Thursday, January 20, 2011
Bermulanya Cabaran
Hari pertama di sekolah, aku dan rakan-rakan diterima baik oleh warga sekolah. Ini permulaan yang baik untuk aku meneruskan perjuanganku dalam bidang pendidikan. Aku melawat sekitar sekolah. Luas juga persekitaran sekolah ini. Erm, aku teringat kata-kata pensyarahku di UPM, apabila kita sampai di kawasan baru, peta (kawasan persekitaran) sesuatu tempat adalah sangat besar kerana kita tidak mahir lagi dengan tempat baru itu. Namun peta yang besar itu, akhirnya menggecil seiring dengan kemahiran kita dengan tempat itu. Macam pertama kali aku sampai Johor, perjalanannya sangat jauh, tetapi apabila aku kerap berulang balik kampung, akhirnya perjalanan yang sangat jauh itu, tidak sejauh yang aku sangka...
Aku diberi tanggungjawab untuk mengajar sesi pagi. Ketika itu, musim peperiksaan PMR maka banyaklah tugas guru ganti yang aku terima. Seiring dengan P&P, orientasi turut dijalankan terutama selepas waktu persekolahan iaitu waktu petang. Setiap slot itu, kami manfaatkan dengan bertemu guru berpengalaman. Kami diberi tunjuk ajar serta nasihat berguna untuk menghadapi kerenah pelajar masa kini. Teringat aku, ketika menjadi guru sandaran tidak terlatih di sekolah lamaku,guruku pernah berkata pelajar sekarang ini tidak sama dengan pelajar pada zaman persekolahanku. Aku memang tidak menafikan ungkapan itu, kerana aku sendiri dapat merasainya ketika mengajar dalam kelas. Mungkin perederaan masa dan dunia tanpa sempadan ini menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai budaya dan gejala sosial.
Selain menghadapi kerenah pelajar yang pelbagai ragam di sekolah, aku juga turut menghadapi kesulitan terutama mencari tempat tinggal dan pengangkutan ke sekolah. Al maklumlah, hanya aku seorang sahaja dari luar Johor dan rakan-rakan sejawatanku dari Kulai. Jadi mereka tinggal dengan keluarga masing-masing. Guru-guru disekolah aku ramai yang bujang, tetapi rumah mereka sudah padat dengan isi rumah. Jadi aku terpaksa mencari rumah sewa sendiri. Usaha, ikhtiar dan tawakal kepada Allah, akhirnya aku dapat sebuah rumah flat untuk disewakan dan yang penting berdekatan dengan rumah kawanku, Haja. Namum, aku terikat dengan kontrak 6 bulan. Jadi, keseorangan aku tanpa teman di rumah ini. Aku mengharapkan ada bakal guru yang posting dapat tinggal bersamaku. Terima kasih, Haja kerana sudi menumpangkan aku selama tiga minggu di rumahmu.
Syukur, Allah mempermudahkan urusanku. Akhirnya ayah Haja telah dapat mencari seorang pemandu van untuk menghantar dan ambil ke sekolah dengan kadar sewa RM150 sebulan. Jadi seorang boleh bayar RM75 sebulan. Sekurang-kurangnya, tidaklah kami lambat datang sekolah. Macam biasa hidup tidak pernah lari dari masalah. Masalah pak cik van ini, hanya boleh hantar sahaja, kalau aku mahu pulang sekolah dengan van kena tunggu dia pada pukul 4 petang. Waktu persekolahan bagi guru sesi pagi tamat pada pukul 2 petang. Jadi, aku dan Haja membuat keputusan untuk pulang ke rumah dengan bas sahaja. Letih, bosan, terasa membuang masa serta sesak nafas aku menghirup udara yang penuh dengan asap-asap kenderaan semasa menunggu bas yang waktu perjalanannya tidak sistematik. Kerap kali kami menunggu bas yang makan masa sejam. Kadangkala kerana keletihan aku terlelap sebentar di tempat menunggu bas. Mujur ada kawan yang boleh meneman aku, kerana bahaya juga tempat menunggu bas kalau berseorangan. Aku anggap semua ini pengorbananku sebagai seorang pendidik. Aku berbaik sangka, bukan aku seorang sahaja yang mengalami kesulitan seperti ini tetapi ramai lagi rakan guru terpaksa meredah kepayahan untuk sampai ke sekolah terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Cerita pak cik van ini, tidak berakhir lagi. Genap sebulan selepas kami menyewa van ke sekolah, tiba saat untuk pembayaran pak cik van itu meminta RM150 seorang. Terkejut kami dibuatnya. Bayangkanlah, dia hanya menghantar kami ke sekolah sahaja dan balik kami menaiki bas. Kami terpaksa akur, kerana kami masih memerlukan khidmatnya untuk ke sekolah. Salah kami juga, tidak tanya dengan lebih terperinci syarat-syarat penyewaan van. Pakai redah je naik van. Pengajaran, selidik dulu dengan terperinci sebelum mengambil tindakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment