Saturday, February 26, 2011

Pelajar bebas guna telefon bimbit.


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Laporan Akhbar dalam ruangan Berita akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Februari 2011 – Pelajar bebas guna telefon bimbit.

Keputusan KPM menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009 bertarikh 25 Mac 2009 berkaitan Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah adalahbertujuan untuk mendidik murid agar dapat menggunakan telefon bimbit mereka dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah. Ini disebabkan penggunaan telefon bimbit di sekolah didapati telah mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Selain itu, ia juga telah mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan-bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan yang negatif dalam kalangan murid sekolah.

Prinsip terhadap larangan ini sebenarnya adalah untuk mendidik. KPM berpandangan bahawa penggunaan sesuatu ciptaan peralatan komunikasi yang canggih untuk manfaat anak-anak murid harus digalakkan, tetapi mesti dilakukan dalam konteks kawalan, bimbingan, pemantauan serta didikan yang betul. Dalam masa yang sama, KPM juga tidak boleh berkompromi terhadap sesuatu yang boleh mengganggu kelancaran proses pembelajaran murid-murid di sekolah serta kesan terhadap perlakuan negatif seperti yang disebutkan. Namun, KPM juga tidaklah pula boleh melarang ibu bapa daripada membelikan anak-anak mereka telefon bimbit, dan dalam hal ini, kerjasama ibu bapa sangat diperlukan untuk membimbing serta memantau penggunaannya dengan betul.

Isu penguatkuasaan larangan ini sebenarnya banyak berkaitan dengan sikap kedegilan murid, rungutan sesetengah ibu bapa serta penguatkuasaan yang banyak menimbulkan isu dan masalah kepada pengurusan sekolah. Sungguh pun KPM bertegas dalam hal penguatkuasaan ini, namun langkah-langkah seperti yang ditetapkan menerusi pekeliling tersebut perlu dipatuhi oleh pihak sekolah iaitu;

1.Peraturan larangan penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah hendaklah dimaklumkan kepada semua ibu bapa murid.

2.Pihak sekolah hendaklah memaklumkan dan memberi kefahaman kepada ibu bapa perkara berkaitan larangan ini menerusi mesyuarat PIBG dan mesyuarat permuafakatan peringkat sekolah.

3.Jika sekiranya ada murid yang melanggar peraturan ini, maka pihak sekolah boleh mengambil dan menyimpan telefon bimbit murid berkenaan.

4.Semua telefon bimbit yang diambil oleh pihak sekolah akan direkodkan dan disimpan di tempat yang selamat oleh pihak sekolah.

5.Ibu bapa murid yang terlibat akan dimaklumkan dengan segera, sebaik-baiknya pada hari yang sama, akan tindakan yang telah diambil terhadap anak mereka.

6.Ibu bapa juga hendaklah dimaklumkan bahawa mereka boleh menuntut semula telefon bimbit anak mereka daripada simpanan pihak sekolah.

7.Dalam kes-kes kecemasan, murid-murid hendaklah mengguna kemudahan-kemudahan telefon yang disediakan oleh sekolah.

Membawa dan menggunakan telefon bimbit di sekolah dan asrama sekolah oleh murid-murid adalah merupakan satu kesalahan disiplin. Mereka yang melanggar peraturan ini boleh diambil tindakan disiplin dengan mengenakan hukuman;

Kesalahan Kali Pertama
:Diberi Amaran (murid dan ibu bapa perlu menandatangani Surat Aku Janji tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut).

Kesalahan Kali Kedua
:Dilarang menggunakan kemudahan di sekolah atau asrama atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk suatu tempoh tertentu.

Seperti mana yang disebutkan tadi, apa yang penting dalam hal ini adalah mendidik anak-anak kita agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan telefon bimbit mereka. Melarang mereka sama sekali daripada menggunakannya tidaklah dapat menyelesaikan permasalahan ini dalam jangka masa panjang. Masih ada ibu bapa yang merasakan ada keperluan untuk anak-anak mereka menggunakan telefon bimbit untuk tujuan perhubungan. Dengan yang demikian, semua pihak sama ada guru, ibu bapa, media atau pihak-pihak lain berkepentingan perlu sama memainkan peranan bagi mendidik anak-anak kita agar boleh bertanggungjawab serta tahu kesan sekiranya menyalahi peraturan penggunaanya. Selain itu, mereka juga perlu dibimbing agar memahami bahawa peraturan terhadap larangan ini di sekolah adalah untuk kebaikan diri mereka di masa depan.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment