Sunday, May 20, 2012

Carlos.... Hidayah itu milik Allah


Pertama kali terpandang majalah Q & A ini, dideretan kedai yang menjual majalah di bangunan Pasaraya Terus Maju di Sri Damai, Kuantan. Rupanya ada majalah baru selepas Solusi dan Fardu Ain. Aku tidak tertarik untuk membelinya kerana memikirkan banyak majalah yang masih belum sempat dibaca...

Tetapi, aku membelek jua majalah ini dan melihat isi kandungannya. Ermm, penulisnya bukan calang-calang orang seperti Ust. Zul Ramli dan Rujhan M. Razali yang biasa aku dengar suaranya di Radio Malaysia Pahang, Ust Kazim Elias, Ust Azhar Idrus, Prof. Muhaya Mohamad, Habib Ali Zaenal  Abidin Al-Hamid dan ramai lagi. Menarik juga gaya penulisanya yang lebih santai dan berbentuk soal jawab..

 Q & A lebih dikenali dengan singkatan untuk Question & Answer tetapi Q & A juga bermaksud Quran dan as-Sunah..

Tak salah kalau aku membelinya... Lalu aku membeli Majalah Q & A Isu Perdana...

Antara yang menarik pembacaanku ialah Cermin Ajaib: Carlos Almuhtadiy...

"Carlos, sekiraya kamu menyayangi Jesus dengan ikhlas, jadilah seorang Muslim..."

Antara waktu solat Maghrib dan Isyak, di sebuah masjid di Texas, imam sedang menyiapkan beberapa kerja pengurusan di pejabat. Pintu diketuk dan seorang lelaki menjengulkan wajah. Rambutnya panjang berikat, misai dan janggutnya panjang tumbuh meliar.Gayanya seperti penunggang yang meredah freeway dengan 'cooper' Harley Davidson- Live to Ride!

"Nama saya Carlos." Tangan dihulur sambil memperkenalkan namanya.

Imam menunggu apa yang bakal diperkatakan seterusnya oleh tetamu asing ini.

" Saya ingin memeluk Islam." Suara garuk keluar dengan lancar dari ulas bibirnya.

Imam tidak menjangka mendengar itu daripada lelaki ini. Sepintas lalu dia mengamati lelaki yang hanya mengenakan leather vest pada tubuhnya yang penuh tatoo. Di bahagian dada terpampang begitu besar gambar lelaki disalib; gambaran Jesus. Pada lengan sasanya terdapat gambar wanita mendukung bayi; gambaran Mary mendukung Jesus. Badannya jadi kanvas memperaga mural keagamaan seperti yang terdapat di dinding gereja ortodoks.

Iman  menyahut permintaanya. Carlos diajarkan dua kalimah syahadah. Setelah berjaya menyebutnya dengan lancar, Carlos berhenti seketika melayan emosinya; bergenang air pada kelopak matanya yang redup.


"Apakah yang mendorong kamu untuk menjadi seorang Muslim, wahai Carlos?"


Carlos merenung lembut ke wajah imam. 


"Saya membesar sebagai seorang Kristian sejati." Dia memulakan cerita, seperti ada bau setanggi gereja bersama mukadimah cerita itu.


"Sejak kecil saya dididik menyayangi Jesus.' Bicaranya lancar. Imam mengangguk-angguk mendengar dengan tekun. 


""Kasih sayang terhadap Jesus menjadi destinasi hidup saya, kerana itu kamu dapat lihat tubuh saya ini penuh dengan gambar Jesus." Dia menunjuk ke serata tubuhnya.


"Saya benar-benar menyayangi Jesus...." dia menyambung dengan suara sedikit kuat, berbaur emosi yang tidak dapat disembunyikan.


"Semuanya berjalan seperti biasa hinggalah tiga hari lepas." Dia terhenti seketika.


"Pada malam itu saya bermimpi. Saya melihat cahaya dingin yang terang-benderang; ia begitu menyilaukan. Di balik cahaya itu, terdengar suara yang sangat jelas, menyeru nama saya: Carlos, sekiranya kamu menyayangi Jesus dengan ikhlas, jadilah seorang Muslim... Hanya Islam meletakkan Jesus pada kedudukan yang benar."


Carlos menggayakan dengan penuh perasaan ketika dia tersentak dan terjaga daripada tidur.


"Mimpi seperti itu datang berulang kali dalam tidur pada malam-malam berikutnya. Ia membulatkan tekad dan membawa saya ke mari." Carlos menutup kisahnya tepat pada masa saat azan Isyak dilaungkan.


Allah Maha Besar ! Allah Maha Besar ! 


Gemersik laungan azan memenuhi ruangan masjid, menusuk ke kalbu Carlos. Habis azan, imam bangkit untuk keluar.


"Apa yang harus saya buat sekarang?" tanya Carlos meminta bimbingan.


" Kamu ikut sahaja apa yang saya lakukan sepanjang solat nanti," ujar imam penuh mesra.


Berdirilah Carlos di saf belakang imam. Dia mengikut perlakuan imam; qiam (berdiri), rukuk, iktidal dan sujud daripada satu rakaat ke satu rakaat. Kesemua itu dilakukan dengan begitu sukar dan kekok, namun terserlah ketundukannya sebagai seorang Muslim.

Selesai imam memberi salam, Carlos masih khusyuk di dalam sujudnya. Selang beberapa detik berlalu, imam bangun dan duduk di sebelah Carlos yang masih sujud.

"Carlos... kita telah habis solat." Imam menggoncang tubuh Carlos.

Tubuh itu terkulai dan terbaring; imam segera merapatkan telinga ke dada Carlos. Sedetik imam berhenti, suasana begitu sunyi. Terluncur dari bibir imam: Inna lillah wainna ilaihi raji'un." Carlos rupanya telah meninggal dunia.

Allah menjemput pulang Carlos dalam sujudnya yang terakhir. Pulang dalam keadaan bersih sesuci bayi yang baru lahir. Baru tadi dia mengucap syahadah disaksikan azan Isyak; pada sujud solat Isyaknya pula ia pulang menghadap Tuhannya.

Allah berkuasa memberi hidayah kepada Carlos pada saat terakhir hidupnya, walaupun sebelum itu dia tidak pernal kenal erti Islam dan kebenarannya. Dia ditakdirkan oleh Allah untuk diberi hidayah dan tergolong sebagai orang yang beruntung. Rasulullah S.A.W menyebutnya tentang ini dalam sabda baginda:


"Demi jiwaku yang berada di dalam genggaman-Nya, ada dikalangan kamu yang melakukan amalan ahli neraka sepanjang hidupnya sehingga antaranya dan neraka tinggal sehasta sahaja lagi, maka datang baginya ketentuan yang telah tertulis buatnya lalu dia melakukan amalan ahli syurga lalu masuklah di kedalam syurga." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hidayah itu milik Allah, beruntunglah kepada sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah SWT. Semoga kita semua termasuk golongan yang mendapat Hidayah dan Taufik daripada Allah SWT..


Sumber: Cerita ini diambil daripada Majalah Q & A, Edisi Perdana di ruangan Cermin Ajaib..


P/s: Sekarang aku telah membeli dan membaca Majalah Q & A Edisi Perdana, 1,2, 3 dan 5. Sayangnya Bil 4 yang belum ketemui lagi.. Akan ku cuba mencarinya...


Semoga ada manfaatnya...

Wednesday, May 16, 2012

Hadiah Hari Guru...

Tahun ini, aku tidak mengharapkan banyak hadiah daripada pelajar. Cukuplah sekadar mereka memberi perhatian semasa ku mengajar dan lulus Band 1, 2 dan 3 untuk subjek Geografi serta menghormatiku sebagai guru...

Sekadar penghargaan kepada pelajar yang memberi hadiah kepadaku iaitu, Ainaa Najwa dan Fatin Nor Syahira, 1 Harmoni (guru kelas 1 H), Ain dan Zulfiqah, 1 Ikhlas, Logeshwary dan Ain Nurfiraneza, 1 Bakti dan Nur Zahirah, 1 PK. 

Aku amat terharu apabila menerima hadiah daripada Malvinder, 2 RK 1, walaupun cikgu bukan guru kelas kamu lagi dan tidak mengajar kamu lagi tahun ini, kamu tetap memberi hadiah kepada Cikgu.... 

Terima kasih, atas pemberian kalian, cikgu amat menghargai dan menyayangi kamu semua.. Cikgu sayang semua pelajar cikgu. Walaupun cikgu selalu denda kamu kerana tidak menyiapkan kerja, tapi cikgu lakukan semua itu untuk menyedarkan kamu kepentingan menuntut ilmu dengan sebenarnya...


 Cikgu pun sayang kamu Fatin dan Ain ....

 Kad ucapan yang berwarna kuning hasil karya Ain Nurfiraneza, 1 Bakti

 
Kad ucapan dan kata-kata semangat daripada GPK Petang

 Ini koleksi hadiah Hari Guru untukku untuk tahun ini... Kecuali hamper itu dapat semasa cabutan bertuah tau..

 Inilah hadiahnya apabila dibuka daripada bungkusan... Semua hadiah menarik dan paling 'special' tu hadiah kapal layar daripada Malvinder... Bolehla ku menggampai impian dan cita-citaku untuk mengelilingi dunia... hehe InsyaAllah...

Walaupun sedikit, tapi amat bermakna... 

Hitunglah kesyukuranmu bukan keresahanmu...Senyum selalu ok !!!!

Selamat Hari Guru, 2012...

Pertama kali dapat kad ucapan daripada Puan Pengetua...




Selamat Hari Guru 2012

16 Mei 2012

Permulaan pagi, hujan turun dengan renyai dan sekali-sekala bunyi guruh berdentum. Alhamdulillah, hujan renyai-renyai hanya sementara sahaja. Menjelang 7.30 pagi, matahari keluar menyinari hari yang sangat indah ini.

Guru-guru sakan bergaya mengikut tema warna pakaian. Majoriti guru perempuan memakai pakaian berwarna  'pink' dan guru lelaki pula segak dengan pakaian berwarna biru. Majlis perarakan guru bermula selepas mengambil kehadiran pelajar. Guru-guru diarak dari dataran Kejat ke kawasan kantin. Inilah masalah sekolah tiada dewan, terpaksalah menggunakan kantin sebagai dewan terbuka. Kesian melihat pelajar-pelajar terpaksa berdiri kerana tidak cukup tempat duduk..

Seperti biasa Majlis bermula dengan ucapan, ikrar hari guru dan diikuti dengan nyanyian lagu Guru Malaysia dan lagu tema Hari Guru iaitu "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Kemuncak sambutan Hari Guru ialah persembahan pelajar dan Guru-guru.


Hatiku tenang dan damai pada permulaan persembahan pelajar. Nyanyian selawat dan nasyid begitu menanangkan. Namun, majlis mula gamat apabila pelajar perempuan memulakan persembahan Tarian Kipas, tarian klasik India, tarian K-Pop dan tarian ala-ala Hindustan. 


Aku begitu tersentuh melihat persembahan Cikgu Ashiq yang begitu mantap dan  beremosi membacakan karyanya, "Warkah buat Guru". Persembahan guru diteruskan dengan nyayian oleh guru-guru lelaki dan perempuan. Sungguh mantap persembahan mereka. Aku melihat pelajar begitu 'enjoy' dengan sambutan Hari Guru tahun ini... 


Cuma bila difikirkan balik, masyarakat kita ini terlalu menyukai hiburan. Kalau dilihat persembahan pelajar semuanya tarian dan guru pula nyanyian. Pelajar pula memberi tumpuan sepenuh perhatian. Tapi kalau dalam kelas, cikgu baru hendak mengajar, pelajar mulalah bising dan langsung tidak menunjukkan minat dengan pengajaran. Sungguh sedih dengan situasi sekarang... Ilmu dikesampingkan, hiburan diutamakan...

Sambutan hari guru diteruskan dengan permainan seperti guru menyolek pelajar dengan menutup mata, membuat gubahan bunga, membuat pakaian dari surat khabar dan membawa bola ping pong dengan sudu. Aku hanya menyertai acara 'bola ping pong' tapi aku sedih melihat gelagat guru lelaki yang 'mengelat' semasa bermain. Permainan kerusi berirama pun sama. Memanglah seronok melihat aksi mereka, tapi bila difikirkan balik, guru sebagai model kepada pelajar tidak seharusnya menunjukkan tingkah laku sedemikian dihadapan pelajar...


Kemuncak Majlis sambutan Hari Guru ialah jamuan. Semasa jamuan inilah, kami guru-guru mengadakan sesi pertukaran hadiah sesama guru dan cabutan nama bertuah. Alhamdulillah, namaku begitu bertuah kerana menjadi orang kedua menerima hamper...
Terima kasih, Pn. Norazzah atas pemberian "Jam Dinding" yang begitu istimewa...


Apapun, sambutan Hari Guru tahun ini begitu MERIAH.... 


Untuk para guru, teruskan usaha mendidik pelajar tanpa jemu dan bersabar dengan kerenah mereka supaya kita boleh melahirkan modal insan yang mulia.... Untuk guru-guruku, terima kasih mendidiku menjadi insan yang berguna. Jasa kalian, tidak boleh ku balas, cuma ingatan tulus iklhas dapat ku ucapkan.. Selamat Menyambut Hari Guru


Wednesday, May 9, 2012

Kisah Wanita Tua dengan Seekor Kucing di Tanah Suci Mekah

Kisah ini mengenai seorang wanita tua berasal dari Perak yang menunaikan haji.
-------------------------------------

Wanita ini, kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.

Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.

Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.

Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.

Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.

Maka terkenal lah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.

Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.

Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.

Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.

Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.

Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.

Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solehah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.

Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.

Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Amin

p/s: Kisah pengajaran ini disalin di FB Layar Minda...Sungguh terharu perngorbanan seorang insan terhadap haiwan terutama kucing. Ayuh, bagun teruskan usaha menambah amalan untuk ke sana....