum buat lagi. Ermmm.....nak update blog mengenai aktiviti di Gunung Senyum tidak berkesempatan lagi....

Macamana nak mengurus masa ini? Ingat lima perkara sebelum lima perkara...masa lapang harus aku gunakan sebaik mungkin. Apapun jangan tangguh kerja. Apa yang boleh disiapkan hari ini, harus siapkan.............

Menulis sekadar mengingatkan diri ini yang sering terlupa. Semoga ada manfaatnya....

Tuesday, June 7, 2011

Eksplorasi Gua Gunung Jebak Puyuh - Siri 2


Sambungan dari Siri 1 : Eksplorasi Gua Gunung Jebak Puyuh, Termerloh Pahang (31/5/2011)

Antara guru pengiring yang mengikuti eksplorasi ke Gua Gunung Jebak Puyuh

Selepas beredar dari rangkaian Gua Candi dan Gua Straw, kami terpaksa menaiki dan meneruni longgakan batu-batu di sekitar dinding gua. Kalau diperhatikan betul-betul, pembentukan dinding gua ini seolah seperti kubu yang dibina dengan batuan yang berlapis-lapis.

Batuan-batuan yang tersusun rapi dan berlapis-lapis seperti sebuah kubu

Pada pukul 12.00 tengah hari, kami memasuki Gua Kapal menuju ke Kolam Biru. Gua Kapal ini merupakan jalan pintas ke Kolam Biru. Kenapa dinamakan Gua Kapal? Mungkin gua ini seolah-olah seperti sebuah kapal.

Kedatangan kami di Kolam Biru ini disambut dengan mesra oleh ikan-ikan yang berenang di dalamnya. Kolam Biru ini mendapat nama daripada warna airnya yang berwarna biru. Pelikan...biasanya air jernih di kawasan hutan tidak berwarna melainkan warna teh susu itu pun kalau dicemari kelodak. Semasa kedatanganku pada tahun 2004, air kolam biru ini lagi cantik memikat. Berapa kedalaman kolam biru ini? Menurut cerita kunjungan terdahulu, kolam ini sangat dalam sampai tidak tahu berapa kedalamannya. Kami berehat sebentar menikmati juadah yang sungguh menyelerakan. Sungguh indah, makan di dalam hutan berhampiran Kolam Biru bersama-sama rakan-rakan. Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan...

Inilah Kolam Biru...

Seusai menikmati makan tengah hari, perjalanan kami diteruskan di Gua Terowong. Gua Terowong ini tidaklah sepanjang Gua Kapal, tetapi kami semua perlu berhati-hati dengan keadaan basah dan lincin dalam gua terutama di pintu keluar gua yang mempunyai laluan kecil dan sempit.

Selepas melepasi semua halangan, kami bergerak menuju jalan pulang ke Kem Perkhemahan. Di pertengahan jalan, iaitu di berhampiran Gua Rangkak, kami bertemu dengan pengunjung dari Singapura yang bersantai sambil menghidupkan unggun api menanti air gunung yang ditadah memenuhi botol yang dibawa.

Syukur alhamdulillah, akhirnya pada pukul 1.30 tengah hari kami tiba di Kem Perkhemahan. Walaupun Eksplorasi ke Gua Gunung Jebak Puyuh memenatkan dan betul-betul menguji ketahanan fizikal dan mental, tetapi semuanya terbalas dengan menikmati keindahan ciptaan Tuhan. Hargailah dan peliharalah alam sekitar ciptaan Tuhan ini supaya generasi akan datang dapat menikmatinya seperti kita hari ini.

Eksplorasi Gua Gunung Senyum bakal menyusul petang nanti...Nantikan catatan perjalananya yang penuh mitos dan misteri...


Inilah dinding gua yang batuannya berlapis-lapis. Bagaimana batuan ini boleh berlapis? Cuba fikir dan renung-renungkan...

Monday, June 6, 2011

Eksplorasi Gua Gunung Jebak Puyuh - Siri 1

Eksplorasi Gua Gunung Jebak Puyuh, Termerloh Pahang (31/5/2011)

Gunung Jebak Puyuh terletak di dalam kawasan Hutan Lipur Gunung Senyum yang berkeluasan 794 hektar. Menurut En. Sallehudin (jurupandu gua) Gunung Jebak Puyuh mendapat nama berdasarkan bentuk fizikal gunung ini seolah-olah seperti sebuah jebak untuk menangkap burung puyuh. Uniknya, Gunung Jebak Puyuh ini terbentuk dari formasi batu kapur, serpihan tanah dan tanah liat. Bagi peminat gua, Gunung Jebak Puyuh menawarkan 7 buah gua yang menarik untuk dijelajahi dan dilawati iaitu Gua Rangkak, Gua Terowong, Gua Kapal, Gua Mayat, Gua Candi, Gua Straw dan Gua Ular.

Pada pagi yang mendamaikan, kami memulakan ekspedisi ke Gunung Jebak Puyuh bermula pada 9.00 pagi. Perjalanan ke Gunung Jebak Puyuh dari kaki Gunung Senyum mengambil masa 45 minit iaitu sejauh 3.5 km. Kami mengikuti denai-denai kecil yang menjadi laluan ke Gunung Jebak Puyuh dan sekali-sekala terpaksa mendaki dan menuruni bukit. Perjalanan kami juga di rintangi dengan batang pokok yang tumbang di jalanan, di cerunan bukit yang membahayakan serta kawasan yang berlopak air. Aspek keselamatan perlu dititik beratkan supaya perkara yang tidak diigini berlaku.

Antara laluan dan halangan menuju ke Gunung Jebak Puyuh

Setelah penat berjalan, kami berehat sebentar menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan serta bergambar bersama rakan. Aku melihat sepanjang perjalanan ada pohon pokok yang ditanda nama bagi memudahkan pengunjung untuk mengenali khazanah hutan di Malaysia. Antara pokok balak yang terdapat di kawasan ini ialah Mempisang, Perah Ikan, Nyatoh, Keruing, Meranti, Medang pepijat, Sesenduk, Melembu, Kelat, Tutor dan banyak lagi. Ada nama pokok yang menarik minatku iaitu dengan namanya yang unik iaitu pokok Hujan Panas serta pokok Ipoh. Agaknya nama bandaraya Ipoh diambil sempena nama pokok Ipoh.

Perjalanan diteruskan semula. Aku mendongak keatas langit. Destinasi yang dituju semakin hampir apabila aku melihat kelibat Gunung Jebak Puyuh serta melalui kawasan dinding gunung batu kapur ini.

Indah sungguh ciptaan Tuhan...

Pada pukul 9.50 pagi, akhirnya kami tiba di pintu gua pertama di Gunung Jebak Puyuh iaitu Gua Ular. Menurut jurupandu kami, En. Sallehudin, Gua Ular ini mendapat nama sempena lakaran fosil ular di dinding gua. Selain ular, terdapat juga gambaran lakaran penyu. Dalam kegelapan gua, kami meneruskan perjalanan untuk meninjau keindahan Gua Ular. Kami semua dinasihatkan untuk mengunakan lampu suluh untuk menerangi perjalanan kami serta berhati-hati dengan keadaan lantai gua yang agak lembap dan basah. Untuk keselamatan, aku bergerak kedalam gua dengan mengikuti rakan baiku, Faizah sambil memegang tanganya.

Di Gua Ular ini terdapat staglamit yang bersinar seperti permata apabila di suluh cahaya. Namun, keindahannya semakin pudar tidak seperti kunjungan pertamaku pada tahun 2004. Keindahan batuan ini seolah-olah mati akibat perbuatan tangan manusia yang menyentuh batuan ini. Hujung jari manusia mengeluar sejenis asid yang menjadi racun bagi batuan bercahaya sinar ini. Nabi Muhammad S.A.W pernah menganjurkan kepada umatnya supaya menjilat hujung jari seusai makan kerana asid yang berada dihujung jari ini bagus untuk sistem penghadaman kita.

Keindahan 'permata' di gua ini semakin hilang sinarnya akibat tangan-tangan manusia

Eksplorasi diteruskan lagi dengan perjalanan ke Gua Mayat. Mesti pembaca tertanya-tanya kenapa gua ini di gelar Gua Mayat? Gua Mayat mendapat nama daripada batuan batu di dalam gua ini yang seolah-olah berbentuk mayat yang dikapankan. Selepas bergambar dengan “mayat batu” ini, kembara diteruskan ke rangkaian tiga buah gua iaitu Gua Sisir, Gua Candi dan Gua Straw.

Selepas memasuki Gua Sisir, eksplorasi diteruskan ke Gua Candi yang namanya dipilih berdasarkan kawasan sekitar gua ini seperti kawasan candi yang sangat menarik. Berada dalam Gua Candi ini seolah-olah kita berada di dalam kubah yang sangat menarik dengan pembentukan staklatit putih yang tergantung di atas seperti lampu yang tergantung dalam rumah kita.

