Tuesday, October 19, 2010

Kisah Pendayung Sampan & Cendiakawan



Ada seorang pak cik tua yang seumur hidupnya menyara keluarga dengan kerja mendayung sampan. Pada suatu hari, ada seorang cendiakawan yang hebat menaiki sampan yang didayung oleh pak cik tua itu.

Di tengah perjalanan, cendiakan itu bertanya pada pak cik tua itu, "Pak cik pandai membaca dan menulis?"
"Maaf tuan, pak cik tidak tahu membaca dan menulis" jawab pak cik itu.
"Ohh...kalau begitu pak cik telah hilang separuh kehidupan! Orang yang tidak pandai menulis dan membaca telah hilang separuh keupayaan untuk hidup berjaya" kata cendiakawan itu.

Sampan terus meredah ke tengah tasik.

Cendiakawan itu bertanya lagi kepada pak cik pendayung sampan, "Pak cik ada membuat simpanan untu masa hadapan?"
Sekali lagi pak cik itu menjawab, "Maaf tuan, pak cik tidak mampu membuat simpanan"
" Kalau begitu, sekali lagi pak cik telah kehilangan separuh kehidupan. Mana mungkin orang tidak mempunyai simpanan masa hadapan boleh hidup dengan selesa pada masa hadapan" kata cendiakawan.

Pak cik itu tersenyum..Dia mendiamkan diri sahaja walaupun anak-anaknya berjaya mengaji di universiti hasil perkerjaan mendayung sampan.

Sampan terus bergerak ke tengah tasik. Tiba-tiba sampan bocor dan air mula memasuki sampan. Sampan itu hampir tenggelam.

Dalam keadaan cemas itu, si pendayung bertanya kepada cendiakawan, "Tuan, tuan pandai berenang?".
"Er, er, saya tidak pandai berenang" kata cendiakawan
"Kalau begitu, tuan telah kehilangan seluruh kehidupan" kata si pendayung sampan.

Akhirnya cendiakawan itu memohon maaf kepada pak cik tua itu.

Pengajaran: Allah mencipta manusia dengan sebaik-baik penciptaan. Tiada manusia yang bodoh cuma mempunyai "kepandaian" yang berbeza. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ada yang petah berkata-kata, ada yang mahir mengira dan ada juga yang tangkas fizikalnya. Jadi, tidak ada manusia yang bodoh, cuma manusia berbeza kepandaian dan mereka seharusnya mengenalpasti dan menggilap kepandaian tersebut.

No comments:

Post a Comment