Monday, November 22, 2010

Penggunaan Aplikasi Teknologi Mikrob



Aktiviti:Majlis Pelancaran Penggunaan Aplikasi Teknologi Mikrob
Tempat:Hutan Bandar Kulai
Masa: 7.30 pagi - 12.00 tgh

Pada 14 November 2010, pihak Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah mengadakan Majlis Pelancaran Penggunaan Aplikasi Mikrob Peringkat Majlis Perbandaran Kulai yang dirasmikan oleh Y.B Datuk Ahmad Zahri bin Ismail, Pengerusi Jawatakankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerjaya dan Kemudahan Awam, Negeri Johor. Pihak MPKu juga turut menjemput pelajar sekolah sekitar Kulai iaitu dari SMK Kulai Besar, SMK Indahpura, SMK Bandar Putra, SMK Sultan Ismail, SK Indahpura, SK Bandar Putra untuk memeriahkan majlis ini. Pelajar-pelajar terlibat telah didedahkan dengan penggunaan Mikrob sebagai alternatif untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Pelajar juga digalakkan untuk memelihara alam sekitar untuk kepentingan masyarakat serta generasi akan datang. Selepas majlis perasmian, upacara melontar Active Ball secara serentak oleh VVIP, staf MPKu dan pelajar sekolah ke dalam tasik di Hutan Bandar Kulai. Diharap dengan penggunaan Mikrob (Active Ball) ke dalam tasik tersebut akan menunjukkan perubahan kejernihan air selepas 6 bulan. Walaupun penggunaan Mikrob mengambil masa lama untuk menunjukkan perubahan namun hasilnya tidak membawa kesan buruk terhadap alam sekitar berbanding penggunaan bahan kimia yang menunjukkan hasil dalam tempoh singkat tetapi jangka masa panjang membawa kesan buruk terhadap alam sekitar.


Teknologi Mikrob merupakan teknologi alternatif yang mesra alam kerana penggunaannya melibatkan gabungan mikroorganisma-mikrorganisma yang berfaedah atau bakteria baik yang terdapat di sekeliling kita terutama dalam makanan. Mikrob ini terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Yis/Ragi, Unsur Fototropik dan Unsur Asid Laktik. Yis/Ragi ini mengeluarkan hormon dan enzim yang bertindak sebagai bahan bioaktif untuk meningkatkan pengaktifan sel dan akar. Unsur Fototropik digunakan menguraikan gas yang merbahaya seperti ammonia dan hidrogen sulfat dan menukarkanya kepada gas-gas yang tidak berbau serta tidak berbahaya. Unsur asid laktik pula mengeluarkan asid laktik sebagai pendinding atau penghalang mikrob yang merbahaya. Antara produk-produk daripada teknologi Mikrob ialah Active Purple, Active Orange, Multi Fertilizer, Active Ball, Seramik Mikrob dan minuman Kesihatan. Teknologi Mikrob boleh diaplikasi kegunaan harian, rawatan alam sekitar, pertanian, penternakan dan makanan tambahan. Kebiasaanya rawatan alam sekitar digunakan ialah tapak pelupusan sampah, kolam, tasik, sungai, penyelengaraan premis perniagaan, pasar, tandas awam, landskap, taman rekreasi dan tapak permainan. Teknologi Mikrob ini juga boleh diaplikasikan untuk bahan kitar semula iaitu sisa buangan rumah jenis organik seperti sisa nasi, sisa lauk, rumput, habuk papan, daun, kertas dan sebagainya. Untuk mendapatkan produk teknologi Mikrob ini, J-Biotech Environment Sdn. Bhd. telah mengeluarkan produk berunsurkan Mikrob dibawah jenama Efectiva Cultura.

No comments:

Post a Comment