Eksplorasi Gua Gunung Senyum (31/5/2011)
Hujan renyai-renyai turun membasihi bumi. Aku agak risau sekiranya aktiviti eksplorasi ke Gua Gunung Senyum dibatalkan. Syukur, alhamdulillah eksplorasi masih diteruskan pada pukul 3.30 petang walaupun cuaca agak tidak mengizinkan. Gunung Senyum terletak di Hutan Lipur Gunung Senyum meliputi kawasan seluas 794 hektar dan berhampiran dengan Jengka 23. Ketinggian Gunung Senyum ialah 486 km (1594 kaki) dari aras laut dan merupakan pusat koordinat di negeri Pahang. Gunung ini berusia lebih 350 juta tahun dahulu.
Antara aktiviti menarik yang diadakan di gunung ini ialah mendaki gunung dan menjelajahi gua-gua yang penuh mitos dan misteri. Terdapat lebih daripada 120 buah gua dan hanya 16 buah gua yang biasa di jelajahi iaitu Gua Nisan, Gua Kelawar, Gua Tali Air, Gua Makam Tok Long, Gua Silat, Danau Impian, Gua Gajah, Gua Taman Dua, Gua Taman Satu, Gua Angin, Gua Terang Bulan, Gua Kolam Tujuh, Gua Hidang, Gua Sara, Gua Piala & Gudang Kelawar, Gua Merlap, Gua Tapa dan Gua Kambing.
Kembara bermula selepas kami mendengar taklimat daripada En. Sallehudin dan melakukan aktiviti memanaskan badan. Kami semua memulakan perjalanan di kaki Gunung Senyum menuju ke Gua Kolam Tujuh. Selepas penerangan dari En. Sallehudin di kaki gua Kolam Tujuh kami dikehendaki memanjat tangga yang mencacak dan menuju ke perut gua Kolam Tujuh.
Menurut En. Sallehudin, bilangan kolam dalam gua ini mungkin berbeza antara pengunjung. Ada pengunjung yang mengira bilangan kolam ini adalah tiga. Menariknya di Gua Kolam Tujuh ini, air kolam biasanya dipenuhi pada musim kering. Mujurlah semasa kedatangan kami, kolam hanya diliputi sedikit lopak air dan ini membolehkan kami untuk memanjat setiap kolam dan menuju ke atas puncak kolam.
Selepas melawati Kolam Tujuh, eksplorasi kami diteruskan ke Gua Angin. Sayangnya, semasa kedatangan kami, hujan masih renyai jadi kami tidak dapat merasa kedinginan angin yang bertiup dalam Gua Angin. Terdapat 3 lubung gua yang akan membawa angin masuk kedalam perut Gua Angin.
Eskplorasi diteruskan ke Gua Terang Bulan. Semasa perjalanan ke gua ini, kami berhenti untuk melihat ketam putih. Kami mengira bilangan ketam putih yang berada dalam lopak air iaitu sebanyak tiga ekor manakala kumpulan sebelum kami mengira sebanyak empat ekor ketam.
Perjalanan diteruskan lagi dengan suluhan lampu ke Gua Terang Bulan. Gua ini berkeluasan 20 meter x 20 meter iaitu bersamaan sebuah stadium. Gua ini mendapat nama daripada cahaya suramnya seperti di waktu malam di bawah pancaran bulan purnama. Di mana datangnya cahaya ini?
Di dalam Gua Terang Bulan terdapat sebuah lubang yang membenarkan cahaya matahari memasukinya.Kalau kena waktu kedatangan, Gua Terang Bulan ini menyajikan keindahan yang luar biasa iaitu muncul pelangi dalam gua serta cahaya ‘sport light’ macam cerita pembukaan Mr. Bean. Selepas puas bergambar di atas bukit dalam gua ini dan menikmati keindahan malam purnama, kami menuju keluar ke Gua Angin.
Kemudian kudrat kami digunakan untuk mendaki bukit yang mencacak menuju ke Gua Taman Dua. Di sini, terdapat sebuah taman yang sangat cantik dan bersih seolah-olah taman ini dijaga rapi. Menurut, En. Sallehudin, pada suatu ketika duhulu pohon-pohon di sini dicantas dan kalau ada pokok yang bengkok, pasti ada yang akan menegakkannya. Menariknya, pokok-pokok yang terdapat di Gua Taman Dua ini tidak mempunyai nama dan hanya tumbuh di dalam gua ini sahaja. Ada usaha untuk memindahkan tumbuhan ini keluar dari gua tetapi usaha ini gagal kerana pokok ini hanya tumbuh di kawasan yang mempunyai tanah liat dan tanah kapur.
Kami mendaki lagi menuju ke kawasan yang dipenuhi karangan laut. Sungguh indah kawasan ini seolah-olah kita berada di dasar laut. Menurut En. Sallehudin, di gua ini terdapat batuan yang berbentuk pelamin yang sangat cantik. Namun, disebabkan kerakusan manusia, bantuan ini telah dirosakkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Aku tertarik dengan satu batuan karang yang sangat besar. Kajian dijalankan dalam batuan ini mendapati di dalamnya terdapat kayu yang kemudian diliputi karang di dasar laut. Terdapat juga fosil kerang yang di dapati di dasar gua ini. Kajian dan penemuan ini, membuktikan bahawa Gunung Senyum ini adalah asal dari dasar laut yang terangkat ke permukaan kerak bumi. Kalau anda belajar geografi fizikal, pastinya kawasan gua terdapat di kawasan pinggir laut. Hanya hakisan ombak yang mampu memecahkan batuan ini membentuk gua batu kapur.
Selepas puas bergambar di Gua Taman Dua, pendakian kami diteruskan ke Gua Taman Satu. Kami semua perlu berhati-hati ketika meneruni tangga yang curam. Erm...awas, kalau silap langkah, kecelakaan yang menanti di bawah cerunan. Semasa aku meneruni tangga, aku ternampak fosil cenkerang yang menarik. Ingin aku mengambilnya untuk melihatnya, tetapi apabila teringat kata jurupandu kami bahawa kami semua boleh mengambil semua yang ada tetapi hanya gambar sahaja, membuatkan aku lupa sahaja niat itu. Lagipun keberadaan aku di situ jangka masa lama boleh membantutkan langkah rakan-rakan lain untuk menuruni tangga.
Selepas meneruni tangga yang curam, eksplorasi kami diteruskan ke Gua Makam Tok Long. Apa yang menarik di Gua Makam Tok Long ini? Siapa Tok Long? Ikuti sambungan catatan perjalanan ini, di Siri ke 2.
Semoga ada manfaatnya...
salam sis. macam mana ya nak pergi ke gua senyum nie kalau bawak rombongan ? I mean kita kena contact sapa utk berurusan ? Thanks sis :)
ReplyDelete