Sunday, October 31, 2010
Kronologi Letusan Gunung Merapi
Indonesia bergelut dua bencana
25/10/2010
Aktiviti seismik dilaporkan meningkat secara dramatik di kawasan gunung Merapi yang meningkatkan pengeluaran lahar serta kira-kira 500 gempa akibat aktiviti terbabit direkodkan sepanjang hujung minggu lalu.
Pegawai yang memantau gunung berapi itu meningkatkan tahap berjaga-jaga ke merah pada 6 pagi semalam, memberi amaran kemungkinan letusan berlaku.
“Lahar sudah mula naik ke atas berikutan kuasa seismik yang semakin meningkat dan kira-kira satu kilometer di bawah kawah,” kata pakar gunung berapi, Surono.
Penduduk diarahkan untuk berpindah dari kawasan zon bahaya kira-kira 10 kilometer dari kawasan kawah gunung berapi setinggi 2,914 meter berkenaan.
Gunung itu terletak 26 kilometer ke selatan Yogyakarta adalah paling aktif daripada 69 gunung berapi yang mempunyai sejarah letusan di Indonesia.
Kali terakhir ia meletus adalah pada Jun 2006 yang mengakibatkan dua orang maut, tetapi kejadian letupan paling banyak meragut nyawa adalah pada 1930 apabila lebih 1,300 penduduk dilaporkan terbunuh. Awan panas daripada letupan lain pada 1994 dilaporkan membunuh lebih 60 penduduk.
“Ia kini mempunyai lebih tenaga berbanding letusan sebelum 2006. Kami belum menemui petunjuk kuat bahawa ia akan meletup seperti yang berlaku pada 1930, tetapi ada kemungkinan ia akan berlaku,” kata Surono. – AFP
Sumber: Muntahan Merapi tunggu masa. Berita Harian. Selasa, 26 Oktober 2010.
25/10/2010
Kepulauan Mentawai yang dilanda gelombang besar (tsunami) setinggi hingga tiga meter, menghanyutkan kampung, menyebabkan sekurang-kurangnya 282 orang terbunuh dan 411 lagi masih hilang. Gempa bumi yang mencetuskan tsunami berkenaan berukuran 7.7 skala Richter dan berpusat di dasar laut 78 kilometer di barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai. Gempa bumi itu berlaku di garis gelincir sama dengan gempa bumi 9.1 skala Richter di Aceh yang mencetuskan tsunami besar di lautan Hindi pada 2004 hingga meragut 230,000 nyawa di berpuluh negara. Gempa bumi dan letusan gunung berapi berlaku di kawasan yang berada pada kedudukan dikenali Lingkaran Api Pasifik yang kerap terbabit dengan gempa bumi dan letusan gunung berapi menganjur dari Hemisfera Barat melalui Jepun dan Asia Tenggara.
Sumber: Ombak tsunami landa Mentawai. Berita Harian. Rabu, 27 Oktober 2010.
SUKARELAWAN mengusung mayat mangsa letupan Gunung Merapi di Kinahrejo, Yogyakarta, Indonesia.
26/10/2010
Gunung berapi yang menunjukkan tanda meletus kuat akhirnya memuntahkan debu panas semalam menyebabkan 20 penduduk cedera. Saintis memberi amaran bahawa tekanan yang terkumpul dalam kawah mungkin menyebabkan letusan terkuat dalam tempoh beberapa dekad lalu.
Subandriyo, ketua pakar gunung berapi di kawasan itu berkata, Gunung Merapi mula meletus jam 5.02 petang waktu tempatan diikuti, kedua pada jam 5.19 petang waktu tempatan dan ketiga jam 5.34 waktu tempatan. Ia menggelodak dan mengaum selama beberapa jam.
“Bunyi kuat di gunung itu berlaku agak lama, mungkin 15 minit. Selepas itu, kepulan debu panas mula melonjak ke udara,” kata Sukamto, petani yang belum meninggalkan kediamannya di lereng gunung berkenaan.
Saintis memberi amaran tekanan yang terbina di bawah kawah lahar merapi mungkin mencetuskan letupan paling berkuasa sejak beberapa tahun lalu.
“Kekuatan tekanan semakin meningkat. Kami harap ia dapat dilepaskan perlahan-lahan. Jika tidak, letusan kali ini mungkin paling kuat sejak bertahun-tahun lalu,” kata pakar gunung berapi, Surono.
Pada 2006, muntahan gas dan batu panas di lereng gunung Merapi menyebabkan dua kematian. Letusan pada 1994 pula membunuh 60 orang manakala 1,300 terkorban dalam letusan pada 1930.
Sumber: Merapi mula meletus. Berita Harian. Rabu, 27 Oktober 2010.
PASUKAN mencari dan menyelamat berusaha mengeluarkan mayat diseliputi debu lahar selepas letupan Gunung Merapi di kampung Pakem di Sleman, Yogyakarta, semalam.
27/10/2010
Indonesia bertungkus-lumus menangani tiga bencana alam sekali gus semalam dengan usaha membantu mangsa terselamat dan mencari mayat mangsa tsunami di kepulauan Mentawai dan mereka yang tertimbus dalam debu muntahan lahar Gunung Merapi di Jawa Tengah.
Gunung Merapi di Jawa Tengah meletus dan memuntahkan lahar dan debu beracun dan panas telah mengorbankan 28 penduduk kampung Kinahrejo dekat Yogyakarta termasuk Mbah Marijan (Lelaki tua yang didakwa dukun Gunung Merapi).
Gunung Merapi setinggi 2,914 meter berkenaan yang bermaksud Gunung Api adalah paling aktif daripada sejumlah 69 gunung berapi dengan sejarah pernah meletus di Indonesia. Berada di kawasan penanaman padi di tengah Jawa kira-kira 400 kilometer ke timur Jakarta, kali terakhir ia meletus adalah pada Jun 2006 yang mengorbankan dua orang.
Sumber: Indonesia bergelut dua bencana dan Dukun Gunung Merapi tewas . Berita Harian. Khamis, 28 Oktober 2010
29/10/2010
Letusan Gunung Merapi selama 21 minit awal pagi ini yang menyemburkan awan panas abu volkanik dan memuntahkan lahar panas telah mengakibatkan debunya bertebaran ke udara sehingga ke kawasan sejauh 65 kilometer di Klanten, Jawa Tengah.
Antara kawasan teruk terjejas terkena hujan abu dan hujan pasir akibat letusan yang menghasilkan awan panas abu volkanik dikenali penduduk tempatan sebagai "Wedhus Gembel" itu adalah Kaliurang, Sleman.
Jarak penglihatan di kawasan sempadan Sleman dan Yogyakarta berkurangan sehingga kepada 50 meter akibat pergerakan lalu lintas menyebabkan abu volkanik di permukaan jalan berterbangan ke udara.
Di beberapa tempat, pihak berkuasa tempatan terpaksa menyembur air ke jalan raya bagi mengurangkan debu berterbangan ke udara dan memperbaiki kualiti jarak penglihatan serta udara.
Tiupan angin turut membawa abu dan pasir volkanik ke Yogyakarta, kira-kira 40 kilometer dari gunung itu menyebabkan sebahagian besar ibu kota lama Indonesia itu dilitupi abu putih dan warganya berebut membeli topeng muka sehingga beberapa farmasi dilaporkan kehabisan stok.
Keadaan itu turut memaksa pihak pengurusan Lapangan terbang Adisutjipto, Yogyakarta menutup lapangan terbang untuk beberapa ketika sejak pukul 6 pagi dan penerbangan dialih ke lapangan terbang Adisumarmo, Solo dan penumpang diangkut dengan bas dan teksi ke Yogyakarta.
Sehinga pukul 3.30 petang ini, kualiti udara di Yogyakarta kelihatan normal namun sekali-sekala hujan abu volkanik dan abu pasir volkanik dilihat turun.
Pihak berkuasa tempatan menganggap situasi di kota itu sehingga kini masih terkawal namun penduduk diminta mengutamakan kesihatan dengan memakai topeng muka bagi menghindari kesan abu volkanik itu.
Sungguhpun gunung berapi teraktif di dunia itu telah meletus beberapa kali sejak Selasa lalu, Pusat Mitigasi Bencana Geologi Indonesia percaya ia belum mengeluarkan tenaga letusan sepenuhnya.
Pemantuan yang dilakukan sehingga kini menunjukkan tenaga letusan Merapi kali ini sudah tiga kali ganda kekuatan letusan pada 2006, kata ketua badan itu, Surono. - Bernama
Sumber: Abu volkanik Merapi sampai kota Yogyakarta. Utusan Malaysia. Sabtu, 30 Oktober 2010
31/10/2010
Gunung berapi Merapi di Jawa Tengah sekali lagi meletus dan memuntahkan awan debu semalam. “Letusan selama tiga minit itu menyebabkan abu panas berwarna kelabu mengalir ke bahagian selatan dan timur Merapi hingga sejauh enam kilometer,” kata pegawai agensi pemantau gunung berapi, Subandriyo. Letusan gunung itu setakat ini mengorbankan 38 nyawa.
sumber: Berita Harian. Merapi meletus lagi. Isnin, 1 November 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment