Thursday, August 11, 2011

Program Asas Perkhemahan UBU 2011 (Siri 2)

Peserta dan guru-guru yang terlibat dalam perkhemahan UBU 2011

Sabtu, 16 Julai 2011

Pada pukul 5.30 pagi, para peserta bangun untuk menyiapkan diri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh serta aktiviti pendidikan moral untuk peserta bukan Islam. Terdapat peserta yang cuba melengahkan masa dan peserta ini telah didenda kerana tidak mematuhi disiplin perkhemahan.

Pada jam 7.00 pagi, peserta telah melakukan senaman pagi di bawah seliaan En. Sofian. Selepas aktiviti memanaskan badan, para peserta berlari setempat sambil menyanyi lagu yang didendangkan oleh En. Sofian. Sungguh menarik dan lucu lagu yang dibawanya tetapi para peserta sungguh gembira dengan senaman pagi itu.

Selepas sarapan pagi, para peserta berhimpun dan mendengar taklimat daripada Kem Komanden. Pada pukul 8.30 pagi peserta telah mengikuti aktiviti membina Gajet dibawah seliaan En. Hosni serta aktiviti pertolongan cemas yang dikendalikan oleh Pn.Chai.

Pada pukul 12.00 tengahari, telah diadakan pertandingan memasak. Para peserta dikehendaki memasak Ikan Masak Asam Pedas, sayur petola dan telur dadar. Terkial-kial peserta ini memasak terutama memasak asam pedas kerana kebanyakan mereka tidak tahu memasak dan menyiang ikan. Selain itu, cabaran lain ialah menghidup api dan mengawal api kayu daripada terpadam. Rasa macam hendak menangis apabila asap-asap itu terkena pada mata. Tetapi demi hendak membantu para peserta, kami urusetia rela berasap dan menolong mereka memasak. Kesian rasanya melihat mereka terpaksa masak sendiri, tetapi inilah hakikat perkhemahan untuk melatih pelajar lebih berdikari.


Selain itu, para peserta juga telah melakukan pertandingan memasak tanpa alatan. En. Sukor telah menunjukkan demonstrasi memasak nasi dalam kelapa serta memasak tepung dengan melilit kayu. Salah satu tujuan perkhemahan ialah membentuk sikap kerjasama dikalangan peserta. Namun, wujud para peserta yang mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan ahli kumpulan dengan membiarkannya memasak sendirian tanpa bantuan. Mujurlah ada urusetia yang sudi membantu.

Pada pukul 3.00 petang, aktiviti Explorace menggunakan kompas telah diadakan dibawah selian Cik Zuraini. Kelihatan para peserta sangat teruja menggunakan kompas sambil mencari kertas tersembunyi di setiap perhentian. Permainan Rakyat seperti menarik upih pinang, congkak dan berjalan menggunakan tempurung amat menarik sekali. Aktiviti ini dapat mendedahkan pelajar kepada permainan tradisi yang terdapat di Malaysia.


Selepas peserta siap membersihkan diri, solat berjemaah dan menikmati makan malam yang dimasak sendiri, aktiviti diteruskan dengan kemuncak perkhemahan iaitu Malam Kebudayaan. Setiap UBU dikehendaki menyanyi lagu dan membuat persembahan lakonan. Nampaknya, para peserta kekurangan idea dalam setiap persembahan mereka menjadikan aktiviti Malam Kebudayaan kurang menarik.

Walaubagaimanapun, Malam Kebudayaan itu tetap meriah dengan persembahan nyanyian berkumpulan oleh guru-guru lelaki seperti En. Sukor, En. Anas, En. Sofian, En. Muslim dan En. Kamarul. Selain itu, persembahan nyanyian lagu-lagu pengakap yang dikendalikan En. Gan sungguh menarik dan mengimbau kenangan perkhemahan di zaman sekolah. Paling menarik sekali ialah persembahan En. Sukor dan En. Zaki yang membuat demonstrasi ‘memotong kaki’ sehingga kami semua telah diperdaya dengan sketsa mantap mereka. Kejutan pada malam itu, kami semua telah menyambut hari lahir GPK Kokurikulum, En. Tahir secara spontan.


