Sunday, August 14, 2011

Kepentingan laluan viaduct hidupan liar

Viaduct atau laluan hidupan liar dilihat jalan penyelesaian terbaik buat masa ini bagi membendung kejadian haiwan liar menjadi korban dilanggar oleh pengguna lebuh raya.

Projek yang menelan belanja yang agak besar itu sebahagiannya telah pun dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sebagai contoh viaduct telah dibina di kawasan Koridor Utama Taman Negara dan Hutan Simpan Tembat, Terengganu.

Sejak tahun 2006 hingga Julai 2010 sebanyak 21 ekor tapir telah mati dilanggar oleh pelbagai jenis kenderaan di jalan-jalan raya utama di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, sebanyak 323 ekor hidupan liar yang merangkumi 190 mamalia, 116 reptilia dan 17 burung telah menjadi mangsa dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh tersebut.

Justeru lokasi hidupan liar melintasi jalan akan dikenal pasti sebelum viaduct tersebut dibina bagi memastikan projek tersebut mencapai objektifnya.

Malah, menurut Pengarah Bahagian Eko Pelancongan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Dr. Sivananthan Elagupillay, pihaknya sedang melakukan kajian terperinci sebelum projek pembinaan viaduct dimulakan.

"Kita akan mengenal pasti laluan atau denai yang sering digunakan oleh gajah atau pun haiwan lain untuk melintasi lebuh raya.

"Malah kita juga akan melakukan kajian untuk menarik perhatian hidupan liar ini melalui kawasan tersebut seperti menanam pokok serta tumbuhan yang dapat menarik perhatian mereka," ujarnya.

Seterusnya viaduct akan dibina di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai denai haiwan tersebut agar haiwan liar dapat melintasi lebuh raya tanpa dilanggar oleh kenderaan.

Konsepnya sama seperti penggunaan jejantas untuk pejalan kaki namun sedikit berbeza kerana haiwan liar akan menggunakan laluan di bawah jambatan lebuh raya yang dibina.

Ini bermakna, pengguna lebuh raya akan melalui jalan raya di atas manakala haiwan liar akan melalu denai yang telah dikenal pasti di bahagian bawah lebuh raya tersebut.

Terdapat dua projek perintis Central Forest Spine (CPS) yang telah dilaksanakan di bawah Kajian Separuh Penggal RMK9 iaitu pertama di Daerah Hutan Temerloh atau Bera, Pahang.

Kedua di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu, Koridor Utama Taman Negara dan Hutan Simpan Tembat untuk mewujudkan koridor ekologi khususnya bagi gajah di lebuh raya Gua Musang sehingga ke Kuala Berang.

Selain itu, CFS turut melibatkan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan dan ia telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Biodiversiti dan Bioteknologi Negara ke lima.

Matlamat utamanya ialah untuk meningkatkan populasi harimau belang sehingga 1,000 ekor di dalam hutan Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2020.

Seterusnya kawasan koridor Hutan Simpan Tanum hingga ke Hutan Simpan Sungai Yu, Pahang, Hutan Simpan Temenggor hingga Hutan Simpan Royal Belum, Perak.

Serta Hutan Simpan Labis Timur dan Hutan Simpan Lenggor Tengah, Johor merupakan kawasan-kawasan koridor untuk harimau belang.

Pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan melalui agensinya iaitu Perhilitan dan Jabatan Perhutanan negara ini merupakan antara contoh kesungguhan kerajaan untuk memelihara khazanah negara yang tidak ternilai itu.

Pastinya, tanpa sokongan daripada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam khususnya, hasrat kerajaan itu tidak akan berjaya secara keseluruhannya.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Julai 2011


No comments:

Post a Comment