Oleh Muhammad Asyraf
Kasih sayang Nabi Muhammad SAW terhadap generasi muda lebih hebat, wajar diingati
RASULULLAH SAW tidak melupakan golongan pemuda malah, sebahagian pemuda digambarkan secara jelas rasa cintanya Nabi SAW kepada mereka. Rasulullah tidak menyembunyikan rasa sayang. Apa terpendam dalam diri, pasti digambarkan Baginda.
Disebabkan itulah, setiap kemarahan Baginda membuatkan tertunduknya wajah sahabat kerana terpancar merah saga mukanya. Apabila Baginda gembira, tergambar indah daripada lakaran senyuman bibirnya membuatkan semua merindui wajah seceria itu.
Ada sahabat yang masih muda disebut-sebut Baginda SAW sebagai manusia terpilih untuk dicintai Rasulullah. Usamah bin Zaid dikritik sahabat lain kerana tidak puas hati beliau terpilih sebagai panglima perang dalam usia cukup muda.
Lalu Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kalian mencela kepemimpinannya, maka kalian juga mencela kepemimpinan ayahnya sebelum ini. Demi Allah dia (ayahnya) sangat layak menduduki jawatan panglima dan dia salah seorang yang paling aku cintai. Dan Usamah adalah orang yang paling aku cintai sesudah ayahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Rasa cinta Rasulullah kepada Usamah turut digambarkan oleh Ibnu Umar dengan katanya: “Sekiranya Rasulullah SAW melihatnya, nescaya beliau akan mencintainya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Begitu juga rasa cinta Nabi SAW kepada cucunya iaitu Hassan dan Hussain sehingga Baginda mendoakan mereka dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah, cintailah keduanya kerana aku mencintai keduanya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah juga memuliakan orang muda. Pernah suatu ketika, Nabi SAW menghadiri satu majlis yang dihadiri pembesar kaum, beliau dengan sendiri menunjukkan penghargaan kepada orang muda.
Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad: Rasulullah SAW mendapat hidangan segelas minuman dan beliau meminumnya. Di sebelah kanan Baginda ada anak paling muda yang hadir. Di sebelah kiri Baginda ramai yang sudah tua. Baginda bertanya: “Hai anak, apakah kamu mengizinkanku memberi minuman ini kepada orang tua itu? Si anak muda itu menjawab: Wahai Rasulullah SAW, aku tidak akan mendahulukan seorang pun disebabkan keutamaanku di sebelah engkau. Maka Baginda memberikan minuman kepada anak muda itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Diceritakan oleh Salamah: “Rasulullah SAW memboncengku menaiki kenderaan berkali-kali. Baginda mengusap wajahku berkali-kali. Baginda meminta ampun kepadaku sebanyak bilangan jari jemariku di kedua tanganku.” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Kisah cinta Rasulullah kepada orang muda mesti dibalas dengan cinta. Siapa kita di akhirat kelak andai cinta yang ditunjukkan Baginda kepada umatnya tidak dibalas setanding dengannya.
Antara kaedah untuk kita membalas cinta Rasulullah ialah mengisytiharkan rasa cinta walau ia belum pernah dipupuk. Dengan meletakkan cinta kepada Rasulullah melebihi cinta terhadap dirinya sendiri.
Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih kucintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Nabi SAW bersabda: Tidak, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya sehingga aku lebih dicintai daripada dirimu sendiri. Umar RA berkata: Maka sesungguhnya sekarang demi Allah sungguh engkau kucintai lebih dari diriku sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Sesudah mengisytiharkan cinta kita, maka ia perlu disambut dengan mengamalkan sunnahnya dan inilah yang dimaksudkan oleh Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan surah Ali-Imran, ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku (Rasulullah) nescaya Allah Mengasihimu.”
Kata Imam Ibnu Kathir, ayat ini sebagai pemutus hukum bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah tetapi tidak menempuh jalan Nabi Muhammad SAW, maka pengisytiharan cintanya adalah suatu pembohongan sehinggalah ia mengikuti syariat dan agama dibawa Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.
Sebab itulah perasaan cinta kepada Rasulullah mesti serasi dengan mengikuti jejak sunnahnya. Cinta dan mengikut sunnah tidak boleh berpisah. Siapa tidak mengenali Abu Talib ayah saudara Nabi SAW yang mencintai Nabi SAW dengan cinta yang sangat hebat.
Namun disebabkan cinta itu bukan saja boleh dituruti oleh hati, namun mengikuti ajaran Nabi itu perlu seiring, maka cintanya tertolak kerana menolak mengikut ajaran Nabi SAW.
Begitu juga jika hanya mengikut petunjuk dan mengamalkan ajaran Nabi SAW, tetapi tidak seiring dengan cinta kepada Nabi SAW, maka ia juga tertolak.
Abdullah bin Ubay bin Salul, seorang munafik yang solat di belakang Nabi SAW. Beliau menuruti ajaran Baginda namun tersemat dalam hatinya perasaan bencikan Nabi SAW, maka segala amalannya tertolak.
Remaja kini hanya mengingati ikon cinta dan kasih sayang milik Saint Valentine hingga tidak sabar meraikan hari kekasih pada 14 Februari tetapi melupakan tarikh 12 Rabiulawal yang sepatutnya mengingatkan mereka kepada ikon kasih sayang lebih hebat dan mulia.
Sedihnya, kisah cinta Rasulullah kepada umatnya sudah hilang daripada diari hidup remaja. Justeru, marilah mengenang kembali kisah Rasulullah yang mengalir darah di kaki Baginda akibat dibaling batu oleh penduduk Thaif yang menolak dakwah Baginda.
Ketika hadirnya malaikat penjaga gunung yang bersimpati dan bertanya mahukah Baginda jika penduduk Thaif dimusnahkan, Rasulullah menolak sebaliknya berdoa supaya penduduk Thaif mendapat hidayah petunjuk dari Allah.
Hebat benar kisah cinta Nabi SAW kepada umatnya membuatkan Baginda terlupa luka di kaki yang berdarah. Namun kita sebagai umatnya, tidak mahu menjadikan Baginda sebagai ‘ikon cinta.’
Semasa Nabi SAW menakluk Kota Makkah bersama sepuluh ribu tentera, sahabat lain mengenang kembali saat umat Islam diusir dan ada sahabat yang dicincang oleh kafir Quraisy. Betapa hina mereka difitnah dan dicaci sebelum ini.
Lalu seorang sahabat bangun dan berkata: “Hari ini adalah hari pembunuhan balik (balas dendam) terhadap musyrik yang memerangi mereka.”
Bagaimanapun, jiwa yang amat mencintai umatnya iaitu Muhammad SAW menolak dan berkata: “Bukan, sesungguhnya hari ini adalah hari kasih sayang.”
Sayangnya, sejarah ini dilupakan umat Nabi Muhammad sehingga lebih mengagungkan ikon cinta agama lain. Sedangkan, kita memiliki ikon cinta sebenar yang lebih hebat serta tinggi kedudukannya.
Benarlah ungkapan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku adalah kasih sayang yang dihadiahkan.” (Hadis riwayat al-Hakim). Ya Rasulullah, kami mencintaimu, moga ditetapkan hati kami di atas ketaatan mengikut petunjuk ajaranmu.
Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis
SUMBER: BERITA HARIAN, 15/2/2011
No comments:
Post a Comment