Tuesday, May 10, 2011

Kisah suka duka Cepor, Selendang

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 9 Mei - Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Lanchang dekat sini ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 1989.

Pusat tersebut merupakan ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah yang diwujudkan sejak 1974.

Pusat ini dianggotai sepasukan Unit Gajah yang berperanan menempatkan semula gajah liar yang habitatnya diambil alih oleh projek pembangunan terutama pertanian.

Gajah liar dari kawasan yang 'terganggu' tersebut akan ditempatkan semula ke habitat lain seperti di Taman Negara, Jerantut.

Sejak 30 tahun lalu, pasukan yang dahulunya terdiri daripada 25 anggota itu berjaya memindahkan lebih 450 ekor gajah liar dari seluruh semenanjung.

Proses pemindahan itu bertujuan meminimumkan risiko kepupusan mamalia tersebut.

Selain berfungsi sebagai ibu pejabat untuk Unit Gajah, pusat itu juga merupakan tempat perlindungan bagi beberapa ekor gajah denak dan liar.

Pusat tersebut juga bermatlamat meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh gajah di negara ini.

Di samping itu, pusat pemuliharaan tersebut menggalakkan kajian dan penyelidikan berkaitan teknik pemindahan semula serta konservasi gajah.

Pusat ini juga giat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.

Para pelawat digalakkan untuk menonton dokumentari mengenai proses pemindahan semula gajah liar yang dilakukan pada 1996 dengan kerjasama krew National Geographic.

Selain itu, program khas boleh disediakan untuk rombongan sekolah.

Pusat tersebut mempunyai beberapa ekor gajah tempatan yang dibawa masuk daripada Thailand dan Myanmar.

Gajah-gajah terbabit dilatih dan digunakan untuk memindahkan gajah liar dari kawasan bermasalah di seluruh Semenanjung.

Pusat itu juga memelihara anak-anak gajah yang ditinggalkan oleh ibunya untuk memastikan haiwan berkenaan meneruskan kehidupannya.

Kini ia bukan sekadar menjadi pusat perlindungan gajah atau bagi tujuan penyelidikan.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah kini menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

Salah satu tarikan yang ada di pusat konservasi itu ialah kehadiran dua anak gajah yang sering menghiburkan pengunjung dengan keletah menarik hati.

Rata-rata pengunjung terutama kanak-kanak yang datang ke pusat tersebut tidak akan melepaskan peluang untuk bermain dengan dua ekor anak gajah yang diberi nama Selendang dan Cepor itu.

Meskipun kelihatan riang dan manja dengan pengunjung namun orang ramai tidak mengetahui kisah hidup dua anak gajah tersebut yang sebelum ini bertarung nyawa untuk meneruskan hidup.

Ketika mula dihantar ke pusat ini empat tahun lalu, katanya, keadaan Cepor dikatakan sangat kritikal dan hampir mati kerana ia terjatuh ke dalam lubang yang menyebabkan kecacatan pada kaki depan sebelah kanan manakala badannya kini menjadi senget sebelah.

"Ketika mula-mula Cepor dibawa ke sini, kami sangka ia tidak dapat diselamatkan kerana melihat pada kecederaan yang dialaminya sangat parah tambahan pula ketika itu ia baru beberapa hari dilahirkan.

"Namun anak gajah ini mempunyai semangat juang yang sangat tinggi untuk terus hidup dan dengan kecekapan serta kepakaran yang ada di pusat ini, Cepor berjaya diselamatkan.

"Bagi memastikan Cepor terus hidup, ia diberi minum susu setiap hari selain menjalani rawatan fisioterapi khas," katanya.

"Ramai pengunjung yang datang mahu mandi bersama Cepor kerana anak gajah itu sememangnya suka mandi bersama orang ramai. Selain dapat menggosok badan anak gajah itu, pengunjung juga disiram oleh Cepor menggunakan belalainya.

Menurut Rasli, rakan Cepor iaitu Selendang pula mempunyai kisah hitamnya tersendiri kerana menjadi mangsa kepada perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Selendang yang berusia tiga tahun itu, katanya, menjadi mangsa kepada pemburu haram dan akibatnya, kaki depan sebelah kirinya kudung terkena jerat.

"Selepas terkena jerat, Selendang dibawa ke pusat ini untuk mendapatkan rawatan. Keadaan Selendang ketika dibawa ke sini juga amat menyedihkan kerana masih bayi.

"Kita kesal dengan sikap segelintir pemburu haram yang langsung tidak memikirkan kesan terhadap hidupan liar yang dilindungi ini.

"Mereka hanya mahu mengaut keuntungan dengan menjual gading, kulit dan sebagainya daripada mamalia yang dilindungi ini," katanya.

Cepor dan Selendang katanya, kini menjadi sahabat karib dan berjaya memikat hati orang ramai dengan kelebihan yang dimiliki.

"Kanak-kanak adalah antara golongan yang sangat gembira kerana dapat bermain dengan dua anak gajah ini sambil memberi makanan kegemaran mereka iaitu kacang tanah, pisang dan tebu," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9/5/2011

No comments:

Post a Comment