Saturday, November 23, 2013

Tempias Hujan

22/11/2013 (Jumaat)

Ketika dinihari, jam di dinding menunjukan pukul 3.10 pagi. Aku masih berusaha dan mencuba untuk key in PBS. Kepala dah mengantuk dan badan mula letih tapi aku paksa diri jua untuk menyiapkan PBS. Suamiku yang sudah tidur berbunyi kedengkuran.

Di luar rumah sewaku hujan mula turun. Angin bertiup kencang dan hujan semakin lebat. Angin yang bertiup disertai rintik hujan menghala masuk ke tingkap di rumahku. Ohh tidak, banjir! Tempias hujan mula membasahi lantai rumahku dan menyebabkan rumah sewaku di tingkat tiga ini mulai dibanjiri air.

Aku terpaksa mengerakan suamiku untuk bangun dari tidur. Aku menyuruh suamiku untuk mengalih tilam yang berhampiran tingkap ke tempat lebih selamat. Baju di ampaian terpaksa aku angkat. Suamiku membentangkan surat khabar di lantai kawasan tempias agar mengurangkan kadar pengaliran air hujan. Suamiku mencapai mop lantai dan mengemop lantai di bilik utama dan ruang tamu rumah sewaku.Akhirnya, kerja mengemop rumah selesai pukul 4.00 pagi.

Ini bukanlah peristiwa pertama rumahku dilanda tempias hujan cuma kali ini kadar air hujannya agak tinggi dan menyebabkan banjir dalam rumah. Inilah realiti sebenar sekiranya tinggal di rumah flat yang puratanya penghuni rumah berpendapatan rendah. Sebelum ini, aku juga pernah menyewa di rumah flat kawasan lain yang agak jauh dari sekolah dan perkara ini biasa berlaku sekiranya hujan lebat dan angin menuju kearah tingkap rumah. Oleh sebab itulah, aku tidak meletakkan perkasasan dan perabot berhampiran tingkap.

Aku meneruskan kerjaku untuk menyiapkan key in PBS dan suamiku mulai menyambung tidur. Kalian yang membaca entri ini jangan salah faham. Aku bukanlah seorang guru yang suka melakukan kerja di hujung waktu @ melambatkan kerja. Aku selalu key in prestasi pelajarku mengikut bulan cuma yang sedang aku key in ini ialah prestasi band pelajar bulan 9, 10 dan pelajar yang tercicir @ penambahbaikan prestasi band pelajar. Prestasi kokurikulum seperti UBU, kelab dan sukan perlu di key in dihujung tahun kerana baru kita dapat prestasi keseluruhan pelajar. Manakala SEGAK perlu di key in di awal dan pertengahan tahun. Memandangkan aku mengajar subjek Geografi dan Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan aku perlu key in 8 kelas yang purata satu kelas 35 - 37 orang pelajar. Dan eviden yang perlu di 'tik' bukanlah satu tetapi berpuluh juga.

Memandangkan sistem yang sangat perlahan, kadangkala tidak dapat diakses  menyebabkan banyak kerja tertangguh. Aku yang menurut perintah, akur dengan tangunggjawab dan amanah ini. Aku berharap sangat agar ditambahbaikan sistem PBS ini untuk kepentingan pelajar dan mesra pengguna untuk para guru sekalian pada masa akan datang.

Aku sudah tidak mampu bertahan lagi. Aku perlu rehat yang cukup untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Semoga Allah SWT memberikan kita kesabaran yang tinggi serta kesihatan yang baik. Amin..

Selamat malam semua...


Friday, November 22, 2013

Pengawas SPM 2013

Assalamualaikum,

Rasanya sudah lama tidak menulis dan mengemaskini blogku ini. Bukan menjauh diri cuma kesibukan menyebabkan tidak berupaya mencari masa untuk mencoret di blog ini. Banyak yang ingin dikongsikan tetapi semuanya hilang bersama masa lalu yang tidak boleh diputarkan kembali.

Alhamdulillah, cuti persekolahan sudah bermula dan yang pasti seronok mestilah pelajarkan. Yelah, dari Januari hingga November pergi sekolah untuk menuntut ilmu, masuk ke kelas untuk belajar, membuat ulangkaji di rumah, menghadapi peperiksaan dan melaksanakan PBS sepanjang tahun. (Masih melaksanakan kerana terpaksa key in sehingga kini dan mungkin awal tahun hadapan)

Mesti ibu bapa dan guru-guru berkira-kira untuk membawa anak-anak dan keluarga bercuti. Aku pun sudah merancang destinasi percutianku bersama suami tercinta. JB @ Johor Baharu pilihanku kali ini kerana aku ditugaskan untuk menjadi 'Pengawas SPM' di sekolah hujung benua di daerahku.

Walaupun perjalanan memakan masa lebih setengah jam, minyak kereta pun 'parak' tetapi kami hanya layak menerima elaun perjalanan. Kawan aku ada mengira keseluruhan yang bayaran yang kami perolehi, tetapi tidak berbaloi dengan masa yang terpaksa dikorbankan masa cuti sekolah ini. Bukan tidak bersyukur tetapi faham je lah minyak kereta sudah naik dan barangan makanan pun dah naik.

Kadangkala kesian juga kepada pada suami yang terpaksa jadi 'bodyguard' pula. Suami terpaksa menunggu dan tidak pulang ke rumah kerana jarak perjalanan yang jauh, nanti membazir minyak kereta kalau ulang-alik.

Minggu pertama dan kedua, aku perhatikan pelajar-pelajar masih takut untuk keluar awal dari dewan atau bilik peperiksaan mungkin kerana ada guru yang mengawasi mereka. Tetapi masuk minggu ketiga, makin ramai pelajar yang keluar awal dari dewan peperiksaan. Setengah jam menjawab soalan peperiksaan sudah ada pelajar yang sudah keluar awal. Apabila disemak skrip jawapan, masih ada tempat kosong yang tidak dijawab. Kalau seorang sudah keluar, mulalah pelajar lain gelabah juga untuk keluar awal sehingga tidak sempat membuat penyemakan jawapan mereka.

Tidak sepatutnya perkara ini berlaku. Hampir dua tahun belajar tetapi apabila di dewan peperiksaan sanggup pelajar ini mempersiakan peluang mereka. Sekurang-kurangnya buatlah penyemakan dua, tiga kali sebelum keluar peperiksaan sekiranya ingin keluar awal.

Untuk pelajar SPM tahun ini, masa yang ada jangan dipersiakan. Berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah S.W.T. Buatlah yang terbaik untuk diri sendiri, ibu bapa dan guru anda. SPM bukanlan penamat segalanya tetapi batu loncatan untuk terus berjaya di masa hadapan.

Good Luck for SPM students. Selamat bercuti kepada pelajarku dan rakan guru sekalian.




Saturday, August 3, 2013

Majlis Khatam Al-Quran 2013 & Program Penghatan Nilai Murni

Hari ini, 24 Ramadan 1434 H maka genaplah 24 hari umat islam berpuasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Hari Jumaat penghulu segala hari merupakan jumaat terakhir di bulan Ramadan tahun ini dan juga merupakan hari terakhir persekolahan. Alhamdulillah, isnin diisytiharkan hari cuti peristiwa manakala selasa pula cuti berganti yang akan digantikan pada 24 Ogos 2013.  Syukurnya dapat bercuti raya selama 2 minggu dan yang pasti budak-budak tak sabar bercuti hingga hari rabu pun dah ramai pelajar yang ponteng sekolah...

Hari ini sekolahku mengadakan Majlis Khatam Al-Quran untuk pelajar Islam dan pelajar bukan islam pula menghadiri Program Penghayatan Nilai Murni 2013. Aku dapat melihat pelajar-pelajarku segak berbaju Melayu dengan samping macam dah tak sabar menyambut lebaran. Opps jangan salah faham... mereka ini pelajar yang terlibat dengan Majlis Khatam Al-Quran. 

Sayangnya, aku tidak dapat mendengar bacaan Al-Quran anak-anak muridku kerana tahun ini aku ditugaskan untuk memantau kawalam disiplin pelajar India di makmal fizik. Pelajar ini mendengar ceramah motivasi daripada palajar UTM.  Manakala kumpulan india yang ditempatkan di makmal fizik pula mendengar ceramah daripada anggota polis. Tergiang-giang juga di telinga ini, selepas mendengar ceramah daripada anggota polis ini, ramai pelajar yang insaf. Semoga berkekalanlah keinsafanya bukan seperti pepatah Melayu 'hangat-hangat tahi ayam', insaf hanya sekejap, lepas 2@3 minggu ulang balik perbuatan lama...

Seperti pelajar India, pelajar cina juga mendengar ceramah penerapan nilai murni di makmal biologi. Agak melalaikan pelajar pelajar Cina di kantin didendangkan dengan hiburan nyayian yang berunsur K-Pop.. Apapun, semoga pelajar yang terlibat mendapat manfaat daripada program anjuran sekolah ini.

Selepas majlis Khatam Al-Quran, tradisi sekolah pelajar Islam akan bersalam dengan guru-guru mereka. Cuma aku dan beberapa orang guru tidak dapat turut serta kerana menjalankan tugas lain. Alhamdulillah, sempat juga aku ke kelas 1 Bestari untuk mengambil kehadiran pelajar tetapi diberi layanan istimewa oleh pelajar yang tak sabar-sabar hendak bersalam dengan aku untuk meminta maaf dan mengucapkan selamat hari raya... Aku sungguh terharu dengan sikap-sikap pelajarku ini.... Cikgu sayang kamu semua..

Sedih juga petang itu, GPK Petang sekolahku, berbesar hati untuk belanja kami iftar di hotel di JB. Sayangnya, aku tidak dapat turut serta... Aku rasa sangat bersalah kerana tidak dapat turut serta. Terpancar wajah pengharapan Kak Aween, Kak Liza, K. Azzah untuk aku turut serta tetapi aku benar-benar tidak dapat ikut sekali. Beria-ia kak Noralizah hendak tahu kenapa aku tidak dapat pergi tetapi itu biarlah menjadi rahsiaku.. Lagipun aku dah beri kuoataku kepada suami kak Suhaini... 

Maafkan aku wahai sahabat-sahabat sesi petang yang begitu ‘happening’. Aku pun tak tahu tahun hadapan adakah kita masih dapat berpuasa dan berbuka puasa sama... 

p/s: Saat ini aku keseoranga. Aku terpaksa menunggu suami tercinta menjemputku Ahad ini.. Kalau masih bujang, pastilah aku orang paling awal pulang kekampung. Semoga Allah memberkati  dan melindungi perjalanan kami...

Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua. Saya mohon maaf zahir dan batin..

Sunday, May 5, 2013

Petugas Pilihan Raya 2013

Pilihan Raya Umum (PRU) perlu dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun untuk memilih wakil-wakil rakyat yang akan mewakili rakyat Malaysia di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. 

PRU 13 telah dilaksanakan pada 5 Mei 2013. Mandat pun sudah diketahui. Jadi kepada pemimpin yang menang pilihan raya haruslah melaksanakan tanggungjawab dengan telus dan amanah. Rakyat sudah memilih jadi tidak perlu kita kecoh, laksanakan tanggungjawab dan cuba perbaiki diri agar dapat memenangi hati rakyat untuk PRU akan datang..

Pengalaman menjadi petugas pilihanraya suatu pengalaman yang amat bermakna..

Sedikit coretan di hari pengundian....

Dari sewal pagi lagi, aku menunggu kawanku menjemputku ke tempat pembuangan undi iaitu sekolah tempatku mengajar. Aku, Diana, Ooi dan Fuad dan ketua kami En. Harun bertugas di saluran 5 iaitu umur pengundi antara 30 - 40 tahun.

Tempat pembuangan undi dibuka pukul 8.00 pagi, jadi kami perlu menyiapkan tempat pengundian secepat yang mungkin. Kami perlu memetri kotak pembuangan undi, menyemak kertas undi, menampal label, menampal poster berkaitan antaranya poster penggunaan dakwat kekal dan langkah pengundian.

Di tengah-tengah kesibukan kami untuk menyediakan tempat pembuangan undi, kami didatangi oleh 3 wakil calon yang bertanding pilihanraya yang akan memerhati ketelusan sistem pilihan raya di Malaysia. Wakil-wakil ini menandatangi stiker yang di pateri di kotak undi untuk memastikan kotak undi itu kosong sebelum pengundi membuang undi.

Pagi itu, kami sememangnya sibuk selepas menerima kehadiran pengundi yang pertama, kedua dan seterusnya. Kami semua bergilir-gilir membahagikan tugas pengkeranian pilihan raya. Antaranya, menyemak nama pengundi dan memotong di buku daftar pemilih; menyebut dengan kuat nama dan nombor kad pengenalan pengundi (supaya dapat didengari oleh ejen); mengecop diantara no siri dan kertas pengundian) dan menyapu dakwat kekal di jari telunjuk kiri pengundi.

Pengundi mulai ramai dan sesak bermula jam 9 - 12 tengah hari. Kami dijamu makanan tengahari dengan nasi, ayam masak merah dan sayur kobis yang dibungkus polisterin dan air teh. Kami bergilir keluar untuk makan tengahari.  Pengundi mulai lengang bermula jam 2 petang.

