Monday, August 15, 2011

Keajaiban Ramadan



Tajuk : Keajaiban Ramadan

Penulis : Jaffar Siddiq

Tebal : 276 muka surat

Penerbit : PTS Millennia Sdn. Bhd.

Harga : RM 19.90

Tahun : Cetakan Pertama, 2010


Sudah 15 hari umat Islam Malaysia berpuasa. Sempena bulan puasa ini, aku berjaya menghabiskan sebuah buku yang menarik berkaitan keajaiban Ramadan. Mesti anda ingin mengetahui:

a) Apakah makna dan sejarah Ramadan?

b) Apakah peristiwa yang terjadi kepada Nabi Muhammad dalam bulan Ramadan?

c) Apakah hikmah yang terkandung dalam kewajiban Ramadan?

d) Apakah keajaiban yang terkandung dalam Ramadan?

Sekiranya, anda ingin mengetahui jawapan di sebalik persoalan diatas, anda harus membaca buku Keajaiban Ramadan karangan Jaffar Siddiq untuk menambah pengetahuan anda.

Semoga ada manfaatnya.


Sunday, August 14, 2011

Laluan alternatif sang gajah


Gajah di negara ini bakal pupus jika tiada tindakan konservasi dan perlindungan dilakukan segera.


KEJADIAN hidupan liar mati akibat dilanggar kenderaan bukan satu perkara baru. Kematian hidupan liar yang berharga bagi negara merupakan satu kerugian, tambahan jika ia daripada spesies yang terancam dan di ambang kepupusan.

Terbaru, kejadian seekor gajah betina liar yang sedang melintas di KM32, Lebuh raya Timur Barat, berdekatan Tasik Banding, Grik mati akibat dirempuh oleh lori kontena.

Dalam kejadian jam satu pagi itu, gajah berkenaan dikatakan berjalan berkumpulan melintasi lebuh raya tersebut untuk ke hutan berdekatan.

Pemandu lori berkenaan berusaha membiarkan kumpulan gajah tersebut melepasi jalan, namun tidak menyedari kehadiran gajah terakhir lalu melanggarnya.

Kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku kerana kawanan gajah sering dilihat berada di kawasan tersebut untuk melintasi jalan.

Hal demikian kerana kawasan tersebut merupakan habitat serta laluan kawanan gajah tersebut sejak dahulu lagi, malah sebelum lebuh raya tersebut dibangunkan.

Sikap serta sifat gajah yang suka merayau serta memiliki kawasan keliaran (territory) yang luas juga merupakan faktor ia melintasi lebuh raya.

Malah, gajah dikatakan akan mengingati dan melalui laluan yang sama setiap tahun dan ia diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang baru.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abd. Rasid Samsudin, kejadian kemalangan melibatkan haiwan liar sering terjadi di kawasan lebuh raya berikutan ia dibina merentasi laluan haiwan tersebut.

"Kerajaan telah menyedari kepentingan menjaga khazanah negara ini, justeru Perhilitan telah memperkenalkan laluan alternatif bagi haiwan tersebut.

"Ia lebih dikenali sebagai viaduct atau laluan khas untuk haiwan ini melintasi lebuh raya secara selamat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan kerja Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Tan Sri Joseph Kurup ke lokasi Elephant Crossing serta tinjauan cadangan lokasi pembinaan viaduct di Belum, Perak baru-baru ini.

Pembinaan viaduct atau laluan hidupan liar tersebut telah dipersetujui kerajaan di bawah projek Central Forest Spine (CFS) iaitu Pelan Induk Koridor Ekologi dan Perlaksanaannya di Semenanjung Malaysia.

Jelas Timbalan Menteri NRE, Tan Sri Joseph Kurup, Pelan Induk Koridor Ekologi CFS telah disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) pada tahun 2010.

"Ia merupakan pelan jangka panjang dalam memelihara, memulihara dan meningkatkan perhubungan di antara kelompok-kelompok hutan kecil dan kompleks-kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia," ujarnya.

Pecahan kawasan hutan telah menyumbang kepada peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Ini adalah kerana laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain telah dihalang dengan projek pembangunan, termasuk jalan raya dan projek pertanian.

Ekoran daripada itu, hidupan liar seperti gajah terpaksa memasuki dan melintasi jalan raya dan kawasan pertanian untuk pergi ke kawasan hutan yang lain.

Pelan Induk ini merupakan dokumen rujukan bagi agensi pelaksana dan juga sebagai rangka dalam mengurus kawasan CFS.

Ia meliputi Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang telah diluluskan oleh kerajaan bagi menentukan arah tuju kemajuan fizikal dan pemeliharaan kawasan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

RFN telah mengenal pasti fragmentasi (pecahan) kawasan hutan sebagai ancaman kepada pemeliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.

Salah satu dasar yang ditekankan dalam RFN adalah Dasar RFN19 yang menyatakan keperluan mewujudkan kawasan CFS bagi membentuk tulang belakang jaringan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Ia menerusi penyambungan empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia iaitu Banjaran Titiwangsa, Banjaran Bintang dan Banjaran Nakawan.

Seterusnya Banjaran Timur yang meliputi Tanah Lembap Pahang Tenggara, Tasik Chini, Tasik Bera, Taman Negara Endau Rompin dan Rezab Hidupan Liar Kluang.

Di dalam projek RFN, dianggarkan seluas 5.3 juta hektar atau 40 peratus keluasan Semenanjung Malaysia akan dijadikan sebagai kawasan CFS.

Daripada jumlah tersebut, 80 peratus merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Manakala NRE melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Perhilitan dengan kerjasama Kerajaan Negeri berkaitan sedang melaksanakan projek perintis CFS serta Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan.

Projek-projek ini mula dilaksanakan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan akan diteruskan di dalam RMK10.

Majlis Perhutanan Negara (MPN) ke-21 pada 18 September 2007 telah bersetuju dengan kepentingan mewujudkan CFS.

Malah MPN menyarankan agar pelaksanaan CFS dilakukan dengan menggunakan pendekatan pembangunan seimbang selaras dengan Prinsip Pembangunan Mampan.

Melalui Pelan Induk Koridor Ekologi 2010 yang disiapkan oleh JPBD, sebanyak 37 koridor ekologi telah dikenal pasti.

Antaranya projek Koridor Utama Taman Negara dan Hutan Simpan Tembat yang dilaksanakan sebagai projek perintis oleh Perhilitan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu serta Jabatan Kerja Raya.

Justeru, pembinaan viaduct terkandung di dalam salah satu projek tersebut dan ia sedang dilaksanakan secara berperingkat dari masa ke semasa.

Apa yang jelas, pendekatan kerajaan dalam memastikan khazanah negara terus terpelihara ini harus diberi pujian dan kerjasama daripada semua pihak.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Julai 2011

Kepentingan laluan viaduct hidupan liar

Viaduct atau laluan hidupan liar dilihat jalan penyelesaian terbaik buat masa ini bagi membendung kejadian haiwan liar menjadi korban dilanggar oleh pengguna lebuh raya.

Projek yang menelan belanja yang agak besar itu sebahagiannya telah pun dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Sebagai contoh viaduct telah dibina di kawasan Koridor Utama Taman Negara dan Hutan Simpan Tembat, Terengganu.

Sejak tahun 2006 hingga Julai 2010 sebanyak 21 ekor tapir telah mati dilanggar oleh pelbagai jenis kenderaan di jalan-jalan raya utama di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, sebanyak 323 ekor hidupan liar yang merangkumi 190 mamalia, 116 reptilia dan 17 burung telah menjadi mangsa dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh tersebut.

Justeru lokasi hidupan liar melintasi jalan akan dikenal pasti sebelum viaduct tersebut dibina bagi memastikan projek tersebut mencapai objektifnya.

Malah, menurut Pengarah Bahagian Eko Pelancongan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Dr. Sivananthan Elagupillay, pihaknya sedang melakukan kajian terperinci sebelum projek pembinaan viaduct dimulakan.

"Kita akan mengenal pasti laluan atau denai yang sering digunakan oleh gajah atau pun haiwan lain untuk melintasi lebuh raya.

"Malah kita juga akan melakukan kajian untuk menarik perhatian hidupan liar ini melalui kawasan tersebut seperti menanam pokok serta tumbuhan yang dapat menarik perhatian mereka," ujarnya.

Seterusnya viaduct akan dibina di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai denai haiwan tersebut agar haiwan liar dapat melintasi lebuh raya tanpa dilanggar oleh kenderaan.

Konsepnya sama seperti penggunaan jejantas untuk pejalan kaki namun sedikit berbeza kerana haiwan liar akan menggunakan laluan di bawah jambatan lebuh raya yang dibina.

Ini bermakna, pengguna lebuh raya akan melalui jalan raya di atas manakala haiwan liar akan melalu denai yang telah dikenal pasti di bahagian bawah lebuh raya tersebut.

Terdapat dua projek perintis Central Forest Spine (CPS) yang telah dilaksanakan di bawah Kajian Separuh Penggal RMK9 iaitu pertama di Daerah Hutan Temerloh atau Bera, Pahang.

Kedua di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu, Koridor Utama Taman Negara dan Hutan Simpan Tembat untuk mewujudkan koridor ekologi khususnya bagi gajah di lebuh raya Gua Musang sehingga ke Kuala Berang.

Selain itu, CFS turut melibatkan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan dan ia telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Biodiversiti dan Bioteknologi Negara ke lima.

Matlamat utamanya ialah untuk meningkatkan populasi harimau belang sehingga 1,000 ekor di dalam hutan Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2020.

Seterusnya kawasan koridor Hutan Simpan Tanum hingga ke Hutan Simpan Sungai Yu, Pahang, Hutan Simpan Temenggor hingga Hutan Simpan Royal Belum, Perak.

Serta Hutan Simpan Labis Timur dan Hutan Simpan Lenggor Tengah, Johor merupakan kawasan-kawasan koridor untuk harimau belang.

Pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan melalui agensinya iaitu Perhilitan dan Jabatan Perhutanan negara ini merupakan antara contoh kesungguhan kerajaan untuk memelihara khazanah negara yang tidak ternilai itu.

Pastinya, tanpa sokongan daripada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam khususnya, hasrat kerajaan itu tidak akan berjaya secara keseluruhannya.

Sumber: Utusan Malaysia, 25 Julai 2011


Saturday, August 13, 2011

Kembara Ilmu - KMPh

Kembara ilmu aku bermula di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh)

Dari kecil hingga sekolah menengah, aku tinggal dengan keluarga. Bukan aku tidak layak belajar di asrama, tetapi sebab aku jenis yang suka memerap di rumah dan suka suasana kampung yang mendamaikan.

Apabila diri menginjak umur 18 tahun, barulah kembara ilmuku bermula. Pertama kali, aku hidup sendirian bersama rakan-rakan di asrama. 'Homesick' la masa tu. Tetapi kembara ke KMPh itu tidaklah jauh sangat, hanya 15 minit je dari kampungku.

Gerbang masuk ke Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) di Gambang, Kuantan

Suasana kawasan dewan kuliah

Aku mengambil aliran Sains Hayat yang majoriti pelajar perempuan dan hanya beberapa kerat je pelajar lelaki. Biasanya pelajar lelaki ini skema sikitlah berbanding aliran Sains Fizikal @ Akaun. Biasalah bakal doktor kot. Walaupun belajar setahun, tetapi rasa panjang pula belajar di KMPh ini. Mana taknya 'stress' belajar sains dalam Bahasa Inggeris sebab masa sekolah dulu belajar dalam Bahasa Melayu. Memang memenatkan kerana mengambil masa untuk belajar dan faham ilmu yang disampaikan. Dah la, dari sekolah rendah sehingga SPM, Bahasa Inggeris asyik 'C' je.

Tempat favourite aku di KMPh ini ialah masjidnya yang bersebelahan dengan tasik. Selalu juga mengulangkaji bersama-sama rakan di dalam masjid (tingkat atas untuk perempuan) dan menunaikan solat fardu atau sunat seperti Tarawikh. Maklumlah asrama kediamanku berhampiran dengan masjid. Kadangkala kami beriadah di tasik dan berjoging di kompleks sukan.

Surau Al-Muttaqin, KMPh

Kalau bosan hujung minggu, kami keluar 'outing' ke Kuantan pergi shopping atau berjalan-jalan di Taman Esplanade melihat keindahan sungai Kuantan. Dan pasti kami berebut bas 'Rahmat Alam' yang satu-satunya pengangkutan utama ke Kuantan.

Pemandangan Sungai Kuantan di Taman Esplanade

Paling bestnya belajar Sains Hayat ini, kami dapat pergi Zoo Negara. Inilah pertama kali, aku dapat ke Zoo Negara di Kuala Lumpur. Kami membuat sedikit kajian berkaitan nama saintifik haiwan dan tumbuhan yang terdapat di zoo. Dan kenangan tidak mungkin aku lupa berkhemah di Gunung Senyum, Pahang. Pada masa itu, aktiviti memang padat dan menyeronokan. Selain eksplorasi gua, kami berkawad, membuat aktiviti flying fox, abseiling dan pelbagai aktiviti lasak.

Bergambar kenangan sebelum bertolak ke Zoo Negara

Bergambar di hadapan pokok Jejawi di Zoo Negara

Rumah Pahang di Gunung Senyum & Orang Utan di Zoo Negara

Rindunya dengan rakan-rakan di KMPh seperti Liza, Ja, Ila, Ira, Mira, Mar, Syikin, Liana, Mimi, Afifah dan geng-geng praktikum Sains Hayat 24/2008-2009. Kini, semuanya membawa haluan masing-masing. Ja dah kahwin. Liza pula berkerja di hospital dan rakan-rakan lain aku dah lost-contact. Semoga rakan-rakanku berjaya di dunia & akhirat....


Rakan-rakan seperjuangan praktikum 24 (Sains Hayat) di KMPh

Kisah Paderi dan Gembala Kambing

Kejadian berlaku di sebuah negara yang tidak dapat dipastikan namanya. Masyarakat dalam negara itu hidup dalam keadaan yang aman dan damai. Rata-rata penduduknya adalah yang menganut agama Islam.

Suatu hari datang seorang cendekiawan kristian, yang ingin menguji keagungan dan kebenaran Tuhan yang disembah. Cendekiawan itu berjumpa dengan raja negara tersebut dan meminta kebenaran untuk berdebat dengan penduduk-penduduk di negara itu.

Pertaruhan yang telah ditetapkan oleh cendekiawan itu adalah, jika dia dikalahkan, dia beserta seluruh ahli keluarganya akan memeluk Islam. Sebaliknya jika dia menang, raja hendaklah memberi dia kekayaan dan kebenaran menyebarkan agamanya di situ. Dan syarat terpenting perbahasan ialah menggunakan bahasa isyarat. Kemudian raja pun bertitah mengumumkan pertandingan tersebut kepada rakyat dan barangsiapa yang kalah, dia akan dikenakan hukuman yang berat.

Setelah hampir waktunya, muncullah seorang pengembala kambing Islam yang ingin membela agamanya. Dengan berat hati,raja membenarkan kerana tiada siapa lagi yang berani menyahut cabaran itu. Pada hari pertandingan, rakyat berkumpul di padang yang luas dan gembala kambing didudukkan bertentangan dengan cendekiawan kristian.

Bermulalah soalan, cendekiawan menunjukkan satu jari kepada hadirin. Gembala kambing pula menunjukkan dua jarinya pada hadirin. Dan jawapannya betul!

Cendekiawan menunjukkan dua jari pula dan gembala kambing menunjukkan lima jari, jawapannya juga betul.

Kemudian, cendekiawan menunjukkan lima jari, gembala kambing menunjukkan enam jari. Betul juga! Raja mula berfikir, hebat juga gembala kambing ini.

Cendekiawan yang tidak berpuas hati, membuat bulatan pada hadirin dengan tangannya, kemudian gembala kambing menunjukkan penumbuk tangannya. Betul lagi...

Lalu cendekiawan tersenyum puas hati. Cendekiawan mengeluarkan pedang dan halakan ke langit. Gembala kambing pula mengeluarkan pisau kontotnya, lalu dijunamkan ke bumi. Betul! Lalu cendekiawan menepuk tangan.

Cendekiawan kemudiannya menunjukkan seekor ayam ditangan dan gembala kambing menunjukkan telur ayam ditangan. Betul...

Maka tamatlah sesi perdebatan. Raja amat berpuas hati dengan kepandaian gembala kambing. Cendekiawan itu mengadap raja, untuk menunaikan janjinya. Raja bertanyakan soalan dan jawapan perdebatan antara cendekiawan dan gembala kambing. Cendekiawan pun mula bercerita...

"Sungguh hamba akui kebesaran Tuhan, sehingga rakyat tuanku dapat menjawab dengan baik sekali. Sebenarnya soalan hamba, tunjuk satu jari bermakna adakah kalimah syahadah cuma yang pertama sahaja? (Asyhaduallah ilaha illallah...) Jawapan yang diberikan gembala kambing, dua jari.Jawapannya betul kerana sambungannya, (wa asyhaduan namuhammadarrasullullah)"

"Hamba tunjukkan dua jari, bermakna adakah rukun islam ada dua? Gembala kambing memberi jawapan, lima. Betullah... Bila hamba tunjukkan lima jari,maksudnya adakah islam setakat itu sahaja? Jawapan yang diberikan enam jari, sebab rukun iman ada enam"

"Bulatan pula bermakna siapa yang jadikan bumi? Gembala kambing |menjawab penumbuk, betullah sebab Allah yang Maha Berkuasa. Bila hamba |mengeluarkan pedang dan menunjuk ke langit, gembala kambing mengeluarkan pisau kontotnya dan menjunamkan ke bumi. Betullah... kerana Allah yang jadikan langit dan bumi."

"Ayam tu sebenarnya soalan bonus... apakah asal usul kejadian ayam itu Jawapannya telur... betullah...Sesungguhnya hamba amat berbesar hati dan akan mendalami islam sepenuhnya, serta menyebarkannya"

Raja tersenyum gembira mendengar soalan dan jawapan tersebut.Kemudiannya gembala kambing dipanggil untuk mengadap Raja, maka diberikan ganjaran yang telah dijanjikan. Dan bertanyalah Raja akan rahsia gembala kambing tersebut, adakah soalan itu dah bocor? Gembala kambing pun bercerita...

"Hamba sungguh tak puas hati betul dengan orang Kristian yang sombong itu.Dia tunjuk satu jari, maknanya dia nak kambing hamba satu. Jadi hamba menjawab, dua pun hamba boleh bagi. Dia tunjuk dua maknanya dia nak lagi dua pulak! Nak empat la maksudnya. Dan hamba jawab lima pun boleh.Kemudian dia tunjuk lima, maknanya takkan lima jea...? Oklah hamba boleh bagi enam pada dia."

"Lepas tu dia tunjuk bulatan, maknanya dia nak semua kambing hamba.Hamba pun tunjuklah penumbuk. Pas tu dia keluarkan pedang, wah wah... dia ingat orang kaya je ada pedang. Hamba pun tunjuk pisau kontot hamba. Sekurang-kurangnya hamba ada juga. Kemudian dia tunjuk ayam pulak!Amboi... mentang-mentanglah dia kaya, selalu makan ayam... Hamba pun mampu... walaupun hanya telur ayam. Tapi patik tetap bersyukur, kerana dia dah sedar dan nak peluk islam, sekurang-kurangnya dia takkan sombong dan bongkak lagi..."

Tergelak besar Raja mendengar penjelasan gembala kambing tersebut. Sungguh besar keagungan Tuhan... walau dengan cara apa sekalipun islam dicabar dan dihina, Islam akan tetap terbela..

Thursday, August 11, 2011

Program Asas Perkhemahan UBU 2011 (Siri 2)

Peserta dan guru-guru yang terlibat dalam perkhemahan UBU 2011

Sabtu, 16 Julai 2011

Pada pukul 5.30 pagi, para peserta bangun untuk menyiapkan diri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh serta aktiviti pendidikan moral untuk peserta bukan Islam. Terdapat peserta yang cuba melengahkan masa dan peserta ini telah didenda kerana tidak mematuhi disiplin perkhemahan.

Pada jam 7.00 pagi, peserta telah melakukan senaman pagi di bawah seliaan En. Sofian. Selepas aktiviti memanaskan badan, para peserta berlari setempat sambil menyanyi lagu yang didendangkan oleh En. Sofian. Sungguh menarik dan lucu lagu yang dibawanya tetapi para peserta sungguh gembira dengan senaman pagi itu.

Selepas sarapan pagi, para peserta berhimpun dan mendengar taklimat daripada Kem Komanden. Pada pukul 8.30 pagi peserta telah mengikuti aktiviti membina Gajet dibawah seliaan En. Hosni serta aktiviti pertolongan cemas yang dikendalikan oleh Pn.Chai.

Pada pukul 12.00 tengahari, telah diadakan pertandingan memasak. Para peserta dikehendaki memasak Ikan Masak Asam Pedas, sayur petola dan telur dadar. Terkial-kial peserta ini memasak terutama memasak asam pedas kerana kebanyakan mereka tidak tahu memasak dan menyiang ikan. Selain itu, cabaran lain ialah menghidup api dan mengawal api kayu daripada terpadam. Rasa macam hendak menangis apabila asap-asap itu terkena pada mata. Tetapi demi hendak membantu para peserta, kami urusetia rela berasap dan menolong mereka memasak. Kesian rasanya melihat mereka terpaksa masak sendiri, tetapi inilah hakikat perkhemahan untuk melatih pelajar lebih berdikari.


Selain itu, para peserta juga telah melakukan pertandingan memasak tanpa alatan. En. Sukor telah menunjukkan demonstrasi memasak nasi dalam kelapa serta memasak tepung dengan melilit kayu. Salah satu tujuan perkhemahan ialah membentuk sikap kerjasama dikalangan peserta. Namun, wujud para peserta yang mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan ahli kumpulan dengan membiarkannya memasak sendirian tanpa bantuan. Mujurlah ada urusetia yang sudi membantu.

Pada pukul 3.00 petang, aktiviti Explorace menggunakan kompas telah diadakan dibawah selian Cik Zuraini. Kelihatan para peserta sangat teruja menggunakan kompas sambil mencari kertas tersembunyi di setiap perhentian. Permainan Rakyat seperti menarik upih pinang, congkak dan berjalan menggunakan tempurung amat menarik sekali. Aktiviti ini dapat mendedahkan pelajar kepada permainan tradisi yang terdapat di Malaysia.


Selepas peserta siap membersihkan diri, solat berjemaah dan menikmati makan malam yang dimasak sendiri, aktiviti diteruskan dengan kemuncak perkhemahan iaitu Malam Kebudayaan. Setiap UBU dikehendaki menyanyi lagu dan membuat persembahan lakonan. Nampaknya, para peserta kekurangan idea dalam setiap persembahan mereka menjadikan aktiviti Malam Kebudayaan kurang menarik.

Walaubagaimanapun, Malam Kebudayaan itu tetap meriah dengan persembahan nyanyian berkumpulan oleh guru-guru lelaki seperti En. Sukor, En. Anas, En. Sofian, En. Muslim dan En. Kamarul. Selain itu, persembahan nyanyian lagu-lagu pengakap yang dikendalikan En. Gan sungguh menarik dan mengimbau kenangan perkhemahan di zaman sekolah. Paling menarik sekali ialah persembahan En. Sukor dan En. Zaki yang membuat demonstrasi ‘memotong kaki’ sehingga kami semua telah diperdaya dengan sketsa mantap mereka. Kejutan pada malam itu, kami semua telah menyambut hari lahir GPK Kokurikulum, En. Tahir secara spontan.


Pada jam 12.00 tengah malam, peserta mendengar taklimat untuk aktiviti burung hantu. Mereka dikehendaki menutup mata dengan kain dan tidur sebentar. Sementara pelajar merehatkan diri, kami para urusetia berjaga malam dan dibawa oleh En. Sukor untuk melihat laluan pelajar untuk aktiviti burung hantu ini di sekeliling sekolah. Terasa berdebar-debar kerana kami akan ditinggalkan di setiap perhentian untuk memantau keselamatan pelajar. Sebagai keselamatan, pelajar diberi kata laluan tali manakala guru kata laluan kasut.

Pukul 1.00 pagi, peserta dikejutkan daripada tidur. Peserta dilepaskan seorang demi seorang dengan berjalan memegang tali. Tatkala mata ditutup, berjalan keseorang di tengah malam dan kadangkala dikejutkan dengan bunyi yang mengerunkan seperti bunyi kerusi terjatuh, suara-suara anjing menyalak dan pintu terhempas ditiup angin, betul-betul menguji ketahanan mental peserta. Ada yang peserta yang berani, ada peserta yang menyerah diri kepada tuhan (membaca ayat-ayat al-Quran, berzikir dan bertakbir – untunglah pelajar ini kerana malam itu adalah Malam Nifsu Syaaban ) dan ada peserta yang ketakutan sehingga menjerit-jerit memanggil ‘tali’ (merujuk guru) setiap kali cubaan mengganggu mereka. Nasib baiklah apabila hampir sampai di perhentian akhir, peserta ini dinasihatkan supaya bergantung kepada Allah yang Maha Esa dan bukannya tali yang dipegang mereka atau guru.

Setiap peserta yang berjaya menghabiskan laluan burung hantu ini, akan dikumpulkan satu kawasan lapang. Mereka perlu menanti sehingga semua peserta berjaya melaksanakan aktiviti ini. Pelbagai ragam peserta dapat dilihat dibawah rembulan purnama. Ada peserta yang membaca ayat-ayat Kursi, berzikir, berdoa, bertafakur dan ada yang tertidur sambil berdengkur kepenatan. Pada pukul 3.30 pagi, para peserta dikejutkan dan dibenarkan membuka ikatan kain di mata. Mereka dikumpulkan satu kawasan untuk mendengar taklimat dan penerangan oleh En. Sukor disebalik aktiviti burung hantu. Tujuan aktiviti ini ialah untuk pelajar mensyukuri nikmat penglihatan kurniaan Tuhan serta menguji ketahanan mental pelajar. Pada pukul 4.00 pagi, pelajar dibenarkan pulang ke khemah untuk membersihkan diri dan tidur.

Markah keseluruhan untuk setiap pertandingan UBU 2011


Ahad, 17 Julai 2011

Pada jam 6.00 pagi, para peserta telah dikejutkan untuk bersiap diri untuk bersolat Subuh dan pendidikan moral. Pada pagi itu, senaman pagi diselia oleh En. Zaki. Selepas sarapan pagi, para peserta mendengar taklimat dan membuka khemah dan membersihkan kawasan perkhemahan. Pada pukul 10.30 pagi, telah diadakan Majlis Penutupan Program Asas Perkhemahan UBU 2011 oleh pengetua. Juara keseluruhan Unit Beruniform ialah Kadet Remaja Sekolah, diikuti Persatuan Puteri Islam dan Kadet Polis. Peserta lelaki terbaik ialah Khairil Nabil, 2 RK 1 (Kadet Remaja Sekolah) dan peserta perempuan ialah Siti Adawiyah, 2 E (Persatuan Pandu Puteri). Pukul 12.00 tengahari, para peserta menjamu selera dengan nasi ayam yang ditempah khas untuk mereka setelah beberapa hari terpaksa memasak sendiri. Peserta juga diedarkan soal selidik untuk mengetahui penambaikan program untuk masa akan datang. Majlis bersurai setelah bergambar kenangan dengan YDP PIGB dan pentadbir sekolah.

Secara keseluruhan program ini, dapat mendedahkan pelajar kepada asas perkhemahan. Walaubagaimanapun, aspek pengurusan dan disiplin peserta perlu dimantapkan lagi supaya program ini dapat berjalan dengan lebih lancar. Setiap yang bermula, pasti berakhir. Kenangan yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh peserta ialah memasak sendiri dengan kayu api serta aktiviti burung hantu. Kutiplah pelbagai pengalaman berguna di sekolah untuk dijadikan bekal untuk masa hadapan dan kenangan terindah di zaman persekolahan.

Peserta terbaik perkhemahan bergambar kenangan dengan pengetua

Program Asas Perkhemahan UBU 2011 (Siri 1)


Pada 15 Julai hingga 17 Mei 2011, pihak sekolah telah menganjurkan program asas perkhemahan unit beruniform. Seramai 70 orang pelajar terdiri daripada 10 pelajar untuk setiap unit beruniform seperi pergerakan pengakap, Puteri Islam, Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet Bomba dan PBSM. Perkhemahan asas ini telah diadakan di perkarangan padang sekolah. Tujuan perkhemahan ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar asas perkhemahan kerana pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajang tingkatan 1 dan tingkatan 2.

Jumaat, 15 Julai 2011

Pada pukul 3.00 petang, para peserta telah mendaftar diri dengan Cik Fahizah. Pada pukul 3.30 petang para peserta berkumpul untuk mendengar taklimat daripada Kem komanden iaitu En. Kamarul mengenai peraturan dan disiplin semasa program perkhemahan.. Seterusnya, para peserta dikehendaki untuk memasang khemah. Cuaca mendung mengiringi aktiviti perkhemahan ini. Hujan turun dengan renyai-renyai tetapi tidak mematahkan semangat para peserta untuk meneruskan aktiviti seterusnya iaitu aktiviti Ikatan dan Simpulan dibawah kendalian En. Razak. Pada pukul 6.00 petang, peserta perlu memasak masakan malam iaitu ayam dan sayuran, manakala nasi telah dimasak oleh guru perempuan. Peserta perlu menghidupkan api sendiri dan memasak sendiri dengan dibantu guru.

Selepas Solat Magrib dan Isyak, para peserta menjamu selera dengan makanan yang telah mereka masak sendiri. Dalam kemeriahan menikmati makanan, tiba-tiba lampu terpadam. Mujurlah ada peserta yang membawa lampu suluh, maka dapatlah mereka menerangi makan malam mereka.

Pada pukul 9.00 malam aktiviti LDK dijalankan oleh Tn. Haji Misran. Pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan untuk membentuk sikap kepimpinan peserta. Antaranya Ice breaking, membuat logo dan motto kumpulan dan pembentangan berkumpulan.

Selepas aktiviti LDK, peserta minum malam dan membersihkan diri sebelum dibenarkan tidur pada pukul 11.00 malam. Guru-guru yang ditugaskan kawalan malam ialah Cik Ooi, Cik Wan Zulaklima, En. Arshad dan En. Muslim. Pada malam pertama, kelihatan pelajar masih teruja dengan perkhemahan kerana masih ada pelajar yang tidak tidur dan bersembang dengan rakan-rakan dalam khemah.

Pada malam itu, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa seolah berada di tepian pantai. Sejuk dan mendamaikan. Aku, Haja, Faizah, Ooi dan rakan-rakan guru lain menikmati keindahan malam itu. Kami bercerita dan diselang seli dengan makan sambil memerhati khemah pelajar. Malam makin larut. Kadangkala aku tersengut menahan mengantuk. Akhirnya, pukul 3.00 pagi aku dan rakan-rakan menyerah kalah. Kami tidak dapat menahan mengantuk dan merehatkan diri di Kabin Kelas 1 RK 1 (Kelas aku) kerana pada waktu pagi banyak kerja menanti untuk kami (urusetia)

Kedengaran siren berbunyi pada pukul 3.30 pagi. Kem Komanden telah mengejutkan peserta perkhemahan untuk mendengar taklimat, berkawad dan menyanyi lagu patriotik. Selepas itu, peserta kembali ke khemah untuk merehatkan diri.