Pemandangan sekitar di Gua Candi

Kembara di teruskan di Gua Straw yang terbentuk daripada tanah liat. Untuk sampai Gua Straw ini, kami perlu meredah lubung yang kecil dimana tercacaknya stalaktit dan stalagmit. Kami semua perlu berhati-hati supaya tidak ada kepala yang terhentak stalaktit dan tersandung stalagmit. Di sini, kami semua mengadakan aktiviti bertafakur dalam gua selama 5 minit.

Semua peserta eksplorasi dikehendaki memadam lampu suluh dan duduk bertafakur dalam keadaan senyap. Aktiviti ini bertujuan untuk menginsafi diri kita yang kerdil di dunia ini dan berfikir apakah nasib kita di sana kelak. Cuba bayangkan kalau lampu di padam di malam hari di permukaan bumi, cahaya sinar bulan akan menerangi tetapi apabila cahaya lampu suluh di padam di dalam gua seolah-olah kita berada dalam kubur yang tiada cahaya yang menerangi kita di sana. Cuma amalan hidup kita di dunia yang menjadi bekalan kita di alam barzakh. Kalau baik amalan kita, maka cerahlah kubur kita, kalau sebaliknya....Minta-minta dijauhkan Allah.

Kedinginan Gua Straw mengamit kedatangan kami. Unik, dinding gua terhasil daripada batu kapur dan tanah liat

Tetapi yang peliknya, selepas beberapa saat lampu suluh dipadamkan, kami mendengar bunyi yang amat pelik dan menghairankan sepanjang penutupan lampu suluh. Bunyi itu kedengaran seperti bunyi haiwan pun ada. Bunyi tersebut adakala naik, adakala turun. Seram sejuk juga dibuatnya. Selepas 5 minit berlalu, rupa-rupanya bunyi itu merupakan dengkuran seorang guru yang terlelap seketika. Ermm...nak gelak ketawa pun ada tetapi memikirkan kami masih dalam gua kami semua pendamkan sahaja ketawa itu. Ermm...hancur rancangan bertafakur dalam gua...

Apa kesudahan daripada eksplorasi gua ini. Hendak ikuti sambungan catatannya ikutilah sambungannya di "Eksplorasi Gua Gunung Jebak Puyuh - Siri 2"

Pemandangan luar dari perut gua di salah sebuah gua yang terdapat di Gunung Jebak Puyuh

Antara kumpulan pelajar yang terlibat dalam eksplorasi ke Gua Gunung Jebak Puyuh

Sunday, June 5, 2011

Hari Alam Sekitar Sedunia, 2011




Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun sejak 1972 dengan pelbagai tema yang dipilih serta di hoskan di bandar- bandar yang berbeza. 5 Jun dipilih sempena musim bunga di Hemisfera Utara manakala musim luruh di Hemisfera Selatan.

Tema pada tahun ini yang ditetapkan oleh United Nations Environmental Program (UNEP) adalah "Forests: Nature at your Service" yang memberi penekanan tentang fungsi hutan sebagai pengatur keseimbangan di antara kepentingan manusia dan semua makhluk hidup yang lain di dunia ini.

Hutan merangkumi satu pertiga daratan bumi, mempunyai pelbagai fungsi dan perkhidmatan di seluruh dunia yang membuat planet kita hidup dengan kepelbagaian. Bahkan, 1,6 bilion manusia bergantung kepada hutan sebagai mata pencarian mereka. Mereka memainkan peranan penting dalam pertempuran melawan perubahan iklim, melepaskan oksigen ke atmosfera dan menyimpan sementara karbon dioksida. Ribuan kegiatan diadakan di seluruh dunia bagi menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia seperti dengan pembersihan pantai, konsert, pameran,festival filem, acara komuniti dan banyak lagi.Tahun ini, India dipilih kerana merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti.

Fakta menarik mengenai hutan:
1) Setiap tahun, 1.3 juta hektar hutan dimusnahkan dan saiz ini menyamai dengan saiz negara Portugal.
2) Hutan merangkumi 31% jumlah kawasan tanah dan menyokong 80% kepelbagaian biodiversiti yang tinggal di dalamnya.
3) Kebanyakan haiwan yang terancam dan hampir pupus mendiami kawasan hutan dan ini akan menganggu ekosistem hutan.
4) Bukan haiwan sahaja yang tinggal di kawasan hutan, tetapi 300 juta manusia memilih hutan sebagai kawasan tempat tinggal.

Selamat Menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia...
Peliharalah hutan untuk kepentingan kita bersama....



SUMBER:
http://en.wikipedia.org/wiki/World_Environment_Day
http://www.unep.org/wed/

Saturday, June 4, 2011

Perjalanan ke Gunung Senyum (30/5/2011)


Inilah Gunung Senyum....senyum, senyum, senyum...erm mesti manis senyuman kamu semua..

Apa aktiviti anda pada cuti persekolahan ini? Cuti sekolah penggal 1 ini, sekolahku telah mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan di Gua Gunung Senyum. Aku dengan sukarela menawarkan diri untuk mengikuti perkhemahan ini sebagai guru pengiring. Bukannya apa, sengaja untuk mengimbau kenangan lalu semasa perkhemahan bersama rakan dari KMPh.

Awal 8.00 pagi, rakan guru dan segerombolan pelajar yang menaiki bas telah bertolak dari sekolah (Kulai) menuju ke destinasi Gunung Senyum di Temerloh. Manakala, aku pula bersiap-siap diri ke Kuantan untuk menguruskan urusan dengan bank. Tepat 2.30 petang, aku keluar rumah menuju ke kawasan perkhemahan di Gunung Senyum.

Singgah sebentar di stesen minyak sebelum memasuki Lebuh Raya Pantai Timur di Gambang pada 3.00 petang untuk menuju ke Chenor. Di pertengahan perjalanan iaitu di Maran, hujan turun dengan lebatnya. Syukur alhamdulillah, hujan lebat itu sementara sahaja dan seterusnya perjalananku lancar menuju ke destinasi. Perjalanan antara Gambang ke Chenor dengan mengikuti laluan Lebuh Raya Pantai Timur memakan masa lebih kurang 1 jam dengan harga tol RM9.50.

Sepanjang perjalanan aku berbekalkan GPS. Inilah kali pertama aku pergi ke Gunung Senyum dan kali pertama aku menggunakan GPS. Syukurlah… Perjalanan ku dimudahkan Allah walaupun aku memandu keseorangan.

Gunung Senyum dari sudut pandangan Jengka 23

Selepas keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur, destinasi seterusnya menuju ke Jengka 23, Temerloh di mana letaknya lokasi terdekat ke Gunung Senyum. Sepanjang perjalanan jalan menuju ke Gunung Senyum, jalan raya agak sempit dan berliku-liku dan apabila berselisih dengan lori, aku perlu berhati-hati. Seronok melihat kehijauan pepohon kelapa sawit menyambut kedatangan mesraku. Aku tersenyum melihat kelibat Gunung Senyum yang akan aku hampiri sebentar lagi. Akan aku tawan perutmu, wahai si Gunung Senyum.

Sebelum menghampiri Felda Jengka 23, GPS aku menunjukkan aku harus belok ke kanan mengikuti jalan kecil dan sempit menuju ke kampung Batu Sawar. Pada hematku, jalan ini mungkin merupakan jalan ladang kelapa sawit yang telah di tar untuk memendekkan perjanalan ke Gunung Senyum iaitu lebih kurang 2.3 km. Agak merisaukan aku, perjalanan ini sunyi, berliku-liku dan ditambahi bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan sekali sekala bertembung dengan motosikal di perjalanan ke Kg. Batu Sawar. Mujurlah bukan lori atau kereta kalau tidak terpaksa aku memberhantikan kereta untuk memberi laluan kepada kenderaan berat ini.

Selepas melepasi selekoh berhampiran kawasan rawatan bekalan air di Kampung Batu Sawar, aku terlihat sekolah rendah Batu Sawar. Terfikir aku, alangkah damai kalau dapat mengajar di kawasan pendalaman yang jauh dari hiruk pikuk kota yang membingitkan telinga dan minda. Apapun, perjalanan aku teruskan lagi. Akhirnya, aku melihat papan tanda menunju ke gunung Senyum. Dalam 10 km lagi, aku bakal menghampiri kawasan perkhemahan di kaki gunung Senyum.

Pada pukul 4.40 petang, akhirnya aku menamatkan perjalananku ke Gunung Senyum. Tidak lama kemudian, rombongan rakan guru dan pelajar tiba ke perkarangan tempat letak bas. Inilah jodoh pertemuan terletak di tangan Tuhan. Walaupun kedatangan kami dari destinasi berbeza tapi kami tiba tepat pada masanya untuk meneruskan ekspedisi eksplorasi Gua Gunung Senyum.