Saturday, November 3, 2012

Kecewa

Kecewa memang kecewa, apabila permohonan untuk bertukar tidak diluluskan. Kecewa tapi tidak pernah bermaksud berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T. Mungkin ada hikmahnya, Allah S.W.T belum mengabulkan doa hambaNya.

 Gambar ini diambil di Fb....

Tapi pelik lagi menghairankan permohonan kali ini, ramai guru-guru yang tidak dapat pindah! Walhal, permohonan perpindahan hujung tahun biasanya ramai guru yang dapat pindah macam tahun-tahun sebelumnya. 

Pelik jugak apabila pada pertengahan tahun 2012, ramai guru yang dapat pindah terutama guru-guru yang menggunakan alasan mengikut suami. Padahal ada yang baru 'posting' tidak sampai setahun pun di sekolahku dapat pindah pada JUN 2012. Bersangka baik, mungkin rezeki anak....  Harap-harap tahun hadapan aku dapat pindah dengan alasan yang sama mengikut suami. Semoga dipermudahkan Allah SWT.

Aku ada juga menjengok laman fb mengenai pertukaran guru, ada yang hendak pindah masuk Johor pun tak dapat sedangkan negeri Johor banyak cikgu-cikgu yang hendak keluar pindah dari Johor. Kesian juga ada cikgu yang 10 tahun terpisah dengan suami, hidup berjauhan dan anak-anak membesar tanpa kasih sayang dan pengawasan ayah sepenuhnya pun tidak dapat pindah. Kesian cikgu-cikgu ini terpaksa berjauhan dengan suami, isteri dan anak-anak. Sampai bila mereka harus berjauhan dan terlepas memikul tanggungjawab kepada keluarga? Sampai bila mereka perlu 'membakar diri' menerangi hidup orang lain, sedangkan diri sendiri terkorban!

Ya Allah, Engkau permudahkanlah pertukaran cikgu-cikgu ini semua... 

Adakah ini ada kaitan dengan kronisme dan penggunaan 'kabel'? Siapa yang mempunyai 'kabel' mudahlah pertukaran mereka walaupun mengambil hak orang lain? Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan dicatat oleh malaikat dan akan dihitung di Padang Mahsyar nanti... Ingatlah dunia hanya sementara, akhirat jua tempat kembali kita semua.. 

Aku hanya mampu BERDOA kepada Allah S.W.T, yang hanya kepadaNya aku sembah dan meminta pertolongan..

Betul ke pertukaran kali ini ada kaitan dgn PRU 13? Apa-apa pun aku tidak berminat dengan politik dan tidak menyokong mana-mana parti politik! Tapi aku tetap mengikut arahan untuk menjadi petugas pilihan raya.. Undi kan rahsia....

P/S: InsyaAllah, April 2013 aku akan mencuba lagi.... Semoga Allah SWT mempermudahkan pertukaranku nanti...Amin. Aku membawa hati yang lara ini ke puncak banjaran Titiwangsa... Cameron Highland wait for me ok!


Thursday, November 1, 2012

Hampa belaka...

Masa semakin suntuk. Sesi persekolahan akan berakhir seminggu lagi dan pengisian markah PBS harus diselesaikan sebelum aku bercuti pulang ke kampung...

Cubaan dan dugaan betul dari awal pelaksanaan PBS hingga kini...

Sebulan lebih aku tidak mengemakini blog kerana disibukkan dengan PBS !

 Aku bertungkus lumus menanda, menyemak dan memilih eviden yang terbaik sehingga bangun tidur, balik dari sekolah dan sebelum tidur yang aku lakukan hanya menghadap PBS. Al-maklumlah, aku tiada TV untuk ditonton. Hujung minggu pun, aku masih melakukan kerja PBS. Aku ada juga datang ke sekolah pada hujung minggu hanya kerana PBS. Huhu....

Alhamdulillah, minggu lepas aku baru menyiapkan pengisian 'eviden' terbaik pelajar dalam fail perkembangan murid dengan bantuan pelajar. Aku mengajar 7 kelas Geografi dan 2 kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (perempuan). Kalau tidak dibantu 5 pelajar yang setia ini, mahu rasa nak patah tulang dibuatnya nak memasukkan semua eviden pelajar ke dalam fail mereka.

PBS bukan menjimatkan kertas, tapi menghabiskan banyak kertas

Aku pulang beraya Hari Raya Haji/Korban dengan hati yang gembira.... Tetapi aku terkilan juga kerana penguman egTukar telah dipinda pada 3 November. Aku berharap sangat aku dapat bertukar dari daerah ini dan negeri ini.... Aku keseorangan dan kesepian di daerah ini...

Kedengaran azan Subuh berkumandang.

Niat di hati untuk menyiapkan pengisian markah PBS online kerana aku perlu menyiapkan sebelum cuti sekolah bermula. Tetapi talian online macam siput. 'Anda akan disambungkan ke aplikasi SPPBS. Sila tunggu sebentar. Tunggu punya tunggu, tak keluar juga paparannya. Asyik berpusing je 'connecting'.....Kadangkala 'Oops! This page appear broken....! Lagi menyakit hati, 'Service Unavailable'..... Huh buat 'hampeh' je... Aku tak nak sia-siakan usiaku di hadapan komputer...

Aku perlu 'print' penilaian sumatif setiap pelajar dan memasukkan dalam fail mereka. Banyak kertas dan 'ink printer' yang perlu dikorbankan sendirian berhad....

Sabarlah, semoga kebaikan yang diberi, Allah akan membalasnya dengan lebih baik... Moga-moga ada berita gembira menantiku...

p/s: Dari 4.50 pagi online PBS tadi, tapi masih 'loading' je.. Ingat awal pagi macam ini 'line clear' tapi hampa belaka.... Online dengan Allah lagi bagus. Jom solat Subuh di awal waktu...

Wednesday, October 31, 2012

Nafisa..... by XPDC

Dikeheningan malam ini
Aku dihimpit kenangan
Sejarah cinta mengajarku
Sepanjang hari sepanjang malam

Dibenak ku kau sentiasa
Lalu memukau jiwa
Jadi sentimental lelaki ini
-------------------------------
Terkadang perjalanan jauh

Yang kan mampu aku menapak
Pendakian gunung yang tinggi
Lembah curam yang ngeri
Aku harungi

Sepuluh musim yang benderang
Bagai direndam perasaan
Mentari terik tak terasa
Awan mendung berlalu berganti masa

Itupun dia kehadiran
Yang tak mungkin aku lepaskan
Dakap erat sepenuh kasih
Genggam genggaman ini menambah seri

Biar dunia beredar
Rentak sama kita berlari
Menuju titik permulaan
Belum tahu dimana ia berakhir
 
p/s: Layan lagu... dah penat melayan PBS, dari pagi tak boleh key in, huhu....

Monday, September 17, 2012

Hari Keluarga Sekolahku, 2012

15-16 September 2012


Hampir 5 tahun sekolahku tidak mengadakan Hari Keluarga. Aku sangat teruja kerana dapat meredakan 'stress' di rumah ini dan dapat bergembira dan mengeratkan silaturrahim antara guru dan kakitangan sekolah. Lokasi yang dipilih di Tanjung Balau, Kota Tinggi... Ermmm tercapai impianku untuk menikmati keindahan pantai di Johor ini sebelum aku bertukar sekolah.

Alhamdulillah, 12.30 tengah hari, kawanku Priya bersama Eton dan Kak Syah menjemput aku di hadapan rumah untuk menuju ke rumah Azizah. Kereta wira yang dipandu Priya meluncur laju dijalan raya menuju ke Lebuhraya Senai-Desaru.

Melepasi tol terakhir, kami terpandang cikgu Anas dan rakan-rakan yang lain yang sedang berehat sebentar. Kami berhenti sebentar dan kemudian meneruskan perjalanan ke Tanjung Balau. Pukul 2.30 petang, kami tiba di Tanjung Balau Pelangi Resort.

Kedatangan kami, disambut oleh Cikgu Kavita dan Malathy. Aku menerima 'door gift' iaitu bekas air dan jug air. Kawan-kawanku juga menerima 'door gift' seperti bekas makanan, botol air dan mangkuk tingkat. Semasa aku ingin 'check in' bilik, aku ditegur Pn. pengetua yang mengingatkan aku untuk menghantar borang e-Gtukar. Baiklah bos, aku sudah menghantar borang tersebut kepada kerani sekolah... Semoga Allah mempermudahkan urusan pertukaranku, Amin...

Selepas berehat dan makan tengah hari, tibalah aktiviti sukaneka. Antara sukaneka yang diadakan ialah 'Kau Pijak Kau Dapat' (kumpulan aku menjadi juara), Lompat Tango, Bola Tampar Pantai dan banyak lagi. Tidak dilupakan untuk kanak-kanak, pertandingan mewarna turut diadakan...

Setelah puas bersukaneka, ramai yang terjun kolam untuk bermandi-manda dan bermain bola air. Aku keberatan untuk mandi dan menuju ke bilik untuk solat Asar. Aku cuba membuka pintu bilik tetapi susah sangat. Aku menuju ke kaunter pertanyaan dan meminta pihak resort untuk membukanya..


Pukul 8.00 malam, kami semua menuju ke dewan untuk majlis kemuncak aktiviti Hari Keluarga. Selepas GPK Kokurikulum berucap, kami terpaksa beratur panjang untuk mengambil makanan. Sedapnya melihat tom yam rakan-rakan lain. Terliur air liur ini untuk menikmatinya. Alangkah sedihnya, apabila menceduk tom yam yang tinggal hanya kuahnya sahaja... Huhu... Mujurlah ayam, udang dan ikan BBQ masih banyak lagi dan boleh dijamah bersama nasi.

Sambil menjamu selera diadakan penyampaian hadiah, cabutan bertuah, teka-teki dan kotak beracun. Ermm... Aku salah seorang mangsa kotan beracun. "Anda dikehendaki untuk membaca sifir mengikut rentak lagu tradisional." Huhu... aku memang tiada bakat menyanyi apatah lagi membuat lenggok lagu tradisional. Akhirnya, yang keluar ialah lagi Siti Sifir... satu darab dua, duuaaaaaaaa...

Malam makin larut.. Aktiviti seterusnya ialah pertandingan memancing. Aku sempat ke jeti melihat cikgu-cikgu lelaki memancing ikan menggunakan umpan BBQ. Hehe.. angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa. Walaupun malam, aku tidak merasakan kesejukkan angin yang sedang bertiup menyapa pipi ini.

Opps... angin yang bertiup pada waktu malam ialah bayu darat yang membawa udara dari darat menuju ke laut. Kebiasaanya, permukaan laut lebih panas berbanding permukaan daratan yang lebih sejuk pada waktu malam. Sebab itulah, agaknya aku tidak merasa kedinginan angin laut.

Selepas 'mengeteh' dan berborak dengan rakan-rakan bercerita tentang perancangan masa hadapan, kami akhirnya pulang ke bilik untuk tidur....

Pantainya berpasir halus berwarna kelabu... Berbeza dengan Pulau Kapas yang pasir memutih di tepi pantai..... 

Paginya aktiviti bebas. Perancangan kami untuk mandi-manda di Pantai Tanjung Balau. Tetapi kami hanya merancang, Allah jua menentukan... Sekali lagi, pintu bilik aku tidak boleh dibuka. Terpaksalah panggil 'room servis' untuk menukar tombol pintu yang baru. Kami mengambil keputusan untuk bersiap-siap untuk 'check out' resort. 

Destinasi kami seterusnya ialah pantai Tanjung Balau. Ramai pengunjung tidak kira usia dan kaum berkelah di tepi pantai. Saat yang indah berjalan-jalan di gigi air sambil makan ais krim... Ermm yummy... Bagus betul pengurusan penyelamat di sini. Sekiranya mereka melihat orang awam mandi-manda berhampiran batu sisa di laut, penyelamat akan menegur dengan speaker yang dapat didengari keseluruhan pantai... Berhati-hatilah mandi-manda di laut, fikirlah keselamatan dan nyawa anda ye...


Seterusnya, kami menuju ke bandar Kota Tinggi yang terkenal dengan harga baju kurung siap yang murah harganya. Aku memborong dua helai baju... Mujurlah pergi pertengahan bulan, kalau tidak mesti lagi banyak yang aku 'shoping' hehe.....

Alhamdulillah, pukul 5.00 petang aku selamat tiba di rumah sewaku... Aku bersyukur kepada Allah kerana melindungi keretaku yang terpaksa diparkir luar rumah sewa... Aku mengalah bukan bererti aku kalah.. Tiba saatnya nanti, Allah memenangku keatas mereka... Amin..

P/s: Sekiranya ada kesempatan boleh berkunjung ke Muzium Nelayan berhampiran pantai Tanjung Balau...

Tuesday, September 11, 2012

Mengalah bukan bererti Kalah !

Mengalah bukan bererti aku kalah. Cuma Allah S.W.T hanya memperlambatkan kemenangan untuk menguji hambaNya yang beriman. 
  
Dugaan demi dugaan, aku terpaksa hadapi sepanjang berada di rumah sewa ini. Ingin sahaja aku keluar dari rumah ini, tetapi aku perlu bersabar kerana hanya tinggal 2 bulan lagi sesi persekolah 2012. 

Alhamdulillah, aku berjaya isi egtukar. Aku ingin bertukar sekolah dan mengajar di Selangor. Ya Allah, permudahkan urusan hambaMu ini...Amin
 
Ya, aku perlu bersabar kerana 'ketuanya' akan berkahwin bulan 11 ini.... Ya Allah, permudahkanlah urusan perkahwinannya dan berilah hidayah dan petunjuk kepada mereka semua...

Aku bersyukur padamu  Ya Allah, disaat aku kesedihan, Engkau hadirkan surah ini sebagai penguat diriku ini...

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah S.W.T agar kamu beruntung." SURAH ALI-IMRAN: Ayat 200



Saturday, September 8, 2012

1 September 2012.. Pertunanganku

1 September 2012 (Sabtu)

Alhamdulillah.... Hari ini sudah masuk seminggu aku bergelar tunang orang. Tarikh 1 September 2012 dipilih memandangkan Hari Kemerdekaan jatuh pada hari Jumaat. Bolehlah aku dan keluarga aku membuat persiapan majlis pertunanganku... 

Hari Khamis, aku mengambil CRK. Awal-awal pagi lagi aku bertolak pulang ke kampung. Alhamdulillah, perjalanan lancar membolehkan aku tiba ke kampung lebih awal daripada biasa. 

Selepas berehat sebentar, aku dan adik-adikku terus ke bandar Kuantan untuk menempah kek, mencari buah-buahan dan menambah lagi dua hantaran kerana di saat-saat terakhir pihak lelaki menambah lagi dua hantaran pemberian ibu saudaranya.

Hantaran dariku kepada si dia.... Temanya 'pink'. Semua ini, aku gubah kecuali sireh junjung je bagi yang pakar..

Siapa tunangnya biarlah dirahsiakan tetapi seorang guru juga seperti aku dan menetap di Selangor. Aku baru selesai isi e-GTukar. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan pertukaranku ini ke Selangor. Amin... 

Kalau dahulu, aku ingin meminta ditukar untuk mengajar di Pahang kini destinasi aku sudah berubah ke Selangor pula. Bolehlah mempereratkan lagi silaturrahim dengan saudara-mara ayah yang berada di Selangor...


 Hantaran dari sebelah pihak lelaki. Temanya merah dan digubah oleh adik perempuannya. Aku menerima cincin merisik dan tunang serta sepasang kain persalinan untuk pernikahan nanti...

