Monday, February 27, 2012

TERSENTAP

Hari ini dan akan mendatang.. bersedialah menerima SLIP GURU GANTI. Kenapa? Mulai esok hingga Sabtu ini (Sekolah Ganti), ramai guru yang terlibat dengan MSSD. Ada yang bertugas sebagai pengiring pelajar dan ada juga bertugas sebagai juru teknik di padang.

Sabarlah wahai hati, bekerja lebih masa tambahan. Paling maksimum pun mengajar enam masa sehari, tapi kalau ramai cikgu tiada bersedialah terima satu @ dua Slip Guru Ganti (Tujuh atau lapan masa).Dah tiga orang guru bersalin, cuma yang dapat pengganti hanya seorang sahaja... Senyumlah kepada pelajar yang memberi kertas itu sambil berkata, terima kasih. (Tapi dalam hati berkata "alah dapat RELIEF (Menggantikan guru yang tiada di sekolah) lagi", "tak sukanya masuk kelas ni"... Sabar je lah, tolang-menolong amalan mulia.

Hari ini, terpaksa masuk kelas RELIEF lagi, kelas yang tercorot, 2 Harmoni. Pelajarnya terdiri daripada kaum Melayu dan Cina. Suasana bising. Aku mengarahkan mereka membuat ringkasan yang telah ditinggalkan oleh guru Bahasa Melayu mereka. Tajuknya, "Cinta akan negara". Nampaknya, perasaan kecintaan mereka pada negara, semakin pudar. Bila ditanya, "Tak faham, bahasa Melayu". Lepas itu, mempersendakan guru yang sedang bertanya dengan mereka dalam bahasa Melayu. Sabar-sabar. Banyakkan doa kepada Allah S.W.T. Redakan kemarahanmu. Mereka orang yang tidak mengerti Bahasa Melayu.

Kringgggggggg... Bunyi loceng menandakan tamat waktu ke tujuh. Aku keluar kelas dengan muka yang kelat. Amirul Eizlan, pelajar 2 I menegurku, senyumlah cikgu. Aku memandangnya dan meruskan perjalanan ke bilik guru. Erm..Kalau tengok cermin, mesti masam muka aku ini.

Tiba-tiba perjalanan aku terhenti. Sekumpulan pelajar Melayu sedang berkumpul di tepi tangga. Perlukah aku membuat tidak cakna? Tak, perlakuan mereka harus ditegur. Aku menegur mereka supaya bersurai daripada tangga kerana ada pelajar lain yang ingin melalui tangga tersebut.

"Nantilah cikgu, kitaorang hendak betulkan tudung" kata salah seorang pelajar.
"Tolonglah, bersurai dari tangga ini. Kamu semua boleh masuk ke kelas" kataku pada mereka. Tetapi mereka masih tidak mengendahkan arahan aku.

"Tak, elok anak dara duduk di tangga, nanti tak laku" Aku menyampaikan
pesanan orang tua kepada mereka.

"Cikgu yang tak laku" kata salah seorang pelajar.

TERSENTAP aku mendengar kata-kata pelajar itu. Aku terus menarik tangan salah seorang daripada mereka dan membawa ke bilik disiplin. Aku meminta dia untuk mengisi borang DEMERIT. Tiba-tiba datang kumpulan pelajar tadi.

"Cikgu bukan dia yang cakap macam tu tadi." Kata pelajar itu, sambil mengambil borang demerit daripada tangan pelajar tadi.

"Baguslah, kamu berani untuk mengaku kesalahan. Cikgu pun tak nak tersalah hukum" kataku padanya

"Saya tak nak adik saya di salah hukum" katanya sambil menulis di borang DEMERIT itu.

Aku mengambil borang demerit itu dan meminta semua pelajar bersurai kembali ke kelas. Nur Fariena, pelajar yang masih muda dan baru di tingkatan 2 tetapi melakukan sesuatu tindakan tanpa memikirkan akibat perbuatanya.
Bak kata orang dulu, "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".

Aku amat terasa dengan kata-katanya yang melukakan hati ini dan membuatkan aku SEDIH. Tapi ku pujuk jua hati ini, bersabarlah kerana dia masih mentah dan tidak mengerti cara menghormati orang lebih tua. Semoga suatu hari nanti, pelajar ini akan berubah dan mengerti kata-kata pesan orang tua yang kusampaikan padanya.

"
anak dara tak elok duduk ditangga, nanti takde orang nak masuk meminang"

Maksudnya: Tegahan berkenaan adalah satu peringatan meninggalkan kebiasaan berkenaan dalam bentuk kiasan yang berkesan, kerana amaran tidak dipinang orang adalah merupakan satu sindiran yang menjelaskan tentang 'keburukan gadis tidak menemui jodoh' disebabkan akhlak yang buruk kerana tidak menjaga aurat bagi wanita sehingga 'tidak ada lelaki mukmin untuk meminangnya" kerana mengamalkan 'bersidai- tidak menjaga aurat' disamping berbual-bual sesama wanita yang ditakuti banyak mengata dan mengumpat.
sumber: Tranungkite Online

Gambar hiasan semata-mata ye...

Thursday, February 23, 2012

Penatnya

Hari Rabu, 22 Februari 2012

Awal pagi, aku bersiap-siap untuk ke sekolah menghadiri aktiviti latihan rumah sukan Exora (Jingga). Pukul 7.30 pagi, pelajar berkumpul di padang. Hari ini, kedatangan pelajar amat mengecewakan. Hanya 23 orang pelajar daripada 135 pelajar rumah sukan Exora yang hadir latihan. Pelajar perempuan tingkatan 2, hanya dua orang sahaja yang hadir. Sedih rasanya melihat kesungguhan guru yang hadir sehingga mengorbankan masa bersama keluarga tetapi pelajar tidak menghargainya.

Seperti biasa, sebelum memulakan aktiviti sukan, pelajar diminta untuk memanaskan badan dan kemudian membuat tiga larian pusingan padang. Hari ini, aku menyuruh mereka membuat latihan lompat tinggi. Melihat daripada prestasi, ermm... kurang atlet rumah Exora yang berpotensi untuk ditengahkan. Hanya Hikmal seorang sahaja yang mampu melepasi setiap halangan ketinggian.

Pukul 9.30 pagi, aku, kak Zarina dan GPK petang bergerak menuju ke rumah pelajar kelas aku, Syafiq yang terlibat dengan kemalangan langgar lari di hadapan sekolah. Mujurlah pelajar itu,
selamat dan luka ringan sahaja. Tetapi teruk juga luka di mukanya. Semoga Syafiq cepat sembuh. Harap-haraplah, permohonan untuk membina bonggol di hadapan sekolah diluluskan pihak berwajib supaya tiada lagi kemalangan berlaku di hadapa sekolah. Ermm... teringat bekas guru GSTT, pernah kemalangan dihadapan sekolah itu. Kesian juga, patah kakinya tetapi sekarang alhamdulillah dah boleh jalan.

Sampai rumah pukul 10.45 pagi. Berehat sebentar. Pukul 12.00 tengah hari hendak pergi sekolah.

Hari ini, p&p masuk tajuk baru, BENTUK MUKA BUMI. Aku membawa ABM peta kosong Malaysia, peta rangkaian gunung dan banjaran di Malaysia (aku lukis sendiri semasa menjadi guru praktikal) dan 'draw map template' negara Malaysia. Aku suruh pelajar aku melukis peta Malaysia. Tujuannya, pelajar mampu mengenal pasti negeri-negeri yang terdapat dalam peta Malaysia supaya mereka mudah faham apa yang aku sampaikan terutama yang melibatkan peta.

Tahun ini, Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sepatutnya bermula. Kawanku dari sekolah lain ada bertanya, tetapi macamana nak laksanakan andai tiada maklumat dan taklimat disampaikan pada guru yang melaksanakan dasar tersebut.

Selepas rehat, mengajar empat waktu berturut-turut di kelas 1 PK dan 1 I. Masuk waktu terakhir di kelas terakhir memang memenatkan kerana terpaksa mengawal pelajar yang tidak sabar-sabar hendak pulang ke sekolah. Dua orang pelajar mula menunjuk belang, tidak patuh arahan dan tidak menyiapkan setiap nota dan latihan yang diberi. Macamana nak selesaikan masalah pelajar yang tidak berminat belajar ini?????

Hari Khamis, 23 Februari 2012.

Hari ini pun aku kepenatan juga. Seperti biasa, aku mengajar bersungguh-sungguh kerana niat Allah Ta'ala. Tak naklah, makan gaji buta tetapi mencari keberkatan pada rezeki yang diberiNya.

Hari ini, aku geram betul dengan pelajar kelas 1 D.
Seperti biasa, sebelum balik mereka akan mengangkat kerusi atas meja. Itu betul tetapi kenapa tidak mendengar bunyi loceng? Kenapa pulang ikut pintu belakang dan tidak mengucapkan 'terima kasih'. Mana sikap hormat dan berterima kasih mereka pada seseorang yang telah memberi mereka sesuatu 'ilmu' yang mungkin bermanfaat pada suatu hari nanti.

Wahai sekian pelajar, hormatilah seorang guru. Mereka semua ikhlas untuk mengajar kamu semua untuk menjadi manusia yang berguna. Amalkan budaya mengucapkan terima kasih untuk setiap pemberian... Tunjuklah pada dunia, yang kita bangsa yang mudah mengucapkan 'terima kasih' tanda bersyukur atas setiap pemberian yang diterima...

Sekadar menulis mencoret diari kehidupan ini.... Semoga ada manfaatnya..




Thursday, February 16, 2012

PETA

Alhamdulillah, walaupun pagi semalam 'kesedihan' tetapi Allah Maha Penyayang.

Aku pergi ke sekolah seperti biasa pukul 12.00 tengah hari. Aku mula mengajar Tingkatan 1 E pukul 1.10 petang dengan niat mendidik pelajar menjadi manusia cemerlang di dunia & di akhirat. Aku lupakan 'masalah' yang sedang membelenggu diri ini apabila melihat keceriaan dimuka pelajar. Seperti biasa, rutin sebelum mengajar, aku akan melihat kerja rumah yang telah ku berikan kepada mereka. Ermmm... terpaksa aku buat macam ini, kalau tidak mesti ada yang terlepas pandang kerja yang telah kuberikan.. TIDAK SIAP NOTA @ LATIHAN laaa...

Aku catit nama pelajar tersebut dan sebagai denda aku suruh mereka berdiri sehingga siap kerja aku. Aku perhatikan ada dua atau tiga orang pelajar yang tegar melakukan kesalahan yang sama. Pelajar macam ini, walaupun sudah diberi banyak kali peluang untuk menyiapkan kerja, tetapi masih tidak menyiapkan kerja, BORANG DEMERIT yang ku hulurkan sebagai PERINGATAN walaupun kadangkala aku simpan sahaja borang ini.

Pukul 3.00 ada mesyuarat.. terpaksalah masuk mesyuarat sekejap. Aku tinggalkan pelajar dengan menyalin dan membuat nota semasa ketiadaanku dalam kelas.

Seusai mesyuarat 1 jam 30 minit tu, aku solat Asar sebelum masuk ke kelas 1 F. Aku perhatikan seorang pelajar lelaki cina murung. Kawanya kata ada masalah CINTA. Ermm... budak sekarang ini, kecil-kecil disibukkan dengan masalah cinta sehingga menjejaskan pelajaran mereka. Aku tegur pelajar itu, siapkan kerjaku.

Selepas kelas 1 F, aku masuk mengajar 1 D pula. Aku perhatikan, kalau waktu hendak pulang dari sekolah pelajar lebih aktif sikit. Ada seorang pelajar menegur aku. "Cikgu pakai cantik ni, hari ini birthday cikgu ke?" Aku senyum je... "Taklah, hari ini, bukan birthday cikgu"

Nampak sangat pelajar suka memerhati cikgu terutama cara berpakaian dan sahsiah cikgu. Ermm...kalau begini kena lah selalu pakai baju cantik, boleh "celebrate birtday" selalu.

Kemudian, aku tunjukkan mereka KAD PERKAHWINAN. Ada pelajar yang tanya, " Cikgu nak kahwin ke?" Hehe aku senyum sambil membuka kad tersebut dan berkata "Tak, cikgu nak mengajar tajuk PETA hari ini" Aku tunjukkan juga kepada mereka peta Negeri Sembilan dan peta bergambar Taman Tema Genting Highlands.

Contoh Kad kahwin

Aku mengajar mereka simbol dan singkatan yang terdapat dalam peta lakar. Aku tanya mereka Apa maksud B.P ini ? Merekaberlumab-lumba menjawab, Bandar Putra, Bandar Penawar, Batu Pahat..... Aku tanya mereka, kalau cikgu bawa ke tempat B.P ini nak ikut tak? Mereka kata, "Nak cikgu" Hehe, kemudian aku berkata B.P ini bermaksud Balai Polis, kamu nak ikut juga ke? Terus mereka berkata, "Tak nak lah, kalau macam tu".

Kemudian aku, menyoal mereka maksud simbol dan singkatan yang terdapat dalam buku teks GEOGRAFI TING 1.....Salah satu simbol menunjukkan SIMBOL PAGODA yang merupaka kuil untuk penganut agama buddha. Biasanya Pagoda ini berbentuk menara. Di akhir pengajaran, aku meminta mereka menghantar buku nota untuk disemak...


Pagoda atau Kuil Kek Lok Si di Pulau Pinang

Inilah sebenar kerja hakiki seorang guru... Menfokuskan keutamaan mendidik pelajar dan menyemak hasil kerja mereka.

Semoga Allah memberi ganjaran pahala kepada semua guru yang mendidik pelajar keranaNya.. Amin

Peta Negeri Sembilan (Aku dapat semasa menjadi guru praktikal dulu)

Wednesday, February 15, 2012

Air Mata... Menangislah..

Setiap hari aku melayari internet untuk 'key in' data pelajar secara online. Sistem yang baru diperkenalkan itu selalu menyusahkan aku sahaja. Bosan betul bila dia tulis "Tidak dapat sambung ke pangkalan data. Sila hubungi Admin". Tak dapat 'key in' maklumat ibu dan yang terbaru ini, semua data bapa pelajarku telah ditukar kepada nama seorang sahaja. Tak faham? Maksudnya dalam kelas aku terdapat seorang bapa sahaja iaitu Nurha*****

Dah awal tahun, aku dah 'key in' SMM pelajar sekarang dibebankan lagi dengan mengisi secara online plak..

Masalah kali ini, betul membuat aku menangis... Aku dah letih untuk menghadap aplikasi ini. Banyak kerjaku yang tertangguh. Aku nak kena buat soalan ujian 1 pada bulan 3 ni. Aku nak buat persediaan mengajar. Pagi semalam asyik nak 'mengupdate' data pelajar, sampai aku terlupa buat persediaan untuk mengajar. Dah la semalam kena datang awal, untuk mesyuarat (selepas mesyuarat mesti bertambah kerja perkeranian). Mujurlah aku sudah mengajar tajuk ini tahun lepas boleh la mengajar tetapi AKU TETAP TIDAK PUAS HATI kerana aku tidak memberi yang terbaik kepada pelajarku. Tugas utamaku, mendidik pelajar, bukan dibebankan dengan kerja perkeranian....

