Apabila sejarah dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, maka statusnya sama dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu selain Bahasa Melayu, kelulusan sejarah bukan sahaja diperlukan untuk mendapatkan sijil SPM tetapi menjadi syarat asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi, institusi kemahiran, pemberian biasiswa dan tawaran pekerjaan dalam sektor kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat swasta.
Kesannya sejarah akan menjadi mata pelajaran penting yang mendorong pelajar memberikan perhatian dan belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai kemahiran dalam huraian sukatan pelajarannya. Dengan meningkatnya penguasaan dan penghayatan tentang kenegaraan Malaysia, maka semangat patriotik dan perpaduan akan dapat diperkasakan. Selama ini sejarah yang merupakan mata pelajaran teras tetapi tidak wajib lulus, kurang diberikan perhatian kerana dianggap kurang nilai pasaran.
Namun sistem penilaian yang menyeluruh dan bersepadu amat penting dirancang agar pengukuran lebih tepat terhadap pencapaian pelajar dapat dilakukan. Sehubungan itu dicadangkan hanya 60 peratus markah sejarah berdasarkan peperiksaan bertulis dalam SPM, manakala baki 40 peratus markah berdasarkan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). PBS dinilai berdasarkan gerak kerja amali yang meliputi kerja kursus, sahsiah semasa proses pengajaran dan pembelajaran, semangat patriotik dan perpaduan. Misalnya pelajar dinilai tahap kerjasama dan penghayatan semasa mengikuti pelajaran sejarah dalam bilik darjah, ketika sambutan program kemerdekaan dan penghormatan terhadap bendera serta lagu kebangsaan semasa perhimpunan sekolah. Dengan cara ini pendidian sejarah secara holistik dapat dipraktikkan.
Kaedah pengajaran yang berkesan amat perlu diberi penekanan agar sejarah menjadi mata pelajaran yang menarik dan diminati. Matlamat utama untuk mendidik dan membentuk pemikiran pelajar supaya menjiwai semangat kenegaraan dan keperbadian bangsa. Tujuan sejarah wajib lulus untuk merangsang pelajar dan bukanlah guru mengajar berorientasikan peperiksaan semata-mata. Perlu ingat pengajaran guru yang kreatif akan menghidupkan suasana bilik darjah yang akan dinilai berdasarkan PBS yang dicadangkan tadi dan ini akan membantu meningkatkan prestasi pelajar.
Pakar dan penyelidik sejarah tempatan akan dilantik untuk melihat semula kandungan dan kurikulum mata pelajaran sejarah. Oleh itu pihak-pihak lain terutama yang berkepentingan politik tidak perlu campur tangan kerana mereka bukan ahli sejarah. Biar orang akademik melakukannya kerana hanya 'jauhari yang mengenal manikam'. Ahli sejarah merupakan golongan ilmuan yang mempunyai kepakaran mengkaji sejarah negara secara profesional tanpa dipengaruhi dengan sentimen politik dan perkauman. Lebih malang ada pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan mewajibkan mata pelajaran sejarah lulus dalam SPM. Sedangkan kita sedar sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar dan dikuasai sebagai asas pembinaan negara bangsa.
Adakah dengan dasar sejarah wajib lulus ini akan melahirkan warga yang tidak lagi buta sejarah? Adakah mata pelajaran teras sejarah yang dipelajari selama ini di peringkat sekolah menengah gagal melahirkan warga yang celek sejarah? Apakah kayu ukur yang digunakan untuk mengatakan seseorang itu buta sejarah? Kita tidak mahu buta sejarah dijadikan alasan untuk membenarkan seseorang mempersoalkan perlembagaan negara dan kontrak sosial. Sedangkan bidang Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan negara yang berkaitan dengan kontrak sosial ada dipelajari dalam mata pelajaran sejarah. Sebenarnya mereka bukanlah buta sejarah, tetapi buat-buat buta.
Oleh itu tindakan tegas amat perlu jika ada pihak yang menimbulkan provokasi dengan menyentuh kedua-dua perkara tersebut. Di sekolah guru bersusah payah mengasuh murid dengan nilai-nilai positif untuk menjadi warganegara yang setia tetapi di luar sekolah mereka mudah terpengaruh dengan nilai-nilai yang sebaliknya. Untuk mempengaruhi seseorang dengan nilai yang baik tentulah lebih mencabar berbanding mempengaruhinya dengan nilai-nilai yang negatif. Memang benar jika murid telah diberikan pendidikan yang mantap mereka tidak mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif di luar sekolah. Namun jika langkah bersepadu dilakukan; iaitu menerusi pendekatan pendidikan dan tindakan undang-undang yang tegas, matlamat untuk melahirkan wagra celek sejarah dengan semangat kenegaraan yang tinggi akan dapat dicapai dengan lebih berkesan.
ZIN MARKAM
Pontian, Johor.
SUMBER:http://www.moe.gov.my/index.php?id=265&aid=1506
No comments:
Post a Comment