Sambungan dari Siri 1 : Eksplorasi Gua Gunung Jebak Puyuh, Termerloh Pahang (31/5/2011)
Selepas beredar dari rangkaian Gua Candi dan Gua Straw, kami terpaksa menaiki dan meneruni longgakan batu-batu di sekitar dinding gua. Kalau diperhatikan betul-betul, pembentukan dinding gua ini seolah seperti kubu yang dibina dengan batuan yang berlapis-lapis.
Pada pukul 12.00 tengah hari, kami memasuki Gua Kapal menuju ke Kolam Biru. Gua Kapal ini merupakan jalan pintas ke Kolam Biru. Kenapa dinamakan Gua Kapal? Mungkin gua ini seolah-olah seperti sebuah kapal.
Kedatangan kami di Kolam Biru ini disambut dengan mesra oleh ikan-ikan yang berenang di dalamnya. Kolam Biru ini mendapat nama daripada warna airnya yang berwarna biru. Pelikan...biasanya air jernih di kawasan hutan tidak berwarna melainkan warna teh susu itu pun kalau dicemari kelodak. Semasa kedatanganku pada tahun 2004, air kolam biru ini lagi cantik memikat. Berapa kedalaman kolam biru ini? Menurut cerita kunjungan terdahulu, kolam ini sangat dalam sampai tidak tahu berapa kedalamannya. Kami berehat sebentar menikmati juadah yang sungguh menyelerakan. Sungguh indah, makan di dalam hutan berhampiran Kolam Biru bersama-sama rakan-rakan. Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan...
Seusai menikmati makan tengah hari, perjalanan kami diteruskan di Gua Terowong. Gua Terowong ini tidaklah sepanjang Gua Kapal, tetapi kami semua perlu berhati-hati dengan keadaan basah dan lincin dalam gua terutama di pintu keluar gua yang mempunyai laluan kecil dan sempit.
Selepas melepasi semua halangan, kami bergerak menuju jalan pulang ke Kem Perkhemahan. Di pertengahan jalan, iaitu di berhampiran Gua Rangkak, kami bertemu dengan pengunjung dari Singapura yang bersantai sambil menghidupkan unggun api menanti air gunung yang ditadah memenuhi botol yang dibawa.
Syukur alhamdulillah, akhirnya pada pukul 1.30 tengah hari kami tiba di Kem Perkhemahan. Walaupun Eksplorasi ke Gua Gunung Jebak Puyuh memenatkan dan betul-betul menguji ketahanan fizikal dan mental, tetapi semuanya terbalas dengan menikmati keindahan ciptaan Tuhan. Hargailah dan peliharalah alam sekitar ciptaan Tuhan ini supaya generasi akan datang dapat menikmatinya seperti kita hari ini.
Eksplorasi Gua Gunung Senyum bakal menyusul petang nanti...Nantikan catatan perjalananya yang penuh mitos dan misteri...
Inilah dinding gua yang batuannya berlapis-lapis. Bagaimana batuan ini boleh berlapis? Cuba fikir dan renung-renungkan...
No comments:
Post a Comment