Pada jam 12.00 tengah malam, peserta mendengar taklimat untuk aktiviti burung hantu. Mereka dikehendaki menutup mata dengan kain dan tidur sebentar. Sementara pelajar merehatkan diri, kami para urusetia berjaga malam dan dibawa oleh En. Sukor untuk melihat laluan pelajar untuk aktiviti burung hantu ini di sekeliling sekolah. Terasa berdebar-debar kerana kami akan ditinggalkan di setiap perhentian untuk memantau keselamatan pelajar. Sebagai keselamatan, pelajar diberi kata laluan tali manakala guru kata laluan kasut.

Pukul 1.00 pagi, peserta dikejutkan daripada tidur. Peserta dilepaskan seorang demi seorang dengan berjalan memegang tali. Tatkala mata ditutup, berjalan keseorang di tengah malam dan kadangkala dikejutkan dengan bunyi yang mengerunkan seperti bunyi kerusi terjatuh, suara-suara anjing menyalak dan pintu terhempas ditiup angin, betul-betul menguji ketahanan mental peserta. Ada yang peserta yang berani, ada peserta yang menyerah diri kepada tuhan (membaca ayat-ayat al-Quran, berzikir dan bertakbir – untunglah pelajar ini kerana malam itu adalah Malam Nifsu Syaaban ) dan ada peserta yang ketakutan sehingga menjerit-jerit memanggil ‘tali’ (merujuk guru) setiap kali cubaan mengganggu mereka. Nasib baiklah apabila hampir sampai di perhentian akhir, peserta ini dinasihatkan supaya bergantung kepada Allah yang Maha Esa dan bukannya tali yang dipegang mereka atau guru.

Setiap peserta yang berjaya menghabiskan laluan burung hantu ini, akan dikumpulkan satu kawasan lapang. Mereka perlu menanti sehingga semua peserta berjaya melaksanakan aktiviti ini. Pelbagai ragam peserta dapat dilihat dibawah rembulan purnama. Ada peserta yang membaca ayat-ayat Kursi, berzikir, berdoa, bertafakur dan ada yang tertidur sambil berdengkur kepenatan. Pada pukul 3.30 pagi, para peserta dikejutkan dan dibenarkan membuka ikatan kain di mata. Mereka dikumpulkan satu kawasan untuk mendengar taklimat dan penerangan oleh En. Sukor disebalik aktiviti burung hantu. Tujuan aktiviti ini ialah untuk pelajar mensyukuri nikmat penglihatan kurniaan Tuhan serta menguji ketahanan mental pelajar. Pada pukul 4.00 pagi, pelajar dibenarkan pulang ke khemah untuk membersihkan diri dan tidur.

Markah keseluruhan untuk setiap pertandingan UBU 2011


Ahad, 17 Julai 2011

Pada jam 6.00 pagi, para peserta telah dikejutkan untuk bersiap diri untuk bersolat Subuh dan pendidikan moral. Pada pagi itu, senaman pagi diselia oleh En. Zaki. Selepas sarapan pagi, para peserta mendengar taklimat dan membuka khemah dan membersihkan kawasan perkhemahan. Pada pukul 10.30 pagi, telah diadakan Majlis Penutupan Program Asas Perkhemahan UBU 2011 oleh pengetua. Juara keseluruhan Unit Beruniform ialah Kadet Remaja Sekolah, diikuti Persatuan Puteri Islam dan Kadet Polis. Peserta lelaki terbaik ialah Khairil Nabil, 2 RK 1 (Kadet Remaja Sekolah) dan peserta perempuan ialah Siti Adawiyah, 2 E (Persatuan Pandu Puteri). Pukul 12.00 tengahari, para peserta menjamu selera dengan nasi ayam yang ditempah khas untuk mereka setelah beberapa hari terpaksa memasak sendiri. Peserta juga diedarkan soal selidik untuk mengetahui penambaikan program untuk masa akan datang. Majlis bersurai setelah bergambar kenangan dengan YDP PIGB dan pentadbir sekolah.

Secara keseluruhan program ini, dapat mendedahkan pelajar kepada asas perkhemahan. Walaubagaimanapun, aspek pengurusan dan disiplin peserta perlu dimantapkan lagi supaya program ini dapat berjalan dengan lebih lancar. Setiap yang bermula, pasti berakhir. Kenangan yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh peserta ialah memasak sendiri dengan kayu api serta aktiviti burung hantu. Kutiplah pelbagai pengalaman berguna di sekolah untuk dijadikan bekal untuk masa hadapan dan kenangan terindah di zaman persekolahan.

Peserta terbaik perkhemahan bergambar kenangan dengan pengetua

No comments:

Post a Comment