Saturday, June 30, 2012

Selamat tinggal Pulau Kapas...

6 Jun 2012 (Rabu)


Pagi yang indah, disinari suria.. Cahaya mentari mula menyinari lautan dan terbias bercahaya dipukul ombak. Indah sungguh alam ciptaan tuhan. Apabila aku melihat laut, terbayang kekerdilan diri ini seperti semut di padang yang luas. Apabila diteliti seolah lautan bersatu dengan langit.. Teringat orang dahulu, takut berlayar kerana takut terjatuh di penghujung bumi, walhal Allah s.w.t menciptakan bumi ini berbentuk bulat...

Pagi itu, air pasang kesan daripada putaran bumi pada paksinya. Hendak mandi, ombak kuat membadai pantai. Jadi aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan dan meninjau keindahan pantai bersama ibuku..

Setelah puas berjalan-jalan, aku lihat ada juga orang yang mandi pantai walaupun air pasang. Sementara untuk menunggu air surut aku mengambil gambar-gambar yang menarik. Antarannya gambar bot yang dipukul ombak badai...

Inilah hidup ibarat dipukul badai kehidupan, sekiranya tiada tali (agama Allah S.W.T) yang mengikat kita mungkin terumbang-ambing dalam kehidupan..

Tungu punya tunggu, rupanya air pasang tidak menampakkan kesurutannya cuma ombak kurang membadai pantai. Aku tidak boleh melepaskan peluang mandi kerana tengah hari nanti aku akan meninggalkan pulau ini.  Aku mula bermandi-manda bersama keluarga.  Memang seronok sebab sudah lama tidak mandi pantai. Tetapi kehadiran 'obor' merencatkan aktivitiku yang cuba belajar berenang. Terpaksalah naik kedaratan sebentar bermain pasir pula.


Aku juga bermain 'boling pasir' tetapi bola pasirku relai di pertengahan perjalanan. Agaknya adunan bola pasirku tidak begitu kukuh lagi tapi aku telah mempertaruhkannya... Inilah kesannya sekiranya tidah sabar. .. Macam kehidupan yang penuh cabaran perlu ditempuhi penuh kesabaran agar tidak terkandas di pertengahan perjalanan...

Aktiviti yang paling menarik dan mencabar kemampuan fizikal dan mentalku di Pulau Kapas ini ialah BERKAYAK. Dahulu zaman persekolahan, semasa menyertai perkhemahan Pandu Puteri peringkat daerah, aku pernah berkayak tapi malangnya berlegar-legar di tebing sungai sahaja...

Memang profesional abang iparku menjadi 'trainer' kayak yang mengajar kami sekeluarga berkayak. Seronok berkayak di lautan cuma perlu kuat untuk menghadapi gelombang lautan dan tergelong dipukul ombak. Memang takut berada di tengah lautan, tetapi kena kuatkan semangat dan fokus untuk kembali ke daratan. Dapat aku perhatikan betapa banyaknya obor-obor berkeliaran di lautan. Janganlah obor-obor ini menghampiri kawasan pantai.. 





Antara tumbuh-tumbuhan semula jadi yang terdapat di Pulau Kapas seperti pokok bunga jejarum (exora) dan pokok kelapa... 

Haiwan semula jadi pula yang banyak di pantai ini ialah biawak..





Pulau Kapas,
Pulau yang cantik,
Air lautnya membiru,
Pantainya memutih,
Bayu memupuk lembut,
Tumbuh-tumbuhannya hijau
menyubur,

Ku tinggalkan mu,
Dengan penuh kenangan dan harapan,
Agar Engkau terus kekal indah dan bersih,
Wahai Pulau Kapas....


Apabila air cuba memecah batuan keras... Inilah kesannya...
 P/s: Janganlah ada obor-obor 'plastik' kerana kehadirannya boleh mencacatkan keindahan pantai.. Buanglah sampah di dalam tong sampah, bukannya menyepah di merata tempat...

Membawa diri ke Pulau Kapas...

5 Jun 2012

Membawa diri ke Pulau Kapas...



Oppss... Jangan salah faham, aku bukan cuba melarikan diri dan bersembunyi di Pulau Kapas tetapi hanya bercuti dan merehatkan diri di Pulau Kapas setelah sekian lama menyumbang jasa dan bakti di sekolahku... Hehe cuti sekolah amat ditunggu oleh aku dan rakan sekerjaku...Cuti pertengahan tahun ini, aku habiskan di kampung halaman dan di Pulau Kapas. 

Pulau Kapas terletak di Terengganu dan merupakan Taman Laut Malaysia yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985. Taman laut ini ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara kepelbagaian habitat dan hidupan marin. Segala aktiviti yang merosakkan terumbu karang dan ekosistem laut adalah dilarang dan salah di sisi undang-undang. Selain Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian juga merupakan kawasan Taman Laut.


Untuk sampai ke Pulau Kapas, aku perlu menunggu bot di jeti Marang. Tidak ku sangka terjumpa rakan sekerjaku, Cikgu Rizal yang bercuti dengan keluarganya di Pulau Kapas jugak. Betapa kecilnya dunia ini. 


Perjalanan lebih kurang setengah jam diperlukan untuk tiba di jeti Pulau Kapas. Inilah pengalaman pertama kali aku menaiki bot di laut... Terasa gelong dilambung ombak. Dari kejauhan aku dapat melihat Pulau Kapas...

Aku menyewa di Resort Mak Cik Gemok untuk sehari semalam sahaja. Makanan dan minuman di Pulau Kapas ini agak mahal, jadi kakak dan abang iparku membawa makan tengahari dan malam. Air mineral memang kena bawa kerana kawasan pulau mempunyai kadar hidrasi yang tinggi. 

Antara kemudahan yang terdapat di Pulau Kapas

Bila dah sampai pantai, aktiviti aku dan adik-adikku ialah bergambar di sekitar Pulau Kapas. Tetapi kakak dan keluarga abang iparku terus terjun kedalam laut selepas menjamu selera. Memang tak sabarlah diorang ni untuk mandi walaupun cuaca panas terik.. 

Aku dan adikku pula mandi laut selepas cuaca agak redup. Lama juga berendam di laut. Aku melakukan aktiviti 'snorkling' walaupun tiada yang menarik pun dekat dasar pinggir pantai kecuali batu karang yang bersepah di dasar laut. Kalau bertuah, dapatlah melihat anak ikan yang berwarna putih macam batu. Sekali-sekala tertelan air masin fuh.. pahitnya tak tergambar rasanya... 


 Menikmati keindahan pantai pada waktu senja..

Langit tidak selalu cerah. Tibalah masanya aku perlu beredar keluar dari laut kerana awan mendung mula berarak dan angin mula bertiup kencang menanda hari hendak hujan.. Apapun aktiviti 'snorkling' ini best macam penyelam profesional plak...

Malamnya, Pulau ini sunyi kerana pulau ini tidak mempunyai penduduk kecuali pelancong yang mengunjungi pulau ini.... Sungguh indah langit malam, dihiasi bintang dan deruan ombak memecah kesunyian malam...

Syukur, alhamdulillah.... Maha Suci Allah yang menjadikan bumi ini sebagai hamparan kepada manusia dan menghiasi langit malam dengan bintang-bintang bergemerlapan....


Antara yang menarik di Pulau Kapas ialah gua kecil, batu karang yang bersepah di tepian pantai

Sunday, June 17, 2012

Sibuknya.... Nak siapkan PBS Geografi

PBS?

Apa itu PBS? 

PBS ialah singkatan untuk Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Sekiranya sebelum ini, prestasi pelajar diukur berdasarkan markah peperiksaa dan kemuncak kejayaan diukur semasa PMR untuk pelajar sekolah menengah rendah dan SPM untuk pelajar sekolah menengah atas iaitu hanya melibatkan intelek sahaja, kini prestasi pelajar diukur meliputi keseluruhan aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Melalui PBS guru lebih mengetahui kelemahan dan kekuatan pelajar berkaitan sesuatu topik yang diajar kerana soalan istrumen lebih berbentuk subjektif berbanding soalan peperiksaan yang berbentuk objektif. Dengan ini, guru boleh memberi tumpuan kepada pelajar yang lemah dan cuba membimbingnya.

Bagaimana PBS ini dilaksanakan?

Guru-guru tetap mengajar seperti biasa dan tetap menghabiskan salibus KBSM. Bezanya PBS dilaksanakan sepanjang tahun dan tiada musim peperiksaan. Selepas guru-guru habis mengajar sesuatu topik berkaitan, guru-guru akan mengedarkan instrumen PBS dari Band 1 hingga band 6. Sekiranya pelajar gagal, guru-guru terpaksa memberikan soalan yang sama kepada pelajar dan cuba membimbingya sehingga pelajar lulus. Sekiranya pelajar lulus, soalan instrumen band 1, pelajar boleh menjawab soalan band 2 dan seterusnya.

Timbul juga persoalan bagaimana prestasi pelajar diukur? Ini kerana pelajar hanya perlu lulus setiap instrumen seperti band 1, band 2, band 3, band 4, band 5 dan paling tinggi band 6. Jadi, tiada lagi pelajar yang mendapat A, B, C, D dan E.

Semasa diperkenalkan PBS mampu mengurangkan beban guru di sekolah. Namun, perkara sebaliknya berlaku kerana PBS memerlukan tumpuan dan pemerhatian guru sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran pelajar tetapi hakikatnya guru masih disibukkan dengan pelbagai kerja perkeranian. Walaupun kerja guru makin bertambah, namun kami tetap menyokong dasar yang diperkenalkan. 

Cuma agak kesal kerana guru-guru di sekolah didedahkan agak lewat iaitu pada bulan 4. Jadi kami semua terpaksa terkejar-kejar untuk memberikan instrumen soalan-soalan untuk topik yang lepas.


 Ini fail induk PBS bagi setiap mata pelajaran. Banyak juga nak menulis ada 12 mata pelajaran didarab dengan 35 orang pelajar.... Sakit tangan menulis

 Ini pula maklumat pelajar. Rasanya dah banyak kali menulis maklumat ini.. Dalam buku 'register', buku pendaftaran sekolah, SMM, Pangkalan data, Kad 001... Inilah contoh kerja perkeranian guru...

 Inilah contoh soalan instumen PBS band 1 yang telah aku siap tanda... 

p/s: Dah lama tak update blog mengenai geografi kerana sibuk membuat dan menanda soalan PBS dan menguruskan PBS untuk kelas 1 Harmoni...