Sunday, May 22, 2011

Kronologi kejadian tanah runtuh di negara ini

Kronologi kejadian tanah runtuh di negara ini

22/05/2011 5:07pm

KUALA LUMPUR 22 Mei — Highland Towers dan Bukit Antarabangsa — itu adalah antara dua kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa di negara ini, dan semalam satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku mengorbankan 16 nyawa.

Kejadian kali ini membabitkan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dan dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, penuntut, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus.

Ketika kejadian, mereka berada di bawah sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual berlangsung pukul 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit berdekatan kawasan rumah anak yatim itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah yang dipasang berhampiran dewan di lereng bukit.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa hampir 15 jam dalam operasi tanpa henti untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap dan mangsa terakhir dikeluarkan pada pukul 5.05 pagi.

Kejadian menyayat hati itu mengorbankan 16 orang dan mencederakan sembilan yang lain. Kebanyakan mangsa ialah kanak-kanak yang menghuni rumah itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor dilaporkan berkata bahawa kawasan itu dipercayai telah beberapa kali mengalami kejadian tanah runtuh namun tidak dilaporkan.

Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil pula dilaporkan berkata bahawa rumah anak-anak Yatim itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi di bawah kementerian itu.

Gelongsaran tanah berlaku selepas kejadian tanah runtuh

Berikut adalah antara kejadian tanah runtuh yang berlaku di negara ini:

* 11 Dis 1993: Satu daripada tiga blok kondominium di Highland Towers, Hulu Klang, Selangor runtuh dan mengorbankan 48 nyawa. Kejadian itu berlaku selepas tanah runtuh berlaku di belakang kondominium itu.

* 30 Jun 1995: 21 orang terkorban manakala 23 yang lain cedera dalam kejadian tanah runtuh di jalan susur Genting Highlands. Kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan air turun laju dan menghanyutkan pokok dan tanah berhampiran terowong Karak.

* Pada tahun 1996: Kejadian tanah runtuh berlaku pada tahun baru apabila sebahagian Jalan 3/11 Pesiaran Tiga, Bandar Baru Selayang runtuh.Kejadian berhampiran tiga blok flat kawasan perumahan yang didiami 130 keluarga itu tidak mengorbankan nyawa.

* 25 Disember 1997: Tanah runtuh di Km17 Lebuhraya Ampang-Hulu Klang, Selangor mengorbankan tiga orang.

* 15 Mei 1999: Penduduk kawasan perumahan Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay, Jalan Hulu Klang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh sepanjang 100 meter. Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut.

* 2 November 2002: Sebuah banglo di Taman Hillview, Hulu Klang milik bekas panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar runtuh selepas dirempuh tanah runtuh dari bukit bersebelahan rumahnya.

Dalam kejadian itu, isterinya Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu dan dua cucu serta pembantu rumah Indonesia terkorban.

* 31 Mei 2006: 49 rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang musnah akibat runtuhan tanah dan empat sekeluarga terkorban.

* 30 November 2008: Dua beradik, Noratirah Roslan, 16, dan Nurul Intan Sarina, 9, terkorban selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut meranapkan sebuah banglo di Ulu Yam Perdana, Hulu Selangor.

* 6 Disember 2008: Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang meragut lima nyawa selain menimbus 14 banglo.

* 29 Januari 2011: Tanah runtuh dan banjir kilat akibat hujan berterusan di beberapa penempatan di Sandakan, seperti di perumahan lereng bukit Bandar Ramai-Ramai, Kampung Gelam runtuh dan Kampung Sundang Darat. Kejadian mengorbankan dua orang, seorang warga emas dan remaja perempuan.

*21 Mei 2011: Tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, di Hulu Langat dekat sini ranap tertimbus tanah runtuh, ketika kira-kira 30 penghuni sedang menjalani latihan persembahan nasyid. Kejadian mengorbankan 16 mangsa serta mencederakan 9 orang.

SUMBER: Utusan Malaysia, 22/5/2011

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_24.htm

Neraka Dunia



Lubuk bahaya: Pokok gergasi, landskap aneh, ekstrem dan gas beracun antara lokasi dilabel ‘neraka’ dunia

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2011/05/22


TANYALAH sesiapa saja - hatta manusia paling kejam sekali pun - tiada siapa yang ingin menjadi penghuni neraka. Ia yang dikaitkan dengan panas, api dan bentuk seksaan mengerikan sudah cukup membuatkan tempat itu tidak ingin dijejaki langsung walaupun sekadar dalam mimpi.

Tidak kira apa jenis gambaran yang timbul mengenai neraka, ia bukan sesuatu yang baik dan molek sesuai dengan kedudukannya sebagai kediaman tetap iblis. Sebagai umat Islam, gambaran neraka cuma diperoleh menerusi al-Quran.

Namun hakikatnya, ada beberapa tempat di dunia ini sebaliknya kerap dilabel atau diumpamakan neraka kerana pelbagai sebab dan pastinya bukan tempat pilihan untuk dikunjungi ketika bercuti. Alasannya, selain membahayakan akibat faktor pelepasan gas beracun, ia juga dikaitkan dengan bahaya berikutan geografi serta rupa fizikalnya yang ekstrem dan cukup menggerunkan. Tidak ketinggalan, bentuk muka buminya yang pelik dan aneh dengan batuan serta tumbuh-tumbuhannya bersaiz gergasi dan tidak menepati aspek geografi fizikal pada masa kini.

