Saturday, November 23, 2013

Tempias Hujan

22/11/2013 (Jumaat)

Ketika dinihari, jam di dinding menunjukan pukul 3.10 pagi. Aku masih berusaha dan mencuba untuk key in PBS. Kepala dah mengantuk dan badan mula letih tapi aku paksa diri jua untuk menyiapkan PBS. Suamiku yang sudah tidur berbunyi kedengkuran.

Di luar rumah sewaku hujan mula turun. Angin bertiup kencang dan hujan semakin lebat. Angin yang bertiup disertai rintik hujan menghala masuk ke tingkap di rumahku. Ohh tidak, banjir! Tempias hujan mula membasahi lantai rumahku dan menyebabkan rumah sewaku di tingkat tiga ini mulai dibanjiri air.

Aku terpaksa mengerakan suamiku untuk bangun dari tidur. Aku menyuruh suamiku untuk mengalih tilam yang berhampiran tingkap ke tempat lebih selamat. Baju di ampaian terpaksa aku angkat. Suamiku membentangkan surat khabar di lantai kawasan tempias agar mengurangkan kadar pengaliran air hujan. Suamiku mencapai mop lantai dan mengemop lantai di bilik utama dan ruang tamu rumah sewaku.Akhirnya, kerja mengemop rumah selesai pukul 4.00 pagi.

Ini bukanlah peristiwa pertama rumahku dilanda tempias hujan cuma kali ini kadar air hujannya agak tinggi dan menyebabkan banjir dalam rumah. Inilah realiti sebenar sekiranya tinggal di rumah flat yang puratanya penghuni rumah berpendapatan rendah. Sebelum ini, aku juga pernah menyewa di rumah flat kawasan lain yang agak jauh dari sekolah dan perkara ini biasa berlaku sekiranya hujan lebat dan angin menuju kearah tingkap rumah. Oleh sebab itulah, aku tidak meletakkan perkasasan dan perabot berhampiran tingkap.

Aku meneruskan kerjaku untuk menyiapkan key in PBS dan suamiku mulai menyambung tidur. Kalian yang membaca entri ini jangan salah faham. Aku bukanlah seorang guru yang suka melakukan kerja di hujung waktu @ melambatkan kerja. Aku selalu key in prestasi pelajarku mengikut bulan cuma yang sedang aku key in ini ialah prestasi band pelajar bulan 9, 10 dan pelajar yang tercicir @ penambahbaikan prestasi band pelajar. Prestasi kokurikulum seperti UBU, kelab dan sukan perlu di key in dihujung tahun kerana baru kita dapat prestasi keseluruhan pelajar. Manakala SEGAK perlu di key in di awal dan pertengahan tahun. Memandangkan aku mengajar subjek Geografi dan Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan aku perlu key in 8 kelas yang purata satu kelas 35 - 37 orang pelajar. Dan eviden yang perlu di 'tik' bukanlah satu tetapi berpuluh juga.

Memandangkan sistem yang sangat perlahan, kadangkala tidak dapat diakses  menyebabkan banyak kerja tertangguh. Aku yang menurut perintah, akur dengan tangunggjawab dan amanah ini. Aku berharap sangat agar ditambahbaikan sistem PBS ini untuk kepentingan pelajar dan mesra pengguna untuk para guru sekalian pada masa akan datang.

Aku sudah tidak mampu bertahan lagi. Aku perlu rehat yang cukup untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Semoga Allah SWT memberikan kita kesabaran yang tinggi serta kesihatan yang baik. Amin..

Selamat malam semua...


Friday, November 22, 2013

Pengawas SPM 2013

Assalamualaikum,

Rasanya sudah lama tidak menulis dan mengemaskini blogku ini. Bukan menjauh diri cuma kesibukan menyebabkan tidak berupaya mencari masa untuk mencoret di blog ini. Banyak yang ingin dikongsikan tetapi semuanya hilang bersama masa lalu yang tidak boleh diputarkan kembali.

Alhamdulillah, cuti persekolahan sudah bermula dan yang pasti seronok mestilah pelajarkan. Yelah, dari Januari hingga November pergi sekolah untuk menuntut ilmu, masuk ke kelas untuk belajar, membuat ulangkaji di rumah, menghadapi peperiksaan dan melaksanakan PBS sepanjang tahun. (Masih melaksanakan kerana terpaksa key in sehingga kini dan mungkin awal tahun hadapan)

Mesti ibu bapa dan guru-guru berkira-kira untuk membawa anak-anak dan keluarga bercuti. Aku pun sudah merancang destinasi percutianku bersama suami tercinta. JB @ Johor Baharu pilihanku kali ini kerana aku ditugaskan untuk menjadi 'Pengawas SPM' di sekolah hujung benua di daerahku.

Walaupun perjalanan memakan masa lebih setengah jam, minyak kereta pun 'parak' tetapi kami hanya layak menerima elaun perjalanan. Kawan aku ada mengira keseluruhan yang bayaran yang kami perolehi, tetapi tidak berbaloi dengan masa yang terpaksa dikorbankan masa cuti sekolah ini. Bukan tidak bersyukur tetapi faham je lah minyak kereta sudah naik dan barangan makanan pun dah naik.

Kadangkala kesian juga kepada pada suami yang terpaksa jadi 'bodyguard' pula. Suami terpaksa menunggu dan tidak pulang ke rumah kerana jarak perjalanan yang jauh, nanti membazir minyak kereta kalau ulang-alik.

Minggu pertama dan kedua, aku perhatikan pelajar-pelajar masih takut untuk keluar awal dari dewan atau bilik peperiksaan mungkin kerana ada guru yang mengawasi mereka. Tetapi masuk minggu ketiga, makin ramai pelajar yang keluar awal dari dewan peperiksaan. Setengah jam menjawab soalan peperiksaan sudah ada pelajar yang sudah keluar awal. Apabila disemak skrip jawapan, masih ada tempat kosong yang tidak dijawab. Kalau seorang sudah keluar, mulalah pelajar lain gelabah juga untuk keluar awal sehingga tidak sempat membuat penyemakan jawapan mereka.

Tidak sepatutnya perkara ini berlaku. Hampir dua tahun belajar tetapi apabila di dewan peperiksaan sanggup pelajar ini mempersiakan peluang mereka. Sekurang-kurangnya buatlah penyemakan dua, tiga kali sebelum keluar peperiksaan sekiranya ingin keluar awal.

Untuk pelajar SPM tahun ini, masa yang ada jangan dipersiakan. Berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah S.W.T. Buatlah yang terbaik untuk diri sendiri, ibu bapa dan guru anda. SPM bukanlan penamat segalanya tetapi batu loncatan untuk terus berjaya di masa hadapan.

Good Luck for SPM students. Selamat bercuti kepada pelajarku dan rakan guru sekalian.