Monday, August 15, 2011

Sultan Muhammad Al- Fateh (Penakluk Konstantinopel)


Tajuk : Novel sejarah Islam Sultan Muhammad

Al- Fateh (Penakluk Konstantinopel)

Penulis : Abdul Latip Talib

Tebal : 324 muka surat

Penerbit : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

Harga : RM 24.00

Tahun : Cetakan Ke 6, 2010



Penaklukan Konstantinopel ini bermula sejak dari zaman Saidina Ali (34 Hijrah), Muawiyah bin Abu Sufian (84 Hijrah), Sultan Sulaiman (91 Hijrah), Khalifah Harun al-Rasyid (165 Hijrah) dan Sultan Beyazid pada tahun 1391, 1397 dan 1400 Masihi tetapi semuanya gagal. Kenapa umat islam begitu ingin menawan Kota Konstantinopel? Sebabnya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,

Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan. H.R. Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335)

Selepas 800 tahun hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah menjadi kenyataan. Tetapi siapakah yang dimaksudkan dengan hadis di atas?

Sultan Muhammad al-Fateh sejak di dalam buaian lagi telah diisyaratkan bakal menakluk Kota Konstantinopel. Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 27 Rejab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 H. Sultan Muhammad al-Fateh merupakan anak Sultan Murad II yang mewarisi empayar kerajaan Usmaniah. Baginda ialah khalifah ke 7 pemerintahan kerajaan Usmaniah. Nama sebenar baginda ialah Sultan Muhammad, manakala al-Fateh merujuk gelaran baginda sebagai 'pembuka yang besar' kerana berjaya menakluk Konstantinopel.

Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota Konstantinopel, tetapi anak yang ada di dalam buaian itu (Sultan Muhammad al-Fateh).” Syeikh Syamsuddin Al Wali.

Sejak kecil lagi, Sultan Muhammad al-Fateh telah dilatih hidup sederhana, dididik ilmu agama oleh Syeikh Bayram, Syeikh Syamsudin al-Wali dan Syeikh al-Kurani. Manakala ilmu kepahlawanan dan peperangan telah di ajar oleh Panglima Tharhan iaitu bapa saudara Sultan Muhammad al-Fateh. Baginda membesar sebagai pemuda tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

Semasa berumur 16 tahun, Sultan Muhammad al-Fateh diberi tanggungjawab untuk memangku tugas sultan setelah pemergian ayahandanya, Sultan Murad ke Pulau Magnesia. Baginda mula menaiki takhta ketika berumur 19 tahun selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Murad II.

Baginda menjadikan Adrianopel (Adana) sebagai pusat pemerintahan bagi memudahakan cita-citanya menawan Konstantinopel. Dan ketika berumur 21 tahun Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857 Hijrah.

Untuk menawan kota Konstantinopel bukanlah mudah. Pelbagai halangan dan rintangan perlu dihadapi oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Kata-kata Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, ‘Kota Konstantinopel hanya dapat ditawan oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.’ melekat di hatinya.

Pelbagai persiapan yang telah dilakukan Sultan Muhammad al-Fateh sebelum menakluk Konstantinopel. Baginda membina Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serban, mengangkat batu dan pasir sehingga orang ramai semakin bersemangat melakukan kerja membina tembok itu. Walaupun tembok ini pernah diruntuh oleh tentera Konstantinopel, tetapi tidak mematahkan semangat Sultan Muhammad al-Fateh untuk menawan Konstantinopel.Baginda juga mengarahkan penggalian terowong rahsia untuk menyelamatkan Urban yang mahir membuat meriam.

Rumeli Hisarri

Untuk menawan Konstinopel, Sultan Muhammad al-Fateh memerlukan tentera yang baik seperti yang diriwayatkan oleh hadis Nabi Muhammad S.A.W. Apakah kehebatan tentera baginda sehingga digelar sebaik-baik tentera?

Tentera yang baik

Sultan Muhammad al-Fateh mengarahkan 250, 000 tentera Turki menjalani latihan ketenteraan di Pulau Magnesia. Mereka berlatih selama 40 hari untuk meningkatkan ketakwaan dan kemahiran berperang sebelum menakluk Konstantinopel. Mereka seperti singa pada siang hari dan menjadi abid pada waktu malam.

Suatu hari, Sultan Muhammad al-Fateh jatuh sakit. Baginda teringin memakan buah delima. Panglima Tharhan meminta Sulaiman Olgo dan beberapa tentera mencari buah delima di hujung pulau. Mereka menjumpai kebun delima itu tetapi tidak menemui tuan punya kebun. Mereka sepakat tidak mengambil sebiji pun buah delima kerana tidak sanggup memberikan buah yang haram kepada sultan. Kemudian mereka berjalan dan melalui sebatang sungai. Tiba-tiba lalu sebiji delima dibawa arus sungai itu. Mereka tetap tidak mengambil delima tersebut walaupun delima itu terjatuh ke dalam sungai dihanyutkan air. Akhirnya mereka pulang tanpa membawa sebiji delima pun.

Rupa-rupanya kehadiran tentera di kebun delima itu diintip oleh tuan kebun. Tetapi tuan kebun itu ingin menguji tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Ternyata tentera Sultan Muhammad al-Fateh adalah tentera yang baik. Kalau mereka tentera yang jahat sudah pasti mereka akan mengambil buah delima dan mempersembahkan kepada sultan. Akhirnya, tuan kebun delima itu menghadiahkan buah delima kepada Sultan Muhammad al-Fateh.

Rakyat yang baik

Sultan Muhammad al-Fateh keluar dari istana seorang diri lalu menyamar sebagai peminta sedekah yang bisu dan pekak. Baginda singgah rumah orang kaya lalu memberi isyarat meminta air minuman. Dengan senang hati tuan rumah itu memberinya minuman dan menawarkan pekerjaan yang sesuai. Baginda menolak dengan baik pelawaan orang kaya tersebut dan menuju ke sebuah rumah keluarga miskin. Tuan rumah itu ingin memberi makan dan minum kepada baginda walaupun makanan mereka cukup untuk mereka sahaja. Akhirnya baginda meninggalkan rumah keluarga miskin itu apabila tuan rumah ke dapur untuk mengambil makanan. Baginda terharu kerana walaupun keluarga itu miskin tetapi mereka bersikap baik dan memuliakan tetamu.

Baginda meneruskan perjalanannya dan menyamar sebagai seorang musafir. Baginda singgah disebuah rumah dan menerima pelawaan tuan rumah yang mengajak baginda bermalam di rumahnya. Sebagai merai tetamu, tuan rumah itu menyembelih seekor kambing peliharaannya. Tuan rumah itu meminta anaknya untuk menghantar ke rumah jirannya sehingga berjalan ke seluruh kampung tetapi tidak ada yang mahu menerima kerana masing-masing sudah cukup makan dan menyuruh diberikan kepada orang yang lebih memerlukannya. Baginda bertanya kepada tuan rumah mengenai pemerintahannya.

Baginda berasa gembira apabila tuan rumah mengatakan Sultan Muhammad al-Fateh seorang yang baik walaupun masih muda tetapi mereka selamat di bawah pemerintahannya. Dan rakyat sayang kepadanya walaupun tidak pernah berjumpa dengan Sultan Muhammad al-Fateh.

Melancarkan serangan keatas Konstantinopel

Sultan Muhammad al-Fateh telah membahagikan tenteranya kepada lima pasukan iaitu setiap pasukan mengandungi 50, 000 tentera dengan diketuai oleh seorang ketua. Panglima Tharhan, Panglima Khalil Pasya, Panglima Hamzah Pasya dan Panglima Zaqhanus memimpin tentera laut. Pada hari yang ditetapkan berangkatlah 250, 000 tentera Turki dari Adrianopel menuju ke kota Konstantinopel. Baginda meniru cara pembukaan Kota Mekah oleh Nabi Muhammad SAW, apabila memilih jalan lain yang tidak pernah dilalui oleh sesiapa menyebabkan pergerakan mereka tidak dapat dikesan oleh tentera Rom.

Pada hari Khamis 6 April 1453, keempat-empat pasukan tentera tiba di kota Konstantinopel kecuali tentera jalan laut kerana kapal mereka tidak dapat memasuki Tanduk Emas kerana disekat oleh rantai besi raksasa. Pada keesokan harinya iaitu pada hari Jumaat bertarikh 7 April 1453, selepas solat Subuh tentera Turki berzikir beramai-ramai hingga suara mereka bergema sampai ke Kota Konstantinopel. Maharaja Konstantine dan tenteranya terkejut dan terpinga-pinga apabila mendengarnya.

Sebelum memulakan peperangan, Sultan Muhammad al-Fateh telah memberi dua pilihan kepada kepada Maharaja Konstantine iaitu memeluk Islam atau menyerahkan kunci Kota Konstantinopel. Tetapi Maharaja Konstantine memilih untuk berperang. Maka berlakulah serangan demi serangan yang memakan masa 53 hari. Apa yang menarik mengenai penaklukan ini ialah Sultan Muhammad al-Fateh telah memindahkan 70 buah kapal perang berlayar di atas daratan merentasi Semenanjung Fera lalu berlabuh depan Kota Konstantinopel. Bagaimana baginda dapat melakukan pelayaran di darat hanya dalam satu malam? Dalam peperangan ini, baginda juga menggunakan sejenis senjata yang ampuh iaitu meriam yang dikenali sebagai The Great Turkish Bombar..

Meriam yang digunakan semasa penawanan Kota Konstaninopel

Sebaik-baik raja

Pada 30 Mei 1453, akhirnya Kota Konstantinopel jatuh ketangan umat Islam. Sultan Muhammad al-Fateh telah menukar Kota Konstantinopel kepada nama Islambol (Islam keseluruhannya) atau dikenali kini sebagai Istanbul. Baginda menukarkan Gereja Aya Sophia kepada Masjid Aya Sophia. Apabila tiba hari Jumaat, mereka bersedia hendak mengerjakan Solat Jumaat tetapi gurunya, Syeikh Syamsudin al-Wali menolak untuk menjadi Imam. Maka Sultan Muhammad al-Fateh telah mengumpul tenteranya di hadapan Masjid Aya Sophia.

Baginda berseru, “Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat fardu lima waktu, sila duduk!”. Ternyata tiada yang pernah meninggalkan solat fardu kerana tenteranya tiada yang duduk.

Baginda menyeru lagi, “Siapakan antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk.” Separuh antara tenteranya duduk.

Kemudian Sultan Muhammad al-Fateh bertanya lagi, “Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajud, sila duduk!” Semua duduk, kecuali seorang. Dia adalah Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Jadi, Sultan Muhammad al-Fateh paling layak menjadi imam.

Masjid Aya Sophia merupakan sebuah gereja sebelum penawanan Kota Konstantinopel. Kini masjis Aya Spohia merupakan sebuah muzium di Turki.

Istana Topkapi merupakan kediaman Sultan Muhammad al-Fateh setelah menawan Kota Konstantinople.

Makan Syuhada, Abu Ayub al-Ansari

Selain itu, misi baginda di Kota Konstantinopel ialah mencari makam Syuhada, Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat Nabi Muhammad SAW yang syahid semasa menyertai peperangan menawan Konstantinopel di zaman Bani Umaiyyah. Abu Ayub al-Ansari membuat wasiat supaya dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Konstantinople. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab,

"Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut & aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda."

Ketika berada di kemuncak kegemilangan, Sultan Muhammad al-Fateh memerintah 25 buah negeri. Baginda mangkat akibat diracun oleh seorang Yahudi ketika membuat persiapan menakluk Rhodesia. Sultan Muhammad al-Fateh mangkat pada 3 Mei 1481 ketika berumur 49 tahun.

Untuk mengetahui secara keseluruhan di sebalik kisah penaklukan Kota Konstantinopel, pelayaran 70 buah kapal di darat dalam satu malam dan pencarian makam syuhada Abu Ayub al-Ansari oleh Sultan Muhammad al-Fateh, anda boleh membacanya Novel sejarah Islam Sultan Muhammad Al- Fateh (Penakluk Konstantinopel) serta membaca rujukan tambahan (Klik Sumber). Semoga ada manfaatnya kepada kita....
sumber

Sumber 2

Sumber 3

1 comment: