Tuesday, February 15, 2011

Ingat roti ingat GAZA

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Gambar ISMAIL KAMADIN


SEORANG penduduk Gaza yang berusaha menjayakan tanam semula pokok zaitun yang dimusnahkan oleh tentera Zionis dalam tragedi Disember 2008

AKHIR minggu lalu, seluruh dunia menyaksikan satu lagi peristiwa paling bersejarah iaitu Saqata Mubarak (Mubarak Tumbang). Ia merujuk kepada berakhirnya era kezaliman sekutu Israel, Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang tidak sahaja 30 tahun memerintah menyebabkan rakyat sendiri menderita.

Begitu juga dengan rakyat Palestin yang turut menerima kesan tragedi kemanusiaan yang teruk.

Ia akibat pemerintahan Mubarak yang terlalu tunduk kepada kehendak rejim fasis Zionis Israel, supaya jangan sesekali pintu sempadan Mesir-Gaza, bolos.

Bertahun-tahun lamanya sejak Perjanjian Kem David pada September 1978 dimeterai antara Presiden Mesir ketika itu, iaitu Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin, maka kedua-dua rejim akan sentiasa memastikan Bandar Gaza terkepung.

Mereka menyekat dan memutuskan seluruh bantuan elektrik (sehingga kini bekalan tersebut hanya dibenarkan selama enam sehingga lapan jam sahaja sehari), makanan, air, ubat-ubatan dan sebarang pengangkutan dan perhubungan terutamanya melibatkan Semenanjung Gaza dan Bandar Gaza itu sendiri.

Maka bandar itu boleh disifatkan sehingga kini sebagai penjara paling besar pernah wujud di muka bumi ini. (Bandar tersebut menyamai keluasan separuh negara Singapura, terbesar di Semenanjung Gaza).

Namun seolah-olah bagaikan satu ‘perjanjian’ juga, apabila pada tahun termeterainya perjanjian Kem David itu, telah lahir seorang pemuda yang diamanahkan kepadanya untuk membela nasib seluruh rakyat Palestin.

Maka secara kebetulan pada hari ini, ia bukan satu rahsia lagi bagi seorang pemuda, iaitu Ir. Abdelrahim M. Shehab 33, yang mengerah seluruh tenaga usia mudanya untuk memastikan saudara mara seagamanya yang tertindas di bumi kelahirannya Palestin dapat dibela.

Beliau merupakan Pengerusi sebuah pertubuhan sosial terbesar di Bandar Gaza, iaitu The Islamic Society of Jabalia (ISJ), yang baru-baru ini ditemui di Kuala Lumpur dalam misi beliau untuk mendapatkan sokongan dari rakyat negara untuk kita sama-sama membela nasib saudara seagama yang tertindas itu.

Dalam pertemuan itu, terlebih dahulu kami menyentuh mengenai situasi yang berlaku di Mesir dan kesannya kepada pintu sempadan di Gaza yang satu-satunya menghubungkan rakyat Palestin dengan dunia luar.

Mungkinkah perubahan yang berlaku di Mesir itu akan membolehkan pintu sempadan dibuka atau sekurang-kurangnya dilonggarkan sedikit pergerakan di sana.

Dalam hal ini kata Abdelrahim, tidak banyak yang boleh diharapkan terutama untuk pintu sempadan itu di buka.

“Israel semakin tidak senang duduk. Mereka langsung tidak dapat memejamkan mata dan keselamatan di sempadan mereka tingkatkan berpuluh kali ganda berbanding sebelum ini.

“Menjadikan lebih teruk, bekalan minyak dan gas langsung tidak dapat dibawa masuk,” kata Abdelrahim.

Begitupun, sebagaimana yang diharapkan seluruh warga dunia yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, perubahan kepimpinan di Mesir diharapkan memberikan senario yang lebih positif demi mengembalikan maruah kemanusiaan yang tercemar oleh perlakuan-perlakuan kejam kedua-dua rejim Mesir dan Israel.

Maka dalam menantikan apa juga bentuk perubahan yang bakal berlaku kepada soal polisi terhadap kawalan terhadap sempadan itu sehingga ada yang menyifatkan bahawa tahun 2012 adalah tahun Pembebasan Palestin, maka masing-masing terus berusaha untuk menunduk dan mengalahkan rejim dan sekutu-sekutu Israel.

Aktivis seperti Abdelrahim sendiri perlu meneruskan visi dan misi untuk membantu penduduk Gaza bagi kembali pulih dari kesan tragedi terkutuk, serangan Israel terhadap bandar itu pada Disember 2008.

“Walaupun sudah beberapa tahun berlalu sejak tragedi itu berlaku, keindahan Gaza masih belum lagi dapat dikembalikan.

“Ramai rakyat kami masih menanggung derita kesan perang ketika dunia Barat terutama pemimpin dan media terus melihat Gaza sebagai bandar yang ‘kembali tenang’.

“Tanpa menggerakkan sebarang tangan ataupun kaki mereka untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa akibat dari perbuatan terkutuk sekutu mereka,” kata Abdelrahim.

Menurutnya, sehingga kini tidak ada mana-mana badan dunia yang berusaha untuk membayar sebarang pampasan perang terhadap penduduk Gaza, jauh sekali dari pihak Israel.

“Sedangkan tahukah anda setiap rumah (kalau sesuai dipanggil rumah) dan khemah-khemah sementara kepada lebih dari 5,000 penduduk Gaza jika diketuk, maka akan dapati sesuatu yang amat menyayatkan hati.

“Jika anda mengetuk mana-mana pintu rumah orang di Gaza, Insya Allah anda akan dapati di dalam rumah tersebut satu hingga lima jenis penghuninya, terdiri daripada anak yatim, yang hafiz Qur‘an, yang cacat anggota, mujahid atau ahli keluarga yang tiada dirumah kerana berada di penjara Israel,” kata Abdelrahim.

Kesemua mereka itu tetap mempunyai semangat perjuangan yang sangat tinggi tetapi pada tahap kualiti kehidupan adalah yang paling rendah.

Lalu Abdelrahim sama sekali tidak menoleh kebelakang apatah lagi bimbangkan soal keselamatan kerana di pundak bahunya terpikul pelbagai tanggungjawab bagi kelangsungan hidup penduduk Gaza.

Jika pemuda lain memilih untuk menggalas senjata sebagai pejuang tetapi beliau memilih jihad ekonomi supaya rakyat Palestin dapat terus bangun membebaskan negara dari cengkaman Israel dan yang penting, Masjid Al Aqsa tidak jatuh ke tangan Israel itu.

“Siapa yang tidak sedih mengenai nasib yang menimpa lebih-lebih lagi terhadap kesucian agama sendiri. Jarak yang memisahkan antara bandar kelahiran saya, Jabalia dengan Masjid al Aqsa di Baitul Maqdis hanyalah sejauh 74 kilometer sahaja.

“Tetapi rasanya, saya lebih mudah keluar masuk ke Malaysia dan lain-lain negara berbanding untuk masuk ke Masjid tersebut,” katanya.

Pelbagai projek yang ISJ telah jayakan bagi mengisi keperluan penduduk Gaza.

Ikan sebagai keperluan protein utama misalnya adalah sangat terhad bekalannya di Gaza.

“Para nelayan hanya dibenarkan menangkap ikan dari jarak tiga kilometer sahaja dari pantai, lebih dari itu mereka akan ditembak. Ini menyebabkan kami terpaksa menjayakan sistem penternakan ikan didarat bagi memastikan bekalan cukup,” katanya.

Projek ternak ikan penting terutama untuk diberi kepada ibu-ibu yang hamil bagi memastikan si ibu dan bayi yang dikandung memperolehi bekalan dan khasiat yang mencukupi.

Ini menjelaskan kepada kita betapa ibu-ibu yang mengandung umpama ‘permaisuri anai-anai’ yang dijaga sepenuhnya di Gaza.

Ini kerana mereka bakal melahirkan pelapis pejuang-pejuang yang sedia mati mempertahankan Palestin.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15/2/2011

No comments:

Post a Comment