Aku sedikit terkilan.... Sedih juga di majlis pertunanganku tiada kelibat kakak, abang ipar dan  adik bongsuku. Tetapi aku akur, pada masa yang sama 1 September 2012 juga tarikh istimewa buat adikku yang berjaya melangkah masuk ke menara gading. Adikku mendaftar di USM ditemani kakak dan abang iparku sahaja. Tiada ibu dan ayah menemaninya pada hari istimewa itu. Terima kasih adikku dan kakakku yang berkorban demi kelansungan majlis pertunanganku... Tahniah, adikku...  Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian...

 Gambar di sekitar majlis pertunanganku.. Semoga semuanya berjalan lancar dan ke jinjang pelamin. Amin...

Tuesday, August 28, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433 H

Assalamualaikum...

Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang mengenali diri ini dan juga kepada pengunjung setia blog ini.. 

Dapat pulang ke kampung dan beraya bersama ahli keluarga memang saat yang paling indah. Walaupun raya tahun ni kurang meriah tanpa kehadiran kakak dan abang yang beraya di rumah mertua serta kematian ibu kepada saudara sepupu ibu di pagi raya menambah kesyahduan di pagi Syawal.. Namun, Syawal tetap dirai dengan kesyukuran kerana berjaya menghadapi ujian sepanjang Ramadan. Semoga tarbiah Ramadan tetap berterusan pada bulan-bulan yang mendatang..

Huhu... aku teruji di bulan Syawal ini. Aku cuba bersabar tapi...

Sudah lama aku pendamkan hampir setahun lebih, akhirnya 'meletop' jua hari ini. Aku tidak tahan dengan kerenah 'housemate' aku. Semasa aku menyewa rumah ini, dia sudah sedia ada. Menurut tuan rumah, dia dan kawannya ingin pindah dari rumah sewa ini, tup..tup.. dia tak jadi pindah dengan alasan rumah sewa baru tidak selamat. Merayu-rayu dengan tuan rumah nak tinggal semula dalam rumah sewa ini.. Tapi aku rasa sebab dia tidak jadi pindah sebab dah bertambah orang menyewa jadi harga sewa rumah pun murahlah... Sebelum ni dia tinggal dua orang je tapi bertambah 5-6 orang penyewa..

Aku masih bertahan hingga kini walaupun dua orang kawanku sudah keluar dari rumah ini. Seorang itu, sudah berkahwin dan seorang lagi sudah awal cabut dari rumah ini. Tinggallah aku dan Lili (housemate paling rapat, kalau dia tak ada sudah pasti aku cabut lari, cari rumah sewa lain). 

Pertengahan tahun ini, apabila kawan baiknya dapat pindah mengikut suami, aku rasa lapang sangat kerana sudah berkurang penyewa tapi rupa-rupanya dalam diam-diam, dia cari penyewa baru tanpa memberitahu kepadaku... Ishh, sabar jelah..

Kecoh juga pada bulan itu, apabila tuan rumah telefon ingin memasukkan cikgu yang baru 'posting' kerana memikirkan rumah sewa ini tinggal 3 orang, padahal dalamnya sudah terisi 5 orang penyewa... Aku tidak sanggup bersubahat lagi. Akhirnya, aku memberitahu perkara sebenar kepada tuan rumah. Lapang hati apabila aku tidak menipu tuan rumah...

Cuti sekolah penggal 2, aku pulang ke kampung dan melancong ke Pulau Kapas. Apabila aku pulang ke rumah sewa, aku terkejut ada kereta baru. Rupanya dia menambah lagi penyewa rumah baru dan sekali lagi tanpa pengetahuan tuan rumah.. Ermm, sabar lagi..

Aku masih bersabar dan bertahan di rumah sewa ini, kerana memikirkan 'dia' akan berkahwin hujung tahun ini. Cepatlah dia berkahwin dan meninggalkan rumah sewa ini... 

"Ya Allah, perkenankanlah doa hamba-Mu ini dan gantikanlah penyewa yang lebih baik daripadanya dan rakannya..."  Amin..

Apa yang aku pelajari daripadanya, walaupun kita belajar sekolah Ma'ahad dan bekerja di pejabat agama tapi sekiranya perangai kita buruk, ia boleh menjejaskan imej kita terutama imej pejabat agama.. Betullah kata pepatah, "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga"...

p/s: Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Prinsip aku disini, apabila kita mudah dan senangkan urusan orang lain, pasti Allah memudahkan urusan kita.... Huhu tak sabar nak balik kampung Khamis ini.... Ada majlis istimewa di kampung... Ya Allah, pemudahkan dan lancarkanlah perjalanan hambaMu ini..





Tuesday, August 7, 2012

SENAMROBIK

10 Julai 2012 ( Selasa)

Pagi itu sangat redup. Cuaca sangat menginzinkan untuk aktiviti Senamrobik 1 Murid 1 Sukan diadakan di seluruh Malaysia. 

Aku lihat pelajar tingkatan 5 sangat 'enjoy' dan guru-guru sangat 'sporting' mengikuti pelbagai gaya senamrobik seperti tarian zapin, silambam, tai chi dan banyak lagi. Senaman j-robik turut diperkenalkan....

 
Wajah-wajah keriangan. Pelajar yang sporting mengikuti senamrobik walaupun 2 jam bersenam.

Terima kasih untuk pelajar sesi petang kerana kehadiran yang memuaskan walaupun terpaksa hadir ke sekolah untuk belajar semula petangnya...Sama seperti guru-gurunya juga...

 Pada prorgam itu, pelajar dan guru diperkenalkan dengan dua orang guru pertukaran dari Indonesia iaitu Cikgu Rody yang mengajar PJK dan Cikgu Nadia yang mengajar Fizik. Selamat datang dan semoga kalian mendapat pengalaman yang indah mengajar di sekolah ini...

P/s: Hari ini, Hari Rabu, tapi masih tidak dapat key in PBS (Asyik 'loding' je). Apa lagi, update blog je lah... Kena tunggu Rabu depan plak... Huhu

Sunday, August 5, 2012

Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran

Hari ini 17 Ramadan iaitu hari Nuzul Al-Quran iaitu hari penurunan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W... Selamat bercuti untuk keluargaku yang berada di Pahang..


 Sumber: Berita Harian



p/s: Hendak bersiap-siap pergi sekolah.... huhu tak sabar nak balik kampung..

Thursday, August 2, 2012

Berbuka Puasa @ Iftar...

Dimanakah anda berbuka puasa? Aku teringin berbuka di tempat ini...

Di Padang MPK berhadapan Masjid Negeri.... Boleh lah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah... 

Huhu... Rindu mak, ayah,adik-beradik, keluarga... Mak & ayah tunggulah kepulangan anakmu di penghujung Ramadan ini.. InsyaAllah

p/s: Gambar yang sangat cantik. Sumbernya daripada FB.

Salam Ramadan 1433 H


 Masih belum terlambat untuk aku mengucapkan SELAMAT DATANG wahai Ramadan..

Bulan yang ditunggu-tunggu oleh pencintannya bukan untuk menjadi hamba Ramadan tetapi hamba kepada penciptaNya, Allah S.W.T...

Malam yang penuh keberkatan ini, syukur alhamdulillah berkesempatan untuk aku mencoret diari kehidupanku. Macam tahun lepas, bulan Ramadan aku disibukkan dengan 'key in' markah ujian secara online, kali ini aku disibukkan dengan 'key in' prestasi PBS dan menanda kertas 'evidence' PBS. Ermm... lama juga aku menunggu 'loading' sistem PBS itu tadi, tetapi hanya seorang sahaja yang berjaya aku 'key in' prestasinya..

Salah aku jugak, dinasihatkan guru-guru di Johor memasukkan markah PBS itu pada hari Rabu, tetapi apa boleh buat kalau hari ini aku 'free' untuk 'key in' markah, tidak salah aku mencuba.... Percubaan yang sangat 'bagus'...

Link PBS Sekolah Menengah..


Hari-hari yang berlalu di sekolah teramat sibuk dan memenatkan...

Sekarang ini, cikgu-cikgu di sekolah aku sibuk menanda buku dan 'mengecap' buku untuk penyemakan pentadbir dan ibu bapa. Sibuklah cikgu mencari 'pengecap' buku yang sekelip mata boleh hilang entah ke mana... Aku pemegang amanah 'pengecap' itu mulai risau sekiranya ada cikgu yang mengambil 'pengecap' itu dan lupa memulangkannya..

Seronoknya bulan puasa ini, masuk sekolah awal iaitu 12.40 tengah hari dan balik pun awal 5.30 petang tetapi yang tak seronoknya jadual mengajar menjadi terlalu padat dan panjang... Huhu terasa letih dan penat terpaksa mengajar 5 masa berderet-deret, rehat sekejap untuk solat Zuhur dan sambung 1 masa lepas rehat... Sabar je lah..

Untuk tahun ini, tadarus Al-Quran dilaksanakan secara berkelompok mengikut tingkatan. Alhamdulillah, dapatlah aku menunaikan solat Zuhur dengan tenang terutama hari Selasa dan Khamis yang jadual aku tersangat padat dari masa pertama hingga masa ke 5.. Hari-hari lain boleh la aku menyertai tadarus Al-Quran ini.. 

Nampak macam jadual aku padatkan, tetapi rupanya hari Jumaat aku mengajar dua masa sahaja tetapi itu pun kalau tidak diberi 'relief' satu atau dua kelas... Yea..Yea...Esok Jumaat, PJK dalam kelas je lah, boleh laksanakan PBS PJK...

Isnin ini, meeting lagi sempena Majlis Berbuka Puasa dan Solat Hajat Perdana...

Ya Allah, walau sesibuk mana urusan duniaku, jangan Engkau lalaikan aku dari mengingatiMu... Moga-moga tahun ini, aku dapat melaksanakan ibadah puasa yang terbaik, aku dapat melaksanakan solat Terawih, qiamulail dan dapat Khatam Al-Quran. Ya Allah, ketemukan aku dengan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, Lailatul Qadr.... Amin



Apa harapan Ramadan anda?Tetapkanlah matlamat diawal Ramadan lagi ye dan teruskan istiqamah hingga ke penghujung Ramadan.. Kalau anda buntu, cubalah tentatif Universiti Ramadan seperti diatas...

Banyakkan beribadah pada bulan Ramadan ini, rebutlah ganjaran yang berlipat kali ganda ini, jangan sia-siakan Ramadan anda...

 

Jangan lupa baca niat puasa...



Semoga Allah S.W.T menerima ibadah puasa kita semua... Selamat Berpuasa...

Misteri Air Sungai Goldstream Berwarna Hijau


Artikel sebelum ini, anda disajikan dengan sungai yang mengalir berwarna biru kan? Artikel kali ini mengenai sungai yang berwarna hijau pula..


Sungai Goldstream, Kanada yang mengalir melalui Bandar Langford di British Columbia telah berubah warna hijau seolah-olah seperti bencana radioaktif.  

Seorang jurugambar yang mengembara di tebing sungai tersebut untuk mengambil gambar burung helang, Tyson Elder sempat merakamkan gambar sungai itu yang berwarna hijau pada 29 Disember 2010.

Para penyiasat pada mulanya menyalahkan satu bahan organik yang digunakan sebagai pencelup sebagai punca kejadian itu.Namun, semasa kejadian, tiada ujian dilakukan untuk menguji sistem air di kawasan tersebut dengan menggunakan bahan pencelup hijau.

Ketua Jabatan Bomba Langford, Bob Beckett menyalahkan golongan nakal yang tidak dikenali melakukan kejadian itu

Menurut Warta Montreal, bahan itu tidak menjejaskan populasi ikan dan sungai  kembali kepada warna asal semula dalam masa sejam.




Wednesday, July 18, 2012

Sungai 5 Warna di Colombia, Cano Crystals...


Cano Crystals (Caño Cristales) yang terletak di hutan simpan Serrania de La Macarena, Colombia diiktiraf sebagai sungai yang tercantik di dunia. Keunikkan sungai ini ialah air sungai ini akan berubah kepada 5 warna untuk satu tempoh antara musim hujan dan musim kemarau. Ia dikenali sebagai River of five colours.

Sebab utama warna air berubah ialah kerana sungai ini dipenuhi pelbagai alga tetapi air sungai ini tetap jernih. Untuk datang ke sini, anda perlu mahir menunggang kuda kerana ia satu-satunya jalan untuk kesini. Wah, hebat sekali kan ciptaan Allah S.W.T. Subhanallah..

Fakta Ringkas:
  • Cano Crystals terletak di hutan simpan Serrania de La Macarena, Colombia. Bagi yang tak tau Colombia tu di mana, ia merupakan negara jiran kepada Venezuela.
  • Biasanya, Cano Crystal adalah sama dgn kebanyakan sungai-sungai lain. Tetapi untuk satu tempoh di antara musim hujan dan musim kemarau, sungai ini akan dipenuhi dengan pelbagai alga yang merubah sungai ini kepada 5 warna.
  • Walaubagaimanapun, air sungai ini tetap jernih dan tidak berkeladak.
  • Jika anda berkeinginan untuk datang ke sini, anda harus datang pada waktu yang tepat iaitu di antara musim hujan dan musim kemarau sahaja.








p/s: Menikmati keindahan alam selepas penat menunggu loading & key in data pbs... dua hari dah ni key data satu kelas pun  tak siap...

Subhanallah! Sungai Berwarna Biru Di Costa Rica

Sebuah sungai di Costa Rica didapati bertukar warna menjadi air kebiru-biruan. Setelah dikaji perubahan unik ini, ia adalah disebabkan tindak balas kimia semula jadi. Sungai ini dikenali sebagai ‘The Celeste’ yang terletak di Taman Negara Tenorio di Guatuso, Alajuela.

Sungai ini mempunyai air sungai yang berwarna biru disebabkan oleh tindak balas kimia semulajadi antara sulfur dan kalsium karbonat yang bertindak memberi warna air sungai yang unik ini.

Memang jelas sungai ini kelihatan cantik walaupun perubahan ini berlaku atas tindakbalas kimia semulajadi. Dikatakan juga fenomena ini juga mempunyai kaitan dengan aktiviti gunung berapi di negara itu. Jadi, jika kita terlihat atau nampak sesuatu benda yang luar biasa, hendaklah kita sentiasa memuji ciptaan Allah SWT.

SUBHANALLAH! MAHA SUCI ALLAH...




JOM MENIKMATI KEINDAHAN CIPTAAN TUHAN..

 

JOM MELIHAT PERMULAAN SUNGAI BIRU INI..



p/s: Sekiranya anda ingin ke sini, anda perlu menaiki kenderaan pacuan roda 4 x 4 dan berjalan kaki merentasi hutan dan mendaki bukit... Dinasihatkan supaya tidak pergi pada musim hujan kerana anda mungkin tidak dapat melihat sungai berwarna biru dan denai mungkin lecah dan berlumpur...          

Sunday, July 1, 2012

Hari Kejohanan Sukan 2012.. Go Exora (Jingga)

29 Jun 2012 (Jumaat)

Piala kemenangan yang menjadi rebutan... Lagi cantik sekiranya astaka itu dicat kesemuanya...

Secerah mentari pagi yang menyinari bumi, kilauan jingga (exora) telah menyinar sebagai juara kejohanan sukan 2012 yang merupakan penyertaan sulungnya dalam arena sukan sekolah..

Mengimbau kembali sejarah sukan sekolah, sebelum ini hanya ada empat buah rumah pasukan sahaja iaitu merah (saga), hijau (satria), biru (persona) dan kuning (waja). Dua rumah pasukan baru diwujudkan iaitu jingga (exora) dan unggu (inspira). Nama pasukan ini diambil sempena nama-nama kereta keluaran proton.

Berikut adalah rentetan perjalanan Kejohanan Sukan 2012....

Acara sukantara telah dilaksanakan pada 15 Jun 2012 dengan melibatkan acara lompat jauh, lontar peluru dan larian 100 m. Syukur alhamdulillah, rumah exora menjadi juara sukan tara. Langkah pertama untuk bergelar juara berjalan lancar...

Aku selaku pengurus pasukan untuk sesi petang, memang sibuk kerjanya mencari pelajar 13 tahun dan 14 tahun untuk diketengahkan sebagai atlet rumah exora. Aku mengikut syarat-syarat penyertaan untuk pelajar bawah 13 tahun dengan tidak memasukkan nama pelajar peralihan yang masuk ke tingkatan 1 tetapi ada juga pengurus pasukan yang melanggar syarat tersebut. Pejam mata je lah....
 
Acara sebelum sukan telah berlansung pada 20 dan 21 Jun 2012 iaitu melibatkan acara lontar peluru, lompat jauh, lompat tinggi, larian 200 m, 400 m, 4 x 400m, 1500 m dan 3000 m. Sekali lagi, rumah exora mendahului carta kejohanan untuk acara sebelum sukan tetapi mata banyak disumbang oleh pelajar sesi pagi, jadi kena latih lagi atlet sesi petang nie...

Kemuncak acara pada awal pagi Jumaat, penghulu hari di antara hari. Antara acara yang dipertandingkan ialah 100 m dan 4 x 100 m, perbarisan dan khemah pasukan yang tercantik. Johan perbarisan dimenangi oleh rumah inspira dan khemah tercantik oleh rumah satria...

Inilah hiasan khemah oleh para guru dan pelajar... Yang mana cantik dan kreatif? Tentulah khemah yang berwarna hijau itu kan...

Pasukan kawad perbarisan UBU yang terbaik tentulah PBSM.... Langkah seia dan sekata dan paling lengkap penyertaan pelajar seramai 30 orang

Syukur alhamdulillah, saat yang ditunggu telah tiba. Rumah exora diumumkan sebagai juara tahun ini.... 


Tahniah kepada atlet-atlet rumah exora dan juga kepada pelajar yang terlibat menyumbangkan jasa atas kemenangan rumah exora.... Kepada anak-anak didikku seperti Fatin, Khaleda, Faridahanum, Nazeri, Amirul Nazim dan Ali, teruskan usaha anda... Semoga kalian menjadi atllet harapan sekolah...


Wajah-wajah keceriaan...Tahniah exora, teruskan prestasi anda untuk tahun hadapan...... Go..go.. Exora..

Suhu Panas Berakhir Minggu Depan

Suhu panas yang melanda Semenanjung Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka berakhir dalam masa seminggu lagi, kata Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong.

Beliau berkata keadaan panas ketika ini sehingga menjangkau suhu 36.2 darjah Celcius adalah disebabkan Ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina yang meniup angin dari arah Barat Daya ke negara ini.

"Ini menyebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering," katanya kepada Bernama.

Namun beliau berkata keadaan cuaca yang panas seperti itu adalah normal dalam bulan Mei dan ia lebih rendah berbanding suhu yang dicatat pada bulan Mei tahun 1998. "(Pada 1998) di Chuping (suhunya 38.9˚C), Alor Setar (37.5˚C), Lubuk Merbau (37.0˚C), Melaka (38.0˚C), Batu dan Kuala Krai (38.0˚C)," katanya.

Saw bekata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering dan menjadikan api mudah marak seterusnya boleh menyumbang kepada jerubu.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari. "Orang ramai juga dinasihatkan supaya meminum air dalam kuantiti yang banyak," katanya.

SUMBER:http://www.iluvislam.com/berita/malaysia/2252.html - Kuala Lumpur, 9 Mei 2011

P/S: Syukur alhamdulillah, siang tadi hujan rahmat turun membasahi bumiku. Cuaca tidak menentu ini mudah mendapat demam & batuk. Erm...terasa nak demam pula...Mungkin terkena hujan semasa nak tangkap gambar kelas tadi...

Planet digelar Bumi Baru ditemui


LAKARAN artis menunjukkan planet Gliese 581g.

LOS ANGELES - Lima pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor beberapa buah akhbar semalam. 

Planet itu terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi.

Planet itu mengelilingi satu bintang yang yang dianggap seperti matahari.
Bintang itu diberi nama Gliese 581.

Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu setiap 37 hari untuk satu putaran penuh.
Ia didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer.

Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan selalu malam kerana ia tidak banyak berputar.
Kumpulan pakar itu tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut.
Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut.

Graviti di planet itu sama seperti Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi sebarang kesukaran.

Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa. 

Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu.

Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii. - Agensi

Fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari


 KUALA TERENGGANU: Orang ramai di negara ini dijangka berpeluang melihat fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari pada 6 Jun ini, iaitu fenomena yang tidak akan berulang sehingga tempoh 105 tahun akan datang.

Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Baharrudin Zainal, berkata fenomena unik itu membolehkan orang ramai melihat planet berkenaan pada saiz yang sama dengan bumi pada jarak kedudukan 42 juta kilometer (km) dari bumi.

Katanya, ia juga membolehkan orang ramai melihat planet zuhrah yang turut dikenali sebagai kejora dalam keadaan gelap.

Beliau berkata, berdasarkan hitungan falak, sentuhan planet zuhrah dengan matahari dijangka berlaku kira-kira jam 6.10 pagi dengan bentuk planet itu mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18 minit kemudian.

“Pada waktu itu (6.10 pagi) hanya pemerhati di pantai timur Sabah dan Sarawak berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur Semenanjung, matahari hanya akan terbit jam 6.54 pagi.

“Ketika ini, planet sudah melata hampir lapan peratus daripada keseluruhan laluan rentasannya di permukaan matahari. Kira-kira jam 9.30 pagi, planet zuhrah yang dilihat dalam bentuk ‘bulatan hitam’ sudah berada di tengah laluan rentasannya. Planet zuhrah akan dilihat meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira jam 12.50 tengah hari,” katanya, di sini, semalam.

Baharrudin berkata, berikutan saiz planet zuhrah hampir sama dengan bumi, planet itu diumpamakan sebagai ‘saudara kembar bumi’.

“Apabila kita melihat planet zuhrah dalam keadaan ‘bulatan hitam kecil’ sedang melintas di permukaan matahari, kita bagaikan melihat ‘begitulah kerdilnya bumi yang kita huni’ dari kedudukan 42 juta km.

“Bagi masyarakat awam, fenomena lintasan planet zuhrah ini mengimbau rasa takjub terhadap alam semesta yang harmoni sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran. Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan fenomena ini yang tidak akan berulang sehingga 105 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, di Kuala Terengganu, orang awam boleh menyaksikan fenomena itu mulai jam 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari pada 6 Jun ini, di tempat letak kereta Lapang Sasar Memanah, UnisZA Kampus Gong Badak, manakala di kawasan lain, orang ramai boleh mengunjungi pusat cerapan di kawasan masing-masing.

“Fenomena ini hanya boleh dilihat menggunakan peralatan teleskop lengkap dengan penebat khas matahari. Justeru, orang ramai boleh berada di tempat cerapan yang diadakan pelbagai agensi di seluruh negara,” katanya.

Fenomena itu berlaku apabila planet zuhrah yang mengambil masa selama 0.6 tahun (225 hari bumi) untuk mengelilingi matahari, akan berada pada kedudukan sejajar dengan bumi dan matahari mengikut tempoh ulangan berkenaan.

Penjajaran itu dinamakan ‘ijtimak dalaman’ dan disebabkan orbit planet zuhrah dengan satah bumi-matahari condong pada sudut tertentu, kedudukan satah matahari, bumi dan planet ketika penjajaran ini tidak sentiasa sama.


p/s: Walaupun sudah berlalu kejadian ini, aku tetap ingin 'post' kejadian yang luar biasa ini... Maha Suci Allah yang menciptakan sesuatu..

Hari Terbuka dan Keusahawan 2012

23 Jun 2012 (Sabtu)

Hari Terbuka merupakan hari bertemu pelanggan iaitu ibu dan bapa datang ke sekolah bertemu guru kelas untuk mengetahui perkembangan akademik dan sahsiah pelajar dalam kelas. Pada hari tersebut, guru-guru akan menunjukkan prestasi ujian dan peperiksaan kepada ibu bapa dan memberi konsultasi kepada pelajar untuk terus maju dalam pelajaran mereka terutama pelajar yang akan mengambil PMR dan SPM.

Berbeza pelajar tingkatan 1 tahun ini, mereka merupakan perintis kepada PBS. Guru-guru kelas akan menerangkan kepada ibu bapa mengenai PBS dan menunjukkan fail PBS pelajar yang terdiri daripada 11 - 12 mata pelajaran. (Mujurlah anak murid membantuku memasukkan instrumen penilaian dan evidence. Walaupun kelam kabut dengan kertas yang tidak disusun, tidak ditebuk lubang dan dihantar lewat oleh guru mata pelajaran tetapi semua dapat dimasukkan dalam fail PBS pelajar.)

Seramai 14 orang penjaga yang hadir bertemu aku sebagai guru kelas. Aku menerangkan mereka mengenai PBS dan menunjukkan mereka  fail PBS anak mereka. Aku menunjukkan mata demerit anak mereka sebagai bukti kesalahan disiplin. Aku juga menerangkan prosedur surat amaran sekiranya anak mereka tidak hadir ke sekolah. 

Ada juga bapa yang bertanya kepada aku mengenai PBS ni? Bagus tak PBS ni? Aku terangkan PBS ini bagus kerana guru dapat mengenal pasti kelemahan pembelajaran anak mereka cuma perlaksanaannya mungkin tidak mantap lagi...

Perut mula berlagu keroncong. Tekak mula kering. Lidah mula perit (kena mata ikan). Aku meminta guru relief untuk mengambil alih tugasku sementara aku berjalan-jalan di gerai jualan sempena Hari Keusahawanan..


Persatuan Geografi dan Alam Sekitar menjual jagung bakar. Alhamdulillah...Laku semua jualan mereka. Basikal pixy itu merupakan hadiah untuk cabutan bertuah sempena Hari Keusahawanan untuk menarik pelajar hadir ke gerai jualan...

Terima kasih kepada ibu bapa yang sudi hadir bertemu guru kelas. Ini membuktikan anda prihatin dan mengambil berat tentang pelajaran anak anda.... 

Terima kasih juga kepada pelajar yang berniaga dan terima kasih juga kepada pelajar yang hadir sempena Hari Keusahawanan....