Sunday, August 14, 2011

Laluan alternatif sang gajah


Gajah di negara ini bakal pupus jika tiada tindakan konservasi dan perlindungan dilakukan segera.


KEJADIAN hidupan liar mati akibat dilanggar kenderaan bukan satu perkara baru. Kematian hidupan liar yang berharga bagi negara merupakan satu kerugian, tambahan jika ia daripada spesies yang terancam dan di ambang kepupusan.

Terbaru, kejadian seekor gajah betina liar yang sedang melintas di KM32, Lebuh raya Timur Barat, berdekatan Tasik Banding, Grik mati akibat dirempuh oleh lori kontena.

Dalam kejadian jam satu pagi itu, gajah berkenaan dikatakan berjalan berkumpulan melintasi lebuh raya tersebut untuk ke hutan berdekatan.

Pemandu lori berkenaan berusaha membiarkan kumpulan gajah tersebut melepasi jalan, namun tidak menyedari kehadiran gajah terakhir lalu melanggarnya.

Kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku kerana kawanan gajah sering dilihat berada di kawasan tersebut untuk melintasi jalan.

Hal demikian kerana kawasan tersebut merupakan habitat serta laluan kawanan gajah tersebut sejak dahulu lagi, malah sebelum lebuh raya tersebut dibangunkan.

Sikap serta sifat gajah yang suka merayau serta memiliki kawasan keliaran (territory) yang luas juga merupakan faktor ia melintasi lebuh raya.

Malah, gajah dikatakan akan mengingati dan melalui laluan yang sama setiap tahun dan ia diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang baru.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abd. Rasid Samsudin, kejadian kemalangan melibatkan haiwan liar sering terjadi di kawasan lebuh raya berikutan ia dibina merentasi laluan haiwan tersebut.

"Kerajaan telah menyedari kepentingan menjaga khazanah negara ini, justeru Perhilitan telah memperkenalkan laluan alternatif bagi haiwan tersebut.

"Ia lebih dikenali sebagai viaduct atau laluan khas untuk haiwan ini melintasi lebuh raya secara selamat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan kerja Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Tan Sri Joseph Kurup ke lokasi Elephant Crossing serta tinjauan cadangan lokasi pembinaan viaduct di Belum, Perak baru-baru ini.

Pembinaan viaduct atau laluan hidupan liar tersebut telah dipersetujui kerajaan di bawah projek Central Forest Spine (CFS) iaitu Pelan Induk Koridor Ekologi dan Perlaksanaannya di Semenanjung Malaysia.

Jelas Timbalan Menteri NRE, Tan Sri Joseph Kurup, Pelan Induk Koridor Ekologi CFS telah disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) pada tahun 2010.

"Ia merupakan pelan jangka panjang dalam memelihara, memulihara dan meningkatkan perhubungan di antara kelompok-kelompok hutan kecil dan kompleks-kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia," ujarnya.

Pecahan kawasan hutan telah menyumbang kepada peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Ini adalah kerana laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain telah dihalang dengan projek pembangunan, termasuk jalan raya dan projek pertanian.

Ekoran daripada itu, hidupan liar seperti gajah terpaksa memasuki dan melintasi jalan raya dan kawasan pertanian untuk pergi ke kawasan hutan yang lain.

Pelan Induk ini merupakan dokumen rujukan bagi agensi pelaksana dan juga sebagai rangka dalam mengurus kawasan CFS.

Ia meliputi Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang telah diluluskan oleh kerajaan bagi menentukan arah tuju kemajuan fizikal dan pemeliharaan kawasan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

RFN telah mengenal pasti fragmentasi (pecahan) kawasan hutan sebagai ancaman kepada pemeliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.

Salah satu dasar yang ditekankan dalam RFN adalah Dasar RFN19 yang menyatakan keperluan mewujudkan kawasan CFS bagi membentuk tulang belakang jaringan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Ia menerusi penyambungan empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia iaitu Banjaran Titiwangsa, Banjaran Bintang dan Banjaran Nakawan.

Seterusnya Banjaran Timur yang meliputi Tanah Lembap Pahang Tenggara, Tasik Chini, Tasik Bera, Taman Negara Endau Rompin dan Rezab Hidupan Liar Kluang.

Di dalam projek RFN, dianggarkan seluas 5.3 juta hektar atau 40 peratus keluasan Semenanjung Malaysia akan dijadikan sebagai kawasan CFS.

Daripada jumlah tersebut, 80 peratus merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Manakala NRE melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Perhilitan dengan kerjasama Kerajaan Negeri berkaitan sedang melaksanakan projek perintis CFS serta Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan.

Projek-projek ini mula dilaksanakan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan akan diteruskan di dalam RMK10.

Majlis Perhutanan Negara (MPN) ke-21 pada 18 September 2007 telah bersetuju dengan kepentingan mewujudkan CFS.

Malah MPN menyarankan agar pelaksanaan CFS dilakukan dengan menggunakan pendekatan pembangunan seimbang selaras dengan Prinsip Pembangunan Mampan.

Melalui Pelan Induk Koridor Ekologi 2010 yang disiapkan oleh JPBD, sebanyak 37 koridor ekologi telah dikenal pasti.

Antaranya projek Koridor Utama Taman Negara dan Hutan Simpan Tembat yang dilaksanakan sebagai projek perintis oleh Perhilitan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu serta Jabatan Kerja Raya.

Justeru, pembinaan viaduct terkandung di dalam salah satu projek tersebut dan ia sedang dilaksanakan secara berperingkat dari masa ke semasa.

Apa yang jelas, pendekatan kerajaan dalam memastikan khazanah negara terus terpelihara ini harus diberi pujian dan kerjasama daripada semua pihak.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Julai 2011

No comments:

Post a Comment