Monday, February 28, 2011

Satu sesi perkasa sekolah rendah

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Pengisian seperti di SBP beri peluang murid dapat pendidikan berkualiti

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sekolah satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan pengisian jadual waktu yang berkualiti secara optimum mampu memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) menjadi model sekolah berasrama penuh (SBP) ala harian.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata tidak mustahil SK menjadi pilihan atau rebutan untuk kemasukan kerana murid bukan saja berpeluang menikmati pengisian pendidikan seperti SBP, malah pada masa sama dapat memelihara ikatan kekeluargaan kerana tidak perlu berenggang.
Sambil menjelaskan waktu persekolahan sedemikian sudah dilaksanakan pada peringkat pendidikan menengah di negara maju seperti England, beliau berkata, Kementerian Pelajaran perlu mula membuat perancangan dan persediaan ke arah itu.

Katanya, pelaksanaan itu membabitkan peningkatan kos tetapi kerajaan perlu melabur untuk menjana generasi pelapis menjadi sumber manusia yang berkualiti dalam jangka panjang.

“Pengisian berkualiti memberi ruang saksama terutama kepada murid yang tidak mampu mengikuti tuisyen, untuk mendapat bimbingan tambahan melalui jadual waktu petang.

“Keselamatan murid juga terjamin berbanding mereka berkeliaran selepas waktu persekolahan tamat awal sehingga mudah terjebak dengan gejala sosial.
“Ibu bapa tidak perlu bimbang walaupun bekerja kerana anak lebih terkawal dan terbimbing di sekolah.
“Banyak kegiatan baik boleh disusun pada sebelah petang termasuk riadah, sukan, kokurikulum, program kerohanian seperti sembahyang berjemaah serta aktiviti kemahiran seperti komputer, ucapan umum dan debat,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, menyaran kerajaan melaksanakan persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tiada beban kerja berlebihan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ketika dihubungi berkata cadangan itu memerlukan kajian mendalam kerana membabitkan pelbagai aspek.

“Begitu juga untuk melaksanakan sepenuhnya sekolah satu sesi di seluruh negara, banyak perkara perlu diteliti, terutama dari segi peruntukan dan tapak tanah bagi membina lebih banyak sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Penilaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Subahan Mohd Meerah, berkata kajian terperinci harus dilakukan tetapi pelaksanaan secara rintis di sekolah tertentu wajar untuk mengenal pasti implikasinya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/03/01

Ganjaran guru besar bulan depan

Oleh Amirullah Andi Nur

Pendidik cemerlang diiktiraf

MERLIMAU: Seperti dijanjikan, 586 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah terpilih menerima ganjaran yang diperkenalkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil kecemerlangan meningkatkan pencapaian sekolah untuk melepasi sasaran yang ditetapkan.

Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima RM7,500, manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900.
Guru besar terbabit antara 925 atau 12.10 peratus bilangan sekolah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) di seluruh negara pada tahun lalu.

Ia diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis penyampaian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar, semalam.

Beliau mengumumkan ganjaran diberi kepada pengetua dan guru sekolah menengah selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan bulan depan.

“Pencapaian sebenar di luar jangkaan kerana sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran bagi penilaian 2010 adalah dua peratus. Peningkatan antara lain disebabkan peningkatan kualiti kepemimpinan dan tahap pengajaran serta pembelajaran guru

“Berdasarkan verifikasi, guru sekolah yang memenuhi semua kriteria untuk menerima ganjaran adalah 7.7 peratus, bertambah lebih 300 peratus berbanding sasaran awal,” katanya yang turut merasmikan sekolah bernilai RM28 juta itu.
Anugerah Tawaran Baru adalah satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan pada awal tahun ini di bawah NKRA Pendidikan bagi memberi ganjaran dan pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah.

Daripada 586 sekolah terpilih, 437 atau 74.32 peratus adalah sekolah luar bandar, selain Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Asli, SK Khas dan Sekolah Rendah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Muhyiddin berkata, sekolah dalam kelompok pertengahan atau gagal menepati sasaran skor komposit 84 peratus atau mengalami lonjakan dari aspek kedudukan tidak akan diabaikan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/03/01

Pelajar sekolah, IPT tak faham makna al-Fatihah

KUALA LUMPUR: Kajian mendapati ramai pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) masih tidak memahami erti bacaan al-Fatihah dalam solat mereka, kata Prof Emeritus, Datuk Dr Isahak Haron.

Tokoh akademik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, kajian menunjukkan lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Dua dari beberapa sekolah menengah serta penuntut sebuah universiti, gagal menjelaskan makna dalam bacaan al-Fatihah.
Beliau berkata, perkembangan itu jelas membimbangkan kerana pemahaman dan penghayatan makna bacaan al-Fatihah amat penting untuk memperoleh kekhusyukan dalam solat, sekali gus memberi lebih kesan ke arah pembentukan Muslim yang dituntut agama.

“Justeru, sistem pendidikan Islam di sekolah mesti menitikberatkan aspek pemahaman serta penghayatan dalam mengerjakan sembahyang, dan bukan hanya tertumpu kepada didikan pergerakan fizikal atau bacaan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini, semalam.

Seterusnya, Isahak berkata, pelajar Melayu dari Tahun Dua hingga Tingkatan Lima yang masih tertakluk kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dikhuatiri terus lemah dalam dua subjek kritikal itu.

“Mereka akan terus menjadi lost generation seperti kumpulan pelajar yang lalu. Bagi kira-kira 30 peratus pelajar yang gagal teruk dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah secara kumulatif, pendidikan di sekolah sudah tidak bermakna. Sekolah tempat mereka ‘gagal’,” katanya.

SUMBER:BERITA HARIAN, 2011/02/28

Jadual kerja anjal guru elak beban tugas lebih

Oleh Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan waktu persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tidak menanggung beban kerja berlebihan.

Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata jadual persekolahan selama lapan jam itu dapat memenuhi waktu harian pelajar secara berkualiti, selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.
Melalui pelaksanaan itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pentadbiran sekolah boleh menyusun pelbagai aktiviti berfaedah untuk mengisi jadual waktu petang setiap hari tanpa membebankan pelajar dengan pembelajaran akademik semata-mata.
“Antaranya, pelajar boleh menjalani aktiviti sukan dan kokurikulum, menyiapkan kerja rumah di bawah bimbingan dan pemantauan guru, mengikuti kelas tambahan bagi melonjakkan prestasi pencapaian mereka atau memasuki kelas pemulihan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

“Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran menarik pada sebelah petang seperti kelas seni untuk pelajar dalam aliran sains bagi menggalakkan lagi daya kreativiti.

“Dari segi jadual kerja anjal untuk guru, disarankan sebahagian daripada mereka bertugas mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bakinya dari jam 11 pagi hingga 4 petang ,” katanya selepas menghadiri Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, 70 peratus sekolah di negara ini sudah menjalankan sekolah satu sesi tetapi waktu persekolahan hanya dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menyebabkan ada pelajar mengambil kesempatan ruang masa selepas itu terjebak dengan gejala sosial kerana ibu bapa bekerja.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru permulaan diberi tempoh percubaan selama enam bulan di sekolah bagi memastikan kesesuaian sebenar mereka untuk menjadi pendidik dan jika tidak, wajar dicadangkan mereka mencari kerja lain.

SUMBER: BERITA HARIAN, 2011/02/28

Sunday, February 27, 2011

MBMBI mampu melahirkan generasi fasih Melayu, Inggeris



SUMBER: BERITA HARIAN, 6/1/2011

Pelajar wajib ambil satu bidang sukan


MARAN 21 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar akan diberi kredit atau markah bagi membuka peluang yang lebih cerah untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, satu jawatankuasa sementara ditubuhkan untuk mengkaji perkara tersebut yang membabitkan kurikulum dan aspek pemarkahan.

''Sekurang-kurangnya satu sukan wajib diambil oleh pelajar. Dasar ini telah lama ada tetapi ia kurang ditekan.

''Kita sedang mengkaji kurikulumnya dan sekurang-kurangnya tahun depan kita boleh mula tetapi mana-mana sekolah yang telah bersedia boleh bermula tahun ini. Kita perlu memperincikan jadual dan kurikulum bagi mengelakkan pertembungan antara akademik dan sukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara cawangan Jengka di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin mahu kegemilangan sukan dikembalikan ke sekolah-sekolah memandangkan ia adalah institusi utama mengembangkan bakat sukan di peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya akan merombak Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran dengan menjadikan sukan sebagai bidang berasingan.

''Pada masa ini, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum kementerian melibatkan persatuan beruniform diletakkan dalam satu bahagian. Kita hendak buat rombakan iaitu kokurikulum dalam satu bahagian manakala sukan dalam pengkhususan lain," jelasnya.

Sehubungan itu kata beliau, jawatankuasa sementara itu akan mengkaji pelbagai perkara termasuk kurikulum yang lebih lengkap, tenaga pengajar, jurulatih yang berkemahiran dan aspek promosi.

Menurut beliau, aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak hanya diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

''Kita hendak lahirkan lebih banyak guru sukan dan mengubah semula kalendar sukan tahunan.

Ketika ini, kalendar sukan tahunan dibuat dua tiga bulan selepas sekolah dibuka dan pada bulan Jun telah selesai dan selepas itu tidak ada diberi perhatian oleh pihak sekolah," ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah peruntukan kepada sekolah-sekolah supaya hasrat itu menjadi kenyataan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22/2/2010

Teliti dulu subjek Sejarah syarat wajib lulus SPM

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my

NGO mahu kerajaan fokus kaedah pengajaran, pembelajaran

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) mahu pengisian subjek Sejarah diteliti terlebih dulu sebelum ia dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.
Ini bagi memastikan matlamat pembinaan negara bangsa melalui subjek itu dicapai dan pelajar bukan hanya menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan tetapi tidak memahami dan menghayati apa yang mereka pelajari di bilik darjah. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata langkah mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat mendapat SPM akan menjadikan pelajar lebih serius dan mengambil perhatian terhadap subjek itu.

“Saya berharap perancangannya perlu berhati-hati, telus dan berhemah, serta tidak akan undur ke belakang.

“Ia kerana sejarah adalah roh bagi pendidikan warga negara, tanpa mengetahui sejarah maka warga negara itu akan buta sejarah, dan jika buta sejarah takkan tahu asal usul, menyebabkan individu itu tak tentu arah serta kabur masa depan negara,” katanya semalam.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin bahawa mata pelajaran itu akan dijadikan subjek wajib lulus dan subjek teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ketika ini elemen sejarah diajar dalam subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah sebelum diterapkan sebagai subjek teras di bawah KSSR bermula 2014.

Kenyataan Mohamad Ali disokong aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang mahu kerajaan memberi fokus kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah.

“Kaedah pembelajaran dunia bersifat ‘dari atas ke bawah’ kini dikritik dan ia seharusnya bersifat komunikasi dua hala melalui per-bincangan terbuka bilik darjah. Kaedah pembelajaran penting bagi memastikan pelajar memahami serta menerima apa yang diajar.

“Pada hemat saya, pengisian subjek itu perlulah lebih daripada sekadar menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan dan lebih penting mereka memahami falsafah di sebalik subjek Sejarah yang bertujuan meningkatkan kefahaman di antara kaum di negara ini,” katanya.

Profesor Sosio-linguistik Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata penekanan dalam subjek Sejarah tepat pada masanya kerana sebilangan generasi muda kini semakin ‘buta sejarah’ dan ini dibuktikan melalui perdebatan beberapa isu seperti kontrak sosial tersirat dalam perlembagaan negara.

“Sebab itu kita nampak kontrak sosial dicabar terutama dalam media baru, nampak sangat mereka jahil mengenai sejarah,” katanya menegaskan sejarah Malaysia bukan bermula dengan kemerdekaan 1957, tetapi dengan Kesultanan Melaka sebelum itu yang gagal difahami, malah diputar-belit segelintir pihak.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, berkata penekanan sejarah penting dalam membentuk jati diri rakyat berbilang kaum dengan menghayati latar belakang dan perkembangan Malaysia yang bermula dengan sebuah kesultanan di Nusantara Melayu.

“Sejarah akan merungkaikan kenapa perlembagaan negara digubal begitu, adanya kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dan pada masa sama hak kaum-kaum lain juga terbela,” katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25/10/2010

Saturday, February 26, 2011

Memelihara khazanah laut agar tidak terancam

Oleh OPAT RATTANACHOT
pengarang@utusan.com.my

PESISIRAN pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani, Kedah gempar pada 10 Februari lalu apabila didatangi 'tetamu' asing.

Tubuh agamnya yang berukuran lebih kurang 12 meter dengan berat antara empat hingga lima tan terjelepok di atas celahan batu. Itulah dia, seekor ikan paus malang yang tidak bernyawa lagi. Kejadian ikan paus terdampar di negara ini sebenarnya bukanlah asing. Berdasarkan sejarah Jabatan Perikanan, ikan paus pertama yang direkodkan terdampar di Malaysia adalah pada tahun 1892 di pesisir pantai, 29 kilometer ke arah selatan bandar Melaka.

Selain itu, rekod Utusan Malaysia menunjukkan lebih 12 ekor paus dijumpai di pesisir pantai negara ini sejak tahun 1999 dan ia didapati semakin bertambah saban tahun. Lebih membimbangkan, hampir kesemua mamalia yang dikesan terdampar itu, jarang-jarang ditemui hidup.

Bagi kes Pulau Sayak, pada hakikatnya tiada siapa yang tahu kenapa dan sebab paus yang dipercayai spesies Bryde itu ditemui mati dalam keadaan menyayat hati.

Malah, penduduk bingung kenapa paus berkenaan 'mendarat' di kawasan yang tidak pernah ditemui mereka sebelum ini. Mulalah timbul pelbagai andaian termasuklah dikatakan petunjuk tsunami bakal berlaku semula. Pada tahun 2004, tidak jauh dari tempat itulah kesan bencana tsunami dirasai di Malaysia. Mungkin kepada penduduk di kawasan tersebut, ia satu perkara ganjil kerana tidak pernah melihat kelibat paus mundar-mandir di kawasan perairan yang kaya dengan hasil laut berkenaan.

Sungguhpun begitu, insiden malang itu memberikan signifikan tersendiri. Ini kerana, tidak dapat tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa hidupan laut diancam kepupusan yang semakin serius sejak akhir-akhir ini. Barangkali kedatangan haiwan ini juga sebagai peringatan buat kita, manusia yang terus-terusan lupa akan tanggungjawab memelihara khazanah alam.

Ikan paus, sama ada spesies Bryde, Fin atau sebagainya merupakan antara enam jenis hidupan marin yang dikategorikan sebagai paling terancam selain dugong, ikan lumba-lumba, ikan yu, penyu dan kerang gergasi kima. Kesemua spesies tersebut dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 (Pindaan) 2008.

Jika diamati secara menyeluruh, ancaman kepupusan tersebut merupakan perkara yang perlu diberi perhatian khusus dan sewajarnya, memandangkan ia telah lama berlaku dan masih lagi berterusan sehingga saat ini.

Salah satu faktor kepupusan beberapa spesies ikan ataupun khazanah laut itu adalah ketidakseimbangan antara tekanan daripada kegiatan manusia dan industri perikanan serta keupayaan alam sekitar menjana sumber aslinya.

Selain itu, sesetengah haiwan laut mempunyai kepentingan nilai ekonomi dan ini dieksploitasi dengan pelbagai cara. Antaranya, daging dijadikan makanan eksotik manakala cengkerang ataupun bahagian lainnya dijadikan perhiasan.

Ada juga teori mengatakan, penggunaan alat sonar oleh nelayan dan kapal dagang boleh merosakkan gegendang telinga ikan besar seperti paus yang menyebabkan ia hilang imbangan. Keadaan ini seterusnya menyebabkan mamalia tidak bertenaga melawan arus dan akhirnya cedera atau mati dihanyut ombak laut.

Tambah buruk lagi, sikap manusia sendiri yang menjadikan laut sebagai tempat membuang pelbagai jenis sampah sarap. Tidak hairanlah, masalah tersebut mungkin ada kaitan dengan kematian ikan paus di Pulau Sayak, baru-baru ini.

Benda asing seperti plastik, botol minuman dan gumpalan tali dipercayai menyebabkan usus ikan tersumbat dan sakit sehingga mengakibatkannya tidak berdaya untuk berenang ke habitat asal.

Apapun, kita tidak mahu salahkan sesiapa dalam hal ini. Perkara yang penting ialah satu pemahaman yang lebih ketara mengenai spesies terancam perlu dihebahkan kepada umum dari semasa ke semasa. Pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan agensi pelaksanaan undang-undang seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Alam Sekitar juga perlu peka dengan apa yang berlaku di sekitar kawasan pesisir pantai.

Di samping itu, institut penyelidikan ekosistem marin tempatan boleh mengambil inisiatif membiak atau menghasilkan benih-benih spesies ikan terancam. Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan beberapa negara yang mendokong khazanah marin seperti Jepun dan Kanada, berjaya melakukannya.

Pada masa sama, nelayan atau mereka yang mendiami kawasan pantai, harus sedar akan tanggungjawab memelihara keindahan dan kebersihan alam sekitar.

Sekiranya usaha berterusan tidak dilakukan, tidak mustahil dalam masa 30 hingga 50 tahun akan datang, khazanah laut sekitar negara ini akan pupus. Justeru, jangan biarkan suatu hari nanti, generasi akan datang hanya mengenali paus, penyu, dugong dan ikan yu melalui internet atau majalah. Jika benar-benar berlaku, ia suatu yang amat malang.



SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 FEBRUARI 2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Pulihara harimau


Oleh LAUPA JUNUS dan ASHRIQ FAHMY AHMAD
laupa.junus@hotmail.com

Janganlah terpedaya dengan dakwaan bahawa harimau akan lari dan tidak jadi membaham anda apabila mengetuknya dengan senduk kayu.

"Itu hanya nasib (anda tidak dibaham),'' kata Pengarah Bahagian Ekopelancongan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Dr. Sivananthan Elagupillay.

Kes tersebut merujuk kepada kejadian yang menimpa Orang Asli yang diserang seekor harimau di Kampung Sungai Tiang, Hutan Simpan Belum, Gerik, Perak, baru-baru ini.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, Tabun Grediu berjaya diselamatkan selepas isterinya, Han Besou memukul haiwan liar tersebut menggunakan sebatang senduk kayu.

Siri serangan harimau beberapa kali dilaporkan sebelum ini tetapi ia tidaklah sekerap mana.

Ia berlaku disebabkan wujudnya apa yang dipanggil konflik antara manusia dan haiwan berkenaan, seperti habitat diganggu, lapar dan terancam.

Meskipun berlaku insiden sedemikian, harimau belang di negara ini merupakan khazanah biodiversiti yang harus dipulihara.

Malah kata Dr. Sivananthan, jumlahnya akan ditingkatkan di bawah Pelan Tindakan Harimau Belang Kebangsaan (NTCAP) yang digubal kerajaan.

Kata beliau, matlamat utama NTCAP adalah untuk meningkatkan populasinya di hutan daripada anggaran 500 ekor pada masa kini sehingga 1,000 ekor menjelang tahun 2020.

Program Penyelerasan dan pemantauan NTCAP diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Perhilitan merupakan salah satu jabatan di bawah kementerian berkenaan.

Kata beliau, pelan tersebut telah mengesyorkan 80 tindakan yang perlu dilaksanakan untuk meningkatkan populasi harimau belang serta mangsanya di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2020.

Beliau menambah, NTCAP telah dipersetujui untuk di guna pakai oleh Majlis Biodiversiti dan Bioteknologi Negara (MBBN) pada bulan November 2009, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebahagian besar tindakan akan dilaksanakan di bawah tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan diperkukuhkan di bawah RMK-11 .

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Rasid Samsudin, program pembiakbakaan harimau tidak sesuai diwujudkan kerana ia melahirkan anak yang tidak mahir dalam kehidupan dalam hutan.

"Harimau yang dibiak dan dipelihara tidak mendapat asuhan daripada ibunya untuk hidup dalam hutan dan sukar berdikari," kata beliau.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21/2/2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

Loji arang batu: Fikirkan jalan terbaik


BARU-baru ini ada cadangan kerajaan mahu membangunkan satu loji janakuasa arang batu di Lahad Datu Sabah bertujuan untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Negeri di Bawah Bayu itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, pembinaan loji berkenaan adalah bagi membolehkan Sabah mencapai taraf negeri maju di mana bekalan elektrik negeri itu perlulah berterusan dan juga stabil.

Tambah PM, dengan adanya loji itu nanti, ia bakal membekalkan kuasa elektrik secara berterusan dan juga pada harga yang murah berbanding penggunaan tenaga alternatif yang lebih mahal.

"Untuk Sabah menjadi negeri maju, mereka perlu mempunyai bekalan elektrik berterusan tanpa gangguan pada harga yang berpatutan. Pastinya ada alternatif lain tetapi kos bagi alternatif itu lebih tinggi berbanding sistem konvensional.

"Rakyat Sabah tidak bersedia untuk membayar pada kadar lebih tinggi... bagaimana kita nak bangunkan tenaga alternatif? Dan, untuk jangka masa pendek, tidak terdapat banyak alternatif," kata Perdana Menteri ketika menghadiri jamuan tengah hari dengan pemimpin masyarakat Cina Sabah, di Kota Kinabalu Julai tahun lalu.

Cadangan itu mendapat reaksi beberapa pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) yang bersangkut paut dengan alam sekitar.

Menurut mereka sebarang cadangan bagi pembinaan loji janakuasa arang batu di Sabah tidak harus dilabelkan sebagai 'bersih' kerana tiada loji sedemikian wujud di dunia pada ketika ini.

Gabungan lima NGO yang menamakan diri mereka 'Sabah Unite to Re-Power the Future' atau 'Green SURF' berkata, terma 'arang batu bersih' sepatutnya hanya merujuk kepada idea untuk membina loji janakuasa arang batu yang berupaya memerangkap asap karbon dan kemudian menyimpan karbon itu di bawah tanah.

"Ini merupakan impian di masa depan, bukan realiti pada masa kini. Tiada loji seumpama ini wujud di mana-mana tempat di dunia sekarang. Cadangan loji janakuasa arang batu di Sabah, sama seperti loji janakuasa arang batu lain di dunia, tidak akan mampu memerangkap dan menyimpan karbon.

"Laporan menunjukkan kemudahan seperti itu hanya akan wujud pada 2030," lapor Bernama yang memetik kata Green SURF dalam satu kenyataan.

Dan bagi Bidai, perkara itu ada asasnya ketika ini, namun Bidai tidaklah pula mahu menghalang aspek pembangunan yang memberi kebaikan kepada semua.

Namun, semua itu perlulah dilakukan dengan teliti. Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi Bidai tidak mencukupi kerana sebarang laporan boleh diubah jika mendapat 'desakan'.

Perdana Menteri ketika di Kota Kinabalu Julai lalu turut berjanji akan mengambil kira pandangan dan kebimbangan penduduk termasuk NGO berhubung cadangan pembinaan loji janakuasa arang batu di Lahad Datu itu.

Dan Bidai amat berharap untuk diwujudkan satu jawatankuasa khas mengenai perkara ini.

Bukan apa, apa yang dikatakan oleh Green SURF itu ada kebenarannya.

Kalau diselidiki, mana-mana loji arang batu di dunia ini sama ada yang lama atau moden, merupakan pengeluar terbesar karbon dioksida (CO2) yang dipercayai menyebabkan perubahan iklim.

Jadi, tidak dapat tidak, loji yang akan dibangunkan di Lahad Datu itu turut menjadi antara penyebab peningkatan CO2 pada masa depan.

Dan ini sedikit sebanyak akan mengurangkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara hijau.

Memang tenaga alternatif agak mahal dan tinggi kosnya namun bagi Bidai, jika kita tidak mulakan, bila lagi.

Sampai bila pun kalau kita tidak mulakan kosnya akan tinggi.

Sebagai contoh penggunaan kincir angin dan tenaga solar. Memang mahal, namun dalam tempoh yang panjang, ia amat berbaloi.

Ada juga yang mengatakan pembinaan loji janakuasa arang batu di Lahad Datu itu juga akan memusnahkan alam marin terutama di Semenanjung Dent.

Kawasan itu dikenalpasti menjadi habitat baharu terumbu karang dan pelbagai jenis rumpai laut.

Jadi, pembinaan loji janakuasa arang batu itu perlulah dilakukan dengan berhati-hati dan wujudkanlah satu jawatankuasa yang dianggotai oleh kerajaan, swasta, NGO dan penduduk setempat yang mempunyai kepentingan.

Cuba dapatkan satu keputusan terbaik di mana kepentingan rakyat dapat diutamakan dan alam sekitar tidak terjejas.

Jika ini terjadi, semua akan berasa selesa.

Fikirkanlah

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12/2/2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

Sejarah subjek diwajibkan lulus pada tahun 2013

Apabila sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, maka statusnya sama dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu selain Bahasa Melayu, kelulusan sejarah bukan sahaja diperlukan untuk mendapatkan sijil SPM tetapi menjadi syarat asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi, institusi kemahiran, pemberian biasiswa dan tawaran pekerjaan dalam sektor kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta.

Kesannya sejarah akan menjadi mata pelajaran penting yang mendorong pelajar memberikan perhatian dan belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai kemahiran dalam huraian sukatan pelajarannya. Dengan meningkatnya penguasaan dan penghayatan tentang kenegaraan Malaysia, maka semangat patriotik dan perpaduan akan dapat diperkasakan. Selama ini sejarah yang merupakan mata pelajaran teras tetapi tidak wajib lulus, kurang diberikan perhatian kerana dianggap kurang nilai pasaran.

Namun sistem penilaian yang menyeluruh dan bersepadu amat penting dirancang agar pengukuran lebih tepat terhadap pencapaian pelajar dapat dilakukan. Sehubungan itu dicadangkan hanya 60 peratus markah sejarah berdasarkan peperiksaan bertulis dalam SPM, manakala baki 40 peratus markah berdasarkan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). PBS dinilai berdasarkan gerak kerja amali yang meliputi kerja kursus, sahsiah semasa proses pengajaran dan pembelajaran, semangat patriotik dan perpaduan. Misalnya pelajar dinilai tahap kerjasama dan penghayatan semasa mengikuti pelajaran sejarah dalam bilik darjah, ketika sambutan program kemerdekaan dan penghormatan terhadap bendera serta lagu kebangsaan semasa perhimpunan sekolah. Dengan cara ini pendidian sejarah secara holistik dapat dipraktikkan.

Kaedah pengajaran yang berkesan amat perlu diberi penekanan agar sejarah menjadi mata pelajaran yang menarik dan diminati. Matlamat utama untuk mendidik dan membentuk pemikiran pelajar supaya menjiwai semangat kenegaraan dan keperbadian bangsa. Tujuan sejarah wajib lulus untuk merangsang pelajar dan bukanlah guru mengajar berorientasikan peperiksaan semata-mata. Perlu ingat pengajaran guru yang kreatif akan menghidupkan suasana bilik darjah yang akan dinilai berdasarkan PBS yang dicadangkan tadi dan ini akan membantu meningkatkan prestasi pelajar.

Pakar dan penyelidik sejarah tempatan akan dilantik untuk melihat semula kandungan dan kurikulum mata pelajaran sejarah. Oleh itu pihak-pihak lain terutama yang berkepentingan politik tidak perlu campur tangan kerana mereka bukan ahli sejarah. Biar orang akademik melakukannya kerana hanya 'jauhari yang mengenal manikam'. Ahli sejarah merupakan golongan ilmuan yang mempunyai kepakaran mengkaji sejarah negara secara profesional tanpa dipengaruhi dengan sentimen politik dan perkauman. Lebih malang ada pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan mewajibkan mata pelajaran sejarah lulus dalam SPM. Sedangkan kita sedar sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar dan dikuasai sebagai asas pembinaan negara bangsa.

Adakah dengan dasar sejarah wajib lulus ini akan melahirkan warga yang tidak lagi buta sejarah? Adakah mata pelajaran teras sejarah yang dipelajari selama ini di peringkat sekolah menengah gagal melahirkan warga yang celek sejarah? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mengatakan seseorang itu buta sejarah? Kita tidak mahu buta sejarah dijadikan alasan untuk membenarkan seseorang mempersoalkan perlembagaan negara dan kontrak sosial. Sedangkan bidang Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan negara yang berkaitan dengan kontrak sosial ada dipelajari dalam mata pelajaran sejarah. Sebenarnya mereka bukanlah buta sejarah, tetapi buat-buat buta.

Oleh itu tindakan tegas amat perlu jika ada pihak yang menimbulkan provokasi dengan menyentuh kedua-dua perkara tersebut. Di sekolah guru bersusah payah mengasuh murid dengan nilai-nilai positif untuk menjadi warganegara yang setia tetapi di luar sekolah mereka mudah terpengaruh dengan nilai-nilai yang sebaliknya. Untuk mempengaruhi seseorang dengan nilai yang baik tentulah lebih mencabar berbanding mempengaruhinya dengan nilai-nilai yang negatif. Memang benar jika murid telah diberikan pendidikan yang mantap mereka tidak mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif di luar sekolah. Namun jika langkah bersepadu dilakukan; iaitu menerusi pendekatan pendidikan dan tindakan undang-undang yang tegas, matlamat untuk melahirkan wagra celek sejarah dengan semangat kenegaraan yang tinggi akan dapat dicapai dengan lebih berkesan.

ZIN MARKAM
Pontian, Johor.

SUMBER:http://www.moe.gov.my/index.php?id=265&aid=1506

Teknologi hijau lindungi alam sekitar


Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

CUACA yang tidak menentu, hujan, ribut, taufan, kemarau dan gempa bumi sering dikaitkan dengan pemanasan global.

Malah tidak keterlaluan apabila bumi dikatakan mempunyai masa 12 tahun saja sebelum ais di Kutub Utara dan Selatan mencair seluruhnya.

Jika pembebasan gas karbon dioksida (CO2) tidak dapat dikawal sehingga boleh mencapai 450 bahagian per sejuta (bpj), bumi bakal dilanda malapetaka yang dahsyat.

Buat masa ini, pembebasan CO2 adalah sekitar 392 bpj manakala bumi hanya boleh menampung hanya 350 bpj yang boleh dikatakan tahap selamat.

"Kebanyakan saintis termasuk saintis NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan), James Hansen bersetuju angka 350 bpj CO2 merupakan paras selamat bagi bumi serta kehidupannya," kata pakar Teknologi Hijau dari Universiti Mahidol, Thailand, Profesor Dr. Chirapol Sintunawa.

Kesan pemanasan global dapat dilihat apabila suhu dunia meningkat dua darjah Celcius pada 450 bpj yang menyebabkan ais di Kutub semakin mencair.

"Kita perlu bertindak sekarang bagi mengurangkan pembebasan CO2 dan melindungi alam sekitar.

"Sebagai ahli masyarakat, kita perlu mula mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang boleh menyumbang ke arah gas rumah hijau," katanya yang juga seorang pakar konservasi alam sekitar dan tenaga.

Sehingga kini beliau telah berjaya memberikan kesedaran mengenai alam sekitar kepada masyarakat negara berkenaan.

Kajian yang dijalankan oleh Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) menunjukkan kandungan gas CO2 pada 392.04 bpj pada Jun tahun ini berbanding 389.43 bpj pada 2009 dan 387.88 pada 2008.

Justeru apa yang perlu kita lakukan?

Dr. Chirapol menegaskan segalanya perlu bermula dengan perkara remeh-temeh di peringkat kanak-kanak dan pelajar sebelum ke lebih tinggi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan beliau berjaya menyatukan 14 juta rakyat Thailand memadamkan lampu yang tidak digunakan di rumah secara serentak.

"Walaupun hanya lima minit, ini menunjukkan penggunaan elektrik turun sebanyak 700 megawatt (MW) bersamaan dengan kuasa yang dihasilkan oleh satu daripada 14 janakuasa elektrik seluruh Thailand," katanya.

Apa yang kita lakukan untuk menyelamatkan bumi? soal Dr. Chirapol.

"Saya mulakan di universiti tempat saya mengajar.

"Di universiti tempat saya mengajar merupakan kampus basikal di mana basikal disediakan bagi kegunaan pelajar serta kakitangan.

"Basikal bukan saja tidak membebaskan CO2 malah menyihatkan badan dan menjimatkan wang kerana kita tidak perlu mengeluarkan wang membeli petrol," katanya.

Malah beliau juga berjaya 'mengubah' industri perhotelan dengan kerjasama Greenleaf Foundation ke arah mesra alam dengan pengenalan sistem rating yang dinamakan Green Leaf Standard.

Mengambil contoh hotel yang menggunakan cadar putih, beliau berkata apa kata warna berkenaan diubah kepada warna yang lebih ceria.

"Warna putih memerlukan air, sabun dan peluntur untuk mencuci dan kenapa kita tidak menggunakan warna yang lain," katanya.

Hotel di Thailand juga menggunakan air kitar semula dan air hujan bagi hampir semua keperluan kecuali untuk minuman dan mandi.

Dr. Chirapol berkata, segalanya perlu bermula daripada diri sendiri yang mahu menyelamatkan dunia bagi generasi akan datang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA (10/01/2011)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

Pelajar bebas guna telefon bimbit.


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Laporan Akhbar dalam ruangan Berita akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Februari 2011 – Pelajar bebas guna telefon bimbit.

Keputusan KPM menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009 bertarikh 25 Mac 2009 berkaitan Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah adalahbertujuan untuk mendidik murid agar dapat menggunakan telefon bimbit mereka dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah. Ini disebabkan penggunaan telefon bimbit di sekolah didapati telah mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Selain itu, ia juga telah mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan-bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan yang negatif dalam kalangan murid sekolah.

Prinsip terhadap larangan ini sebenarnya adalah untuk mendidik. KPM berpandangan bahawa penggunaan sesuatu ciptaan peralatan komunikasi yang canggih untuk manfaat anak-anak murid harus digalakkan, tetapi mesti dilakukan dalam konteks kawalan, bimbingan, pemantauan serta didikan yang betul. Dalam masa yang sama, KPM juga tidak boleh berkompromi terhadap sesuatu yang boleh mengganggu kelancaran proses pembelajaran murid-murid di sekolah serta kesan terhadap perlakuan negatif seperti yang disebutkan. Namun, KPM juga tidaklah pula boleh melarang ibu bapa daripada membelikan anak-anak mereka telefon bimbit, dan dalam hal ini, kerjasama ibu bapa sangat diperlukan untuk membimbing serta memantau penggunaannya dengan betul.

Isu penguatkuasaan larangan ini sebenarnya banyak berkaitan dengan sikap kedegilan murid, rungutan sesetengah ibu bapa serta penguatkuasaan yang banyak menimbulkan isu dan masalah kepada pengurusan sekolah. Sungguh pun KPM bertegas dalam hal penguatkuasaan ini, namun langkah-langkah seperti yang ditetapkan menerusi pekeliling tersebut perlu dipatuhi oleh pihak sekolah iaitu;

1.Peraturan larangan penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah hendaklah dimaklumkan kepada semua ibu bapa murid.

2.Pihak sekolah hendaklah memaklumkan dan memberi kefahaman kepada ibu bapa perkara berkaitan larangan ini menerusi mesyuarat PIBG dan mesyuarat permuafakatan peringkat sekolah.

3.Jika sekiranya ada murid yang melanggar peraturan ini, maka pihak sekolah boleh mengambil dan menyimpan telefon bimbit murid berkenaan.

4.Semua telefon bimbit yang diambil oleh pihak sekolah akan direkodkan dan disimpan di tempat yang selamat oleh pihak sekolah.

5.Ibu bapa murid yang terlibat akan dimaklumkan dengan segera, sebaik-baiknya pada hari yang sama, akan tindakan yang telah diambil terhadap anak mereka.

6.Ibu bapa juga hendaklah dimaklumkan bahawa mereka boleh menuntut semula telefon bimbit anak mereka daripada simpanan pihak sekolah.

7.Dalam kes-kes kecemasan, murid-murid hendaklah mengguna kemudahan-kemudahan telefon yang disediakan oleh sekolah.

Membawa dan menggunakan telefon bimbit di sekolah dan asrama sekolah oleh murid-murid adalah merupakan satu kesalahan disiplin. Mereka yang melanggar peraturan ini boleh diambil tindakan disiplin dengan mengenakan hukuman;

Kesalahan Kali Pertama
:Diberi Amaran (murid dan ibu bapa perlu menandatangani Surat Aku Janji tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut).

Kesalahan Kali Kedua
:Dilarang menggunakan kemudahan di sekolah atau asrama atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk suatu tempoh tertentu.

Seperti mana yang disebutkan tadi, apa yang penting dalam hal ini adalah mendidik anak-anak kita agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan telefon bimbit mereka. Melarang mereka sama sekali daripada menggunakannya tidaklah dapat menyelesaikan permasalahan ini dalam jangka masa panjang. Masih ada ibu bapa yang merasakan ada keperluan untuk anak-anak mereka menggunakan telefon bimbit untuk tujuan perhubungan. Dengan yang demikian, semua pihak sama ada guru, ibu bapa, media atau pihak-pihak lain berkepentingan perlu sama memainkan peranan bagi mendidik anak-anak kita agar boleh bertanggungjawab serta tahu kesan sekiranya menyalahi peraturan penggunaanya. Selain itu, mereka juga perlu dibimbing agar memahami bahawa peraturan terhadap larangan ini di sekolah adalah untuk kebaikan diri mereka di masa depan.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Tuesday, February 15, 2011

Al-Idrisi pelopor ilmu geografi


Globe yang dihasilkan oleh al-Idrisi semasa pemerintahan Roger II Raja Sicily.

AL-IDRISI atau nama lengkapnya Abu Abdillah Syarif al-Idrisi, dilahirkan pada tahun 493 H di Ceuta (sekarang di sempadan antara Maghribi dengan Sepanyol).

Para penulis Barat menyatakan bahawa Al-Idrisi mula menimba ilmu di Cordova, Sepanyol. Malah beliau juga turut melakukan perjalanan yang jauh termasuk ke Afrika Utara.

Para ilmuwan Barat memberi pujian kepada beliau sebagai salah seorang ahli geografi yang tiada tandingan.

Salah satu kitabnya, iaitu kitab Nazhat al-Mushtaq fi Ikhtiraq al-Afaq atau Temasya Orang-orang Yang Rindu Untuk Menjelajah Ufuk telah diterbitkan di Perancis dalam bentuk ensiklopedia dan dianggap sebagai buku ilmiah yang asli dan paling besar pengaruhnya pada Abad Pertengahan.

Buku tersebut turut mendapat perhatian ilmuwan Barat, Barone yang menyatakan: "Buku geografi al-Idrisi tiada bandingannya dengan buku geografi mana sekalipun sebelumnya dan sentiasa dijadikan sebagai rujukan oleh para penulis sejarah dan geografi di sebahagian kota-kota besar dunia ketika itu."

Pada tahun 1129-1140 M, iaitu ketika pemerintahan Raja Sicily, Roger II, Al-Idrisi melaksanakan program penelitian dan telah menghadiahkan sebuah bola bumi (globe) yang diperbuat daripada perak.

Malah kitab yang berjudul Nazhat al-Mustaq fi Ikhtiraq al-Agaq atau disebut sebagai Kitab Rujar telah diabadikan sebagai The Book of Roger kerana ia merupakan dorongan daripada Raja Sicily itu sendiri.

Selain itu, Al-Idrisi juga telah mencipta 71 buah peta. Pada tahun 1931, peta tersebut telah dipisahkan lalu dicetak dengan warna dan telah diterjemahkan dalam bahasa Latin. Bagaimanapun, pada tahun 1951, peta tersebut dicetak dalam bahasa Arab.

Kitab karangan Al-Idrisi yang lain, berjudul Al-Adwiyah al-Mufradat juga turut ditemui oleh H. Ratter di Perpustakaan Fatih di Istanbul pada tahun 1928.

Meskipun naskhah tersebut kurang lengkap, namun karyanya itu kerap disebut oleh al-Baytar.

Malah dalam kitabnya itu, beliau menghasilkan sinonim-sinonim untuk setiap ubat-ubatan termasuk ubat bius di dalam 12 bahasa.

Bagaimanapun, teks lengkap daripada bukunya yang berjudul The Book of Roger telah diringkaskan dan terdapat banyak bahagian yang diolah tanpa alasan yang jelas dan meyakinkan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 51/2/2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Ingat roti ingat GAZA

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Gambar ISMAIL KAMADIN


SEORANG penduduk Gaza yang berusaha menjayakan tanam semula pokok zaitun yang dimusnahkan oleh tentera Zionis dalam tragedi Disember 2008

AKHIR minggu lalu, seluruh dunia menyaksikan satu lagi peristiwa paling bersejarah iaitu Saqata Mubarak (Mubarak Tumbang). Ia merujuk kepada berakhirnya era kezaliman sekutu Israel, Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang tidak sahaja 30 tahun memerintah menyebabkan rakyat sendiri menderita.

Begitu juga dengan rakyat Palestin yang turut menerima kesan tragedi kemanusiaan yang teruk.

Ia akibat pemerintahan Mubarak yang terlalu tunduk kepada kehendak rejim fasis Zionis Israel, supaya jangan sesekali pintu sempadan Mesir-Gaza, bolos.

Bertahun-tahun lamanya sejak Perjanjian Kem David pada September 1978 dimeterai antara Presiden Mesir ketika itu, iaitu Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin, maka kedua-dua rejim akan sentiasa memastikan Bandar Gaza terkepung.

Mereka menyekat dan memutuskan seluruh bantuan elektrik (sehingga kini bekalan tersebut hanya dibenarkan selama enam sehingga lapan jam sahaja sehari), makanan, air, ubat-ubatan dan sebarang pengangkutan dan perhubungan terutamanya melibatkan Semenanjung Gaza dan Bandar Gaza itu sendiri.

Maka bandar itu boleh disifatkan sehingga kini sebagai penjara paling besar pernah wujud di muka bumi ini. (Bandar tersebut menyamai keluasan separuh negara Singapura, terbesar di Semenanjung Gaza).

Namun seolah-olah bagaikan satu ‘perjanjian’ juga, apabila pada tahun termeterainya perjanjian Kem David itu, telah lahir seorang pemuda yang diamanahkan kepadanya untuk membela nasib seluruh rakyat Palestin.

Maka secara kebetulan pada hari ini, ia bukan satu rahsia lagi bagi seorang pemuda, iaitu Ir. Abdelrahim M. Shehab 33, yang mengerah seluruh tenaga usia mudanya untuk memastikan saudara mara seagamanya yang tertindas di bumi kelahirannya Palestin dapat dibela.

Beliau merupakan Pengerusi sebuah pertubuhan sosial terbesar di Bandar Gaza, iaitu The Islamic Society of Jabalia (ISJ), yang baru-baru ini ditemui di Kuala Lumpur dalam misi beliau untuk mendapatkan sokongan dari rakyat negara untuk kita sama-sama membela nasib saudara seagama yang tertindas itu.

Dalam pertemuan itu, terlebih dahulu kami menyentuh mengenai situasi yang berlaku di Mesir dan kesannya kepada pintu sempadan di Gaza yang satu-satunya menghubungkan rakyat Palestin dengan dunia luar.

Mungkinkah perubahan yang berlaku di Mesir itu akan membolehkan pintu sempadan dibuka atau sekurang-kurangnya dilonggarkan sedikit pergerakan di sana.

Dalam hal ini kata Abdelrahim, tidak banyak yang boleh diharapkan terutama untuk pintu sempadan itu di buka.

“Israel semakin tidak senang duduk. Mereka langsung tidak dapat memejamkan mata dan keselamatan di sempadan mereka tingkatkan berpuluh kali ganda berbanding sebelum ini.

“Menjadikan lebih teruk, bekalan minyak dan gas langsung tidak dapat dibawa masuk,” kata Abdelrahim.

Begitupun, sebagaimana yang diharapkan seluruh warga dunia yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, perubahan kepimpinan di Mesir diharapkan memberikan senario yang lebih positif demi mengembalikan maruah kemanusiaan yang tercemar oleh perlakuan-perlakuan kejam kedua-dua rejim Mesir dan Israel.

Maka dalam menantikan apa juga bentuk perubahan yang bakal berlaku kepada soal polisi terhadap kawalan terhadap sempadan itu sehingga ada yang menyifatkan bahawa tahun 2012 adalah tahun Pembebasan Palestin, maka masing-masing terus berusaha untuk menunduk dan mengalahkan rejim dan sekutu-sekutu Israel.

Aktivis seperti Abdelrahim sendiri perlu meneruskan visi dan misi untuk membantu penduduk Gaza bagi kembali pulih dari kesan tragedi terkutuk, serangan Israel terhadap bandar itu pada Disember 2008.

“Walaupun sudah beberapa tahun berlalu sejak tragedi itu berlaku, keindahan Gaza masih belum lagi dapat dikembalikan.

“Ramai rakyat kami masih menanggung derita kesan perang ketika dunia Barat terutama pemimpin dan media terus melihat Gaza sebagai bandar yang ‘kembali tenang’.

“Tanpa menggerakkan sebarang tangan ataupun kaki mereka untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa akibat dari perbuatan terkutuk sekutu mereka,” kata Abdelrahim.

Menurutnya, sehingga kini tidak ada mana-mana badan dunia yang berusaha untuk membayar sebarang pampasan perang terhadap penduduk Gaza, jauh sekali dari pihak Israel.

“Sedangkan tahukah anda setiap rumah (kalau sesuai dipanggil rumah) dan khemah-khemah sementara kepada lebih dari 5,000 penduduk Gaza jika diketuk, maka akan dapati sesuatu yang amat menyayatkan hati.

“Jika anda mengetuk mana-mana pintu rumah orang di Gaza, Insya Allah anda akan dapati di dalam rumah tersebut satu hingga lima jenis penghuninya, terdiri daripada anak yatim, yang hafiz Qur‘an, yang cacat anggota, mujahid atau ahli keluarga yang tiada dirumah kerana berada di penjara Israel,” kata Abdelrahim.

Kesemua mereka itu tetap mempunyai semangat perjuangan yang sangat tinggi tetapi pada tahap kualiti kehidupan adalah yang paling rendah.

Lalu Abdelrahim sama sekali tidak menoleh kebelakang apatah lagi bimbangkan soal keselamatan kerana di pundak bahunya terpikul pelbagai tanggungjawab bagi kelangsungan hidup penduduk Gaza.

Jika pemuda lain memilih untuk menggalas senjata sebagai pejuang tetapi beliau memilih jihad ekonomi supaya rakyat Palestin dapat terus bangun membebaskan negara dari cengkaman Israel dan yang penting, Masjid Al Aqsa tidak jatuh ke tangan Israel itu.

“Siapa yang tidak sedih mengenai nasib yang menimpa lebih-lebih lagi terhadap kesucian agama sendiri. Jarak yang memisahkan antara bandar kelahiran saya, Jabalia dengan Masjid al Aqsa di Baitul Maqdis hanyalah sejauh 74 kilometer sahaja.

“Tetapi rasanya, saya lebih mudah keluar masuk ke Malaysia dan lain-lain negara berbanding untuk masuk ke Masjid tersebut,” katanya.

Pelbagai projek yang ISJ telah jayakan bagi mengisi keperluan penduduk Gaza.

Ikan sebagai keperluan protein utama misalnya adalah sangat terhad bekalannya di Gaza.

“Para nelayan hanya dibenarkan menangkap ikan dari jarak tiga kilometer sahaja dari pantai, lebih dari itu mereka akan ditembak. Ini menyebabkan kami terpaksa menjayakan sistem penternakan ikan didarat bagi memastikan bekalan cukup,” katanya.

Projek ternak ikan penting terutama untuk diberi kepada ibu-ibu yang hamil bagi memastikan si ibu dan bayi yang dikandung memperolehi bekalan dan khasiat yang mencukupi.

Ini menjelaskan kepada kita betapa ibu-ibu yang mengandung umpama ‘permaisuri anai-anai’ yang dijaga sepenuhnya di Gaza.

Ini kerana mereka bakal melahirkan pelapis pejuang-pejuang yang sedia mati mempertahankan Palestin.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15/2/2011

12 Rabiulawal juga tarikh nabi wafat


SOALAN:
Ada pandangan bahawa kita tidak boleh terlalu asyik menyambut 12 Rabiulawal sebagai hari keputeraan baginda SAW kerana pada tarikh tersebut juga baginda wafat. Benarkah pandangan ini?

JAWAPAN:

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga Kami juga diberi (wahyu) sama seperti Yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah Yang sepatutnya) ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) Yang diberikan-Nya itu. orang-orang Yang melakukan perbuatan Yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa Yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya Yang mereka lakukan. (al-An’am: 124)

Hercules (Raja Rom) ketika bertanya kepada Abu Sufyan mengenai sifat-sifat Rasulullah SAW dengan berkata: “Bagaimana keturunannya di hadapan kamu?” Jawab Abu Sufyan: “Dia adalah berketurunan baik (mulia) di kalangan kami”, lalu Hercules menjawab: “Begitulah kesemua para rasul yang diutus daripada keturunan yang mulia daripada kalangan kaumnya”. Iaitu Nabi diutus daripada kalangan keluarga yang termulia dan berketurunan yang ramai.

Baginda adalah penghulu anak Adam di dunia dan akhirat. Juga digelar Abu al-Qasim, Abu Ibrahim, Muhammad, Ahmad pemadam kekufuran dan kesyirikan. Tiada nabi selepas baginda, penghimpun yang tersimpan manusia menjemput kedua kalinya. Nabi yang rahmat, nabi yang taubat, penutup seluruh kenabian, dia al-Fatih (pembuka), Taha, Yasin dan Abdullah.

Baginda adalah lembut lagi mengasihani mengingatkan mengangkat baginda sebagai pembawa rahmat, pembawa nikmat kebahagiaan hidup dan petunjuk.

Baginda SAW dilahirkan dengan sejahtera pada hari Isnin. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim, daripada Abi Qatadah sesungguhnya seorang lelaki Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa pandangan tuan puasa pada hari Isnin? Lalu baginda menjawab: “yang demikian (Isnin) adalah hari aku dilahirkan padanya dan hari turun wahyu kepadaku”.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam karyanya dengan sanad daripada Jabir dan Ibnu Abbas, sesungguhnya baginda SAW telah dilahirkan pada tahun gajah hari Isnin, 12 Rabiulawal, padanya (12 Rabiulawal), aku diangkat ke langit (mikraj), dan padanya berlaku hijrah, dan padanya juga wafat. (Ibn Kathir, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, cet:1, 2005, hlm: 35)

Sementara itu, Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum menjelaskan bahawa, tarikh kelahiran Nabi SAW iaitu 12 Rabiulawal adalah bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi.

Tarikh ini berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Muhammad Sulaiman al-Mansur Fauri yang merupakan tokoh sejarah. Tarikh ini diperakui oleh Mahmud Basha seorang tokoh dan sarjana dalam bidang falak. (Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, Dar al-Fikr, Beirut, cet:1, 1991, hlm: 45).

Jumhur ulama bersetuju tarikh kelahiran baginda Rasulullah SAW adalah 12 Rabiulawal 571 Masihi, tahun gajah. Dikenali dengan tahun gajah kerana pada tahun inilah Abrahah menyerang kota Mekah dengan tentera bergajah.

Sementara, tarikh kewafatan baginda seperti yang disebut oleh riwayat yang terdahulu iaitu pada 12 Rabiulawal, pada tahun 11 hijrah, ketika baginda berusia 63 tahun. (Lihat; Abu Hasan ‘Ali al-Husaini al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah, dar ibn Kathir, Dimasyq, 2009, cet: 5, hlm:539).

Kebiasaannya serta fitrah manusia tidak ingin meraikan tahun kewafatan orang yang dikasihinya. Lebih-lebih lagi junjungan besar Nabi SAW yang telah banyak menabur bakti kepada umatnya.

Kewafatan baginda cukup menyedihkan bagi orang yang pernah mengenali baginda. Para sahabat r.a tidak sanggup dan tidak mampu berpisah dengan kekasih mereka Rasulullah SAW.

Baginda telah melayan mereka seperti seorang ayah, dengan penuh kasih sayang baginda menatang para sahabat. Mereka didakap dengan tulus ikhlas dan persaudaraan.

Mereka (para sahabat) dan juga kita tidak akan bertemu dengan insan yang begitu agung budi pekertinya, tidak pernah mengecewakan setiap yang meminta.

Baginda tidak pernah mengherdik yang lemah mahupun yang fakir, baginda tidak pernah tidak pernah menyakiti setiap yang mendampinginya.

Menerusi kitab al-Dalail al-Nubuwwah, dalam bab membicarakan kelahiran baginda, beberapa riwayat perlu dikongsikan di sini.

Antaranya: daripada Ibnu Abbas r.a berkata: “Tidaklah Allah azza wa jalla menjadi sesuatu apa pun dan tidak pula meninggalkan sesuatu nyawapun yang lebih mulia daripada Nabi SAW, dan aku (Ibnu Abbas) tidak pernah mendengar bahawa Allah SWT bersumpah dengan kehidupan seseorang melainkan dengan Nabi SAW, firman Allah SWT yang bermaksud: Demi umurmu (Wahai Muhammad), Sesungguhnya mereka membuta tuli Dalam kemabukan maksiat mereka. (al-Hijr: 72)

Umumnya Allah SWT tidak akan bersumpah dengan sesuatu apa pun melainkan ia sungguh hebat dalam sudut ciptaan dan kedudukan. Dalam ayat ini Allah SWT bersumpah dengan umur Nabi SAW.

Pengiktirafan

Inilah satu pengiktirafan dan pemasyhuran kedudukan baginda di sisi Allah SWT.

Dalam riwayat lain daripada Umm Kurz sesungguhnya telah berkata, dia (Umm Kurz) mendengar daripada nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku adalah penghulu bagi kaum mukminin apabila mereka dibangkitkan di mahsyar kelak, akulah yang akan memimpin mereka apabila dibangkitkan, dan akulah yang akan memberi berita gembira apa berkesedihan, akulah imam mereka apabila mereka sujud, dan akulah orang yang paling hampir kepada Allah apabila berhimpun di hadapan Allah, aku akan berbicara di hadapan Allah lantas akan diiakan kata-kataku dan aku memberi syafaat lalu diterima syafaatku dan aku meminta lalu ditunaikan permintaanku”. (Abi Naim al-Asfahani, Dalail al-Nubuwaah, Dar al-Nafais, 1999, cet:4, jld:1, hlm: 67)

Dalam suasana sambutan Maulid Rasul SAW minggu depan, ia harus dimanfaat dengan sebaik mungkin agar kelahiran baginda yang penuh makna dapat dihayati bersama.

Cinta kepada nabi SAW bermaksud cinta kepada Allah SWT. Kelahiran baginda telah mengubah dunia yang sarat dengan amalan jahiliah kepada nur (cahaya) yang memandu mereka menjadi manusia yang berakhlak.

Nabi SAW telah mengenalkan kita kepada Allah SWT, meninggalkan kepada kita mukjizat agung iaitu al-Quran, dan mengajar kita erti ibadah supaya sampai ke makam penghambaan yang hakiki menghampiri Rabbul Izzati.

Semoga Allah menghimpun kita bersama kekasih agung kita Muhammad SAW.

SUMBER: Utusan Malaysia, 11/2/2011

Rasulullah ikon cinta sebenar umat Islam

Oleh Muhammad Asyraf



Kasih sayang Nabi Muhammad SAW terhadap generasi muda lebih hebat, wajar diingati

RASULULLAH SAW tidak melupakan golongan pemuda malah, sebahagian pemuda digambarkan secara jelas rasa cintanya Nabi SAW kepada mereka. Rasulullah tidak menyembunyikan rasa sayang. Apa terpendam dalam diri, pasti digambarkan Baginda.

Disebabkan itulah, setiap kemarahan Baginda membuatkan tertunduknya wajah sahabat kerana terpancar merah saga mukanya. Apabila Baginda gembira, tergambar indah daripada lakaran senyuman bibirnya membuatkan semua merindui wajah seceria itu.
Ada sahabat yang masih muda disebut-sebut Baginda SAW sebagai manusia terpilih untuk dicintai Rasulullah. Usamah bin Zaid dikritik sahabat lain kerana tidak puas hati beliau terpilih sebagai panglima perang dalam usia cukup muda.
Lalu Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kalian mencela kepemimpinannya, maka kalian juga mencela kepemimpinan ayahnya sebelum ini. Demi Allah dia (ayahnya) sangat layak menduduki jawatan panglima dan dia salah seorang yang paling aku cintai. Dan Usamah adalah orang yang paling aku cintai sesudah ayahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Rasa cinta Rasulullah kepada Usamah turut digambarkan oleh Ibnu Umar dengan katanya: “Sekiranya Rasulullah SAW melihatnya, nescaya beliau akan mencintainya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Begitu juga rasa cinta Nabi SAW kepada cucunya iaitu Hassan dan Hussain sehingga Baginda mendoakan mereka dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah, cintailah keduanya kerana aku mencintai keduanya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah juga memuliakan orang muda. Pernah suatu ketika, Nabi SAW menghadiri satu majlis yang dihadiri pembesar kaum, beliau dengan sendiri menunjukkan penghargaan kepada orang muda.
Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad: Rasulullah SAW mendapat hidangan segelas minuman dan beliau meminumnya. Di sebelah kanan Baginda ada anak paling muda yang hadir. Di sebelah kiri Baginda ramai yang sudah tua. Baginda bertanya: “Hai anak, apakah kamu mengizinkanku memberi minuman ini kepada orang tua itu? Si anak muda itu menjawab: Wahai Rasulullah SAW, aku tidak akan mendahulukan seorang pun disebabkan keutamaanku di sebelah engkau. Maka Baginda memberikan minuman kepada anak muda itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Diceritakan oleh Salamah: “Rasulullah SAW memboncengku menaiki kenderaan berkali-kali. Baginda mengusap wajahku berkali-kali. Baginda meminta ampun kepadaku sebanyak bilangan jari jemariku di kedua tanganku.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Kisah cinta Rasulullah kepada orang muda mesti dibalas dengan cinta. Siapa kita di akhirat kelak andai cinta yang ditunjukkan Baginda kepada umatnya tidak dibalas setanding dengannya.

Antara kaedah untuk kita membalas cinta Rasulullah ialah mengisytiharkan rasa cinta walau ia belum pernah dipupuk. Dengan meletakkan cinta kepada Rasulullah melebihi cinta terhadap dirinya sendiri.

Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih kucintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Nabi SAW bersabda: Tidak, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya sehingga aku lebih dicintai daripada dirimu sendiri. Umar RA berkata: Maka sesungguhnya sekarang demi Allah sungguh engkau kucintai lebih dari diriku sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sesudah mengisytiharkan cinta kita, maka ia perlu disambut dengan mengamalkan sunnahnya dan inilah yang dimaksudkan oleh Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan surah Ali-Imran, ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku (Rasulullah) nescaya Allah Mengasihimu.”

Kata Imam Ibnu Kathir, ayat ini sebagai pemutus hukum bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah tetapi tidak menempuh jalan Nabi Muhammad SAW, maka pengisytiharan cintanya adalah suatu pembohongan sehinggalah ia mengikuti syariat dan agama dibawa Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.

Sebab itulah perasaan cinta kepada Rasulullah mesti serasi dengan mengikuti jejak sunnahnya. Cinta dan mengikut sunnah tidak boleh berpisah. Siapa tidak mengenali Abu Talib ayah saudara Nabi SAW yang mencintai Nabi SAW dengan cinta yang sangat hebat.

Namun disebabkan cinta itu bukan saja boleh dituruti oleh hati, namun mengikuti ajaran Nabi itu perlu seiring, maka cintanya tertolak kerana menolak mengikut ajaran Nabi SAW.

Begitu juga jika hanya mengikut petunjuk dan mengamalkan ajaran Nabi SAW, tetapi tidak seiring dengan cinta kepada Nabi SAW, maka ia juga tertolak.
Abdullah bin Ubay bin Salul, seorang munafik yang solat di belakang Nabi SAW. Beliau menuruti ajaran Baginda namun tersemat dalam hatinya perasaan bencikan Nabi SAW, maka segala amalannya tertolak.

Remaja kini hanya mengingati ikon cinta dan kasih sayang milik Saint Valentine hingga tidak sabar meraikan hari kekasih pada 14 Februari tetapi melupakan tarikh 12 Rabiulawal yang sepatutnya mengingatkan mereka kepada ikon kasih sayang lebih hebat dan mulia.

Sedihnya, kisah cinta Rasulullah kepada umatnya sudah hilang daripada diari hidup remaja. Justeru, marilah mengenang kembali kisah Rasulullah yang mengalir darah di kaki Baginda akibat dibaling batu oleh penduduk Thaif yang menolak dakwah Baginda.

Ketika hadirnya malaikat penjaga gunung yang bersimpati dan bertanya mahukah Baginda jika penduduk Thaif dimusnahkan, Rasulullah menolak sebaliknya berdoa supaya penduduk Thaif mendapat hidayah petunjuk dari Allah.

Hebat benar kisah cinta Nabi SAW kepada umatnya membuatkan Baginda terlupa luka di kaki yang berdarah. Namun kita sebagai umatnya, tidak mahu menjadikan Baginda sebagai ‘ikon cinta.’

Semasa Nabi SAW menakluk Kota Makkah bersama sepuluh ribu tentera, sahabat lain mengenang kembali saat umat Islam diusir dan ada sahabat yang dicincang oleh kafir Quraisy. Betapa hina mereka difitnah dan dicaci sebelum ini.

Lalu seorang sahabat bangun dan berkata: “Hari ini adalah hari pembunuhan balik (balas dendam) terhadap musyrik yang memerangi mereka.”

Bagaimanapun, jiwa yang amat mencintai umatnya iaitu Muhammad SAW menolak dan berkata: “Bukan, sesungguhnya hari ini adalah hari kasih sayang.”

Sayangnya, sejarah ini dilupakan umat Nabi Muhammad sehingga lebih mengagungkan ikon cinta agama lain. Sedangkan, kita memiliki ikon cinta sebenar yang lebih hebat serta tinggi kedudukannya.

Benarlah ungkapan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku adalah kasih sayang yang dihadiahkan.” (Hadis riwayat al-Hakim). Ya Rasulullah, kami mencintaimu, moga ditetapkan hati kami di atas ketaatan mengikut petunjuk ajaranmu.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

SUMBER: BERITA HARIAN, 15/2/2011

Sunday, February 13, 2011

Bicara perihal Rasulullah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

DALAM kita perasan ataupun tidak, Muhammad hanya menjadi nama yang diletakkan kepada nama bayi lelaki yang baru dilahirkan ataupun bersempena dengan pengislaman diri seorang mualaf.

Kalaupun dipilih, ia mungkin sekadar mengambil berkat daripada nama yang hakikatnya, mempunyai makna besar, khasnya kepada umat Islam.

Sayangnya, siapa itu Muhammad, jarang kita endahkan dengan anggapan kita sudah mengenali Muhammad itu. Ataupun kita sekadar mengambil kesempatan dengan pengetahuan yang terhad, yang diperoleh semasa kecil-kecil dahulu.

Namun apabila isu karikatur Nabi Muhammad dan isu-isu berkaitan dengan kekasih Allah ini timbul dalam masyarakat, sebahagian umat Islam seluruh dunia menjadi sensitif dan terpanggil bagi menyatakan sikap.

Alhamdulillah, ini membuktikan masih ada umat Islam yang begitu prihatin serta peka dengan segelintir anasir luar yang cuba memburuk-burukkan Islam menerusi pelbagai cara.

Padahal sebenarnya, bagi seorang Islam, apabila bertemu dengan perkataan Muhammad, digalakkan kita berselawat (berdoa) untuknya.

Di dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (al-Ahzab: 56)

Nasaie dan Ibnu Hibban melaporkan, Nabi Muhammad berpesan: “Sesungguhnya orang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”

Atas kesedaran perlunya melahirkan rasa kecintaan yang lebih mendalam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan bersempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal diraikan pada 15 Februari ini, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menerbit dan mempersembahkan beberapa koleksi buku berkenaan Rasulullah SAW daripada pelbagai sudut menarik kepada para pembaca Islam di negara ini.

Buku-buku yang berjudul Uswatun Hasanah: Meneladani Rasul Meraih Cinta Allah, Bukti-Bukti Sains & Sejarah Kerasulan Muhammad, Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit, Rahsia Cinta Segi Tiga Muhammad dan Ku Damba Cintamu Ya Rasulullah ini dipersembahkan dengan olahan tersendiri para penulisnya bagai menarik perhatian umat Islam. Terutamanya generasi muda supaya mengenali insan mulia Muhammad sebagai utusan kepada seluruh manusia, penyampai wahyu Allah, saksi, pemberi khabar gembira, pemberi amaran, penyeru ke jalan Allah, lampu yang menerangi dan banyak lagi.

Dengan mengenali Nabi Muhammad SAW, semoga akan timbul rasa cinta kepada baginda, sekali gus mendorong pembaca mengikut jejak langkahnya serta menjadi ikon kehidupan
kita.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11/2/2011

Saturday, February 12, 2011

Cetek ilmu punca persoal larangan rai Hari Kekasih


Oleh Hasliza Hassan

2011/02/12
Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza dengan umat lain

MENZAHIRKAN kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.

Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun.

Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan ‘kasih sayang’.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata amat menyedihkan kerana wujud golongan yang tertekan apabila pihak berkuasa melarang sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine.

Katanya, disebabkan cetek maklumat dan ingin memprotes tanpa mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan menyebabkan peringatan supaya masyarakat Islam tidak meraikan sambutan itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Seperti yang dinyatakan Ibn Khaldun, kita ibarat masyarakat madani yang bergaul dengan semua orang dan mengimport budaya luar untuk diaplikasi dalam cara hidup kita. Perkara ini berlaku disebabkan cetek ilmu dan apabila diberi penjelasan, tak mahu dengar atau fahami.

“Kesedihan ini meruntun hati kerana berbuih mulut menasihat tetapi tidak memberi kesan,” katanya pada program Bicarawara dan Pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day 2011 di Putrajaya.
Hadir sama pada seminar bertujuan menyedarkan umat Islam hakikat sebenar Hari Valentine yang memang jauh daripada ajaran serta budaya Islam ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Saimah Mokhtar.

Wan Mohamad berkata, Hari Valentine tidak boleh disamakan dengan hari sambutan diraikan secara sejagat seperti Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ia tidak dikaitkan dengan peristiwa khusus dan pengaruh agama.

Oleh itu katanya, niat tidak menghalalkan cara dan demi menjaga akidah umat Islam adalah lebih baik jika tarikh 14 Februari dinafikan sebagai sambutan Hari Kekasih dan diganti konsep kasih sayang sepanjang masa yang dianjurkan Islam.

“Mungkin ada kata mereka tidak berniat meraikan Valentine tetapi persoalannya kenapa perlu memilih 14 Februari. Oleh itu, niat tidak menghalalkan cara. Kenapa tidak pilih 31 Ogos atau hari lain?

“Inilah yang ingin kita fahamkan masyarakat terutama remaja kerana untuk menunjukkan kasih sayang tidak perlu hari khusus, pilihlah hari lain untuk tunjukkan kasih sayang tetapi bukan 14 Februari, jika benar mereka kata tiada niat terjebak dengan sambutan Hari Valentine,” katanya.

Katanya, usaha JAKIM memberi pengetahuan, kesedaran serta bimbingan supaya masyarakat tidak terbabit dengan keghairahan menyambut Hari Valentine mungkin tidak mampu menghalang sambutannya, tetapi perjuangan membersihkan amalan bukan Islami perlu diteruskan.

Beliau berkata, amalan dan kebiasaan di sebalik pemberian hadiah atau kata-kata pada Hari Valentine mampu menghancurkan akidah Islam yang suci kerana setiap perbuatan mempunyai simbolik serta tersirat sejuta cerita bercanggah dengan pegangan agama dan adat.

Pengharaman serta larangan bukan kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki dengan trend zaman moden tetapi berlandaskan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan akhirat.

Islam sangat prihatin serta menginginkan umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak tidak boleh mencampur aduk akidah serta amalan ibadat agama lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)

Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 FEBRUARI 2011

Friday, February 11, 2011

Kisah Pendayung Sampan dengan Cendiakawan



Ada seorang pak cik tua yang seumur hidupnya menyara keluarga dengan kerja mendayung sampan. Pada suatu hari, ada seorang cendiakawan yang hebat menaiki sampan yang didayung oleh pak cik tua itu.

Di tengah perjalanan, cendiakan itu bertanya pada pak cik tua itu, "Pak cik pandai membaca dan menulis?"
"Maaf tuan, pak cik tidak tahu membaca dan menulis" jawab pak cik itu.
"Ohh...kalau begitu pak cik telah hilang separuh kehidupan! Orang yang tidak pandai menulis dan membaca telah hilang separuh keupayaan untuk hidup berjaya" kata cendiakawan itu.

Sampan terus meredah ke tengah tasik.

Cendiakawan itu bertanya lagi kepada pak cik pendayung sampan, "Pak cik ada membuat simpanan untu masa hadapan?"
"Maaf tuan, pak cik tidak mampu membuat simpanan" jawab si pendayung sampan
" Kalau begitu, sekali lagi pak cik telah kehilangan separuh kehidupan. Mana mungkin orang tidak mempunyai simpanan masa hadapan boleh hidup dengan selesa pada masa hadapan" kata cendiakawan.

Pak cik itu tersenyum..Dia mendiamkan diri sahaja walaupun anak-anaknya berjaya mengaji di universiti hasil perkerjaan mendayung sampan.

Sampan terus bergerak ke tengah tasik. Tiba-tiba sampan bocor dan air mula memasuki sampan. Sampan itu hampir tenggelam.

Dalam keadaan cemas itu, si pendayung bertanya kepada cendiakawan, "Tuan, tuan pandai berenang?".
"Er, er, saya tidak pandai berenang" kata cendiakawan
"Kalau begitu, tuan telah kehilangan seluruh kehidupan" kata si pendayung sampan.

Akhirnya cendiakawan itu memohon maaf atas keegoannya kepada pak cik tua itu.

Pengajaran: Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Tiada manusia yang bodoh cuma mempunyai "kepandaian" yang berbeza. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ada yang petah berkata-kata, ada yang mahir mengira dan ada juga yang tangkas fizikalnya. Jadi, tidak ada manusia yang bodoh, cuma manusia berbeza kepandaian dan mereka seharusnya mengenalpasti dan menggilap kepandaian tersebut.

Thursday, February 10, 2011

Bantuan persekolahan RM2.5 bilion diagih


PUTRAJAYA 10 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyerahkan peruntukan bantuan persekolahan 2011 berjumlah RM2.5 bilion kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri dan tujuh bahagian pengurusan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Majlis berlangsung selepas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, menyampaikan Perutusan Khas 2011 Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Menurut kenyataan kementerian itu, peruntukan tersebut bagi merapatkan jurang pendidikan di antara murid di bandar dan luar bandar serta amat bermanfaat bagi murid daripada golongan miskin dan berada, murid biasa dan murid berkeperluan khas serta kemudahan bagi murid yang ditimpa bencana.

Ia juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka terus dapat bersekolah selaras dengan Dasar Pendidikan Wajib 2003.

''Agihan peruntukan bantuan persekolahan itu dibuat melalui 22 jenis bantuan persekolahan yang disalurkan oleh Kementerian Pelajaran kepada murid-murid berkelayakan setiap tahun,'' kata kenyataan itu.

Bantuan itu merangkumi Rancangan Makanan Tambahan; bantuan Pakaian Seragam Sekolah; Biasiswa Kecil Persekutuan; Biasiswa Kelas Persediaan Universiti; Biasiswa Sukan; Elaun Prauniversiti; Elaun Murid Berkeperluan Khas; bantuan Geran Perkapita Prasekolah; bantuan Makanan Prasekolah; bantuan Geran Perkapita dan Yuran Khas Sekolah.

Bantuan Kokurikulum Sekolah; bantuan Makanan Asrama; Perjalanan Asrama; Perjalanan dan Pengangkutan Murid; Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh; bantuan Jaket Keselamatan; Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan; Program Susu 1Malaysia; bantuan Sukan Sekolah; bantuan Kurikulum Prasekolah; bantuan Kurikulum Asrama dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Tujuh bahagian yang menerima bantuan tersebut adalah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang; Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional; Bahagian Pendidikan Khas; Bahagian Pendidikan Islam; Bahagian Sukan; Bahagian Kokurikulum dan Kesenian serta Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Pada tahun ini, Jabatan Pelajaran negeri Sarawak menerima peruntukan Bantuan Persekolahan tertinggi iaitu RM393 juta manakala di peringkat kementerian pula, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Cemerlang sebanyak RM117 juta.

Kerajaan berharap pemberian bantuan persekolahan itu dapat memberi motivasi kepada murid untuk terus menimba ilmu sehingga ke peringkat lebih tinggi supaya menjadi insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11/2/2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Perjalanan Pulang


Pantai yang indah ini terletak di Pekan

Cuti sekolah adalah saat yang aku nantikan. Akhirnya, dapat juga aku pulang ke pangkuan ayahanda dan bonda tercinta. Tetapi perjalanan pulangku mengambil masa panjang dan penuh liku-liku. Banjir di Johor dan Pahang menghantui mindaku. Pagi yang cerah, aku menunggu kedatangan kawanku bersama suami dan anaknya. Ermm.....Lambat tidak seperti dijanjikan. Apa boleh buat, aku mengikuti kereta kawanku. Selamat sikit ada kawan seperjalanan sebab aku memandu keseorang.

Seronoknya, pertama kali pulang ke Pahang mengikuti jalan Mersing, tepi pantai la.. Sepanjang perjalanan, cuaca baik tetapi diselangi dengan hujan lebat di Kota Tinggi dan cuaca mendung di Mersing. Aku lihat awan hitam dan hari redup di Mersing. Indah terasa apabila perjalananku melepasi kuala Sungai Mersing dan Sungai Endau-Rompin yang memisahkan sempadan Pahang dan Johor. Seimbas lalu, aku melihat banyak bot yang tersadai di jeti. Pulau Tioman... Aku teringin ke Pulau Tioman. Pulau Tioman boleh dikunjungi dengan menggunakan bot dari Tanjung Gemok di Pahang dan Mersing di Johor. Perjalanan ini memakan masa selama lebih-kurang 1 1/2 jam.

Aku meneruskan perjalanan ke Kuala Rompin. Aku dan kawan berhenti rehat dan menikmati makan tengah hari di Kuala Rompin. Kuala Rompin terkenal dengan Udang Galah. Aku lihat banyak menu di hentian rehat ini menyajikan menu udang galah. Erm..lagi sedap hidangan tengah hari aku ditaja oleh kawanku. Terima kasih, semoga Allah murahkan rezeki kawanku. Amin...

Perjalanan di teruskan ke Nenasi, Pahang. Aku dan kawan bersolat jamak di Masjid di kawasan Nenasi. Indah sangat dapat menikmati angin sepoi-sepoi bahasa bertiup di kawasan masjid ini. Pemerhatian aku, Nenasi ini kawasan berhampiran pantai dan kemungkinan penduduk menjalankan aktiviti perikanan.


Laut yang bergelora memukul pantai

Seterusnya, perjalanan aku di sambung ke Pekan. Di sepanjang perjalanan, terselit keindahan pantai. Syukur sangat, aku masih diberi kesempatan oleh Allah untuk melihat keindahan alam. Aku lihat laut bergelora sesuailah dengan musim hujan dan banjir yang sedang melanda negara. Di Pekan, kami berehat sebentar di warung Murtabak Mengkasar iaitu murtabak 'glamor' di Pekan Bandar di Raja ini. Aku melihat banyak perubahan di Bandar Pekan ini. Jalan menuju ke Kuatan di buat empat lorong, jadi melancarkan perjalanan pulangku. Akhirnya, aku dan kawan berpisah di Permatang Badak kerana kawan aku akan meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu, manakala aku meneruskan perjalanan pulang ke rumah...