2 Mac 2012
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih memberi kesempatan diri ini untuk menghirup udara di bumi ini. Terima kasih kepada keluarga, sahabat, rakan sekerja dan anak muridku yang mendoakan kesejahteraan, kemurahan rezeki serta dipermudahkan jodoh buat diri ini... Amin. Semoga Allah merahmati kalian...
Tahun ini, aku tidak berkesempatan untuk berpuasa sempena hari kelahiranku. Hampir seminggu keadaan kesihatanku terjejas. Batuk, selesema dan sakit tekak membataskan kecergasanku. Namun, aku gagahi jua untuk hadir ke sekolah kerana aku tidak mahu ketidakhadiranku menambahkan beban guru-guru lain yang terpaksa menerima SLIP GURU GANTI. Rasanya lebih daripada sepuluh orang guru tiada disekolah pada hari ini kerana ada urusan rasmi di luar sekolah.
Sebelum ke sekolah, aku menelan ubat batuk dan penadol. Aku menerangkan keadaan kesihatanku pada GPK Petang supaya tidak memberi banyak SLIP GURU GANTI tetapi aku terpaksa jua menerima dua slip guru ganti. Memandangkan hari ini, hari Jumaat maka masa pertama diperuntukkan untuk pengisian rohani. Aku ditugaskan untuk mengawal pelajar Cina bersama Pn. Choo. Tapi, aku rasa dunia ku berpusing dan kepala rasa berat akibat penangan ubat batuk. Jadi, aku meminta pelepasan daripada Pn. Choo untuk tidur sebentar di bilik guru pendidikan Islam. Walaupun, aku hanya tidur-tidur ayam akibat gangguan daripada guru yang memasuki bilik itu, tetapi itu cukup memberikan tenaga untuk aku meneruskan perjuangan hingga akhir waktu balik.
Terima kasih buat kak Diana yang sudi memberikan hadiah coklat Cadbury kepadaku. Maaflah kalau hadiah ini aku kongsikan bersama-sama guru-guru lain. Sekurang-kurangnya aku tidak dapat berpuasa, tetapi aku memberi sedikit 'manisan' kepada orang lain sebagai tanda bersyukur kepadaNya. Terima kasih buat, Shamiera anak muridku yang sudi memberi hadiah kepadaku.
Sempena kelahiranku ini, semoga impianku menjadi kenyataan...
No comments:
Post a Comment