Saturday, February 26, 2011

Loji arang batu: Fikirkan jalan terbaik


BARU-baru ini ada cadangan kerajaan mahu membangunkan satu loji janakuasa arang batu di Lahad Datu Sabah bertujuan untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Negeri di Bawah Bayu itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, pembinaan loji berkenaan adalah bagi membolehkan Sabah mencapai taraf negeri maju di mana bekalan elektrik negeri itu perlulah berterusan dan juga stabil.

Tambah PM, dengan adanya loji itu nanti, ia bakal membekalkan kuasa elektrik secara berterusan dan juga pada harga yang murah berbanding penggunaan tenaga alternatif yang lebih mahal.

"Untuk Sabah menjadi negeri maju, mereka perlu mempunyai bekalan elektrik berterusan tanpa gangguan pada harga yang berpatutan. Pastinya ada alternatif lain tetapi kos bagi alternatif itu lebih tinggi berbanding sistem konvensional.

"Rakyat Sabah tidak bersedia untuk membayar pada kadar lebih tinggi... bagaimana kita nak bangunkan tenaga alternatif? Dan, untuk jangka masa pendek, tidak terdapat banyak alternatif," kata Perdana Menteri ketika menghadiri jamuan tengah hari dengan pemimpin masyarakat Cina Sabah, di Kota Kinabalu Julai tahun lalu.

Cadangan itu mendapat reaksi beberapa pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) yang bersangkut paut dengan alam sekitar.

Menurut mereka sebarang cadangan bagi pembinaan loji janakuasa arang batu di Sabah tidak harus dilabelkan sebagai 'bersih' kerana tiada loji sedemikian wujud di dunia pada ketika ini.

Gabungan lima NGO yang menamakan diri mereka 'Sabah Unite to Re-Power the Future' atau 'Green SURF' berkata, terma 'arang batu bersih' sepatutnya hanya merujuk kepada idea untuk membina loji janakuasa arang batu yang berupaya memerangkap asap karbon dan kemudian menyimpan karbon itu di bawah tanah.

"Ini merupakan impian di masa depan, bukan realiti pada masa kini. Tiada loji seumpama ini wujud di mana-mana tempat di dunia sekarang. Cadangan loji janakuasa arang batu di Sabah, sama seperti loji janakuasa arang batu lain di dunia, tidak akan mampu memerangkap dan menyimpan karbon.

"Laporan menunjukkan kemudahan seperti itu hanya akan wujud pada 2030," lapor Bernama yang memetik kata Green SURF dalam satu kenyataan.

Dan bagi Bidai, perkara itu ada asasnya ketika ini, namun Bidai tidaklah pula mahu menghalang aspek pembangunan yang memberi kebaikan kepada semua.

Namun, semua itu perlulah dilakukan dengan teliti. Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi Bidai tidak mencukupi kerana sebarang laporan boleh diubah jika mendapat 'desakan'.

Perdana Menteri ketika di Kota Kinabalu Julai lalu turut berjanji akan mengambil kira pandangan dan kebimbangan penduduk termasuk NGO berhubung cadangan pembinaan loji janakuasa arang batu di Lahad Datu itu.

Dan Bidai amat berharap untuk diwujudkan satu jawatankuasa khas mengenai perkara ini.

Bukan apa, apa yang dikatakan oleh Green SURF itu ada kebenarannya.

Kalau diselidiki, mana-mana loji arang batu di dunia ini sama ada yang lama atau moden, merupakan pengeluar terbesar karbon dioksida (CO2) yang dipercayai menyebabkan perubahan iklim.

Jadi, tidak dapat tidak, loji yang akan dibangunkan di Lahad Datu itu turut menjadi antara penyebab peningkatan CO2 pada masa depan.

Dan ini sedikit sebanyak akan mengurangkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara hijau.

Memang tenaga alternatif agak mahal dan tinggi kosnya namun bagi Bidai, jika kita tidak mulakan, bila lagi.

Sampai bila pun kalau kita tidak mulakan kosnya akan tinggi.

Sebagai contoh penggunaan kincir angin dan tenaga solar. Memang mahal, namun dalam tempoh yang panjang, ia amat berbaloi.

Ada juga yang mengatakan pembinaan loji janakuasa arang batu di Lahad Datu itu juga akan memusnahkan alam marin terutama di Semenanjung Dent.

Kawasan itu dikenalpasti menjadi habitat baharu terumbu karang dan pelbagai jenis rumpai laut.

Jadi, pembinaan loji janakuasa arang batu itu perlulah dilakukan dengan berhati-hati dan wujudkanlah satu jawatankuasa yang dianggotai oleh kerajaan, swasta, NGO dan penduduk setempat yang mempunyai kepentingan.

Cuba dapatkan satu keputusan terbaik di mana kepentingan rakyat dapat diutamakan dan alam sekitar tidak terjejas.

Jika ini terjadi, semua akan berasa selesa.

Fikirkanlah

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12/2/2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Impak_Alam&pg=al_01.htm

No comments:

Post a Comment