Saturday, March 31, 2012
Mesyuarat Agung PIBG
Pagi yang dingin. Hujan turun dari sejak awal pagi tidak menampakan tanda mahu berhenti. Walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan, mesyuarat agung PIBG tetap diteruskan di dewan kelas. Kehadiran ibu bapa kurang memuaskan..
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa untuk memberkati majlis. Kemudian, YDP PIBG mempengerusikan mesyuarat Agung dengan setiausaha dan bendahari membentangkan laporan tahunan. Kemudian mesyuarat diteruskan dengan pembentangan usul-usul ahli PIBG. Selepas itu, majlis diteruskan pembubaran AJK PIBG sesi 2011/2012 serta melantik AJK baru untuk sesi 2012/2013.
Akhirnya berakhirlah perjalanan tugasku sebagai Penolong Bendahari PIBG. Walaupun baru setahun jagung memegang jawatan ini tetapi banyak manfaat yang ku perolehi.
Kini, aku lebih mengetahui fungsi PIBG yang merupakan wadah pihak sekolah dan ibu bapa berbincang pelbagai perkara berkaitan dengan pelajar seperti prestasi akademik dan kokurikulum, pembangunan modal insan seperti mempunyai sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar turut diperbincangkan setiap kali AJK PIBG bersidang.
PIBG juga berperanan sebagai penyumbang dana untuk program-program peningkatan prestasi akademik dan kokurikulum, program kerohanian serta membantu pihak sekolah dalam meningkatkan infrastruktur sekolah. Contohnya, PIBG sekolahku telah menyumbangkan duit untuk pembelian kerusi dan meja baru (awal tahun), menaik taraf tandas lelaki dan program kelas tambahan semasa cuti sekolah. Selain itu, agenda PIBG ialah untuk membina susur gajah dari pintu pagar sekolah ke bangunan sekolah (untuk memudahkan pergerakan pelajar terutama masa hujan) dan membina tandas baru untuk pelajar perempuan.
Sehingga kini, PIBG sekolahku giat berusaha untuk memohon pembinaan dewan dan blok bangunan baru. Kesian aku melihat pelajar terpaksa beratur di tapak perhimpunan dalam keadaan cuaca panas terutama untuk pelajar sesi petang. Kadangkala pelbagai aktiviti tidak dapat dijalankan kerana faktor cuaca yang tidak menentu di Malaysia.
Fasilitati sekolah yang kurang seperti kelas tidak mampu menampung enrolmen pelajar lebih kurang 2000 orang. Akibatnya wujudlah 'kelas terapung' terutama di sesi pagi. Kesian pelajar yang belajar di 'kelas terapung' ini yang terpaksa menumpang di makmal sains dan bilik khas lain. Pembinaan bangunan pasang siap (kabin) hanya merupakan penyelesaian sementara, diharapkan permohonan pembinaan bangunan baru dapat dipercepatkan. Aku mengharapkan PIBG terus berusaha untuk mengutip dana untuk meluaskan surau kerana surau yang ada kini merupakan sumbangan individu yang tidak dikenali hanya mampu menampung solat berjemaah pelajar lelaki sahaja..
Selepas berakhirnya mesyuarat Agung PIBG, aturcara diteruskan dengan Majlis Hari Anugerah Cemerlang.... Tahniah kepada pelajar yang menerima anugerah cemerlang serta pelajar yang terlibat dalam persembahan seperti koir, tarian zapin dan 'choral speaking'. Persembahan kalian sungguh menghiburkan terutama 'choral speaking'. Tahniah juga kepada tiga orang penari Zapin yang berbangsa Cina. Sungguh menarik melihat kalian menari Zapin. Terima kasih juga kepada pelajar pengakap, bomba, kadet polis, pandu puteri yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Dan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang sudi hadir ke majlis ini...
Alhamdulillah, syukur sangat Allah memperkenankan doa hambaNya... Amin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment