Thursday, June 2, 2011

Krisis air menjelang 2014?

TAHUKAH pembaca kita bakal menghadapi krisis kekurangan air menjelang 2014 jika tabiat membazir dan penggunaan cara sekarang terus diamalkan?

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Ahmad Zahdi Jamil baru-baru ini mendedahkan, jika amalan itu terus menjadi ikutan oleh rakyat Malaysia, 2014 menyaksikan negara akan kekurangan 476 juta liter sehari.

Tak ramai yang tahu mengenai perkara ini kerana bagi mereka air mudah diperoleh dan murah, lebih-lebih lagi ada kerajaan negeri yang memberikan air percuma pada satu-satu kadar.

Ini semua akan melekakan kita. Air digunakan dengan sewenang-wenangnya. Malah, segelintir dari kita tidak akan risau jika melihat paip bocor atau semburan air daripada paip pecah di tepi jalan.

Saya sering melihat perkara ini dan sering juga menghubungi rakan-rakan di Syabas untuk membolehkan pembaziran dariapda kebocoran paip itu ditamatkan.

Namun ada sesetengah kes, perkara itu saya lihat mengambil masa yang agak lama dan pembazirannya dilihat amat tinggi.

Itu dari segi air tidak berhasil (NRW), dan jika kita lihat di sekeliling kita, sebenarnya kita juga turut membazir.

Menurut Ahmad Zahdi, seorang penduduk Malaysia secara 'mewah' menggunakan 280 liter air sehari. Ya sehari. Berbanding jiran kita di Singapura (155 liter), Filipina (175 liter) dan Indonesia (130 liter).

Kita sebenarnya boleh menjimatkan air dalam pelbagai perkara. Sebagai contoh, selepas kita membuang air kecil, pastinya kita akan mengepam dan ini sebenarnya menggunakan air yang banyak.

Apa kata, semasa mandi, mengambil wuduk atau memberus gigi, air yang digunakan itu boleh ditadah dan ia boleh digunakan untuk menjirus mangkuk tandas selepas membuang air kecil.

Kita juga boleh menyimpan air basuhan beras untuk digunakan untuk menyiram pokok bunga dan ini turut memberikan 'zat' tambahan secara tidak langsung kepada pokok bunga kita. Sebenarnya banyak lagi cara kita boleh menjimatkan air dan perkara itu perlu dilakukan sekarang dan bukan mahu menunggu sehingga krisis air menjadi lebih buruk.

Dan menurut Ahmad Zahdi cara paling mudah untuk mengekang perkara ini ialah menjadikan penggunaan air itu mahal.

Dan saya menyokong usaha itu. Ini secara tidak langsung akan menyedarkan pengguna mengenai kepentingan penggunaan air. Ingin saya mengingatkan diri sendiri dan pembaca, bahawa jika kehabisan air, tidak ada cara untuk kita dapatkan air kembali berbanding elektrik.

Malah, jika air tiada, kacau bilau boleh berlaku di dalam sesebuah negara. Bayangkan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 MEI 2011

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

No comments:

Post a Comment