Macam-macam ragam yang dapat aku perhatikan semasa pengundian. Kami ada menerima pengundi yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat kekal dan meminta untuk tidak di sapu dakwat, ada yang mengecop jari dengan dakwat di atas kertas undi. Ada juga pengundi yang tidak faham bahasa Melayu dan kelihatan binggung seperti tidak tahu prosedur pengundian.

Pusat pengundian tutup tepat jam 5.00 petang. Kami mula bertungkus lumus untuk mengira kertas undi. Kami mula meletakkan kotak pengiraan undi  yang dilabel dengan logo parti bertanding, kotak ragu dan kotak rosak. Kami perlu mengangkat dan menyebut nama parti yang dipangkah pengundi untuk didengari oleh wakil calon. Untuk kertas undi yang ragu dan rosak kami memasukkan kertas undi dalam kotak yang dilabelkan tadi. Selesai mengasingkan kertas undi, kami berbincang sama ada menerima atau menolak kertas undi yang diragui.

Selesai tugas mengasingkan kertas undi, proses seterusnya ialah pengiraan kertas undi calon bertanding. Kerja ini kami lakukan dengan berhati-hati agar tidak berlaku kesilapan pengiraan kertas undi. Kertas yang telah dikira akan diikat dengan getah dan dimasukkan dalam kotak undi yang akan dipatri.

Perut sudah berbunyi dan kelaparan. Maklumlah makan hanya disediakan untuk tengah hari sahaja. Badan pula rasa penat. Akhirnya, kerja pengiraan undi selesai pukul 8.30 malam. Kami bekerjasama mengemas bilik pengundian dan pulang ke destinasi masing-masing.

Itulah sekadar coretan peribadiku mengenai pengalaman menjadi kerani mengira undi. Mungkin orang lain ada cerita tersendiri pula. Inilah hari yang panjang bagi diriku...
Semoga Allah S.W.T menerima ibadah kita keranaNya. Amin...




Saturday, May 4, 2013

5 Mei...Aku bertugas...

Esok 5 Mei, tarikh yang amat ditunggu oleh rakyat Malaysia, hari pembuangan undi...

Aku sudah pun memangkah calon pilihanku.. hehe aku telah melaksanakan tanggungjawabku sebagai rakyat Malaysia walaupun undi ku berbentuk UNDI POS.. harap2 undi pos ku akan tiba ke Pahang..

Esok aku akan bertugas sebagai petugas spr.. Pengalaman mungkin sekali dalam hidup.. Cukuplah sekali je lah..Semoga perjalan esok berjalan lancar dan telus...

Sukar untuk membuat pilihan.. Perlu selidiki calon baru boleh buat pilihan yang wajar untuk menyokong parti mana.. Aku tanya pendapat ayahku sebelum memangkah kerana ayahku lebih mengenali calon yang bakal menjadi wakil rakyat... Semoga pilihanku betul...

Esok sebelum mengundi solat dulu istikarah.. Semoga Malaysia terus aman dan damai. Pemimpinya menjalankan amanah yang diberi serta mendaulatkan agama islam, bangsa dan negara..

SELAMAT MENGUNDI....

Saturday, November 3, 2012

Kecewa

Kecewa memang kecewa, apabila permohonan untuk bertukar tidak diluluskan. Kecewa tapi tidak pernah bermaksud berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T. Mungkin ada hikmahnya, Allah S.W.T belum mengabulkan doa hambaNya.

 Gambar ini diambil di Fb....

Tapi pelik lagi menghairankan permohonan kali ini, ramai guru-guru yang tidak dapat pindah! Walhal, permohonan perpindahan hujung tahun biasanya ramai guru yang dapat pindah macam tahun-tahun sebelumnya. 

Pelik jugak apabila pada pertengahan tahun 2012, ramai guru yang dapat pindah terutama guru-guru yang menggunakan alasan mengikut suami. Padahal ada yang baru 'posting' tidak sampai setahun pun di sekolahku dapat pindah pada JUN 2012. Bersangka baik, mungkin rezeki anak....  Harap-harap tahun hadapan aku dapat pindah dengan alasan yang sama mengikut suami. Semoga dipermudahkan Allah SWT.

Aku ada juga menjengok laman fb mengenai pertukaran guru, ada yang hendak pindah masuk Johor pun tak dapat sedangkan negeri Johor banyak cikgu-cikgu yang hendak keluar pindah dari Johor. Kesian juga ada cikgu yang 10 tahun terpisah dengan suami, hidup berjauhan dan anak-anak membesar tanpa kasih sayang dan pengawasan ayah sepenuhnya pun tidak dapat pindah. Kesian cikgu-cikgu ini terpaksa berjauhan dengan suami, isteri dan anak-anak. Sampai bila mereka harus berjauhan dan terlepas memikul tanggungjawab kepada keluarga? Sampai bila mereka perlu 'membakar diri' menerangi hidup orang lain, sedangkan diri sendiri terkorban!

Ya Allah, Engkau permudahkanlah pertukaran cikgu-cikgu ini semua... 

Adakah ini ada kaitan dengan kronisme dan penggunaan 'kabel'? Siapa yang mempunyai 'kabel' mudahlah pertukaran mereka walaupun mengambil hak orang lain? Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan dicatat oleh malaikat dan akan dihitung di Padang Mahsyar nanti... Ingatlah dunia hanya sementara, akhirat jua tempat kembali kita semua.. 

Aku hanya mampu BERDOA kepada Allah S.W.T, yang hanya kepadaNya aku sembah dan meminta pertolongan..

Betul ke pertukaran kali ini ada kaitan dgn PRU 13? Apa-apa pun aku tidak berminat dengan politik dan tidak menyokong mana-mana parti politik! Tapi aku tetap mengikut arahan untuk menjadi petugas pilihan raya.. Undi kan rahsia....

P/S: InsyaAllah, April 2013 aku akan mencuba lagi.... Semoga Allah SWT mempermudahkan pertukaranku nanti...Amin. Aku membawa hati yang lara ini ke puncak banjaran Titiwangsa... Cameron Highland wait for me ok!


Thursday, November 1, 2012

Hampa belaka...

Masa semakin suntuk. Sesi persekolahan akan berakhir seminggu lagi dan pengisian markah PBS harus diselesaikan sebelum aku bercuti pulang ke kampung...

Cubaan dan dugaan betul dari awal pelaksanaan PBS hingga kini...

Sebulan lebih aku tidak mengemakini blog kerana disibukkan dengan PBS !

 Aku bertungkus lumus menanda, menyemak dan memilih eviden yang terbaik sehingga bangun tidur, balik dari sekolah dan sebelum tidur yang aku lakukan hanya menghadap PBS. Al-maklumlah, aku tiada TV untuk ditonton. Hujung minggu pun, aku masih melakukan kerja PBS. Aku ada juga datang ke sekolah pada hujung minggu hanya kerana PBS. Huhu....

Alhamdulillah, minggu lepas aku baru menyiapkan pengisian 'eviden' terbaik pelajar dalam fail perkembangan murid dengan bantuan pelajar. Aku mengajar 7 kelas Geografi dan 2 kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (perempuan). Kalau tidak dibantu 5 pelajar yang setia ini, mahu rasa nak patah tulang dibuatnya nak memasukkan semua eviden pelajar ke dalam fail mereka.

PBS bukan menjimatkan kertas, tapi menghabiskan banyak kertas

Aku pulang beraya Hari Raya Haji/Korban dengan hati yang gembira.... Tetapi aku terkilan juga kerana penguman egTukar telah dipinda pada 3 November. Aku berharap sangat aku dapat bertukar dari daerah ini dan negeri ini.... Aku keseorangan dan kesepian di daerah ini...

Kedengaran azan Subuh berkumandang.

Niat di hati untuk menyiapkan pengisian markah PBS online kerana aku perlu menyiapkan sebelum cuti sekolah bermula. Tetapi talian online macam siput. 'Anda akan disambungkan ke aplikasi SPPBS. Sila tunggu sebentar. Tunggu punya tunggu, tak keluar juga paparannya. Asyik berpusing je 'connecting'.....Kadangkala 'Oops! This page appear broken....! Lagi menyakit hati, 'Service Unavailable'..... Huh buat 'hampeh' je... Aku tak nak sia-siakan usiaku di hadapan komputer...

Aku perlu 'print' penilaian sumatif setiap pelajar dan memasukkan dalam fail mereka. Banyak kertas dan 'ink printer' yang perlu dikorbankan sendirian berhad....

Sabarlah, semoga kebaikan yang diberi, Allah akan membalasnya dengan lebih baik... Moga-moga ada berita gembira menantiku...

p/s: Dari 4.50 pagi online PBS tadi, tapi masih 'loading' je.. Ingat awal pagi macam ini 'line clear' tapi hampa belaka.... Online dengan Allah lagi bagus. Jom solat Subuh di awal waktu...