16 Mei 2012
Permulaan pagi, hujan turun dengan renyai dan sekali-sekala bunyi guruh berdentum. Alhamdulillah, hujan renyai-renyai hanya sementara sahaja. Menjelang 7.30 pagi, matahari keluar menyinari hari yang sangat indah ini.
Guru-guru sakan bergaya mengikut tema warna pakaian. Majoriti guru perempuan memakai pakaian berwarna 'pink' dan guru lelaki pula segak dengan pakaian berwarna biru. Majlis perarakan guru bermula selepas mengambil kehadiran pelajar. Guru-guru diarak dari dataran Kejat ke kawasan kantin. Inilah masalah sekolah tiada dewan, terpaksalah menggunakan kantin sebagai dewan terbuka. Kesian melihat pelajar-pelajar terpaksa berdiri kerana tidak cukup tempat duduk..
Seperti biasa Majlis bermula dengan ucapan, ikrar hari guru dan diikuti dengan nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Kemuncak sambutan Hari Guru ialah persembahan pelajar dan Guru-guru.
Hatiku tenang dan damai pada permulaan persembahan pelajar. Nyanyian selawat dan nasyid begitu menanangkan. Namun, majlis mula gamat apabila pelajar perempuan memulakan persembahan Tarian Kipas, tarian klasik India, tarian K-Pop dan tarian ala-ala Hindustan.
Aku begitu tersentuh melihat persembahan Cikgu Ashiq yang begitu mantap dan beremosi membacakan karyanya, "Warkah buat Guru". Persembahan guru diteruskan dengan nyayian oleh guru-guru lelaki dan perempuan. Sungguh mantap persembahan mereka. Aku melihat pelajar begitu 'enjoy' dengan sambutan Hari Guru tahun ini...
Cuma bila difikirkan balik, masyarakat kita ini terlalu menyukai hiburan. Kalau dilihat persembahan pelajar semuanya tarian dan guru pula nyanyian. Pelajar pula memberi tumpuan sepenuh perhatian. Tapi kalau dalam kelas, cikgu baru hendak mengajar, pelajar mulalah bising dan langsung tidak menunjukkan minat dengan pengajaran. Sungguh sedih dengan situasi sekarang... Ilmu dikesampingkan, hiburan diutamakan...
Sambutan hari guru diteruskan dengan permainan seperti guru menyolek pelajar dengan menutup mata, membuat gubahan bunga, membuat pakaian dari surat khabar dan membawa bola ping pong dengan sudu. Aku hanya menyertai acara 'bola ping pong' tapi aku sedih melihat gelagat guru lelaki yang 'mengelat' semasa bermain. Permainan kerusi berirama pun sama. Memanglah seronok melihat aksi mereka, tapi bila difikirkan balik, guru sebagai model kepada pelajar tidak seharusnya menunjukkan tingkah laku sedemikian dihadapan pelajar...
Kemuncak Majlis sambutan Hari Guru ialah jamuan. Semasa jamuan inilah, kami guru-guru mengadakan sesi pertukaran hadiah sesama guru dan cabutan nama bertuah. Alhamdulillah, namaku begitu bertuah kerana menjadi orang kedua menerima hamper...
Terima kasih, Pn. Norazzah atas pemberian "Jam Dinding" yang begitu istimewa...
Apapun, sambutan Hari Guru tahun ini begitu MERIAH....
Untuk para guru, teruskan usaha mendidik pelajar tanpa jemu dan bersabar dengan kerenah mereka supaya kita boleh melahirkan modal insan yang mulia.... Untuk guru-guruku, terima kasih mendidiku menjadi insan yang berguna. Jasa kalian, tidak boleh ku balas, cuma ingatan tulus iklhas dapat ku ucapkan.. Selamat Menyambut Hari Guru
No comments:
Post a Comment