Thursday, June 2, 2011

Keunikan Gua Kota Gelanggi

JERANTUT 2 Jun - Jerantut merupakan daerah yang memiliki pelbagai tempat menarik dan bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

Gua Kota Gelanggi merupakan salah satu tempat menarik yang perlu dilawati apabila berkunjung ke daerah ini selain Taman Negara.

Tempat bersejarah itu yang dikaitkan dengan tempat perlindungan pahlawan Mat Kilau pada zaman pemerintahan British terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar ini.

Difahamkan, kawasan itu mempunyai hampir 100 gua namun hanya sebilangan kecil sahaja yang dikunjungi ekoran faktor keselamatan.

Gua-gua tersebut dikenali dengan nama kota iaitu Kota Tongkat, Kota Kepayang, Kota Rehut, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Jin, Kota Terang Bulan dan Kota Balai.

Bagi pengunjung yang ingin melawati gua tersebut, mereka perlu mendapatkan tiket dengan bayaran RM5 bagi dewasa dan kanak-kanak pula RM3 serta waktu lawatan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Pihak pengurusan turut mewujudkan pakej berkumpulan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti rock climbing, abseiling, jungle trekking dan perkhemahan di dalam gua.

Gua Tongkat yang berbentuk pintu gerbang merupakan pintu masuk utama sebelum perjalanan ke gua lain dan pengunjung dinasihatkan menggunakan khidmat pemandu arah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Setiap gua tersebut mempunyai keunikan tersendiri termasuk alur air jernih yang menyerupai tasik mengalir di dalamnya dan bentuk batu yang menyerupai manusia bersanding, ular, singa dan sebagainya.

PARA pengunjung melihat keunikan Gua Tongkat yang terdapat di kawsan Gua Kota Gelanggi di Jerantut, baru-baru ini.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA. 2 JUN 2011

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_08.htm

No comments:

Post a Comment