Saturday, November 23, 2013

Tempias Hujan

22/11/2013 (Jumaat)

Ketika dinihari, jam di dinding menunjukan pukul 3.10 pagi. Aku masih berusaha dan mencuba untuk key in PBS. Kepala dah mengantuk dan badan mula letih tapi aku paksa diri jua untuk menyiapkan PBS. Suamiku yang sudah tidur berbunyi kedengkuran.

Di luar rumah sewaku hujan mula turun. Angin bertiup kencang dan hujan semakin lebat. Angin yang bertiup disertai rintik hujan menghala masuk ke tingkap di rumahku. Ohh tidak, banjir! Tempias hujan mula membasahi lantai rumahku dan menyebabkan rumah sewaku di tingkat tiga ini mulai dibanjiri air.

Aku terpaksa mengerakan suamiku untuk bangun dari tidur. Aku menyuruh suamiku untuk mengalih tilam yang berhampiran tingkap ke tempat lebih selamat. Baju di ampaian terpaksa aku angkat. Suamiku membentangkan surat khabar di lantai kawasan tempias agar mengurangkan kadar pengaliran air hujan. Suamiku mencapai mop lantai dan mengemop lantai di bilik utama dan ruang tamu rumah sewaku.Akhirnya, kerja mengemop rumah selesai pukul 4.00 pagi.

Ini bukanlah peristiwa pertama rumahku dilanda tempias hujan cuma kali ini kadar air hujannya agak tinggi dan menyebabkan banjir dalam rumah. Inilah realiti sebenar sekiranya tinggal di rumah flat yang puratanya penghuni rumah berpendapatan rendah. Sebelum ini, aku juga pernah menyewa di rumah flat kawasan lain yang agak jauh dari sekolah dan perkara ini biasa berlaku sekiranya hujan lebat dan angin menuju kearah tingkap rumah. Oleh sebab itulah, aku tidak meletakkan perkasasan dan perabot berhampiran tingkap.

Aku meneruskan kerjaku untuk menyiapkan key in PBS dan suamiku mulai menyambung tidur. Kalian yang membaca entri ini jangan salah faham. Aku bukanlah seorang guru yang suka melakukan kerja di hujung waktu @ melambatkan kerja. Aku selalu key in prestasi pelajarku mengikut bulan cuma yang sedang aku key in ini ialah prestasi band pelajar bulan 9, 10 dan pelajar yang tercicir @ penambahbaikan prestasi band pelajar. Prestasi kokurikulum seperti UBU, kelab dan sukan perlu di key in dihujung tahun kerana baru kita dapat prestasi keseluruhan pelajar. Manakala SEGAK perlu di key in di awal dan pertengahan tahun. Memandangkan aku mengajar subjek Geografi dan Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan aku perlu key in 8 kelas yang purata satu kelas 35 - 37 orang pelajar. Dan eviden yang perlu di 'tik' bukanlah satu tetapi berpuluh juga.

Memandangkan sistem yang sangat perlahan, kadangkala tidak dapat diakses  menyebabkan banyak kerja tertangguh. Aku yang menurut perintah, akur dengan tangunggjawab dan amanah ini. Aku berharap sangat agar ditambahbaikan sistem PBS ini untuk kepentingan pelajar dan mesra pengguna untuk para guru sekalian pada masa akan datang.

Aku sudah tidak mampu bertahan lagi. Aku perlu rehat yang cukup untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Semoga Allah SWT memberikan kita kesabaran yang tinggi serta kesihatan yang baik. Amin..

Selamat malam semua...


No comments:

Post a Comment