Friday, December 2, 2011

Ya Allah, Diakah Jodohku



Tajuk : Ya Allah, Diakah Jodohku

Penulis : Burhan Sodiq

Tebal : 221 muka surat

Penerbit : Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Harga : RM 17.00

Tahun : Cetakan Ke 1, 2011


Buku ini menjawab persoalan hati tentang calon yang dinanti. Kadang kala kita tertanya kenapa ada yang mudah jodohnya dan kenapa kita diperlambatkan jodoh. Kita tertanya kenapa sukar mencari jodoh yang sesuai. Mungkin sebabnya kita:

  • Tidak tahu kriteria yang diimpikan
  • Tahu kriteria idaman tetapi tidak tahu bagaimana mencarinya
  • Kriteria yang terlalu tinggi
  • Hanya menunggu, menunggu dan terus menunggu
Persembahan buku ini sangat menarik kerana terselit lakaran kartun yang cantik dan comel, bait-bait puisi, surat untuk bakal suami dan isteri, kisah-kisah unik berkaitan jodoh dan himpunan doa-doa penguat hati.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih dan sayang. Sesunggunya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah Ar-Rum:21)

Oleh itu, buku ini amat sesuai untuk yang masih tercari-cari jodoh yang sesuai.Semoga kita bermotivasi untuk terus berusaha mencari jodoh kita yang masih terhijab dipandangan kita.

Panduan Mencari Suami Soleh dan Isteri yang Solehah

Sudah lama aku tidak menulis berkaitan buku yang aku baca. Kali ini, sempena cuti sekolah (banyak perkahwinan) dan persoalan hati ini mengenai jodoh, aku ingin berkongsi buku berkaitan panduan mencari jodoh yang sesuai. Semoga ada manfaatnya.

Tajuk : Panduan Mencari Suami Soleh dan Isteri Solehah

Penulis : Dr. Kamil Musa

Tebal : 149 muka surat

Penerbit : Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd.

Harga : RM 10.00

Tahun : 2010

Buku ini menerangkan panduan pemilihan bakal isteri atau suami mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Untuk mencari bakal isteri yang baik, Rasulullah S.A.W bersabda yang berbunyi:

"Dinikahi perempuan itu (menurut biasanya) kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya, dan kerana agamanya. Ambillah perempuan yang taat beragama, kerana dia akan membimbing tanganmu." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Manakala untuk para wanita yang sedang mencari bakal suami antara kriteria pemilihannya ialah memilih pemuda yang berakhlak terpuji iaitu seseorang yang tidak bergaul melainkan berjalan di atas garis-garis kebaikan yang disuruh oleh agama. Wanita juga hendaklah memastikan pemuda pilihannya mempunyai sikap yang menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dilarang agama. Selain itu, kriteria seorang suami yang baik ialah bertimbang rasa dan berbaik sangka terhadap isterinya. Maka, wanita haruslah berhati-hati dan bijak memilih pasangan yang sesuai. Rasulullah bersabda:

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku." (Riwayat Tirmizi).

Untuk panduan berguna pencarian jodoh yang soleh dan solehah, boleh dapatkan buku ini.

p/s: Buku ini telah dihadiahkan oleh seorang teman buat diri ini yang masih tercari-cari jodoh yang sesuai.

1 Muharam 1433 H

Kalau sebut 1 Januari mesti semua orang tahu dan ingatkan, iaitu hari pertama untuk permulaan tahun yang baru. Tapi kalau sebut 1 Muharam mesti ramai yang terlupa harinya cuma sedar apabila tahu esok cuti am sempena Awal Muharram. Kadang kala, aku pun hampir terlupa tarikh yang begitu istimewa buat orang Islam ini iaitu bermulanya pengiraan tahun untuk umat Islam (tahun Hijrah).

Permulaan tahun Hijrah ini, aku sambut dengan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun. Syukur alhamdulillah, bertambah hari makin bertambah umurku makin dekat pertemuanku dengan penciptaku, Allah. Aku merangka azam yang belum kesampaian. Semoga Allah mempermudahkan urusanku untuk tahun 1433 H ini.


Malam yang indah itu, aku telah menerima berita sedih daripada temanku. Ayahnya meninggal dunia.
Innalillah wa-inna ilaihi raji'un. Daripada Allah kita datang, padaNya kita akan kembali. Semoga Allah merahmati roh allahyarham dan menempatkan dalam kalangan para anbia dan para solehin. Al-Fatihah...

Aku agak sedih dan terkilan kerana hasrat ayahnya untuk bertemuku hujung tahun ini tidak kesampaian. Dan aku semakin risau kerana ibunya mungkin menolakku kerana ibunya pernah meminta dirinya untuk memilih calon yang dekat dengan kampungnya. Dan aku tahu bahawa dia sangat sayang kepada arwah ayah dan ibunya. Dia berhasrat untuk menjaga ibunya serta sekarang ini dia tiada hasrat untuk berkahwin.

Oleh itu, aku harus bersedia andai ini takdirnya...

Sabarlah wahai hati, teruskan berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakal kepada Allah. Jangan mudah putus asa. Kita ada Allah tempat memohon pertolongan. Setiap kesulitan pasti ada kemudahan (Jangan lupa baca buku La Tahzan - Jangan Bersedih). Semoga Allah mempermudahkan urusan jodohmu. Moga ketemu suami yang soleh. Ameen....


Ini merupakan hasil karyaku menggunakan 'watercolour pencils' khas untuknya yang masih dalam kesedihan.

Thursday, December 1, 2011

Pertemuan Pertama

Pertemuan berjalan seperti dirancang. Tanggal 20 November 2011, aku menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan merentasi Lebuh Raya Pantai Timur menghubungkan Kuantan dan Lanchang, Pahang pelbagai panorama yang begitu mengasyikkan. Lambaian pepohon kelapa sawit, getah dan tumbuh-tumbuhan semula jadi (hutan hujan tropika) begitu mendamaikan. Bentuk muka bumi tanah pamah, kawasan paya yang terbiar, di sertai rangkaian sungai termasuk sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia (Sungai Pahang) mengindahkan lagi perjalanan. Sekali-sekala hujan renyai membasahi bumi Pahang membuatkan diri dibuai mimpi yang indah.

Seterusnya, perjalananku harus menempuh Lebuh Raya Karak yang merupakan laluan utama menghubungkan Pahang dan Selangor. Lebuh raya ini melawati banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Boleh dikatakan, perjalanan ini sangat mencabar kerana banyak selekoh tajam dan kawasan yang berbukit bukau. Sekali-sekala terlihat bawah gaung yang menggerunkan. Namun, apabila melihat keindahan hutan gunung seperti pokok daun tirus dan air terjun yang begitu mengasyikkan, perasaan gentar itu dilempar jauh dari sudut hati tapi dinasihatkan supaya berhati-hati memandu di kawasan yang merbahaya ini.

Masjid India, Kuala Lumpur

Lewat petang dikala hujan renyai, aku tiba jua di bumi Kuala Lumpur yang sudah setahun aku tinggalkan.
Kedatangan kali ini sungguh istimewa berbanding tahun lepas. Aku ingin bertemu seseorang teman yang istimewa. Adik aku yang bekerja di Kepong telah menjemput di Masjid India. Selepas melaksanakan solat jamak qasar, Zuhur dan Asar, aku berjalan-jalan di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tar untuk membeli kain telekung, baju blouse, tudung dan sepasang baju yang sangat anggun. Azan Maghrib berkumandang di Masjid India. Selepas menunaikan solat Maghrib, aku dan adik mengambil keputusan untuk pulang ke Kepong menaiki bas. Alhamdulillah, masih ada manusia yang prihatin kerana sudi memberi tempat duduk kepada kami yang berdiri dalam bas.

Masjid Puta, Putrajaya (Sumber gambar:http://en.loadtr.com/masjid_putrajaya-454677.htm)

Keesokannya, 21 November 2011. Pertemuan yang mendebarkan. Pertama kali aku bertemu dengan teman maya yang selalu dihubungi melalui laman fb, sms dan panggilan telefon. Orangnya sejuk mata memandang dan elok akhlaknya. Destinasi kami hari ini ialah Putrajaya. Sudah lama aku tidak mengunjungi Putrajaya selepas menamatkan pelajaran di UPM, Serdang. Kami bersiar-siar di Taman Botani melihat keindahan alam semula jadi seperti tasik dan tumbuh-tumbuhan yang ditanam dari pelbagai negara. Pokok yang menarik minatku ialah pokok Ara. Kenapa? Rupa-rupanya nama lain pokok Ara ialah pokok Beringin yang macam dalam lagu Bawang Merah, Bawang Putih (p/s kalau tak salah la).

Destinasni seterusnya ialah Masjid Putra, Putrajaya yang berwarna merah bata. Sangat indah kawasan masjid ini. Kami bersiar-siar di kawasan beli belah berhadapan tasik Putrajaya. Perut pun dah lapar, jadi kami menjamu selera makanan Arab. Sungguh indah saat itu makan sambil menikmati keindahan tasik buatan manusia. Kami solat Zuhur di Masjid Putrajaya. Sungguh unik masjid ini kerana tiada alat penyaman udara yang digunakan dalam masjid ini.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

Seterusnya, kami bersiar-siar di sekitar kawasan pentadbiran kerajaan untuk mencari Masjid Besi atau kini dikenali sebagai Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang terletak di Presint 3. Selepas bertemu dengan lokasi masjid ini, kami meneruskan perjalanan di Alamanda, Putrajaya. Kami singgah di MPH untuk membeli buku. Aku membeli Majalah Solusi, novel Sutera Bidadari dan buku "Ya Allah, Diakah Jodohku" dan temanku menghadiahkan sebuah buku pada ku. Akhirnya, temanku menunaikan janjinya untuk membawaku ke Masjid Besi. Kami solat Asar berjemaah di sana. Berakhirlah pertemuan pertama di Putrajaya.

Masjid Shah Alam, Selangor

Pertemuan kedua pada 23 November 2011. Kali ini, aku dibawa bersiar-siar di sekitar Shah Alam seperti pusat beli belah PKNS, Plaza Alam Sentral dan SACC Mall. Selepas solat Zuhur di Masjid Shah Alam, kami melihat keindahan seni lukisan khat di bangunan kesenian Islam. Pertemuan kali ini, aku tidak bermaya kerana aku mengalami diarrhoea. Dia membawa aku ke klinik di Seksyen 2, Shah Alam. Pukul 4.00 petang, kami tiba di stesen bas Shah Alam. Stesen bas terbuka seperti di Larkin, Johor dan Gopeng, Perak. Akhirnya, pertemuan kami berakhir di sini. Pukul 4.30 petang, aku menaiki bas pulang ke Kuantan. Dia membekalkan makanan KFC kepadaku.

Adakah pertemuan lagi buat kami? Hanya Allah yang mengetahui kerana jodoh & pertemuan adalah dibawah ketentuan-Nya. Kami hanya berserah kepada Ilahi...

p/s: Perjalanan hidup ini, boleh diibaratkan kita menaiki sebuah bas yang menuju destinasi akhir sebuah kehidupan iaitu kubur (kematian). Kadangkala perjalanan kita lancar kerana jalannya lurus tapi kadangkala jalannya berliku kerana jalannya bengkang-bengkok dan adakalanya kita lelah di perjalanan kerana terpaksa mendaki. Namun dipertengahan jalan, ada yang turun kerana lebih dahulu menamatkan perjalanan kehidupan. Apapun yang terjadi, kita haruslah bersabar dan menikmati kehidupan yang singkat ini dengan berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Bersabarlah kerana sabar itu indah...