Air mata ini tumpah jua... Aku menangis, semasa mengedit kembali maklumat bapa itu... Tiada teman yang sudi tenangkan kegelisahan hati ini. Aku terus menangis teresak-esak sambil key in data sehingga LED 'broadband CELCOM' aku yang berwarna biru (3G) itu bertukar warna hijau (GPRS). Aku menyerah.... Aku tutup laptop. Aku baring sambil melayan perasaaan ini. Tiba-tiba, cahaya matahari yang terkena pada wajahku.

Lantas aku bangun, membersihkan diri dan ambil wuduk. Aku ingin mengadu masalah ini kepada Tuhanku, Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Tiada teman disisi, berjauhan dengan keluarga membuatkan aku ingin pergi dari daerah ini..... Hanya Allah yang sentiasa disisi. Ya Allah, bantulah hambaMu yang lemah ini. Sesungguhnya hidupku dan matiku kerana Allah Ta'ala... Perkenanlahkan doa hambaMu ini.. Amin...




Sunday, February 12, 2012

INGAT ADA ALLAH DI SETIAP WAKTU KITA

Jika SENDIRI jangan merasa sepi. Ada Allah yang MENGAWASI

♥ Jika SEDIH jangan pendam dalam hati. Ada Allah tempat BERBAGI

♥ Jika MARAH jaga fikiran & hati. Ada Allah tempat MENENANGKAN DIRI

♥ Jika SUSAH jangan merasa pilu. Ada Allah tempat MENGADU

♥ Jika GAGAL jangan putus asa. Ada Allah tempat MEMINTA

♥ Jika BAHAGIA jangan menjadi lupa. Ada Allah tempat MEMUJA


★ INGAT ADA ALLAH DI SETIAP WAKTU KITA ★


Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1433 H...

Cuti panjang sempena Maulidur Rasul dan Hari Thaipusam, aku manfaatkan dengan pulang ke kampung. Perjalanan yang panjang dan memenatkan. Seronok dapat balik kampug, dapat tengok TV Al-Hijrah. Malamya aku menonton filem 'The Message' cerita mengenai perjuangan Rasulullah S.A.W. tetapi aku masih terkenang drama "Qamar Bani Hasyim" dan " Flag of Truth" yang ditayangkan di Astro pada tahun lepas. Masih terbayang-bayang jalan cerita perjuangan Rasulullah dan sahabat baginda dalam menyebarkan Islam.

Pada 12 Rabiulawal 1433 H, seluruh negara menyambut Maulidur Rasul iaitu hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W.

"Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasullah itu satu tauladan yang baik, bagi orang yang percaya kepada Allah dan Hari Kemudian dan menyebut Allah (sebutan) yang banyak," (Surah Al-Ahzab:21)

Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sepanjang masa..

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 14 33 H...



Thursday, February 9, 2012

Ya Allah tabahkanlah hati ini...

Cinta Yang Dicari Pasti Akan Pergi, Cinta Yang Datang Pasti Akan Kekal Abadi

Aku tetap "TERTAWA" walau aku sebenarnya ingin "MENANGIS"..
Aku tetap "
TERSENYUM" walau aku sebenarnya "KECEWA"..
Aku tetap "
KUAT" walau aku sebenarnya "SUDAH LEMAH"..
Aku tetap "
SEMANGAT" walau aku "TERTEKAN" oleh masalah..
Dan yang terpenting ↓↓ Aku tetap
SABAR
dan memandang segalanya baik saja walau sebenarnya hatiku sedang
MERANA
kerana aku tahu Allah sentiasa disisiku..♥

Cahaya Aurora Hijau

Imej yang dirakamkan angkasawan yang menunjukkan cahaya aurora pada 25 Januari 2012


FLORIDA - Satu cahaya hijau yang dikenali sebagai Aurora Borealis dirakamkan oleh angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa pada 25 Januari lalu.
Imej itu dirakamkan dekat sempadan British Columbia dan negeri Washington berhampiran Pulau Vancouver di selatan Alberta berhampiran Calgary.
Cahaya itu terjadi akibat perlanggaran partikel yang telah dicaj. - Agensi
p/s: Cantik sangat ciptaan Allah S.W.T yang Maha Mencipta sesuatu...
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm