Showing posts with label Alam. Show all posts
Showing posts with label Alam. Show all posts

Sunday, July 1, 2012

Suhu Panas Berakhir Minggu Depan

Suhu panas yang melanda Semenanjung Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka berakhir dalam masa seminggu lagi, kata Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong.

Beliau berkata keadaan panas ketika ini sehingga menjangkau suhu 36.2 darjah Celcius adalah disebabkan Ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina yang meniup angin dari arah Barat Daya ke negara ini.

"Ini menyebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering," katanya kepada Bernama.

Namun beliau berkata keadaan cuaca yang panas seperti itu adalah normal dalam bulan Mei dan ia lebih rendah berbanding suhu yang dicatat pada bulan Mei tahun 1998. "(Pada 1998) di Chuping (suhunya 38.9˚C), Alor Setar (37.5˚C), Lubuk Merbau (37.0˚C), Melaka (38.0˚C), Batu dan Kuala Krai (38.0˚C)," katanya.

Saw bekata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering dan menjadikan api mudah marak seterusnya boleh menyumbang kepada jerubu.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari. "Orang ramai juga dinasihatkan supaya meminum air dalam kuantiti yang banyak," katanya.

SUMBER:http://www.iluvislam.com/berita/malaysia/2252.html - Kuala Lumpur, 9 Mei 2011

P/S: Syukur alhamdulillah, siang tadi hujan rahmat turun membasahi bumiku. Cuaca tidak menentu ini mudah mendapat demam & batuk. Erm...terasa nak demam pula...Mungkin terkena hujan semasa nak tangkap gambar kelas tadi...

Planet digelar Bumi Baru ditemui


LAKARAN artis menunjukkan planet Gliese 581g.

LOS ANGELES - Lima pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor beberapa buah akhbar semalam. 

Planet itu terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi.

Planet itu mengelilingi satu bintang yang yang dianggap seperti matahari.
Bintang itu diberi nama Gliese 581.

Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu setiap 37 hari untuk satu putaran penuh.
Ia didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer.

Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan selalu malam kerana ia tidak banyak berputar.
Kumpulan pakar itu tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut.
Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut.

Graviti di planet itu sama seperti Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi sebarang kesukaran.

Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa. 

Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu.

Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii. - Agensi

Fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari


 KUALA TERENGGANU: Orang ramai di negara ini dijangka berpeluang melihat fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari pada 6 Jun ini, iaitu fenomena yang tidak akan berulang sehingga tempoh 105 tahun akan datang.

Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Baharrudin Zainal, berkata fenomena unik itu membolehkan orang ramai melihat planet berkenaan pada saiz yang sama dengan bumi pada jarak kedudukan 42 juta kilometer (km) dari bumi.

Katanya, ia juga membolehkan orang ramai melihat planet zuhrah yang turut dikenali sebagai kejora dalam keadaan gelap.

Beliau berkata, berdasarkan hitungan falak, sentuhan planet zuhrah dengan matahari dijangka berlaku kira-kira jam 6.10 pagi dengan bentuk planet itu mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18 minit kemudian.

“Pada waktu itu (6.10 pagi) hanya pemerhati di pantai timur Sabah dan Sarawak berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur Semenanjung, matahari hanya akan terbit jam 6.54 pagi.

“Ketika ini, planet sudah melata hampir lapan peratus daripada keseluruhan laluan rentasannya di permukaan matahari. Kira-kira jam 9.30 pagi, planet zuhrah yang dilihat dalam bentuk ‘bulatan hitam’ sudah berada di tengah laluan rentasannya. Planet zuhrah akan dilihat meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira jam 12.50 tengah hari,” katanya, di sini, semalam.

Baharrudin berkata, berikutan saiz planet zuhrah hampir sama dengan bumi, planet itu diumpamakan sebagai ‘saudara kembar bumi’.

“Apabila kita melihat planet zuhrah dalam keadaan ‘bulatan hitam kecil’ sedang melintas di permukaan matahari, kita bagaikan melihat ‘begitulah kerdilnya bumi yang kita huni’ dari kedudukan 42 juta km.

“Bagi masyarakat awam, fenomena lintasan planet zuhrah ini mengimbau rasa takjub terhadap alam semesta yang harmoni sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran. Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan fenomena ini yang tidak akan berulang sehingga 105 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, di Kuala Terengganu, orang awam boleh menyaksikan fenomena itu mulai jam 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari pada 6 Jun ini, di tempat letak kereta Lapang Sasar Memanah, UnisZA Kampus Gong Badak, manakala di kawasan lain, orang ramai boleh mengunjungi pusat cerapan di kawasan masing-masing.

“Fenomena ini hanya boleh dilihat menggunakan peralatan teleskop lengkap dengan penebat khas matahari. Justeru, orang ramai boleh berada di tempat cerapan yang diadakan pelbagai agensi di seluruh negara,” katanya.

Fenomena itu berlaku apabila planet zuhrah yang mengambil masa selama 0.6 tahun (225 hari bumi) untuk mengelilingi matahari, akan berada pada kedudukan sejajar dengan bumi dan matahari mengikut tempoh ulangan berkenaan.

Penjajaran itu dinamakan ‘ijtimak dalaman’ dan disebabkan orbit planet zuhrah dengan satah bumi-matahari condong pada sudut tertentu, kedudukan satah matahari, bumi dan planet ketika penjajaran ini tidak sentiasa sama.


p/s: Walaupun sudah berlalu kejadian ini, aku tetap ingin 'post' kejadian yang luar biasa ini... Maha Suci Allah yang menciptakan sesuatu..

Thursday, April 19, 2012

Antara Cuaca dan Alam

DUNIA dikejutkan dengan peristiwa ribut matahari yang berlaku awal tahun ini. Namun sekali lagi pada Khamis lepas kejadian itu berulang dan dikatakan antara yang paling kuat dalam tempoh enam tahun.
 
Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari dan seterusnya mengakibatkan letusan.

Kesan radiasi akibat letusan tersebut akan menghentam Bumi dengan tiga kesan yang berbeza dalam tempoh yang berlainan. Ia akan menyebabkan gangguan kepada satelit dan angkasawan yang berada di angkasa lepas. Selain itu ia juga akan mengakibatkan gangguan komunikasi untuk kapal terbang yang sedang melakukan penerbangan.
Ribut suria juga boleh menghasilkan cahaya utara ataupun aurora yang menakjubkan di langit sehingga jauh ke selatan dan bahagian utara hemisfera Bumi. Jika berlakunya ribut solar, hanya bahagian matahari yang paling hampir dengan Bumi dan menyemburkan tenaga akan dipantau. 

Apabila semburan banyak dan kuat melanggar lapisan atas dan dinding magnet Bumi, ia mengakibatkan ribut geomagnetik. Ribut matahari biasanya tidak memberikan kesan langsung kepada negara-negara di kawasan Khatulistiwa. 

Biasanya kawasan berhampiran Kutub Utara dan Kutub Selatan mendapat kesan langsung daripada ribut berkenaan.

Thursday, February 9, 2012

Cahaya Aurora Hijau

Imej yang dirakamkan angkasawan yang menunjukkan cahaya aurora pada 25 Januari 2012


FLORIDA - Satu cahaya hijau yang dikenali sebagai Aurora Borealis dirakamkan oleh angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa pada 25 Januari lalu.
Imej itu dirakamkan dekat sempadan British Columbia dan negeri Washington berhampiran Pulau Vancouver di selatan Alberta berhampiran Calgary.
Cahaya itu terjadi akibat perlanggaran partikel yang telah dicaj. - Agensi
p/s: Cantik sangat ciptaan Allah S.W.T yang Maha Mencipta sesuatu...
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Tuesday, May 10, 2011

Ribut Aere punca panas luar biasa


PAPAN tanda yang memaparkan ramalan cuaca sepanjang minggu ini di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kepanasan luar biasa yang berlaku di kebanyakan bandar utama negara, khususnya di Pantai Barat Semenanjung ketika ini sehingga mencecah suhu di antara 35 hingga 36 darjah Celsius dijangka berakhir dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, fenomena itu disebabkan Ribut Tropika Aere dikesan berlaku di utara Filipina yang meniup angin dari arah barat daya ke negara ini.

“Ia disebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering,” katanya di sini, semalam.

Malaysia pernah mencatat suhu 38.3 darjah Celsius di Alor Star, Kedah pada Februari 2005 dan tertinggi sehingga 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Monsun barat daya yang membawa cuaca kering lazimnya berterusan sehingga September.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Saw Bun Liong, dipetik BERNAMA berkata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr K Venkateswara Rao, berkata berikutan keadaan suhu mencecah sehingga 36 darjah Celcius, orang ramai bukan saja harus mengurangkan aktiviti luar malah perlu mengamalkan corak pemakanan seimbang. “Individu perlu minum air secukupnya dan elak makan makanan pedas serta banyakkan pengambilan sayur,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 10/5/2011

P/S: Sekarang ini, aku sibuk membuat ulangkaji bentuk muka bumi di Malaysia. Erm, semasa aku praktikal dulu, sempat mengajar sampai peredaran bumi dan kejadian empat musim. Nampaknya, kena banyak cari maklumat tambahan dan salah satunya artikel di atas ini berkaitan dengan cuaca dan iklim di Malaysia. Untuk pelajarku, sila buat ulangkaji dari bab 1 - bab 8. Cikgu yakin kamu semua boleh berjaya...Semoga lulus cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun ini