Tuesday, November 23, 2010

Harapanku

Ya Allah,
Janganlah ibadahku merosakkan aku,
Begitu juga, janganlah kebaikanku,
Aku derhaka denganMu,

Ya Allah,
Jadikanlah kekuranganku,
Menyelamatkan aku,
Kelemahanku, aku merendah diri denganMu,
Dan itulah yang menjadikan Engkau cintakan aku,

Ya Allah,
Jadikanlah seluruh kebaikanku untuk keredhaanMu,
Bukan hendak syurgaMu,
Jadikanlah setiap amal kebaikan yang aku buat,
Aku sedih dengan kekurangannya,
Janganlah kebaikan itu menjadi aku senang dan tenang dan hilang takutku denganMu,
Aku berlindung dengan Engkau,
Ibadahku menghijab di antara Engkau dan aku,
Ia jadi bala bagiku tanpa aku sedari dan tanpa aku tahu,
Aku jadi MUFLIS ketika bertemu denganMU,

Ya Allah,
Janganlah kepujian dan cercaan orang kepadaku,
Aku jadi berdosa,
Tapi jadikanlah keduanya pahala bagiku bukan jadi bala kepadaku,

Ya Allah,
Engkau rasakanlah kepadaku,
Setiap kali membuat baik aku rasa membuat dosa,
Bahkan aku lupakan saja kebaikan itu,

Ya Allah,
Selamatkan aku daripada membuat dosa yang memang berdosa,
Juga janganlah kebaikanku juga jadi dosa dan derhaka.

Monday, November 22, 2010

Penggunaan Aplikasi Teknologi Mikrob



Aktiviti:Majlis Pelancaran Penggunaan Aplikasi Teknologi Mikrob
Tempat:Hutan Bandar Kulai
Masa: 7.30 pagi - 12.00 tgh

Pada 14 November 2010, pihak Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah mengadakan Majlis Pelancaran Penggunaan Aplikasi Mikrob Peringkat Majlis Perbandaran Kulai yang dirasmikan oleh Y.B Datuk Ahmad Zahri bin Ismail, Pengerusi Jawatakankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerjaya dan Kemudahan Awam, Negeri Johor. Pihak MPKu juga turut menjemput pelajar sekolah sekitar Kulai iaitu dari SMK Kulai Besar, SMK Indahpura, SMK Bandar Putra, SMK Sultan Ismail, SK Indahpura, SK Bandar Putra untuk memeriahkan majlis ini. Pelajar-pelajar terlibat telah didedahkan dengan penggunaan Mikrob sebagai alternatif untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Pelajar juga digalakkan untuk memelihara alam sekitar untuk kepentingan masyarakat serta generasi akan datang. Selepas majlis perasmian, upacara melontar Active Ball secara serentak oleh VVIP, staf MPKu dan pelajar sekolah ke dalam tasik di Hutan Bandar Kulai. Diharap dengan penggunaan Mikrob (Active Ball) ke dalam tasik tersebut akan menunjukkan perubahan kejernihan air selepas 6 bulan. Walaupun penggunaan Mikrob mengambil masa lama untuk menunjukkan perubahan namun hasilnya tidak membawa kesan buruk terhadap alam sekitar berbanding penggunaan bahan kimia yang menunjukkan hasil dalam tempoh singkat tetapi jangka masa panjang membawa kesan buruk terhadap alam sekitar.


Teknologi Mikrob merupakan teknologi alternatif yang mesra alam kerana penggunaannya melibatkan gabungan mikroorganisma-mikrorganisma yang berfaedah atau bakteria baik yang terdapat di sekeliling kita terutama dalam makanan. Mikrob ini terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Yis/Ragi, Unsur Fototropik dan Unsur Asid Laktik. Yis/Ragi ini mengeluarkan hormon dan enzim yang bertindak sebagai bahan bioaktif untuk meningkatkan pengaktifan sel dan akar. Unsur Fototropik digunakan menguraikan gas yang merbahaya seperti ammonia dan hidrogen sulfat dan menukarkanya kepada gas-gas yang tidak berbau serta tidak berbahaya. Unsur asid laktik pula mengeluarkan asid laktik sebagai pendinding atau penghalang mikrob yang merbahaya. Antara produk-produk daripada teknologi Mikrob ialah Active Purple, Active Orange, Multi Fertilizer, Active Ball, Seramik Mikrob dan minuman Kesihatan. Teknologi Mikrob boleh diaplikasi kegunaan harian, rawatan alam sekitar, pertanian, penternakan dan makanan tambahan. Kebiasaanya rawatan alam sekitar digunakan ialah tapak pelupusan sampah, kolam, tasik, sungai, penyelengaraan premis perniagaan, pasar, tandas awam, landskap, taman rekreasi dan tapak permainan. Teknologi Mikrob ini juga boleh diaplikasikan untuk bahan kitar semula iaitu sisa buangan rumah jenis organik seperti sisa nasi, sisa lauk, rumput, habuk papan, daun, kertas dan sebagainya. Untuk mendapatkan produk teknologi Mikrob ini, J-Biotech Environment Sdn. Bhd. telah mengeluarkan produk berunsurkan Mikrob dibawah jenama Efectiva Cultura.

Monday, November 1, 2010

Kemusnahan

Bumi indah kurniaan Ilahi ini,
Manusialah yang mencorakkannya,
Udara nyaman jadi taruhan,
Kekayaan bumi jadi rebutan,
Kejernihan air penyambung hidupan.

Namun hari ini,
Udara nyaman dinodai debu... gas... asap
Jerebu mendakan dada kota,
Asap kereta dan kilang menghitam lelangit kota,
Ozon menderita.

Sulfur dan nitrogen dioksida meredah udara,
Meracuni kejernihan titisan hujan terjun ke bumi,
Manusia menderita kesakitan,
Tumbuhan lupus keasidan,
Akuatik kelemasan air beracun.

Lihatlah kota raya tersegam indah,
Kebisingan mengocak ketenangan,
Kereta...jentera...manusia...segala cara membingit telinga,
Bahang kota semakin terasa membakar meresahminda,
Hilanglah nikmat indah kurniaan Ilahi,
Segalanya musnah di tangan manusia.

Sumber: Sayembara Puisi Geografi 2004,
Sekolah Model Khas Bukkit Jenun, Pendang, Kedah, 2004

Suatu Hari (Imam Ghazali)

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (teka-teki);

Imam Ghazali = “Apakah yang paling dekat dengan kita di dunia ini?”
Murid 1 = “Orang tua”
Murid 2 = “Guru”
Murid 3 = “Teman”
Murid 4 = “Kaum kerabat”

Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kta ialah MATI. Sebab itu janji Allah S.W.T bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati” (Surah Ali-Imran :185)

Imam Ghazali = “Apakah yang paling jauh dari kita di dunia ini?”
Murid 1 = “China”
Murid 2 = “Bulan”
Murid 3 = “Bintang”
Murid 4 = “Matahari”

Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari2 yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling besar didunia ini?”
Murid 1 = “Gunung”
Murid 2 = “Matahari”
Murid 3 = “Bumi”

Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al-A’raf:179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling berat didunia?”
Murid 1 = “Baja”
Murid 2 = “Besi”
Murid 3 = “Gajah”

Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling berat sekali adalah MEMEGANG AMANAH (Surah al-Azab:72. Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah S.W.T meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah S.W.T sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling ringan di dunia ini?”
Murid 1 = “Kapas”
Murid 2 = “Angin”
Murid 3 = “Debu”
Murid 4 = “Daun-daun”

Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat”

Imam Ghazali = “Apakah yang paling tajam sekali di dunia ini?”

Murid-murid dengan serentak menjawab = “Mata pedang!!!”
Imam Ghazali = “semua jawapan itu benar, tetapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri”

Renung maksud laut dalam ayat 20 surah al-Quran


Laut membiru...Indah sungguh ciptaan Allah...

AYAT 41 Surah Ar-Rum (30:41) yang bermaksud: “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki supaya manusia merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).”


Sang Bedal sangat tertarik dengan ayat ini yang mengaitkan betapa tangan manusialah yang mengheret kepada kebinasaan dunia sama ada di laut mahupun di darat. Kemusnahan di laut termasuk keangkuhan kegiatan pencerobohan zon pantai oleh bot tertentu. Kegiatan mengebom untuk mendapatkan ikan karang. Dan, kaedah memukat yang memusnahkan lantai laut. Ini belum dicampur dengan perbuatan membuang sisa minyak, lumpur gris dan segala sisa industri ke dalam laut yang berlaku secara tersembunyi atau terang-terangan.

Dalam al-Quran ada 24 surah yang menyebut pasal laut. Antaranya, Ar-Rum yang mengesahkan bencana hari ini adalah angkara tangan kita. Kes pemanasan global, kecairan glasiar di kutub selatan dan utara serta kenaikan paras air yang bakal menenggelamkan beberapa peratus muka bumi adalah antara bencana akibat tangan manusia. Allah lebih awal menyatakan atau memberi amaran perihal kerosakan akibat tangan manusia ini melalui al-Quran.

Kapal juga dicipta Allah dengan sifat tunduk kepada-Nya. Surah Ibrahim, ayat 32 (14:32) menyatakan mengenai kekuasaan Allah menundukkan kapal supaya boleh belayar. Allah juga menegaskan betapa air laut jika dijadikan tinta (dakwat) pun masih tidak mencukupi untuk menulis kalimat-Nya bahkan jika air dituang lagi supaya sama dengan yang ada pun masih tidak mencukupi untuk menulis kalimat itu.

Surat Yunus (10:22) pula menceritakan kisah gelombang dan ribut di lautan. Dan, mungkinkah ayat 22 ini boleh dijadikan doa untuk memohon kepada Allah supaya dihindarkan daripada bencana itu ketika di laut? Sang Bedal menyarankan pemancing merujuk kepada yang bijak pandai untuk memastikannya.

Memang banyak ayat yang mengisahkan kekuasaan Allah membelah Laut Merah bagi membolehkan Bani Israil menyeberanginya untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman Firaun. Kisah khasiat daging segar (ikan) juga dinyatakan Allah dalam al-Quran dan membuktikan betapa ikan adalah antara anugerah-Nya yang tidak ternilai. Dari segi sumber protein untuk manusia serta sudut keseimbangan bio, habitat dan rantai makanan; ikan ternyata elemen sangat penting dalam kehidupan. Tetapi apakah yang kita sudah lakukan kepada ikan, habitat serta kelangsungannya? Semua angkara tangan manusia...

Surah lain yang menyebut soal laut antaranya, An-Nahl, Al-Isra’, Al-Kahf, Taha, Al-Hajj, An-Nur, Al-Furqan, Asy-Syu’ara, An-Naml, Luqman, Fatir, Asy-Syura, Ad Dukhan, Al-Jasiyah, At-Tur, Ar-Rahman, At-Takwir, dan Al-Infitar.

Al-Quran juga menyebut mengenai kepentingan gunung-ganang (dan bukit) yang bertindak untuk memantapkan bumi. Ia dianggap seperti pasak atau paku yang menyatukan bumi. tetapi lihatlah bagaimana gunung dan bukit diratakan. Ia bukan saja merosakkan habitat di darat dan sumber malah sungai termasuk ikan di dalamnya.

Renungkanlah...



sumber: http://joran.bharian.com.my/Current_News/Joran/News/SangBedal/20080202114536/Article/