Namaskar Pass di Iceland, dikenali sebagai ‘Pintu Masuk ke Neraka’ mendapat gelaran itu kerana landskapnya yang aneh dan pelbagai. Jauh bertentangan dengan negara tempat letaknya yang sepatutnya sejuk, Namaskar Pass, pula dipenuhi kawah gunung berapi yang mendidih, air pancut panas, kolam lumpur malah pembentukan lahar.

Gabungan itu menjadi keseluruhan tempat berkenaan sentiasa hidup dengan tenaga yang mendidih berterusan.


Namaskar Pass di Iceland di kenali sebagai "Pintu Masuk Neraka"

Tidak kurang ngeri ialah Bisti Badlands, padang pasir tandus di New Mexico yang digambarkan seolah-olah memasuki pintu masuk ke satu dunia lain sebaik menjejakkan kaki ke situ. Hampir 70 juta tahun dulu, ia adalah hutan hujan tetapi hari ini tempat itu kekal sebagai kawasan perkuburan kepada haiwan prasejarah, dinosaur.

Bisti Badlands di New Mexico menjadi kubur dinosaur.

Satu lagi Pintu ke Neraka terletak di pekan kecil Darvas di Uzbekistan. Kisah mengenai tempat itu sudah tersebar 35 tahun lalu apabila pakar geologi mula menggali untuk mencari gas. Dalam proses itu mereka menemui gua bawah tanah yang cukup besar untuk memuatkan peralatan menggali.

Namun tiada siapa berani memasukinya kerana dipenuhi gas. Mereka membakarnya untuk menghalang gas beracun daripada terlepas dan sejak itu ia tidak pernah terpadam. Tiada siapa tahu berapa tan gas yang dibakar sejak 35 tahun lalu tetapi kelihatannya ia mungkin tidak akan habis.



Api yang membakar kawasan Darvas digelar Pintu Neraka di Uzbekistan tidak pernah terpadam sejak 35 tahun lalu.

Satu daripada padang pasir paling ekstrem di dunia - Victoria Dry Valley atau Lembah Kering Victoria di Antartika, adalah kawasan bebas ais paling besar yang ada di benua itu. Paras kelembapan yang amat rendah dan kekurangan liputan ais menjadi sebab utama berlakunya tiupan angin katabatic yang boleh mencecah kelajuan 321 kilometer sejam.

Lembah Kering Victoria di Antartika, adalah kawasan bebas ais paling di Antartika

Satu lagi kawasan digelar ‘neraka dunia’ adalah Socotra. Sebagai pulau terbesar daripada empat pulau di Lautan Hindi, Socotra terletak kira-kira 240 kilometer ke timur Afrika Timur. Ia pulau terpencil dan satu pertiga daripada tumbuhan di situ, termasuk pokok gergasi tidak akan ditemui di tempat lain. Socotra amat aneh sehingga digambarkan sebagai tempat paling pelik di bumi.
Tumbuhan pelik tapi unik di Pulau Socotra


Dragon’s Blood Tree di Pulau Socotra, Yemen

Bukan sukar untuk berasa tiba-tiba saja kita berada di satu planet lain yang lebih kasar dan lebih mengelirukan apabila melawat Vale de Lua, Brazil. ‘Lembah Bulan’ itu menjadi kawasan paling dilawati di Taman Negara Chapadea de Veadeiros dan dikatakan sudah berusia 1.8 juta tahun. Pembentukan batu yang dihakis oleh air Sungai San Miguel, adalah antara yang tertua dan paling aneh di dunia.
Lembah Bulan di Vale de Lua, Brazil

Cuma boleh dilihat daripada angkasa lepas, Richat Structure, adalah paparan pusingan di Gurun Sahara Mauritania berhampiran Ouadane. Ia menarik perhatian sejak misi ke angkasa lepas terawal kerana mudah dilihat dan mempunyai berbentuk mata lembu.Kepercayaan asal saintis, Richat Structure terbentuk hasil kesan hentaman meteorit, tetapi saintis sekarang percaya ia mungkin hasil pembentukan luar biasa akibat hakisan.

Richat Structure di kenali juga 'The Eye Of The Sahara'.

Sementara itu, Mata Air Panas Mammoth di Yellowstone, Amerika Syarikat adalah mata air yang menyimpan karbonat paling besar. Ciri mata air itu yang paling popular, Minerva Terrace, adalah hasil ribuan tahun air panas yang turut kaya hasil kalsium karbonat. Lebih dua tan mengalir ke dalam kawasan ini setiap hari.
Mata Air Panas Mammoth di Yellowstone. Warna oren terhasil akibat tindakan bakteria yang tahan haba

Satu lagi lokasi yang digeruni adalah padang geotermal paling aktif di kawasan Rotorua, New Zealand. Ia diberi gelaran Pintu Neraka kerana bau busuk air dicemari belerang dan kolam lumpur. Di sekitar gunung berapi di Pulau Utara New Zealand dan kawasan geotermal, hampir 1,000 spesies bakteria paling pelik ditemui di sebalik suhu, paras asid, alkali, tekanan dan kerapnya tanpa cahaya matahari atau oksigen.
Boiling Mud Pools atau Kolam Lumpur Panas, Rotorua, New Zealand

Hakikatnya, semua lokasi ini sememangnya jauh tersasar daripada definisi neraka seperti yang disebutkan dalam al-Quran. Tetapi mungkinkah kewujudannya boleh dijadikan peringatan kepada manusia betapa neraka akhirat jauh lebih menakutkan.

SUMBER: Berita Harian, 22/5/2011
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Nerakadunia/Article/index

Tuesday, May 17, 2011

Terima Kasih...Wahai Pelajarku...

Guru....

Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,

Pelita dan lampu segala,

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.


Sangat istimewa isi kad pemberian Izzati, 1 RK 1.

Teacher

We may not always value what,
You strive to do each day,
We may not listen to your words,
Or care what you might say,

One day,
we'll know that all you gave,
Can take us very far,
You opened up our minds to learn,
And made us who we are.

Hadiah istimewa & pertama aku terima daripada Farah Firzanah, 1D

Apabila aku membaca 'Teacher' di atas, mengingatkanku bahawa hidup ini apabila kita sudah tiada, baru kehadiran kita sebelum ini di hargai dan dirasai kehilangannya. Seorang guru jasanya hanya dihargai oleh pelajar apabila gurunya sudah tiada di sisinya. Semasa guru memberi pengajaran dan peringatan, pelajar selalu leka dan alpa. Apabila pelajar menamatkan pelajaran, barulah mereka mengenang jasa guru. Inilah kehidupan. Seperti bait-bait lagu Nasyid Raihan-Antara Dua Cinta ....

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang

Teringat bekas-bekas pelajarku di SMRA Chuah. Apa khabar mereka semua. Cikgu masih teringat kenangan kita bersama betapa indahnya saat bersama kalian semua....Rindu kamu semua....Ingat, kamu semua tetap terbaik buat cikgu walaupun kita tidak bersama lagi. Kuatkan semangat, teruskan usaha semoga kamu semua berjaya di dunia & akhirat...

Sukarku mengambarkan perasaan ini. Ada suka dan duka tika menyambut Hari Guru. Gembira melihat rakan-rakan guru menerima hadiah daripada pelajar mereka. Aku pula....erm sibuk menguruskan jamuan. Agakmya sebab itu, tidak ramai pelajar yang datang berjumpaku dan mengucapkan hari guru dan memberi hadiah. Bukan aku pinta hadiah daripada mereka cuma ucapan tulus ikhlas penghargaan mereka buatku serta doa mereka mengiringi perjalanan hidupku.

Agaknya siapakah guru bertuah menerima button 'Terima Kasih Cikgu' yang dibeli hasil pendahuluan duitku. Satu button, RM 1.50, Kalau 8, berapa ye?...Inilah guru, duit selalu didahulukan untuk membeli hadiah perpisahan pengetua ke hadiah sempena hari guru ke. Entahlah...adakah pelajar ini akan melunaskan hutang mereka padaku. Erm...kalau dikira banyak juga hutang ni. Kalau tidak, anggap je lah guru-guru sekalian wang itu disedekahkan....Guru boleh jadi Jutawan Akhirat ini. Amin....

Berbalik kisah button...Ada 8 pilihan guru? Siapa yang pelajarku hadiahkan? Teringat ada guru kelas yang menerima button daripada pelajar kelasnya. Ye lah siapalah kita, manusia biasa yang mengharapkan kasihNya....Ibarat tajuk novel, Menunggu Cinta Tuhan....Redha jelah, mungkin ramai sangat pilihan mereka sampai terlupa guru kelas mereka....


TERIMA KASIH....WAHAI PELAJARKU

Terima kasih buat pelajarku Farah Firzanah, 1D, Sufiah Afira, Nurul Nabila, NurNatasya Aineera, Aisyah Hazirah, 1E, Nurul Izzati, Fatin Nabilah dan Malvinder. Terima kasih juga buat Yuvanes yang masih ingat cikgu walaupun cikgu tidak mengajar kamu lagi.....

Terima kasih juga buat Faris Ikhwan...cantik & comel sangat mug itu. Terima kasih juga buat 'anak murid 1 RK 1' menghadiahkan cikgu mug bunga yang cantik & mengucapkan hari guru walaupun agak terlewat...walaupun cikgu tidak sempat melihat pemberinya, Cikgu yakin hadiah ini daripada Hafizi....

Terima kasih buat Shamri Izham, IJ, hadiahkan cikgu sebatang pen merah...Shamri, Bersabarlah dalam kesabaran menghadapi hidup ini...

Terima kasih buat pelajarku yang sudi hadir pada Hari Guru. Sekurang-kurangnya kamu semua hadir untuk memeriahkan hari guru, walaupun tidak mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari guru. Erm...itu pun dikira bagus daripada pelajar yang langsung tidak hadir ke sekolah. Teringat zaman sekolah dulu, agaknya aku pun macam ini juga kot. Pernah tidak hadir sekolah pada Hari Guru. Sekarang baru ku tahu, perasaan guruku, ketika aku tidak hadir & mengucapkan Hari Guru....Inilah hukum karma........

Tetapi aku yakin, bukan hadiah yang dipinta oleh guruku, tetapi kejayaan anak muridnya dalam pelajaran & kehidupan. Begitu juga aku...Aku mengharapkan kejayaan anak murid ku di dunia dan di akhirat. Untuk pelajar bukan Muslim, aku mengharapkan kejayaan mereka dalam hidup. Jadilah insan yang bermanfaat kepada keluarga, agama, bangsa & negara.


Kad Istimewa daripada Izzati. Sangat kreatif !!

Hadiah daripada pelajar


Inilah hasil hadiah daripada pelajarku....Aku sangat suka semua pemberian mereka


Raihan-Antara Dua Cinta (Lagu yang aku sukai)



Selamat Menyambut Hari Guru, 2o11. Selamat berjuang kepada pelajarku, semoga lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Ingat buat ulangkaji Geografi dari bab 1 - 8. Cikgu sentiasa mendoakan kejayaan kamu semua. Semoga ada manfaatnya.

Diraikan @ Meraikan?

Aku diraikan atau meraikan Hari Guru semalam?

Agak terkejut aku apabila mengetahui Majlis Sambutan Hari Guru diuruskan oleh MPGK iaitu guru. Pengalaman aku sebelum ini, biasanya majlis sambutan hari guru diuruskan oleh badan pengawas dengan bimbingan guru.Oklah, sekurang-kurangnya akan ada pengawas akan membantu menjayakan majlis ini.

Erm...hari Ahad hadir ke sekolah untuk menghias khemah dan laluan sambutan hari guru. Ramai juga urusetia yang hadir. Pelajar pula hanya 8 orang sahaja yang datang membantu guru. Aku dan Pae ditugaskan untuk menghias gerbang laluan utama untuk perarakan hari guru. Cantik. Biru, Hitam dan Putih tema yang dipilih. Gabungan warna yang menarik. Hihi..Terasa menghias gerbang perkahwinan pula.

Sedih melihat hiasan bunga diambil pelajar & kemudian dihadiahkan kepada guru...Fikirkanlah pelajar, adakah patut bunga yang 'dic**i' dihadiahkan kepada guru. MATLAMAT TIDAK PERNAH MENGHALALKAN CARA...

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pagi yang indah, cahaya matahari memancarkan sinar bersama bahangnya. Sambutan Hari Guru dimulakan dengan perarakan guru dengan diiringi kompang oleh pelajar. Kemudian pembacaan perutusan sempena Hari Guru serta ucapan oleh GPK Pentadbiran. Al-maklumlah sekolah ini tidak mempunyai pengetua. Sambutan diteruskan lagi dengan bacaan ikrar guru dan kemuncaknya nyayian Guru Malaysia, Lagu tema iaitu Guru Penjana Transformasi Negara dan Warisan. Aku lihat semangat juga cikgu-cikgu sekolah ini menyanyi termasuklah aku sekali. Terasa meresap semangat untuk menjadi guru yang cemerlang & terbaik dalam diri ini.

Aku ditugaskan untuk mengurus jamuan termasuk melayan VIP. Sekali-sekala, aku terpaksa meninggalkan majlis. Lomponglah, persembahan pelajar yang aku dapat tengok. Menarik juga persembahan pelajar seperti permainan Yo-Yo Cina, Tarian India, persembahan Wushu, Nyanyian pelajar serta persembahan Viola oleh pekerja. Tertarik aku dengan kelunakan geselan viola pak cik ini...Sedih juga, melihat tidak ramai yang memberi perhatian seolah barang yang 'lama' sudah dilupakan. Puncak persembahan diteruskan dengan persembahan istimewa guru-guru lelaki dengan 'dikir barat'. Seronok melihat persembahan santai Cikgu Sofian mendeklamasikan sajak. Persembahan Dikir barat ini diketuai oleh Cikgu Tahir dan tukang karut yang mempunyai bakat terpendam, Cikgu Muslim...

Sambutan diteruskan dengan akriviti permainan. Ada seorang kawan aku ditugaskan untuk menguruskan permainan menganyam ketupat dan gubahan bunga. Sedihnya, apabila dia meminta bantuan pengawas menolak permohonannya. Nasib baik ada seorang sahaja yang sudi membantu. Pengawas lain bersenang lenang serta ada yang memegang 'bunga' yang dihias disepanjang laluan perarakan. Dimana sikap bertanggungjawab seorang pengwas yang menjadi pemimpin bagi pelajar lain? Kalau pengawas boleh buat begitu apalagi pelajar lain...Ada juga pelajar yang menghadiah 'bunga' itu kepada guru dan guru itu gembira menerimanya tanpa menyedari bunga itu adalah bunga curi. Ermm...macam aku cakap tadi, matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Walaupun niat pelajar itu baik untuk menghargai guru tetapi caranya salah menghadiahkan sesuatu bukan hak miliknya.....



Ini belum lagi masuk kisah pelajar biasa yang apabila aku meminta tolong mengangkat kerusi dengan selamba berkata

'Saya pelajar tingkatan 1, cikgu mintalah tolong kakak yang senior. Saya akan tolong kalau kawan saya nak tolong'....begitu 'sopan' pelajar itu menjawab permintaan aku.

Entahlah, kenapa sukar mencari pelajar yang ringan tulang untuk menolong guru. Apabila menolong mesti meminta sesuatu sebagai balasan seperti menambah 'demerit' mereka walaupun pertolongan itu mengangkat buku sahaja.

Oklah, berbalik kisah diraikan atau meraikan....

Aku melihat kerjasama guru dalam menjayakan pertandingan permainan ini kurang. Sampai terpaksa urusetia (guru- bukannya pelajar) mencari guru-guru untuk memasuki acara dipertandingan walaupun sudah dimaklumkan awal.

Selepas pertandingan di kantin berakhir, aku selaku ajk jamuan ditugaskan untuk menyusun kerusi dan meja untuk jamuan makan sempena hari guru. Kerjasama pelajar amat kurang sekali. Apabila disuruh baru hendak buat. Pengawas pun tidak memainkan peranan untuk membantu guru.

Sambutan diteruskan dengan pemotongan kek, ucapan GPK Pentadbiran dan penyampaian hadiah, cabutan bertuah dan pertukaran hadiah antara guru. Erm...sekurang-kurangnya cikgu-cikgu tidaklah balik dengan tangan kosong (tidak terima hadiah daripada pelajar). Akhir sekali jamuan istimewa Nasi Ayam 'sponsor' oleh kantin sekolah. Semoga rezeki Kak Azah bertambah murah...amin

Selepas jamuan, maka berakhirlah sambutan hari guru peringkat sekolah.....

Tetapi belum berakhir kepada urusetia. Kami terpaksa mengemas kantin, khemah dan laluan perarakan. Di dalam sedang rancak mengemas dengan bantuan beberapa kerat pelajar, hujan lebat disertai kilat sambung menyambung. Mencemaskan. Aku ketika itu dikawasan laluan perarakan terkena tempias hujan terpaksa melarikan diri di kawasan lorong bangunan. Sekali-sekala, apabila kilat menyambar aku dan kawanku terlihat percikan api di kawasan suis utama. Menyeramkan...Lantas, aku dan kawan melarikan diri ke bilik guru...

Aku terfikir, adakah aku diraikan sempena hari guru atau aku meraikan hari guru? Entahlah...yang penting kerja yang dilakukan ikhlas keranaNya...

Kenapa sekolah ini, urusetia hari guru adalah guru bukannya badan pengawas. Kenapa sekolah ini pengawas tidak boleh berdikari sendiri....Ok lah, kalau badan pengawas tidak boleh menguruskan hari guru tetapi sekurang-kurangnya tolonglah bantu guru yang menguruskan hari guru...Ingatlah, tugas pengawas itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang berat perlu dipikul.

Imam Ghazali pernah menyoal anak muridnya. Apakah yang paling berat di dunia ini? dan jawapannya memegang amanah.

Suatu hari nanti, kita dipertanggunggjawab dengan amanah yang kita pikul sekarang ini.Jadilah manusia bertanggungjawab. Terima kasih kepada guru dan pelajar yang terlibat dalam menjayakan sambutan hari guru ini. Semoga jasa kalian mendapat rahmat ilhahi...

Sekadar menulis untuk peringatan sendiri....Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya...Semoga ada manfaatnya.

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru 2011

Esok 16 Mei 2011. Apa yang istimewa dengan 16 Mei ini?

Jawapannya: Hari Guru....

Tetapi apa itu Guru?

Perkataan "Guru" berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud seseorang yang dianggap mempunyai pengetahuan yang luas, bijak dan pakar dalam sesuatu bidang dan menggunakannya untuk membimbing orang lain. Di Malaysia, kata "guru" diertikan sebagai "pengajar,pendidik dan pembimbing" kepada pelajar terutama di sekolah.

Perkataan ‘guru’ berakar dari kata “gri” yang dalam bahasa sanskerta bermaksud ‘untuk bangkitkan (menyedarkan)’ atau ‘untuk memuji (tuhan)’. Ia juga berkait rapat dengan kata “gur” yang bermaksud ‘untuk bangun (sedar)’ atau ‘untuk menghasilkan usaha’.

Secara sukukata pula ‘gu’ bermaksud ‘kegelapan’ dan sukukata ‘ru’ bermaksud ‘cahaya’ atau ‘diterangi’. Maka ‘gu’ & ‘ru’ bolehlah diertikan sebagai ‘insan yang membimbing seseorang keluar dari kegelapan (tak berilmu) untuk diterangi cahaya ilmu’. Pendapat lain mengatakan ‘gu’ & ‘ru’ ini adalah ‘seseorang yang melenyapkan kejahilan kerohanian seseorang dengan membawa sinar pertunjuk (cahaya ilmu) kerohanian kealam spiritualnya’.*(*www.aurakaya.blogspot.com)

GURU ke CIKGU?

Menurut Kamus Dewan, kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama cuma berbeza dari segi penggunaan bahasanya. Biasanya GURU lebih digunakan secara umum seperti Guru Bahasa, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran. Contoh lain, tema hari guru bukannya hari cikgu:

TEMA HARI GURU 2011: GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA.
TEMA HARI GURU 2009 & 2010: GURU PEMBINA NEGARA BANGSA.

Cikgu pula lebih digunakan kepada panggilan nama seorang guru. Contohnya Cikgu Hajjar, Cikgu Aini, Cikgu Ooi dan Cikgu Latifah. Kalau seseorang pelajar memanggil Guru Sofia...Erm rasanya janggal bunyinya kan...

Tetapi kenapa Hari Guru disambut 16 Mei?

Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Siapa guru kita?

1. Rasulullah adalah guru yang paling baik dan boleh dijadikan contoh tauladan.

2. Ibu dan bapa. Sejak dalam kandungan lagi kita dididik. Kita diperdengarkan dengan azan dan iqamat sebaik sahaja keluar dari alam rahim. Kita belajar bercakap, bergerak, berjalan berlari dan sebagainya.

3. Guru di sekolah rendah & menengah.

4. Guru di kolej.

5. Guru/ Pensyarah/ Doktor/ Puan/Tuan di Universiti.

6. Kawan-kawan.

7. Abang2 & kakak2....Adik2

sumber:
http://absarlegal.wordpress.com/2011/02/05/guru-ke-cikgu-ke-jurulatih/
http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Guru_di_Malaysia
http://www.jaulahsufi.blogspot.com/

P/S: Sempena Hari Guru, aku ingin mengucapkan selamat hari guru buat guru yang tercinta di SK(LKTP)LH 01, SMKLH, KMPh, UPM & UPSI serta rakan-rakan seperjuangan di SMKLH, SMK SRI DAMAI, SMRA CHUAH dan SMK*B. Semoga Allah memberkati usaha kita mendidik anak bangsa demi agama, bangsa & negara. Buat guru-guruku, pengorbananmu mendidik kami sentiasa diiringi doa tulus ikhlas agar dikau dirahmati Allah selalu...

Tuesday, May 10, 2011

Ribut Aere punca panas luar biasa


PAPAN tanda yang memaparkan ramalan cuaca sepanjang minggu ini di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kepanasan luar biasa yang berlaku di kebanyakan bandar utama negara, khususnya di Pantai Barat Semenanjung ketika ini sehingga mencecah suhu di antara 35 hingga 36 darjah Celsius dijangka berakhir dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, fenomena itu disebabkan Ribut Tropika Aere dikesan berlaku di utara Filipina yang meniup angin dari arah barat daya ke negara ini.

“Ia disebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering,” katanya di sini, semalam.

Malaysia pernah mencatat suhu 38.3 darjah Celsius di Alor Star, Kedah pada Februari 2005 dan tertinggi sehingga 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Monsun barat daya yang membawa cuaca kering lazimnya berterusan sehingga September.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Saw Bun Liong, dipetik BERNAMA berkata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr K Venkateswara Rao, berkata berikutan keadaan suhu mencecah sehingga 36 darjah Celcius, orang ramai bukan saja harus mengurangkan aktiviti luar malah perlu mengamalkan corak pemakanan seimbang. “Individu perlu minum air secukupnya dan elak makan makanan pedas serta banyakkan pengambilan sayur,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10/5/2011

P/S: Sekarang ini, aku sibuk membuat ulangkaji bentuk muka bumi di Malaysia. Erm, semasa aku praktikal dulu, sempat mengajar sampai peredaran bumi dan kejadian empat musim. Nampaknya, kena banyak cari maklumat tambahan dan salah satunya artikel di atas ini berkaitan dengan cuaca dan iklim di Malaysia. Untuk pelajarku, sila buat ulangkaji dari bab 1 - bab 8. Cikgu yakin kamu semua boleh berjaya...Semoga lulus cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun ini

Kisah suka duka Cepor, Selendang

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 9 Mei - Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang dekat sini ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 1989.

Pusat tersebut merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang diwujudkan sejak 1974.

Pusat ini dianggotai sepasukan Unit Gajah yang berperanan menempatkan semula gajah liar yang habitatnya diambil alih oleh projek pembangunan terutama pertanian.

Gajah liar dari kawasan yang 'terganggu' tersebut akan ditempatkan semula ke habitat lain seperti di Taman Negara, Jerantut.

Sejak 30 tahun lalu, pasukan yang dahulunya terdiri daripada 25 anggota itu berjaya memindahkan lebih 450 ekor gajah liar dari seluruh semenanjung.

Proses pemindahan itu bertujuan meminimumkan risiko kepupusan mamalia tersebut.

Selain berfungsi sebagai ibu pejabat untuk Unit Gajah, pusat itu juga merupakan tempat perlindungan bagi beberapa ekor gajah denak dan liar.

Pusat tersebut juga bermatlamat meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di negara ini.

Di samping itu, pusat pemuliharaan tersebut menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula serta konservasi gajah.

Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.

Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari mengenai proses pemindahan semula gajah liar yang dilakukan pada 1996 dengan kerjasama krew National Geographic.

Selain itu, program khas boleh disediakan untuk rombongan sekolah.

Pusat tersebut mempunyai beberapa ekor gajah tempatan yang dibawa masuk daripada Thailand dan Myanmar.

Gajah-gajah terbabit dilatih dan digunakan untuk memindahkan gajah liar dari kawasan bermasalah di seluruh Semenanjung.

Pusat itu juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya untuk memastikan haiwan berkenaan meneruskan kehidupannya.

Kini ia bukan sekadar menjadi pusat perlindungan gajah atau bagi tujuan penyelidikan.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah kini menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

Salah satu tarikan yang ada di pusat konservasi itu ialah kehadiran dua anak gajah yang sering menghiburkan pengunjung dengan keletah menarik hati.

Rata-rata pengunjung terutama kanak-kanak yang datang ke pusat tersebut tidak akan melepaskan peluang untuk bermain dengan dua ekor anak gajah yang diberi nama Selendang dan Cepor itu.

Meskipun kelihatan riang dan manja dengan pengunjung namun orang ramai tidak mengetahui kisah hidup dua anak gajah tersebut yang sebelum ini bertarung nyawa untuk meneruskan hidup.

Ketika mula dihantar ke pusat ini empat tahun lalu, katanya, keadaan Cepor dikatakan sangat kritikal dan hampir mati kerana ia terjatuh ke dalam lubang yang menyebabkan kecacatan pada kaki depan sebelah kanan manakala badannya kini menjadi senget sebelah.

"Ketika mula-mula Cepor dibawa ke sini, kami sangka ia tidak dapat diselamatkan kerana melihat pada kecederaan yang dialaminya sangat parah tambahan pula ketika itu ia baru beberapa hari dilahirkan.

"Namun anak gajah ini mempunyai semangat juang yang sangat tinggi untuk terus hidup dan dengan kecekapan serta kepakaran yang ada di pusat ini, Cepor berjaya diselamatkan.

"Bagi memastikan Cepor terus hidup, ia diberi minum susu setiap hari selain menjalani rawatan fisioterapi khas," katanya.

"Ramai pengunjung yang datang mahu mandi bersama Cepor kerana anak gajah itu sememangnya suka mandi bersama orang ramai. Selain dapat menggosok badan anak gajah itu, pengunjung juga disiram oleh Cepor menggunakan belalainya.

Menurut Rasli, rakan Cepor iaitu Selendang pula mempunyai kisah hitamnya tersendiri kerana menjadi mangsa kepada perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Selendang yang berusia tiga tahun itu, katanya, menjadi mangsa kepada pemburu haram dan akibatnya, kaki depan sebelah kirinya kudung terkena jerat.

"Selepas terkena jerat, Selendang dibawa ke pusat ini untuk mendapatkan rawatan. Keadaan Selendang ketika dibawa ke sini juga amat menyedihkan kerana masih bayi.

"Kita kesal dengan sikap segelintir pemburu haram yang langsung tidak memikirkan kesan terhadap hidupan liar yang dilindungi ini.

"Mereka hanya mahu mengaut keuntungan dengan menjual gading, kulit dan sebagainya daripada mamalia yang dilindungi ini," katanya.

Cepor dan Selendang katanya, kini menjadi sahabat karib dan berjaya memikat hati orang ramai dengan kelebihan yang dimiliki.

"Kanak-kanak adalah antara golongan yang sangat gembira kerana dapat bermain dengan dua anak gajah ini sambil memberi makanan kegemaran mereka iaitu kacang tanah, pisang dan tebu," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9/5/2011

Guru perlu terap nilai sabar, penyayang terhadap anak didik

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

2011/05/10
TUGAS pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, tetapi merangkumi pendidikan akhlak kepada anak murid. Mengajar dalam apa bidang sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu.

Dalam zaman serba moden serta mencabar, kerjaya guru juga semakin mencabar. Banyak kali dilaporkan mengenai adanya segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika sebagai seorang pendidik

Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah. Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa.

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, tetap relevan sepanjang zaman dan kalis masa.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!”
Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.” Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.” Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.

Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.
Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik.

Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW ada mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menggambarkan perbezaan manusia, begitu juga pelajar yang mempunyai aneka ragam baik dari segi pemahaman dan mengingati pengajaran guru.

Dalam satu lagi, Rasulullah SAW menerangkan: “Kami para Nabi diperintahkan untuk mengunjungi rumah orang dan mengajar mereka sesuai dengan kemampuan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ini menjelaskan kepada kita bahawa proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya taakulan seseorang pelajar.

Gabungan ilmu pengetahuan itu akan membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat anak didiknya mengikuti isi pengajaran.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10/5/2011

P/S: Aku memang setuju dengan artikel ini, sememangnya menjadi seorang guru perlu banyak bersabar dan bersikap penyayang dengan pelajar. Aku teringat kata-kata anak murid aku petang tadi..."Cikgu ini sabarlah"...Aku menjawab, "Cikgu memang perlu banyak sabar, kalau cikgu tidak sabar nanti boleh kena darah tinggi"...Erm fikirlah sendiri...Semoga ada manfaatnya

Guru sandaran tidak terlatih masih digantung tak bertali

Oleh Azhar Abu Samah
azhar@bharian.com.my
2011/05/10
Tiada tindakan proaktif berkaitan isu penempatan

TIGA bulan berlalu selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan 'berita baik' mengenai khidmat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sudah berkhidmat tiga tahun berturut-turut disambung, namun penyelesaian isu ini belum 'nampak cahaya di hujung terowong'.

Pengumuman Muhyiddin pada 3 Mac lalu pada sidang media selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod di Sabah, nampaknya ibarat ‘angin lalu’ sekadar singgah sipi-sipi di telinga pegawai yang dipertanggungjawabkan, khususnya di Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Saban hari e-mel bhsurat@bharian.com.my akan menerima keluhan guru, antaranya berhubung bebanan kerja perkeranian, kenaikan pangkat dan kelemahan pentadbiran sekolah. Bagaimanapun, surat ‘kemarahan’ GSTT berhubung sikap pegawai JPN ketika ditanya mengenai kedudukan mereka, termasuk jawapan ‘belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT daripada Kementerian Pelajaran’ mengatasi e-mel yang diterima sejak sebulan dua ini.

Muhyiddin sebelum ini menjelaskan kerajaan sudah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Jika arahan beliau sudah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, kita tidak nampak kenapa alasan standard belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT yang digunakan kakitangan JPN di seluruh negara bagi menjawab pertanyaan GSTT terus digunakan.

Dua surat pembaca yang diterima melalui e-mel – masing-masing satu dari Ipoh, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyebut JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memberi alasan ‘belum menerima waran lantikan’, manakala ‘JPN Wilayah tidak mendapat hitam-putih mengenainya’.
Pada masa sama, tiada kenyataan lanjut mengenai nasib GSTT yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran, selepas pengumuman dibuat Muhyiddin, sekali gus memberi tekanan kepada GSTT yang sudah berkeluarga mengenai masa depan mereka, apatah lagi kalau suami dan isteri, kedua-duanya GSTT.

Malah, kebanyakan GSTT yang sudah berkeluarga menyatakan kesediaan untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka di seluruh negara, hanya menunggu surat daripada JPN mengenai kawasan penempatan mereka.

Tekanan ini turut dirasai GSTT bujang, khususnya yang sudah membeli kenderaan untuk kemudahan pengangkutan ketika berkhidmat dulu, selain membawa pelajar untuk menyertai pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan peringkat sekolah, zon dan daerah.

Akibat ‘digantung tidak bertali’ oleh kementerian, sudah ada kes guru berkenaan terpaksa menjual semula kereta kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan kepada institusi kewangan.

Hakikatnya, kekurangan guru di Wilayah Persekutuan sebenarnya meruncing, khususnya guru Bahasa Melayu dan Sejarah. Disebabkan penumpuan berlebihan kepada penyediaan guru Sains dan Matematik di sekolah, akhirnya berlaku lambakan guru yang mengajar kedua-dua subjek ini di Kuala Lumpur.

Tidak dinafikan ada GSTT yang ditawarkan tempat di sekolah sejak April lalu, namun kebanyakan GSTT yang diambil bukan daripada mereka yang mengajar di sekolah asal, sebaliknya dari sekolah lain. Bukankah pengetua sekolah asal ada mencadangkan GSTT yang berkhidmat sebelumnya disambung perkhidmatan di sekolah berkenaan? Inilah antara persoalan yang perlu dijawab JPN berhubung soal ketelusan dalam pengambilan semula GSTT.

Isu GSTT sebenarnya bukanlah rumit untuk diselesaikan. Timbalan Perdana Menteri sudah membuka jalan penyelesaian ke atas isu penempatan guru tidak terlatih ini. Bagaimanapun, pengumuman Muhyiddin tidak disambut dengan tindakan proaktif baik pada peringkat kementerian mahupun jabatan.

Jika persoalan 13,000 GSTT pun tidak dapat ditangani dengan berkesan, apatah lagi pelbagai masalah membabitkan lebih 350,000 guru di seluruh negara. Tidak hairanlah banyak persoalan tertunggak, antaranya beban tugas berlebihan guru masih tidak dapat diselesaikan kementerian berkenaan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10/5/2011

P/S: Aku sangat simpati dengan nasib GSTT ini..Dulu pun aku GSTT sebelum dapat menyambung Diploma Pendidikan dan sekarang aku guru GSST. Lagipun, aku tengok GSTT ini memang berkelayakan untuk mengajar cuma belum ada rezeki untuk menjadi guru tetap. Bila agaknya kemelut ini akan berakhir??? Janganlah digantung mereka ini tidak bertali ibarat madu diambil, sepah dibuang. Semoga Allah memberi 'jalan sinar' buat GSTT yang ikhlas berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara

Thursday, May 5, 2011

Kesan Kegiatan Manusia Terhadap Alam Sekitar










KEGIATAN MANUSIA TERHADAP ALAM SEKITAR

A) PENEBANGAN POKOK

i) Tujuan Penebangan Pokok:
- Pembalakan - Pembinaan Jalan Raya - petempatan
- Pertanian - Perlombongan mineral -kilang

ii) Kesan penebangan pokok terhadap alam sekitar.
- Hakisan tanah - suhu meningkat - pencemaran sungai
- Kejadian banjir - kepupusan flora & fauna
- menjejaskan kawasan tadahan & sumber air

B) PERTANIAN

i) Penggunaan teknik moden seperti baja kimia, racun serangga dan racun rumpai
ii) Pertanian pindah dan pembakaran hutan untuk pertanian

ii)Kesan penggunaan teknik moden dalam pertanian terhadap alam sekitar:
- Peningkatan keasidan tanah - Pencemaran udara
- sungai tercemar oleh bahan toksik - kesubaran tanah merosot

C) PEMBINAAN JALAN RAYA

i)Kegiatan meratakan bukit dan cerun bukit menyebabkan:
- Penggondolan tanah
- Hakisan tanah
- Perubahan landskap

ii) Penebangan pokok untuk pembinaan jalan raya menyebabkan:
- Kepupusan flora dan fauna
- Tanah runtuh

D)PERINDUSTRIAN

-Kegiatan menebang pokok dan meratakan bukit untuk membina kilang telah mengubah landskap kawasan tersebut.
-Pembuangan sampah sarap dan sisa toksid: Pencemaran sungai
-Bahan-bahan buangan kilang seperti asap, debu dan habuk menyebabkan pencemaran udara dan jerebu.
-Penggunaan bahan klorofluorokarbon (CFC) akan menyebabkan:
-Peningkatan suhu bumi
-Penipisan lapisan ozon

Bahan CFC digunakan dalam industri membuat:
-Peti sejuk
-Penyembur racun serangga
-Alat penyaman udara