Thursday, August 11, 2011

Program Asas Perkhemahan UBU 2011 (Siri 2)

Peserta dan guru-guru yang terlibat dalam perkhemahan UBU 2011

Sabtu, 16 Julai 2011

Pada pukul 5.30 pagi, para peserta bangun untuk menyiapkan diri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh serta aktiviti pendidikan moral untuk peserta bukan Islam. Terdapat peserta yang cuba melengahkan masa dan peserta ini telah didenda kerana tidak mematuhi disiplin perkhemahan.

Pada jam 7.00 pagi, peserta telah melakukan senaman pagi di bawah seliaan En. Sofian. Selepas aktiviti memanaskan badan, para peserta berlari setempat sambil menyanyi lagu yang didendangkan oleh En. Sofian. Sungguh menarik dan lucu lagu yang dibawanya tetapi para peserta sungguh gembira dengan senaman pagi itu.

Selepas sarapan pagi, para peserta berhimpun dan mendengar taklimat daripada Kem Komanden. Pada pukul 8.30 pagi peserta telah mengikuti aktiviti membina Gajet dibawah seliaan En. Hosni serta aktiviti pertolongan cemas yang dikendalikan oleh Pn.Chai.

Pada pukul 12.00 tengahari, telah diadakan pertandingan memasak. Para peserta dikehendaki memasak Ikan Masak Asam Pedas, sayur petola dan telur dadar. Terkial-kial peserta ini memasak terutama memasak asam pedas kerana kebanyakan mereka tidak tahu memasak dan menyiang ikan. Selain itu, cabaran lain ialah menghidup api dan mengawal api kayu daripada terpadam. Rasa macam hendak menangis apabila asap-asap itu terkena pada mata. Tetapi demi hendak membantu para peserta, kami urusetia rela berasap dan menolong mereka memasak. Kesian rasanya melihat mereka terpaksa masak sendiri, tetapi inilah hakikat perkhemahan untuk melatih pelajar lebih berdikari.


Selain itu, para peserta juga telah melakukan pertandingan memasak tanpa alatan. En. Sukor telah menunjukkan demonstrasi memasak nasi dalam kelapa serta memasak tepung dengan melilit kayu. Salah satu tujuan perkhemahan ialah membentuk sikap kerjasama dikalangan peserta. Namun, wujud para peserta yang mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan ahli kumpulan dengan membiarkannya memasak sendirian tanpa bantuan. Mujurlah ada urusetia yang sudi membantu.

Pada pukul 3.00 petang, aktiviti Explorace menggunakan kompas telah diadakan dibawah selian Cik Zuraini. Kelihatan para peserta sangat teruja menggunakan kompas sambil mencari kertas tersembunyi di setiap perhentian. Permainan Rakyat seperti menarik upih pinang, congkak dan berjalan menggunakan tempurung amat menarik sekali. Aktiviti ini dapat mendedahkan pelajar kepada permainan tradisi yang terdapat di Malaysia.


Selepas peserta siap membersihkan diri, solat berjemaah dan menikmati makan malam yang dimasak sendiri, aktiviti diteruskan dengan kemuncak perkhemahan iaitu Malam Kebudayaan. Setiap UBU dikehendaki menyanyi lagu dan membuat persembahan lakonan. Nampaknya, para peserta kekurangan idea dalam setiap persembahan mereka menjadikan aktiviti Malam Kebudayaan kurang menarik.

Walaubagaimanapun, Malam Kebudayaan itu tetap meriah dengan persembahan nyanyian berkumpulan oleh guru-guru lelaki seperti En. Sukor, En. Anas, En. Sofian, En. Muslim dan En. Kamarul. Selain itu, persembahan nyanyian lagu-lagu pengakap yang dikendalikan En. Gan sungguh menarik dan mengimbau kenangan perkhemahan di zaman sekolah. Paling menarik sekali ialah persembahan En. Sukor dan En. Zaki yang membuat demonstrasi ‘memotong kaki’ sehingga kami semua telah diperdaya dengan sketsa mantap mereka. Kejutan pada malam itu, kami semua telah menyambut hari lahir GPK Kokurikulum, En. Tahir secara spontan.


Pada jam 12.00 tengah malam, peserta mendengar taklimat untuk aktiviti burung hantu. Mereka dikehendaki menutup mata dengan kain dan tidur sebentar. Sementara pelajar merehatkan diri, kami para urusetia berjaga malam dan dibawa oleh En. Sukor untuk melihat laluan pelajar untuk aktiviti burung hantu ini di sekeliling sekolah. Terasa berdebar-debar kerana kami akan ditinggalkan di setiap perhentian untuk memantau keselamatan pelajar. Sebagai keselamatan, pelajar diberi kata laluan tali manakala guru kata laluan kasut.

Pukul 1.00 pagi, peserta dikejutkan daripada tidur. Peserta dilepaskan seorang demi seorang dengan berjalan memegang tali. Tatkala mata ditutup, berjalan keseorang di tengah malam dan kadangkala dikejutkan dengan bunyi yang mengerunkan seperti bunyi kerusi terjatuh, suara-suara anjing menyalak dan pintu terhempas ditiup angin, betul-betul menguji ketahanan mental peserta. Ada yang peserta yang berani, ada peserta yang menyerah diri kepada tuhan (membaca ayat-ayat al-Quran, berzikir dan bertakbir – untunglah pelajar ini kerana malam itu adalah Malam Nifsu Syaaban ) dan ada peserta yang ketakutan sehingga menjerit-jerit memanggil ‘tali’ (merujuk guru) setiap kali cubaan mengganggu mereka. Nasib baiklah apabila hampir sampai di perhentian akhir, peserta ini dinasihatkan supaya bergantung kepada Allah yang Maha Esa dan bukannya tali yang dipegang mereka atau guru.

Setiap peserta yang berjaya menghabiskan laluan burung hantu ini, akan dikumpulkan satu kawasan lapang. Mereka perlu menanti sehingga semua peserta berjaya melaksanakan aktiviti ini. Pelbagai ragam peserta dapat dilihat dibawah rembulan purnama. Ada peserta yang membaca ayat-ayat Kursi, berzikir, berdoa, bertafakur dan ada yang tertidur sambil berdengkur kepenatan. Pada pukul 3.30 pagi, para peserta dikejutkan dan dibenarkan membuka ikatan kain di mata. Mereka dikumpulkan satu kawasan untuk mendengar taklimat dan penerangan oleh En. Sukor disebalik aktiviti burung hantu. Tujuan aktiviti ini ialah untuk pelajar mensyukuri nikmat penglihatan kurniaan Tuhan serta menguji ketahanan mental pelajar. Pada pukul 4.00 pagi, pelajar dibenarkan pulang ke khemah untuk membersihkan diri dan tidur.

Markah keseluruhan untuk setiap pertandingan UBU 2011


Ahad, 17 Julai 2011

Pada jam 6.00 pagi, para peserta telah dikejutkan untuk bersiap diri untuk bersolat Subuh dan pendidikan moral. Pada pagi itu, senaman pagi diselia oleh En. Zaki. Selepas sarapan pagi, para peserta mendengar taklimat dan membuka khemah dan membersihkan kawasan perkhemahan. Pada pukul 10.30 pagi, telah diadakan Majlis Penutupan Program Asas Perkhemahan UBU 2011 oleh pengetua. Juara keseluruhan Unit Beruniform ialah Kadet Remaja Sekolah, diikuti Persatuan Puteri Islam dan Kadet Polis. Peserta lelaki terbaik ialah Khairil Nabil, 2 RK 1 (Kadet Remaja Sekolah) dan peserta perempuan ialah Siti Adawiyah, 2 E (Persatuan Pandu Puteri). Pukul 12.00 tengahari, para peserta menjamu selera dengan nasi ayam yang ditempah khas untuk mereka setelah beberapa hari terpaksa memasak sendiri. Peserta juga diedarkan soal selidik untuk mengetahui penambaikan program untuk masa akan datang. Majlis bersurai setelah bergambar kenangan dengan YDP PIGB dan pentadbir sekolah.

Secara keseluruhan program ini, dapat mendedahkan pelajar kepada asas perkhemahan. Walaubagaimanapun, aspek pengurusan dan disiplin peserta perlu dimantapkan lagi supaya program ini dapat berjalan dengan lebih lancar. Setiap yang bermula, pasti berakhir. Kenangan yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh peserta ialah memasak sendiri dengan kayu api serta aktiviti burung hantu. Kutiplah pelbagai pengalaman berguna di sekolah untuk dijadikan bekal untuk masa hadapan dan kenangan terindah di zaman persekolahan.

Peserta terbaik perkhemahan bergambar kenangan dengan pengetua

Program Asas Perkhemahan UBU 2011 (Siri 1)


Pada 15 Julai hingga 17 Mei 2011, pihak sekolah telah menganjurkan program asas perkhemahan unit beruniform. Seramai 70 orang pelajar terdiri daripada 10 pelajar untuk setiap unit beruniform seperi pergerakan pengakap, Puteri Islam, Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet Bomba dan PBSM. Perkhemahan asas ini telah diadakan di perkarangan padang sekolah. Tujuan perkhemahan ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar asas perkhemahan kerana pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajang tingkatan 1 dan tingkatan 2.

Jumaat, 15 Julai 2011

Pada pukul 3.00 petang, para peserta telah mendaftar diri dengan Cik Fahizah. Pada pukul 3.30 petang para peserta berkumpul untuk mendengar taklimat daripada Kem komanden iaitu En. Kamarul mengenai peraturan dan disiplin semasa program perkhemahan.. Seterusnya, para peserta dikehendaki untuk memasang khemah. Cuaca mendung mengiringi aktiviti perkhemahan ini. Hujan turun dengan renyai-renyai tetapi tidak mematahkan semangat para peserta untuk meneruskan aktiviti seterusnya iaitu aktiviti Ikatan dan Simpulan dibawah kendalian En. Razak. Pada pukul 6.00 petang, peserta perlu memasak masakan malam iaitu ayam dan sayuran, manakala nasi telah dimasak oleh guru perempuan. Peserta perlu menghidupkan api sendiri dan memasak sendiri dengan dibantu guru.

Selepas Solat Magrib dan Isyak, para peserta menjamu selera dengan makanan yang telah mereka masak sendiri. Dalam kemeriahan menikmati makanan, tiba-tiba lampu terpadam. Mujurlah ada peserta yang membawa lampu suluh, maka dapatlah mereka menerangi makan malam mereka.

Pada pukul 9.00 malam aktiviti LDK dijalankan oleh Tn. Haji Misran. Pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan untuk membentuk sikap kepimpinan peserta. Antaranya Ice breaking, membuat logo dan motto kumpulan dan pembentangan berkumpulan.

Selepas aktiviti LDK, peserta minum malam dan membersihkan diri sebelum dibenarkan tidur pada pukul 11.00 malam. Guru-guru yang ditugaskan kawalan malam ialah Cik Ooi, Cik Wan Zulaklima, En. Arshad dan En. Muslim. Pada malam pertama, kelihatan pelajar masih teruja dengan perkhemahan kerana masih ada pelajar yang tidak tidur dan bersembang dengan rakan-rakan dalam khemah.

Pada malam itu, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa seolah berada di tepian pantai. Sejuk dan mendamaikan. Aku, Haja, Faizah, Ooi dan rakan-rakan guru lain menikmati keindahan malam itu. Kami bercerita dan diselang seli dengan makan sambil memerhati khemah pelajar. Malam makin larut. Kadangkala aku tersengut menahan mengantuk. Akhirnya, pukul 3.00 pagi aku dan rakan-rakan menyerah kalah. Kami tidak dapat menahan mengantuk dan merehatkan diri di Kabin Kelas 1 RK 1 (Kelas aku) kerana pada waktu pagi banyak kerja menanti untuk kami (urusetia)

Kedengaran siren berbunyi pada pukul 3.30 pagi. Kem Komanden telah mengejutkan peserta perkhemahan untuk mendengar taklimat, berkawad dan menyanyi lagu patriotik. Selepas itu, peserta kembali ke khemah untuk merehatkan diri.


Sunday, August 7, 2011

Tadarus Al-Quran


Alhamdulillah, hari ini sudah tujuh hari umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah berpuasa di dalam bulan Ramadan. Bulan Ramadan yang penuh keberkatan, dipenuhi rahmah, pahala, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Bulan Ramadan juga dikenali sebagai 'Syahrul Quran' iaitu bulan diturunkan al-Quran.

"Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada malam pertama Ramadan, Taurat pula diturunkan enam Ramadan, diturunkan Injil pada tiga belas Ramadan, manakala Furqan (al-Quran) pula diturunkan pada dua puluh empat Ramadan." (Riwayat Imam Ahmad)

Maka kita digalakkan memperbanyakkan amalam membaca al-Quran seperti tilawah, tadarus serta mengamalkan al-Quran dengan sepenuhnya. Setiap malam di bulan Ramadan, Malaikat Jibrail a.s datang bertemu dengan Rasulullah s.a.w untuk bertadarus iaitu mengulangkaji al-Quran. Nabi s.a.w menceritakan bahawa Jibrail membacakan al-Quran kepadanya setiap tahun sekali pada bulan Ramadan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali. (Riwayat al-Bukhari no. 264 dan Muslim no. 2450)

Nuzul al-Quran

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

"Bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)." Surah al-Baqarah 2:185

____________________ * * * * * _________________________


Bersempena dengan kedatangan bulan yang mulia ini, sekolah aku telah memperuntukan waktu rehat sebagai waktu bertadarus al-Quran. Setiap pelajar Muslim akan bertadarus al-Quran di bawah selian dua orang guru Muslim di dalam kelas. Aku diberi tanggungjawab untuk menguruskan tadarus al-Quran untuk pelajar tingkatan 1 D bersama dengan guru '2 alam' iaitu En. Sofian yang terpaksa mengajar dua sesi pada hari Rabu dan Khamis. Maka, aku meminta khidmat Ustazah Hasanah yang juga merupakan guru '2 alam' untuk membantuku pada hari tersebut. Ustazah Hasanah ini merupakan guru Pendidikan Islam untuk kelas 1 D, jadi senanglah sikit kerja aku untuk menerangkan terjemahan ayat-ayat al-Quran.

Bergema-gema di telingaku apabila pelajarku mengaji al-Quran pada hari Khamis dan Jumaat. Kedatangan Ramadan kali ini, aku diuji dengan masalah telinga 'tersumbat'. Rasa dunia ini dalam gua sahaja apabila telinga ini asyik berdegung seperti keadaan telinga masuk air. Memang mencabar untuk seorang berkerjaya guru yang memerlukan suara lantang atau tinggi untuk menyampaikan pengajaran. Apabila aku bercakap, gemanya sangat tinggi di telingaku yang tersumbat itu. Namun, itu bukan halangan untuk aku tidak mengajar kerana aku punya cara lain untuk menyampaikan ilmu dengan meminta pelajar menyalin nota dahulu. InsyaAllah penerangan selepas aku mendapat kembali nikmat pendengaran yang sangat indah ini. Bersyukurlah dengan setiap nikmat kurniaan Tuhan yang merupakan pinjaman sementara buat kita di dunia ini.

Aku cuba menerangkan terjemahan ayat al-Quran sebaik mungkin. Kadangkala aku cuba kaitkan terjemahan al-Quran dengan apa yang telah aku ajarkan pada mereka terutama berkaitan dengan alam seperti gunung, langit dan bumi (Geografi Tingkatan 1) supaya mereka tahu al-Quran bukan berkaitan hukum-hakam Islam sahaja tetapi menyeluruh merangkumi sains, sejarah dan alam. Semoga Allah mempermudahkan urusanku untuk mengurus tadarus al-Quran ini. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada sebelum ini. Rebutlah kesempatan Ramadan ini kerana kita tidak tahu adakah masih ada Ramadan untuk kita pada tahun depan.

Semoga ada manfaatnya....




Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

ORANG YANG MENCINTAI ILAHI

Orang yang mencintai Ilahi
Dirinya tak keluh-kesah
Apabila ditimpa ujian
Kerana dia yakin dengan kasih Tuhan

Orang yang cintanya kepada ilahi melebihi segalanya
Tidak melatah apabila orang tersayang dirampas
Kerana walau dia kehilangan
Dia masih bermodalkan cinta Ilahi

Orang yang benar-benar menghayati cintanya kepada Ilahi
Sentiasa pasrah kepada-Nya
Sabar menempuh ujian
Kerana dia tahu ujian itu adalah
tarbiah daripada-Nya

Orang yang benar-benar mencintai Illahi
Juga harapkan kebahagian di dunia
Tetapi jika tidak dapat dimiliki
Dia harapkan keindahan 'di sana'
Kerana dunia ini hanya pinjaman
Dan dirinya hanya 'barangan pinjaman'
Yang dipinjam untuk sementara di dunia ini.

Hasil Nukilan:
Naurah Musyahidah

Sumber:
Majalah GenQ (Generasi Al-Quran Kreatif) Isu Perdana


Thursday, August 4, 2011

Citra Mawar

Citra Mawar
www.iluvislam.com
Dihantar oleh : capuccino
Editor : raidah

Sinaran mentari membicarakan kata,
Awan mula menunjukkan rupa,
Angin menghembus sayu terasa,
Pohon melambai dengan penuh makna...

Kebunan bunga membuahkan harumannya,
Kelopaknya menarik culasan mata,
Dipandang dengan kesyukuran di jiwa,
Mawar yang indah dibangga...

Wanita umpama mawar,
Citra mawar membahaskan beribu makna,
Lestarikan ia dalam diri kita,
Kerna ia bunga terjaga...

Mawar,
Di sisinya di sisipkan duri,
Terluka di tangan menyakitkan diri,
Bunganya perlu dijaga rapi,
Pasti mekar mewangi...

Mawar,
Citra warna mu beraneka,
Menjadi kegilaan manusia dunia,
Harum wangi mu mekar terasa,
Menusuk kalbu membuah cinta.

Mawar,
Ku titipkan kisah wanita,
Moga diri mu menjadi hiasan cinta,
Cinta kepada Yang Maha Esa,
Keutamaan buat jiwa manusia...



Wanita,
Ku lihat diri mu dalam diri ku,
Duri mawar menjadi hiasan bersama,
Moga terhindar dari tangan dunia,
jauh dari titi noda dan dosa...

Wanita,
Ketahui diri mu kebanggaan sezaman,
Penggugah dunia ketenangan,
Penyejuk insan yang bergelar suami tersayang,
Itu landasan cinta berkah AR-RAHMAN...

Wanita,
Dulu citra mu tersembunyi,
Dijaga rapi bak mawar berduri,
Kini, ke mana ia pergi???
Segalanya bertaburan di tepi...

Wanita,
Sebersih hati MARIAM,
Seteguh sekental keberanian HAJAR,
Secantik semanis kisah ZULAIKHA,
Sepenuh kasih jiwa FATIMAH,
Sedermawan merimbun hati KHADIJAH,
Citra mawar penuh dengan makna...

Kampungku di Landa Ribut


Muka hadapan surat khabar Sinar Edisi Pahang

Hari Khamis, 28 Julai 2011. Cuaca pada hari itu luar biasa. Langit kelihatan mendung dan angin bertiup agak kencang mendamaikan suasana tengah hari yang selalunya panas ketika pelajar beratur di perhimpunan.

Petang itu, aku menunjukkan kepada pelajar 1RK 1 berita Filipina di landa ribut tropika. Ribut tropika yang membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir serta tanah runtuh di Filipina setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang
. Betapa bertuahnya Malaysia tidak di landa ribut taufan seperti di Filipina dan banjir besar yang sedang melanda Korea dan China.

Ribut tropika Nock-ten yang melanda Filipina

Malam itu, ayah aku melefon mengkhabarkan kampung halamanku di Pahang di landa ribut. Terpana aku seketika. Adakah ribut ini ada kaitan dengan ribut tropika? Syukur alhamdulillah, semua ahli keluargaku terselamat cuma beberapa batang pokok tumbang menyembah bumi.
Kejadian ribut ini bukanlah pertama kali melanda kampungku. Menurut cerita ibuku, pada tahun1988 ribut dan puting beliung pernah melanda kampungku.

Kejadian ribut dan angin kencang pada petang itu telah merosakkan 113 buah rumah di
Gugusan Felda Lepar Hilir. Kejadian pada pukul 4.15 petang itu melibatkan kerosakan 92 buah rumah di Felda Lepar Hilir 1, Lepar Hilir 4 (11) dan Taman Saujana (10).

Pada Sabtu, 30 Julai, aku mengambil kesempatan pulang ke kampung sempena cuti awal Ramadhan (Johor) serta cuti berganti pada hari selasa. Dapatlah aku melihat kesan ribut selepas 2 hari melanda kampungku serta berpuasa bersama keluargaku sebelum menunggu cuti sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri pada hujung Ogos ini.

Keadaan sebuah rumah yang rosak teruk di pukul ribut dan angin kencang

Syukur, Alhamdulillah, ribut dan angin kencang yang melanda kampungku tidak seteruk ribut taufan yang melanda rantau Asia, hurikan di Amerika, wily-willys di Australia. Walaupun nama angin siklon ini berbeza mengikut tempat, namun kedatangannya selaju 200 hingga 300 km sejam boleh memusnahkan harta benda dan mengorbankan nyawa.

Kesan ribut di sekitar rumahku...