Cuti sekolah, saat yang sangat dinantikan bukan sahaja kepada pelajar bahkan kepada guru-guru. Seronoknya cuti sekolah, setelah berhempas pulas melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Inilah waktu rehat panjang bagi seorong pendidik seperti aku. Bayangkanlah, hampir setiap Sabtu (selepas raya Cina) aku terpaksa menghadirkan diri ke sekolah. Sampai ada rakan-rakan guru berkata mereka tiada kehidupan sosial. Al-maklumlah, pada hujung minggu biasanya ada kenduri kahwin serta masa bersama keluarga.
Cuti sekolah bermula pada 12/3/2011. Namun, aku terpaksa menangguhkan kepulanganku ke kampung untuk memberi laluan kepada "Kem Endurance" iaitu kelas tambahan kepada pelajar tingkatan 3. Inilah pengorbanan seorang guru. "Bukan ganjaran yang dinanti, cuma amal bakti yang dicurahi." Aku mengharapkan pelajar-pelajar hargailah jasa seorang guru, yang rela berkorban ibarat "lilin membakar diri". Wahai pelajar yang ku sayangi sekalian, berusahalah belajar rajin-rajin kerana Allah melihat sejauh mana usaha kita untuk menuntut ilmu. Jangan kecewa sekiranya kita tidak mendapat keputusan cemerlang seandainya kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tetapi malulah dengan diri sendiri seandainya kita tidak berusaha tetapi mengharapkan keputusan cemerlang seperti ibarat menanti buah yang tidak pernah gugur.
Aku teringat kata-kata seorang kerani sekolah aku semasa taklimat orientasi bersamanya. Katanya, guru bekerja separuh hari di sekolah tetapi terpaksa juga bekerja di luar waktu persekolahan (membawa kerja pulang ke rumah) untuk menyiapkan tugas perkeranian seperti memasukkan data sistem maklumat murid (SMM), menyiapakn RPH, menanda buku latihan dan nota serta membuat ABM untuk P&P keesokan harinya. Jadi wajarlah cuti sekolah itu sebagai penebus masa guru yang dihabiskan selepas waktu persekolahan.
Tetapi sebenarnya, cuti sekolah bukanlah cuti mutlak untuk seorang guru untuk bersenang lenang tanpa meminggirkan kerja sekolah. Ada juga guru yang terpaksa bertugas semasa cuti sekolah seperti pihak pentadbir sekolah. Macam aku pula menghabiskan cuti sekolah dengan menanda kertas ujian pelajar dan membuat analisis item.
Bagi pelajar pula, cuti sekolah bukanlah cuti mutlak daripada belajar. Mereka juga dibekalkan dengan latihan semasa cuti persekolahan. Sepatutnya, mereka menghabiskan cuti persekolahan dengan membuat latihan diberi oleh guru serta mengulang kaji pelajaran.
Manfaatkan cuti sekolah dengan sebaik-baiknya...
No comments:
Post a Comment