Sunday, January 23, 2011
Ponteng sekolah sebab cikgu tak mengajar
BERSEKOLAH pada hari Sabtu bukan berita gembira bagi murid dan juga ibu bapa. Guru-guru tak tahulah pula. Selepas lima hari bekerja dan bersekolah, kehadiran Sabtu dan Ahad sememangnya ditunggu-tunggu. Itulah hari untuk membasuh baju sekolah, kasut sekolah, bangun sedikit lewat berbanding hari biasa. Bila dapat pekeliling anak-anak perlu bersekolah pada Sabtu ada yang kelat wajah. Anak-anak apatah lagi, liat semacam terutama jika tahu telah ada perancangan untuk ke mana-mana.
Seorang teman menitip catatan sekolah hari Sabtu di Facebooknya. Dia yang juga seorang guru bertanya mungkinkah sekolah hari Sabtu ganti cuti Tahun Baru Cina akan mengulangi sejarah satu kelas satu murid. Satu guru mengajar satu murid.
Sebagai guru, tentunya sahabat itu amat arif perihal kehadiran murid setiap kali sekolah ganti diadakan pada Sabtu. Pasti kelas yang selalunya penuh dan riuh dengan pelbagai tata laku murid-murid agak sepi lantaran ramai yang ponteng. Ada ibu-bapa yang sengaja tidak mahu anaknya ke sekolah pada hari Sabtu. Alasannya mudah, mahu mencuci baju sekolah sekali gus pada pagi Sabtu. Lalu anak-anaknya diberi ‘pengecualian’ hadir ke sekolah atas alasan itu.
Ada juga murid tidak ke sekolah pada hari Sabtu kerana terikat dengan jadual ibu bapa. Oleh kerana ibu bapa telah membuat perancangan awal untuk bercuti atau menghadiri kenduri kahwin dan pelbagai majlis lagi, maka anak-anak terpaksa akur.
Boleh saja diandaikan ramai ibu bapa yang tidak peka tentang sekolah ganti pada hari Sabtu. Ada juga yang merungut setiap kali dimaklumkan tentang jadual persekolahan pada Sabtu. Bagi mereka cukuplah lima hari anak-anak bersekolah pagi dan petang (belum dicampur tuisyen pada waktu malam). Sabtu dan Ahad bagi kebanyakan ibu bapa adalah masa untuk bersama anak-anak biar pun dalam keadaan mana sekali pun. Kalau diberi cuti maka jangan minta diganti, kata mereka.
Mengajar
Ada juga ibu bapa yang berdisiplin mengikuti arahan sekolah atau pihak kementerian. Maka ‘berperanglah’ memujuk anak-anak bersekolah pada pagi Sabtu. Bukan mudah menyakinkan anak supaya bersekolah pada hari Sabtu. Apatah lagi jika adik beradik yang bersekolah di tempat lain tidak bersekolah. Mereka (anak-anak) ada alasan tersendiri untuk ponteng kelas. Alasan yang sering diberi cikgu tak mengajar. Kalau masuk kelas pun cikgu suruh buat kerja sendiri. Bila buat kerja sendiri faham-fahamlah, tentu ada rasa bosan. Nak buat bising takut cikgu ada di depan, nak baca buku, semestinya bukan itu pilihan mereka. Lalu apabila disuruh ke sekolah pada hari Sabtu tentu alasan tersebut meniti di bibir anak-anak. Ibu bapa pula apabila dengar cikgu tidak mengajar dan anak-anak tidak diajar maka cairlah hati mereka. Lalu termeterailah persetujuan bersama mengizinkan anak ponteng sekolah walaupun secara diam.
Yang pasti bersekolah pada Sabtu bagi menggantikan cuti peristiwa yang diambil oleh sekolah untuk menyambung cuti pendek sememangnya perlu. Tetapi sebagai guru yang berhadapan dengan cabaran dunia inovatif dan kreatif, apa kata wujudkan sedikit kelainan bagi hari persekolahan setiap Sabtu. Selain aktiviti biasa seperti merentas desa atau bersukan, tidak salah jika Sabtu dijadikan hari untuk mengenali alam semula jadi tanpa perlu pergi jauh. Jadikan kawasan sekeliling sekolah untuk bercakap tentang keindahan alam, pencemaran, kebersihan dan keselamatan. Aktiviti berkumpulan yang mencabar minda murid-murid sekali gus memberi nafas baru dalam pembelajaran secara tidak formal mesti dicetuskan oleh guru-guru. Apa kata Sabtu juga dijadikan hari untuk mengeratkan hubungan warga sekolah dengan penduduk di kawasan kejiranan terdekat. Terap nilai-nilai kejiranan, saling bantu-membantu, bekerjasama dan kenal-mengenali supaya persekolahan hari Sabtu menjadi umpama acara yang ditunggu-tunggu.
Ulasan: Aku memang setuju dengan pendapat yang mengatakan kehadiran pelajar ke sekolah pada hari Sabtu (ganti sekolah) memang kurang daripada biasa. Macam semalam, ramai juga pelajar yang tidak hadir ke sekolah.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment