Sunday, January 23, 2011

Pelajar diingat usah abai aktiviti sukan


2010/08/16
KEPALA BATAS: Pelajar diingatkan supaya tidak hanya menumpukan perhatian terhadap bidang akademik, hingga mengabaikan aktiviti sukan yang berupaya menjadikan seseorang sihat, selain dapat mengeratkan hubungan antara kaum.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata memang tidak dinafikan tanpa pelajaran tinggi, sukar bagi seseorang mencari pekerjaan atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, namun semuanya tidak bermakna apabila badan sakit dan tidak berdaya

"Saya berharap semua pelajar aktif dalam aktiviti sukan kerana badan perlu sihat...jangan lembik dan tubuh perlu kuat supaya mendapat kesihatan yang baik serta cergas.

"Aktiviti sukan dapat mengelak seseorang jatuh sakit, dijangkiti penyakit dan banyak kebaikan yang diperoleh, termasuk mengeratkan persahabatan dengan rakan sekolah yang sama atau berlainan bangsa,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian sijil Klinik UPSR 2010 - Superkids Didik 5A tajaan Sekretariat Malaysia di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP), Pongsu Seribu di sini, kelmarin.

Turut hadir, isteri Abdullah yang juga Pengerusi Eksekutif Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP), Tun Jeanne Abdullah; Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pegawai Eksekutif SMP, Othman Omar; Pengarah KMPP, Khairi Jalun dan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said.

Klinik dua hari itu disertai 500 pelajar dari 37 sekolah rendah termasuk sekolah jenis kebangsaan Tamil serta Cina di Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.
Kesemua pelajar terbabit menerima sijil penyertaan yang disampaikan Jeanne.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, aktiviti sukan turut mampu mengeratkan persahabatan antara bangsa dan agama lain, jika dijadikan rutin serta tidak meminggirkan akademik.

Beliau berkata, apabila sukan dan persahabatan digabungkan, ia akan menjauhkan rasa perbezaan manakala pergaulan menjadi lebih erat.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelajardiingatusahabaiaktivitisukan/Article/index_html

No comments:

Post a Comment