Tuesday, April 27, 2010

Gurukah Aku atau ….?




Gurukah Aku atau ….?
Penulis: Norbi Hussi
Penerbit: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Gaya penulisan yang bersahaja dan penuh informasi. Buku yang menarik dan amat sesuai untuk bakal guru, guru yang sedang berkhidmat dan sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang pendidikan. Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Bahagian pertama penulis memperihalkan pengalaman semasa belajar di sekolah rendah. Apa yang boleh disimpulkan, psikologi budak sekolah rendah suka diberi perhatian, kasih sayang pujian dan hadiah dari gurunya sebagai motivasi diri. Selain itu, teknik mengajar cara berulang-ulang menyebut fakta sambil menyanyi boleh mengukuhkan fakta atau dikenali dengan teknik hafalan. Sebagai guru pula haruslah mempamerkan sikap tegas, berdisiplin, dan peka kepada aduan pelajar. Bahagian kedua pula, penulis menceritakan pengalamannya di sekolah menengah. Menurut penulis, guru adalah contoh kepada pelajar. Guru yang sentiasa kemas dan berpakaian cantik menjadi tarikan kepada pelajar. Secara tidak langsung boleh mendidik pelajar agar berpakaian kemas bersih apabila ke sekolah. Selain itu, teknik P&P yang melibatkan pelajar memang menyeronokkan dan dapat mengelakkan kebosanan pelajar. Guru haruslah tegas dan memberi arahan dengan konsisten, selalu bertanya masalah pelajar, soal selidik pelajar sebelum menjatuhkan hukuman, tidak menjatuhkan air muka pelajar, tidak memberi gelaran buruk kepada pelajar, memahami perasaan pelajar dan memberi bimbingan kerjaya kepada pelajar.

Bahagian ketiga pula penulis mengambarkan pengalamannya sebagai seorang guru. Keikhlasan penulis sebagai seorang guru terselah apabila sanggup mengadakan kelas tambahan kepada pelajar yang memerlukan tanpa sedikit bayaran dan mengambil berat masalah pelajar, menasihati palajar, tidak mudah merajuk dan guru haruslah menguasai ilmunya sebelum mengajar pelajar. Penulis juga percaya bahawa kalau kita sayangkan pelajar, pelajar juga akan sayangkan kita. Kesannya dia akan suka juga dengan pelajaran yang kita ajar. Ini memudahkan kita mengajar mereka. Selain itu, guru juga haruslah menguasai ilmu pedagogi seperti menggunakan bahasa yang mudah, sesuai dengan aras pencapaian pelajar. Bahagian keempat pula penulis memaparkan kisah hubung kait guru dengan pentadbiran sekolah. Guru hendaklah tidak serius dalam tugas boleh menyebabkan minat pelajar belajar subjek tersebut tumpul. Guru sekarang cepat ‘lunyai’ mudah rasa letih, cepat penat dan tidak tahan dengan tugas yang banyak. Guru yang komited dengan tugasnya, pasti tahu dan bijak merancang bagi memastikan pelajar terus mendapat ilmu walaupun beliau tidak ada disekolah.
Bahagian kelima pula merupakan seedikit coretan luahan hati orang ramai terhadap guru mereka.

Kesimpulannya, buku ini amat memuaskan hati saya. Gaya bahasa yang mudah di fahami dan terasa saya pula sebagai pelakonnya “cikgu mira”. Banyak ilmu dan pengalaman penulis, boleh diaplikasikan dalam pengajaran. Apapun kena persiapkan diri menjadi guru supaya pelajar akan menghormati kita sebagai seorang guru dan pelajar tidak mudah pijak kepala kita pula. Banyak lagi cerita yang menarik, jadi boleh dapatkan buku ini di pasaran….Buku ini dipinjam di Perpustakaan UPSI…

UPSI, TANJUNG MALIM (DISEMBER, 2009)

No comments:

Post a Comment