Thursday, January 20, 2011
Perjalananku....
Syukur Alhamdulillah. Akhirnya penantian aku untuk melaporkan diri di sekolah pertama aku dipermudahkan Allah. Hanya empat bulan selepas menamatkan pengajian diploma pendidikan di UPSI, aku ditawarkan mengajar di Johor. Jujurnya, aku sangat sedih kerana tidak dapat mengajar di tempat kelahiranku. Namun, aku pasrah dengan kehendak Illahi. Sekurang-kurangnya, Johor masih dalam pilihanku yang kedua. Aku hanya mampu merancang, dan sebaik-baik perancang ialah Allah. Mungkin ada hikmahnya kenapa Johor bakal tempat kudiami dan menabur bakti, bukan Pahang pilihan pertamaku.
Sehari sebelum aku melaporkan diri, aku, mak dan ayah telah melakukan perjalanan awal dari tempat kelahiranku menuju ke rumah bapa saudara di Selancar. Ayahku meminta bantuan abangnya untuk menunjuk jalan ke Simpang Renggam. Kemudian, kami melakukan perjalanan ke Simpang Renggam. Bagiku, yang hanya pernah sampai Segamat, terasa keletihan melalui perjalanan jauh. Kami bermalam di hotel berdekatan dengan tempat melaporkan diri.
Keesokannya,aku melaporkan diri dan mendengar taklimat daripada JPNJ. Kemudian, aku dikehendaki melaporkan diri dengan PPD Kulai. Di sana, semua guru permulaan mendengar taklimat berkaitan minggu orientasi yang berlansung selama 3 bulan. (PPD Kulai terpilih sebagai perintis untuk projek orientasi selama 3 bulan bagi negeri Johor).Akhirnya, dapat juga aku berkenalan dengan rakan-rakan sejawatanku. Mereka sangat membantu aku sehingga sanggup menumpang aku tinggal sementara sebelum aku mendapat tempat tinggal yang lain. Di sinilah, perjalananku sebagai seorang guru bermula......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment