Inilah Gunung Senyum....senyum, senyum, senyum...erm mesti manis senyuman kamu semua..
Apa aktiviti anda pada cuti persekolahan ini? Cuti sekolah penggal 1 ini, sekolahku telah mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan di Gua Gunung Senyum. Aku dengan sukarela menawarkan diri untuk mengikuti perkhemahan ini sebagai guru pengiring. Bukannya apa, sengaja untuk mengimbau kenangan lalu semasa perkhemahan bersama rakan dari KMPh.
Awal 8.00 pagi, rakan guru dan segerombolan pelajar yang menaiki bas telah bertolak dari sekolah (Kulai) menuju ke destinasi Gunung Senyum di Temerloh. Manakala, aku pula bersiap-siap diri ke Kuantan untuk menguruskan urusan dengan bank. Tepat 2.30 petang, aku keluar rumah menuju ke kawasan perkhemahan di Gunung Senyum.
Singgah sebentar di stesen minyak sebelum memasuki Lebuh Raya Pantai Timur di Gambang pada 3.00 petang untuk menuju ke Chenor. Di pertengahan perjalanan iaitu di Maran, hujan turun dengan lebatnya. Syukur alhamdulillah, hujan lebat itu sementara sahaja dan seterusnya perjalananku lancar menuju ke destinasi. Perjalanan antara Gambang ke Chenor dengan mengikuti laluan Lebuh Raya Pantai Timur memakan masa lebih kurang 1 jam dengan harga tol RM9.50.
Sepanjang perjalanan aku berbekalkan GPS. Inilah kali pertama aku pergi ke Gunung Senyum dan kali pertama aku menggunakan GPS. Syukurlah… Perjalanan ku dimudahkan Allah walaupun aku memandu keseorangan.
Gunung Senyum dari sudut pandangan Jengka 23
Selepas keluar dari Lebuh Raya Pantai Timur, destinasi seterusnya menuju ke Jengka 23, Temerloh di mana letaknya lokasi terdekat ke Gunung Senyum. Sepanjang perjalanan jalan menuju ke Gunung Senyum, jalan raya agak sempit dan berliku-liku dan apabila berselisih dengan lori, aku perlu berhati-hati. Seronok melihat kehijauan pepohon kelapa sawit menyambut kedatangan mesraku. Aku tersenyum melihat kelibat Gunung Senyum yang akan aku hampiri sebentar lagi. Akan aku tawan perutmu, wahai si Gunung Senyum.
Sebelum menghampiri Felda Jengka 23, GPS aku menunjukkan aku harus belok ke kanan mengikuti jalan kecil dan sempit menuju ke kampung Batu Sawar. Pada hematku, jalan ini mungkin merupakan jalan ladang kelapa sawit yang telah di tar untuk memendekkan perjanalan ke Gunung Senyum iaitu lebih kurang 2.3 km. Agak merisaukan aku, perjalanan ini sunyi, berliku-liku dan ditambahi bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan sekali sekala bertembung dengan motosikal di perjalanan ke Kg. Batu Sawar. Mujurlah bukan lori atau kereta kalau tidak terpaksa aku memberhantikan kereta untuk memberi laluan kepada kenderaan berat ini.
Selepas melepasi selekoh berhampiran kawasan rawatan bekalan air di Kampung Batu Sawar, aku terlihat sekolah rendah Batu Sawar. Terfikir aku, alangkah damai kalau dapat mengajar di kawasan pendalaman yang jauh dari hiruk pikuk kota yang membingitkan telinga dan minda. Apapun, perjalanan aku teruskan lagi. Akhirnya, aku melihat papan tanda menunju ke gunung Senyum. Dalam 10 km lagi, aku bakal menghampiri kawasan perkhemahan di kaki gunung Senyum.
Pada pukul 4.40 petang, akhirnya aku menamatkan perjalananku ke Gunung Senyum. Tidak lama kemudian, rombongan rakan guru dan pelajar tiba ke perkarangan tempat letak bas. Inilah jodoh pertemuan terletak di tangan Tuhan. Walaupun kedatangan kami dari destinasi berbeza tapi kami tiba tepat pada masanya untuk meneruskan ekspedisi eksplorasi Gua Gunung Senyum.
No comments:
Post a Comment